0

Saat Gerimis Mengintai Rasa – Bab 4

TUAN WAHID tiba di teratak keluarga Anissa sebaik saja Mak Juriah khabarkan yang anaknya sudah seminggu bernikah di luar negara. Lelaki itu tak datang sendiri. Quds menemaninya. Quds, satu-satunya anak yang dia ada bersama Puan Syakilla dan pewaris tunggal harta dan empayar perniagaannya.

Quds sengaja ambil angin di beranda luar. Malas untuk menghadap drama anak-beranak itu. Dia yang sentiasa segak berkemeja dan rambut tersisir rapi hanya memasang telinga dari arah luar. Kepulan asap rokok hilang ditelan bayu kampung.

“Anissa terlanjur, bang long! Sebab tu terburu-buru menikah!”

Bait jawapan yang cukup untuk hamparkan kejadian sebenar tentang kenapa pernikahan ini boleh terjadi dalam keadaan tergesa-gesa dan tersorok.

“Astaghfirullahal’adzim!” Istighfar panjang Tuan Wahid. “Dengan siapa, Juriah?”

“Dengan… dengan Hanafi, menantu Yam. Tapi jantan tu dah ceraikan Adelia.”

Quds menghempas kasar puntung rokokke tanah. Hatinya dilanda ribut geram. Kalau Anissa itu adik kandungnya, sudah berbekas pipi tu ditamparnya. Hidup wanita itu tak pernah membanggakan keturunannya.

Wajah seseorang terbayang. Jam dilirik. Ketika ini dia tahu di mana lokasi empunya wajah yang terbayang di minda. Langkah dibuka besar menuju ke satu lokasi.

 

“KAU dengan laut macam pasangan kekasih kan? Tak boleh berpisah kalau ada masa terluang.” Ditegur seseorang yang sedang bertenggek di atas batu dari arah belakang.

Berpusing Aifan dibuatnya dengan teguran itu. Dan sekelip mata mereka berjabat tangan dan saling bertukar senyum gembira. Mereka sudah lama kenal dan selesa beraku kau saja, walaupun ada jarak antara umur masing-masing. Quds mengambil ruang di sebelahnya. Di atas batu besar yang setia menjadi tempat termenung untuk merenung kisah hidup keluarganya yang mula diuji.

“Pandai kau cari aku.”

“Mana lagi tempat kau nak mencurah rasa dari dalam dada tu Aifan, kalau bukan kat batu ni.” Aifan tergelak malu. Sejujurnya, bukan mencurah rasa. Lebih kepada mencari kekuatan melalui hamparan alam yang terlalu luas untuk dikeluhkan.

“Tiba-tiba muncul kat kampung aku. Pasal Anissa?”

“Aku simpati pada kau sekeluarga.” Soalan Aifan dibalas ringkas.

“Jadi kau dah tahu hal sebenar?”

“Anissa bukan orang lain. Sepupu aku.” Quds menunduk, seakan malu.

Suaranya jelas berisi dengan nada kecewa.

“Kau sepatutnya gembira, Quds. Dapat ahli keluarga baru. Bukan kecewa, sedih macam ni.”

“Gembira sebab sokong sepupu sendiri hancurkan kebahagiaan orang lain? Kau sindir aku ke Aifan? Gembira yang kau ungkap tu sepatutnya milik keluarga kau. Aku minta maaf bagi pihak keluarga aku dan Anissa.”

“Kau siapa nak minta maaf pada keluarga aku? Quds, keluarga kau tak bersalah dalam hal ni. Jangan buat aku dihurung rasa bersalah.” Aifan tiba-tiba tak selesa.

Quds, yang selama ini dihormati kerana hubungan persahabatan melalui kedua orang tua masing-masing, tiba-tiba letakkan diri serendah ini gara-gara kesilapan insan lain. Itu bukan apa yang Aifan sekeluarga harapkan, walaupun Quds dan Tuan Wahid saudara kepada Anissa dan Tuan Wahid juga kenalan rapat arwah Pak Halim.

“Tapi tak salah kalau aku nak minta maaf. Terpalit juga malu tu kat keluarga aku.”

“Lupakan, Quds. Semuanya dah jadi. Kalau betul kau rasa bersalah dan nak tebus rasa tu, jom ikut aku balik rumah.” Aifan tiba-tiba bersuara teruja.

Cuba tukar suasana kepada lebih positif. Walaupun hati masih dihambat bara dengan apa yang jadi. Ada baiknya ditamatkan perbualan itu dengan mengajak Quds ke rumah saja. Boleh berbual panjang dengan Mak Yam sekali. Orang tua itu mesti gembira melihat kedatangan Quds.

“Untuk apa?” “Perlu ada alasan ke kalau nak pergi rumah aku? Kau dengan mak aku bukan baru kenal, Quds. Jom!”

Quds tersengih malu dengan sindiran halus Aifan.

 

ADELIA yang duduk termenung di bilik sedar Aifan pulang dengan membawa tetamu. Kata Azhan, itu anak Pak Cik Wahid. Sepupu Anissa. Penghujungnya diri terus berkurung dalam bilik tanpa tunjukkan wajah. Telinga panas dengar nama insan yang berhubung kait dengan Anissa. Bukan benci. Jauh sekali cemburu. Tapi malu. Malu atas nama seorang wanita dek sikap ‘pemurah’ Anissa yang sudi serahkan mahkota teragung kepada lelaki yang belum sah dalam hidup.

“Macam tu la hari-hari Adelia selama ni. Quds jangan ambil hati ya.” Mak Yam berterus-terang pada Quds bila batang hidung Adelia langsung tak kelihatan.

Quds tak bertanya, tapi hati tua Mak Yam tak selesa. Nanti dianggap anaknya tak sudi merai tetamu pula.

“Tak perlu salahkan Adelia, Mak Yam. Kita tak tahu apa yang merobek hati dia. Biar la dia ambil ruang sendiri. Mungkin tu lebih buat jiwanya lagi selesa. Quds tak ambil hati pun.”

Terus-terang, dia langsung tidak terusik dengan tindakan Adelia. Tujuannya ke sini atas ajakan Aifan. Bukan niat untuk berjumpa Adelia. Lama teratak ini tak dijejak. Makin berubah moden, tapi masih kekal dengan konsep kampung yang terus merendah diri dalam kehidupan. Tenang dan selesa.

“Mak, Adelia ke jeti sekejap.”

Perbualan mereka dicelah oleh suara lemah Adelia sebelum tubuh itu hilang di luar rumah. Mak Yam hanya mampu membisu tanpa kata. Itulah rutin anak daranya. Hanya pantai menjadi tempat pilihan untuk kembali bersemangat selepas diketuk ujian perasaan.

Kaki melangkah perlahan ke jeti. Sepanjang melangkah jiwa dan fikiran betul-betul teringatkan wajah dan senyum arwah Pak Halim. Adelia rapuh setiap kali disapa dengan wajah itu. Mengalir juga air mata. Lalu kering disapa bayu laut. Dia rindu wajah itu. Rindu dengan lelaki itu!

“Adelia minta maaf, abah. Adelia gagal jaga restu yang abah serah dalam hubungan Adelia dan Hanafi. Adelia minta maaf…”

“Adelia.” Ada seseorang menegur.

Termati kesedihan yang menghimpit tadi. Berganti dengan rasa terkejut. Hampir terhambur jeritannya bila tatap wajah yang menegur.

“Hanafi!”

“Adelia, saya yang salah dalam hal ni. Saya yang gagal jaga restu yang kita dapat.”

“Tak guna awak letak diri sendiri pada tahap paling bersalah lagi saat ni. Hanafi, apa saja pengakuan awak pada saya, tak ada kebaikan langsung pada diri masing-masing!”

“Saya tak nak tengok awak terus bersedih, Adelia.”

“Tapi kesedihan ni juga yang awak hadiahkan pada saya! Lepas seluruh hati dan sayang saya tumpah pada awak. Lupa?” Adelia berjalan untuk beredar dari situ.

Situasi ini boleh mencipta fitnah bagi mereka. Tapi disekat oleh tubuh tinggi Hanafi.

“Awak tetap ada dalam hati saya, Adelia!”

“Sudah la! Saya benci dengar kata sayang, kata cinta daripada awak lagi. Anissa paling berhak untuk dapat kata ucap ni. Jangan dekati saya lagi. Awak suami Anissa. Jangan jadi manusia yang rambang mata dengan semua wanita. Saya jijik!” Kali ini tubuh lelaki tu dirempuh kasar bila langkahnya dihalang.

Hanafi terpaku dengan bahasa tekad Adelia. Lenyap lembut bicara wanita itu selama mereka mengenali.

“Saya sesekali tak akan izinkan hati saya ada dalam ruang jiwa seorang lelaki yang hidup dalam kemaksiatan! Maaf, Hanafi. Saya bukan hina awak. Tapi awak paksa saya untuk bercakap tentang kenyataan sebenar!” Tepat terkena batang hidung Hanafi.

Hanafi tertunduk malu dengan kata-kata Adelia. Ingin marah? Terhina dengan lontaran Adelia? Tapi rasanya terhina lagi cara dia memperlakukan Adelia dan keluarganya selama ini. Dia berani menyapa Adelia bila ternampak wanita itu sendirian di jeti. Baginya mungkin ini peluang untuk jernihkan kesalahan sendiri sambil cuba mengintai harapan yang lebih positif. Harapan untuk terus berbaik.

Tapi kenyataannya kini, dia terlalu jahat di mata Adelia. Dan mungkin sudah tak ada ruang untuk punyai kaitan dengan Adelia lagi, walaupun sebagai kenalan.


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL SAAT GERIMIS MENGINTAI RASA (PENULIS: PUTERI AQISH)

  • Share post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *