Saat Gerimis Mengintai Rasa – Bab 1

NASKHAH Yasin dipeluk ke dada. Dengan jiwa yang cuba dipujuk untuk reda dengan ketentuan Yang Maha Agung, keranda yang berisikan jasad walinya dihantar dengan pandangan penuh sedih. Derai air mata usah ditanya. Tak henti mengalir menyentuh pipi merahnya. Sesekali ada tangan mengurut lembut di bahu.

Adelia hampir terkulai ke tanah saat dikhabarkan abahnya, Pak Halim rebah ketika menunaikan solat Jumaat di masjid tengah hari tadi. Hanya dunia memahami gelora perasaan ketika itu. Perasaan kehilangan insan teragung dalam hidup. Apatah lagi lelaki itu diperlukan dalam tempoh 24 jam akan datang.

“Adelia…” seru satu suara saat dia masih bersimpuh lemah di sisi pintu rumah.

Wajah dipanggung. Abang Syam, anak angkat Pak Halim. Matanya merah dan masih basah. Ada selutdi kaki seluar. Mesti baru balik dari tanah perkuburan. Lelaki beranak tiga itu duduk melutut di hadapan Adelia.

“Mana Hanafi? Abang Syam tak nampak dia dari siang tadi lagi.”

Hanafi. Bakal suami Adelia. Sebaik nama itu dituturkan, sebak terus menimpa dada Adelia. Terasa kosong. Kosong! Dan majlis pernikahan yang bakal berlangsung esok seakan tidak bererti lagi dalam hidupnya.

“Tak tahu.”

“Adelia, tolong jadi kuat untuk mak. Tengok tu…” Abang Syam menuding jari ke hujung penjuru ruang tamu, di mana Mak Yam terus tenggelam dengan rasa hiba.

“Untuk hari esok, Adelia kena kuat. Mak dah tua. Separuh kudrat dia dah pergi dengan arwah abah. Jangan macam ni.”

“Macam mana dengan esok, Abang Syam? Siapa akan ganti tempat arwah abah? Abah dah tak ada.” Terhambur rasa yang sebenar dari bibir.

Adelia biar air mata sedih menimpa riba. Tembok perasaannya pecah berderai hari ini.

“Adik-adik lelaki Adelia ada. Abang Syam pun ada. Semua orang ada untuk Adelia.”

“Tak sama dengan abah, Abang Syam. Kenapa…”

“Tak baik soal takdir ALLAH. Abang Syam harap Adelia jadi kuat macam Adelia yang Abang Syam kenal dulu. Untuk esok saja. Semua urusan dah selesai. Pergi rehat. Esok pagi Abang Syam datang semula.”

Dalam kamar yang sudah terhias sederhana, deretan dulang hantaran masih di tempat asal. Gubahan indah itu dipandang sepi oleh Adelia. Dia duduk di hadapan salah satu dulang. Diusap lembut dan akhirnya air mata tumpah lagi. Kali ini bertemankan esakan yang sangat sayu.

Terimbau kembali beberapa hari sebelumnya. Pak Halim yang tegas dan jarang bergurau, datang bertandang ke kamar dan duduk merenung dia dan Mak Yam lakukan persiapan. Renungannya dalam dan diam. Tanpa bicara. Rupanya itu adalah renungan terakhir buat barang-barang ini.

Usai zuhur, Adelia selamat mengikat tali cinta halal bersama Hanafi. Suasana sayu memayungi majlis. Adelia terus kuat. Wajah lembut itu terus mengukir senyum, sedangkan di hati bagaikan dihembus pilu yang tak tertanggung.

Sahabat masjid arwah Pak Halim datang penuhi jemputan. Dan telinganya disapa dengan cerita yang kebanyakan mereka tak mampu menjamah lauk yang terhidang. Masing-masing teringatkan arwah. Adelia menahan detak hiba yang mula memalu perasaan.

Lima hari kemudian Hanafi terbang ke luar negara atas urusan kerja selama seminggu. Adelia kembali keseorangan. Tak terasa emosi raja sehari atau perasaan sudah bersuami. Semuanya kerana kehilangan yang mengejutkan ini.

