0

Saat Gerimis Mengintai Rasa – Bab 5

CINTA dan kasihnya pada Hanafi terlalu tulus. Dibaja, disiram, dibelai sebaik mungkin untuk kebahagiaan yang sama-sama diimpikan. Malangnya kesemua rasa yang dinikmati itu dihancurkan dengan sebuah kecurangan yang diukir oleh Hanafi sendiri.

Kesilapan? Layak lagikah perangai Hanafi itu ditafsirkan sebagai sebuah kesilapan? Lelaki itu bijak. Profesionnya sangat hebat! Nilai agama dalam kehidupan memang tebal. Umurnya cukup matang untuk fikir baik buruk bila bergaul dengan kenalan. Memang dalam hal ini, akal waras Adelia tak mampu terima apa yang Hanafi dan Anissa lakukan.

“Adelia.”

Pintu pejabatnya dikuakkan dari arah luar dan kelihatan wajah sahabat baiknya. Wajah itu milik Sakinah. Dalam sedih dan sebak yang tiba-tiba menyerang di dada, dia menerpa ke arah Sakinah dan menangis semahunya. Lama tubuh itu dipeluk.

“Hanafi bukan untuk kau.” Sakinah memujuk dengan kata semangat.

“Apa salah aku sampai aku kena buang dengan cara macam ni? Kalau aku tak cukup untuk gembira dan buatkan dia bahagia selama berkawan rapat, terus-terang saja. Bukan dengan bermain cinta kat belakang aku. Aku sedih, Kinah. Seluruh jiwa dan raga aku serah pada dia. Ruang hati ni, aku relakan untuk dia isi. Tapi ni balasan yang aku dapat,” adunya penuh sedih.

“Kau tak boleh menangis pasal benda yang langsung tak bawa kebaikan untuk kau. Dengar sini. Hanafi bukan untuk kau. ALLAH cuba tunjuk pada kau, lelaki yang kau sayang dan cinta sangat tu sebenarnya tak layak untuk berdamping dengan orang yang terlalu tulus perasaannya. Memang pedih, Adelia. Hati kau memang tengah terkoyak teruk. Aku faham apa kau rasa. Apatah lagi dengan kehilangan arwah abah kau dalam tempoh yang sama.” Sakinah cuba letak diri di tempat Adelia tika ini.

Satu demi satu ujian dan dugaan menghujani. Semuanya melibatkan perasaan dan emosi. Insan mana boleh berdiri tegak tanpa menunduk dengan juraian air mata kecewa dan sedih?

“Hanafi lelaki yang aku harapkan untuk ganti kasih sayang yang arwah abah aku tinggalkan. Tapi dia isi ruang tu dengan kecurangan. Dia tipu aku, Kinah!”

“Kau kena buang Hanafi dalam minda dan hidup kau sekarang ni. Dia bukan siapa-siapa lagi untuk kau meratap, meraung macam ni. Terbukti, dia gagal untuk buat kau rasa dihargai. Untuk apa kau nak kenang lagi kenangan dan perasaan kau pada dia selama ni? Buang masa!”

Sakinah mula hilang sabar dengan kelemahan yang membelenggu Adelia.

“Susah aku nak buang, Sakinah.” Akhirnya dia jujur. Sebelum ini, hanya bibir menidakkan perasaan yang masih bersisa.

“Jangan terus genggam rasa tu. Lepaskan. Selagi kau genggam dalam perasaan sedih ni, sampai bila-bila kau terikat dengan kenangan.”

“Aku tak boleh. Aku tak kuat lagi untuk…”

“Kau boleh! Jangan sebab sorang lelaki, kau jadi lemah. Hey, hidup ni terlalu rugi kalau kau pilih untuk bersedih. Sedangkan menggunung lagi nikmat lain terhampar keliling kau. Salah satu nikmat yang kau tak nampak saat ni, adalah kau akan terus ada dekat dengan mak kau lepas abah kau pergi. Adelia, ada baiknya kau fikir perasaan syurga utama kau dari perasaan sendiri yang dah dikhianati ni. Mak Yam masih perlukan kau. Sebab tu ALLAH ‘tarik’ Hanafi dalam hidup kau.”

Bagai dihembus dengan dingin udara yang menyegarkan minda dan fikiran, Adelia tersedar daripada alam kesedihan. Ya, mungkin ini apa yang ALLAH cuba tunjukkan padanya.

Dan apa yang jadi dalam perhubungannya dengan Hanafi hanyalah sebagai asbab.

 

QUDS mengintai tetamu yang bertandang dari balkoni atas. Tetamu itu adalah Hanafi. Lelaki itu sedang leka menatap skrin telefon bimbit sambil duduk tenang di sofa tetamu. Di luar sedar, Quds memerhati. Melihat riak wajah Hanafi, Quds dapat mengagak gambar siapa yang ditatap oleh Hanafi. Pasti gambar Adelia.

Panas hatinya! Sudah beristeri, masih memuja bunga lain. Bunga yang diracun demi nafsu. Dalam masa yang sama kedengaran suara Anissa di ruang dapur. Mesti dengan ibunya, Puan Syakilla.

“Boleh aku tanya?”

Usai beramah mesra dan makan tengah hari bersama, mereka berdua duduk di gazebo luar. Manakala Tuan Wahid sudah keluar atas urusan lain.

“Kau nak tanya apa?”

“Kenapa perlu tatap bunga yang kau dah patahkan tangkai perasaan dan semangat dia?”

“Apa maksud kau?” “Aku nampak kau renung gambar Adelia tadi,” duga Quds dengan nada serius. Raut wajah juga tak manis.

Hanafi tertunduk malu. Argh! Tertangkap. Ada keluh terbit dari bibir itu.

“Memang aku tak ada hak untuk sekat apa kau buat. Tapi sebaik kau nikahi Anissa, aku kena tegur. Apa yang tak cukup lagi, Hanafi? Sampai perlu tatap gambar perempuan lain?”

“Bertahun aku kenal Adelia, Quds. Kau ingat dengan petik jari, aku dapat lupakan dia? Tak semudah tu la.”

“Habis, masa kau buat ‘kerja’ dengan Anissa dulu, boleh pula kau lupa yang kau tu ada Adelia? Senang pula kau lupa.”

“Kau tak ada hak untuk petik benda tu!”

“Kenapa kau nak marah? Sebab aku terlalu lantang dan langsung tak jaga hati kau? Hati Anissa, siapa nak jaga pula? Jangan jadikan alasan kau kenal Adelia bertahun-tahun, jadi kau boleh tepikan perasaan Anissa. Dayus namanya!” Pedas kata-kata dilontar. Bila berbicara dengan lelaki seperti ini, tak ada lagi istilah berlapik dan berlembut dalam kamus hidupnya.

“Adelia pernah jadi isteri aku! Tak salah kalau aku terus simpan dia dalam minda.” Pendirian hati dihampar pada Quds.

“Dia pernah jadi isteri kau suatu ketika dulu! Sebelum kau jatuh talak untuk sebuah perpisahan!” Quds mencantas pendirian itu kembali.

“Yang kau kisahkan hal aku dan Adelia sangat kenapa? Kau dah jatuh suka pada dia ke?” soal Hanafi dalam geram yang mula berkubu di hati dengan keras bahasa Quds.

Quds tersentak dengan pertanyaan Hanafi. Dia jatuh suka pada Adelia? Tak mungkin. Lagi pun siapa Adelia untuk dia jatuh suka dengan tiba-tiba? Atas dasar apa? Simpati? Dia bukan lelaki hidung belang yang pantang melihat mana-mana wanita cantik yang sedang berendam air mata.

Nafas keluh dilepas berat. Mungkin dia terlebih emosi sampaikan Hanafi pasakkan soalan itu buatnya. Pandangan tajam terus tunak ke mata Hanafi yang masih bara dengan asakan dan pendapatnya. Masing-masing saling membalas jelingan tajam.

“Quds, tolong aku boleh?” Dalam tegang Hanafi bersuara mendatar.

“Apa?”

“Bahagiakan Adelia sebagai seorang isteri?”

Terpanar Quds. Mencerlung matanya memandang Hanafi sambil akal mentafsir maksud sebenar ayat itu.


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL SAAT GERIMIS MENGINTAI RASA (PENULIS: PUTERI AQISH)

  • Share post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *