HANAFI dan Anissa duduk bertentangan mata. Hati si dara betul-betul tak keruan dengan keadaan sekarang. Terasa ombak keruh bakal menghempas hidupnya tak lama lagi.
“Abang kena bertanggungjawab. Anak ni anak abang!”
“Anissa, abang dah bernikah. Macam mana…”
“Masa benda terkutuk ni jadi antara kita, abang tak fikir pula diri tu dah berpunya? Tak teringat pula tunang dan status diri? Jangan jadikan alasan perihal status diri untuk lari daripada masalah yang sama-sama kita cipta! Ingat abang. Apa yang jadi selama ni atas kerelaan masing-masing. Bukan kehendak Anissa seorang.”
“Gugurkan!”
“Jangan jadi gila! Cukup la benda gila yang kita buat ni. Anissa nak kita kahwin sebelum perut ni makin membesar.” Anissa mendesak.
Tak ada pilihan lain. Kali ini keputusan muktamad perlu diambil. Dan dia sanggup berkeras, demi maruahnya.
“Tak boleh! Anissa sedar kan, Aifan saksi kita awal pagi tu. Mesti dia tak teragak-agak untuk buka mulut pada Adelia kalau dengar cerita Anissa dah kahwin senyap-senyap. Dia mesti fikir abang suami Anissa. Adelia mesti mengamuk nanti!”
“Ceraikan Kak Adelia dan kahwin dengan Anissa. Kak Adelia tak ada hak lagi untuk mengamuk, apatah lagi buka bicara tentang perihal kita!”
“Atas alasan?”
“Abang tak pernah cintakan dia. Cinta akan main peranan untuk setiap perhubungan. Tak mungkin Kak Adelia akan terima lelaki yang dah hilang cintanya pada isteri sendiri.”
“Tu bukan apa yang abang rasa. Adelia cinta pertama dan terakhir abang!”
“Habis Anissa ni siapa pada abang? Tempat pemuas nafsu lelaki abang? Antara dua. Maruah abang akan hancur dengan pengakuan Anissa nanti atau abang akan terus menipu isteri sendiri tentang kerja jijik abang ni. Sanggup nak hidup dalam penipuan? Mana lagi utama?”
Terpempan Hanafi dengan lontar kata Anissa.
“Macam mana kita boleh tersadung dalam lembah masalah ni, Anissa?” Hanafi mengeluh kecewa.
Soalan yang disambut dengan rasa sepi. Anissa membisu. Perlu ke dia bersuara lagi? Untuk apa? Semuanya sudah terlambat.
Tak dinafikan dia bukan seperti wanita sekampungnya. Yang terpelihara maruah diri. Dia nakal. Tapi tak terjerumus hingga ke tahap ini. Penangan ayat cinta Hanafi betul-betul mengikat akal warasnya selama ini.
Minggu berganti minggu. Anissa terus mendesak Hanafi. Manakala hidup lelaki itu bagaikan sudah tak tentu haluan. Adelia pula mula kesan perubahan si suami. Aneh! Wanita tu mula dihambat angin curiga bila Hanafi makin menjauh. Pulangnya ke rumah pun semakin jarang.
Belum dua bulan hidup bersama, perasaan dah diuji dengan rasa ragu-ragu. Inikah ujian rumah tangga yang acap kali dicanangkan oleh mulut orang? Hati menolak ‘sumpahan’ itu. Mungkin perasaan sendiri. Hanafi tak pernah berperangai sepelik ini. Walaupun sepanjang tempoh dalam status bertunang. Tapi hati yang mula tercalar dengan sikap menjauh Hanafi makin merasuk benak dengan pelbagai andaian lain. Antaranya, cerita Aifan dan Mak Yam.
“Abang tengah sorok sesuatu dari Adelia ke?”
Makan malam mereka terus hambar dari hari pertama mereka duduk serumah.
“Mungkin perasaan Adelia saja.”
“Adelia terbuka untuk saling berterus-terang kalau ada yang tak kena di mata abang. Adelia ada buat salah ke? Adelia min…”
Hanafi tiba-tiba bangun dan terus ke dapur mencuci tangan. Nasi yang masih berbaki ditinggal. Terpukul perasaan Adelia dengan tindakan itu. Entah berapa kali jiwanya terhiris dengan layanan Hanafi. Di tingkat atas, Hanafi meraut wajah dalam esakan bersalah.
“Abang minta maaf sayang. Abang minta maaf,” rintihnya sendiri sebelum cepat-cepat bawa diri ke bilik air bila sedar Adelia datang.
“Kalau Adelia ada buat perkara yang salah di mata abang sebagai seorang suami, Adelia minta maaf. Mungkin Adelia terlepas pandang. Abang tolong keluar? Kita bincang elok-elok.”
Rayuan lembut dan bergetar Adelia di pintu kamar mandi disambut dengan kuakkan oleh Hanafi. Dengan kepala yang sudah lencun dek air paip, tangan Adelia yang cuba meraih tubuhnya ditepis perlahan.
“Hujung minggu kita balik rumah mak.”
“Boleh.”
“Malam ni abang tidur hotel. Esok awal pagi ada mesyuarat penting. Bimbang jalan sesak, lambat pula sampai pejabat. Apa-apa telefon abang.”
Sekali lagi Hanafi mengelak untuk berlama-lama dengan Adelia. Pekat malam dilanda dengan fikiran yang sangat menekan. Adelia hilang kata sebaik kereta Audi Hanafi lesap dalam gelap malam. Kehidupannya kini umpama tak bersuami. Tidur malamnya kerap sendiri.
Air mata dikesat dan akhirnya dia terlena berbantalkan kesedihan yang makin berganda. Tika ini, tak ada wajah lain yang diingati. Hanya raut tenang dan suci arwah Pak Halim.
“Adelia rindu abah. Adelia nak bercerita isi hati Adelia pada abah…” Terkunci segala rasa lain. Hanya yang ada rasa sedih dan rindu yang teramat sangat!
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL SAAT GERIMIS MENGINTAI RASA (PENULIS: PUTERI AQISH)