Cuti kahwin masih berbaki lagi dua minggu. Jadi peluang yang ada dihabiskan di kampung bersama Mak Yam. Petang itu, mereka dikunjungi seseorang.

“Kawan lama arwah abah. Pak Cik Wahid. Pak cik ni bapa saudara Anissa,” Mak Yam perkenalkan sebaik Adelia daratkan sedulang minuman petang untuk tetamu.

“Adelia saja pak cik tak pernah jumpa. Habis sekolah, Adelia dah keluar merantau jauh sambung belajar. Aifan dengan Azhan saja yang kerap jumpa.” Tambah Mak Yam lagi sambil dibalas anggukan oleh tetamu itu.

Adelia senyum. Memang dia jarang dikenali di kalangan saudara dan kenalan orang tuanya. Usai berbual satu dua perkara, lelaki yang sebaya dengan arwah abahnya minta untuk undur diri.

“Ambilkan kunci homestay. Pak Cik Wahid sekeluarga nak bermalam di homestay kita beberapa hari,” arah Mak Yam.Adelia akur. Sekeluarga? Maknanya ramai lagi yang datang. Tapi kenapa seorang saja yang jejak ke sini? Mana yang lain? Tiba-tiba hati tertarik untuk ambil kisah.

“Kata satu keluarga. Mana yang lain?” Persoalan dilontar bila kereta mewah itu makin menjauh.

“Ada kat rumah keluarga Anissa. Adelia, mak nak cakap sikit. Tentang Hanafi.” “Kenapa dengan Hanafi?” Hati sudah dilambung rasa tak selesa. Seakan ada bicara yang tak sedap bakal dimuntahkan keluar.

“Hati mak tak sedap.”

“Mak, apa cakap macam ni?” Adelia marah Mak Yam.

Tapi bahasanya masih lembut. Apa yang tak kena? Kenapa tiba-tiba bibir tua itu berani lontar kata yang menggentarkan? Dan ketika itu juga Aifan berdeham dari arah belakang mereka.

“Abang Hanafi tak datang masa hari abah meninggal. Tapi Aifan nampak Abang Hanafi hantarAnissa balik, lewat pagi hari Kak Adelia nak bernikah. Mak pun nampak.” Dalam bimbang dan serba salah dia bersuara bagi pihak Mak Yam.

Berlapik dan penuh makna tersirat untuk Adelia hadam dan faham sendiri.

Anissa? Lewat pagi? Macam mana Hanafi dan Anissa boleh kenal?

“Aifan dengan mak salah orang kut? Hanafi tak kenal Anissa la. Tak mungkin dia boleh ada dengan Anissa. Mung…mungkin kekasih Anissa. Muka iras Hanafi.”

“Iras sampaikan kereta pun sama dengan kereta Abang Hanafi? Nombor plat pun sama. Dua pasang mata yang tengok. Tak mungkin silap orang, Kak Adelia.”

Wajah Adelia yang mula dihembus rona suram dikerling. Bukan niat untuk risaukan relung hati si kakak. Tapi perkara sebenar perlu diluahkan. Adelia bukan orang lain. Satu-satunya kakak yang dia ada. Dan perihal ini melibatkan urusan hati dan hidup banyak pihak.

Adelia serba salah. Mana satu ingin percaya? Suami sendiri atau keluarga? Hanafi ada perempuan lain? Berkali-kali hati cuba diketuk dengan persoalan ini. Tapi tak bersambut dengan satu jawapan langsung.

“Nanti-nanti la kita berbual lain hal ni. Kak Adelia nak masuk bilik, rehat.”

Hanya frasa itu melompat keluar sebelum diri dibawa terus ke kamar. Dalam sepi kamar yang hanya bertemankan nyanyian angin dari kipas siling, Adelia bersandar lesu di kepala katil. Cerita Aifan dan Mak Yam terus menari dalam benak.

Bergabung dengan wajah tenang Hanafi. Mustahil Hanafi duakan dia saat ijab kabul mereka masih baru.


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL SAAT GERIMIS MENGINTAI RASA (PENULIS: PUTERI AQISH)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *