Saat Gerimis Mengintai Rasa – Bab 3

KEPULANGAN Adelia dan Hanafi ke kampung bukan berdua. Kemunculan kedua ibu bapa Hanafi membentuk jalur hairan di wajah Mak Yam dan anak-anak. Debar di dada mula dipalu dengan rentak yang berbeza nada. Pelbagai sangkaan menerjah.

“Yam jangan marah ya? Kak Idah dan Abang Rauf datang tak berjemput macam ni.”

Puan Rafidah bersuara terlebih dulu. Hati si ibu makin dihamburi rasa getar. Hanafi yang kerap membisu hanya memandang karpet gebu di kaki.

“Tak ada sebab nak dimarah pun,” balas Mak Yam dengan mesra.

Manakala di dapur Adelia mula disentuh rasa bingung dengan apa yang jadi. Hanafi tak pula maklumkan tentang mentuanya ini. Tangan menggigil untuk tatang dulang air. Kaki bagaikan lemah sangat untuk melangkah. Dada berdebar takut. Takut untuk berdepan dengan mereka di ruang tamu. Padahal bukan orang lain. Keluarganya juga.

“Aifan temankan Kak Adelia. Jom.” Aifan bersuara sambil mengangkat pinggan berisi kuih-muih.

Aifan kerap ada di sisinya usai pemergian Pak Halim. Lelaki yang tampak lebih berusia darinya itu seakan memahami jiwa sunyinya semenjak pemergian si bapa.

“Mak, ada benda Hanafi nak cakap. Sebelum tu, mak perlu tahu yang Hanafi sangat hormat dan sayang mak satu keluarga. Termasuk adik-adik. Tapi… Hanafi tak sanggup tanggung rasa lagi. Mak…” Hanafi tiba-tiba melutut dan memegang kaki Mak Yam.

“Hadirnya Hanafi kat sini adalah untuk serahkan balik anak sulung mak, Adelia Marissa pada yang lebih layak untuk memilikinya.”

Deraian ungkapan yang mengejutkan seluruh keluarga Adelia. Gerak tangan Adelia yang sedang menyusun cawan terhenti. Berderau darah naik ke otak!

“Adelia Marissa, saya Hanafi Azidan melepaskan awak dengan talak satu.”

Luncuran ayat yang tenang dan ada sebak dari bibir Hanafi. Dunia Adelia terasa pegun! Telinga mentafsir makna lafaz yang diucap tadi. Talak? Hanafi bersuara dan melafazkan talak? Diri dipujuk untuk kembali ke dunia yang berputar. Dalam senyum yang cuba diukir, kepala mengangguk beberapa kali.

“Mak, Adelia keluar kejap dengan Hanafi. Mak berbual dengan umi dan abi dulu ya? Aifan, temankan Kak Adelia,” pintanya di hujung kata.

Kenapa dia memilih untuk selesaikan di luar? Kerana hanya mereka pernah jalani hidup berdua dalam sebuah rumah. Dan hanya mereka rasai bagaimana pusingan kehidupan mereka sepanjang tempoh itu, sebelum talak dijatuhkan tadi.

Dan saat talak itu jatuh, air mata Adelia gugur sepanjang melangkah ke pantai. Batu besar jadi pilihan untuk berbicara. Aifan hanya berjarak beberapa langkah dengan Adelia dan Hanafi. Ada renungan garang dihantar pada bekas abang iparnya.

“Adelia Marissa, saya Hanafi Azidan melepaskan awak dengan talak satu.” Jelas dan tepat bait ayat yang diungkap Hanafi tadi, diulang kembali oleh Adelia.

“Itu untuk kebaikan awak.”

“Lepas gantung perasaan saya selama ni, kemudian lafaz talak tanpa punca awak fikir saya akan terima tanpa melawan? Saya akan pergi jauh dengan kata putus tadi. Tapi saya tak akan terima tindakan awak tanpa alasan yang munasabah. Atas alasan apa hubungan kita perlu ditamatkan dengan cara terhormat macam ini, Hanafi Azidan?”

“Perasaan saya untuk awak makin pudar, Adelia. Bunga bahagia dan teruja yang pernah ada dulu rupanya hanya sementara. Layu…”

“Layu diracun oleh tangan orang lain? Atau awak sama-sama berganding tangan dengan tangan tu, bunuh bunga yang kita semai selama ni kerana nafsu sendiri. Tu jawapan lebih tepat. Kan?”

“Adelia…”

“Saya tak paksa awak untuk nikahi saya semula andai betul rasa tu dah lenyap. Hati dan jiwa awak berhak untuk memilih jalan kebahagiaan yang lebih baik. Cuma saya terkilan bila awak buat kerja kotor belakang saya, belakang keluarga saya, belakang keluarga awak sendiri, saat saya betul-betul perlukan awak di sisi. Tergamak seorang lelaki, seorang anak hancurkan kepercayaan orang tersayang semata-mata kerana nafsu.”

Hanafi tak membalas kata amarah Adelia yang sudah bersulam dengan tangisan pelbagai rasa. Wanita itu layak untuk menghinanya dek pembohongannya selama ini. Dia memandang kecewa air muka Adelia. Wajah yang sudah lencun dengan air mata itu buatkan hatinya betul-betul berada di jurang kesalahan yang paling tinggi. Pandangan dengan penuh harapan untuk diri dimaafkan dihantar.

“Sebab Anissa. Kan? Sebab Anissa awak buat saya macam ni. Betul?” Adelia tekan Hanafi untuk balas soalannya.

“Saya tak cin…”

“Sebab Anissa, awak buat keputusan tadi. Kan?” Adelia potong penafian yang cuba Hanafi katakan.

Dia cuma ingin dengar jawapan dari soalannya. Bukan penafian yang kononnya akan meletakkan lelaki itu di tempat yang langsung tak bersalah, waima kata talak tadi sudah keluar dari mulutnya. Anggukan Hanafi yang berat buatkan Adelia dihembus rasa yang puas dan kecewa.

Aifan yang dengar pengakuan Hanafi mula dihambat berang. Ranting kayu di kaki ditendang sekuat hati. Ikutkan hati, rasanya penumbuk di tangan sudah sampai ke wajah lelaki itu.

“Selamat berbahagia dengan keputusan awak. Saya minta awak halalkan segala makan minum saya selama kita sebumbung.”

Ombak pantai yang tiba-tiba berubah rentak seakan memahami gelora hatinya yang sedih dan pilu. Tak ada apa lagi perlu dibincangkan. Semuanya sudah terurai dan terlerai. Ruang itu ditinggalkan oleh Adelia.

“Saya rayu awak maafkan saya atas apa yang saya katakan tadi!” jerit Hanafi sebelum tubuh Adelia makin menjauh.

“Awak minta maaf pada tetamu yang bersusah payah hadir untuk hari bahagia kita tempoh hari! Awak minta maaf pada mereka yang sudi mendoakan kebahagiaan kita! Doa mereka terlalu berharga untuk orang macam kita. Tapi, sekarang awak yang pijak doa-doa tu dengan sikap tak berperikemanusiaan awak!” Adelia melepaskan perasaan sebenar tanpa simpan lagi.

Terhempas segala harapan Hanafi bila dimainkan bait jawapan yang sangat menusuk jiwa. Tajam dan menghiris! Semua patah perkataan itu ditelan dengan mata yang mula berkaca dan raut wajah penuh kesal!


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL SAAT GERIMIS MENGINTAI RASA (PENULIS: PUTERI AQISH)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *