Sandiwara – Bab 1

ASAP rokok aku sedut dalam-dalam. Membiarkan asap yang aku sedut tadi masuk ke dalam setiap rongga tubuh aku, merosakkan sistem paru-paru atau jantung? Ah, aku tidak peduli! Hati aku sendiri sudah rosak, bukan kerana rokok tapi kerana aku sendiri.

Orang kata hidup ini tentang pilihan. Ada dua cabang yang perlu dipilih, dan aku telah lama memilih jalan hidup aku. Aku biarkan diri aku berterusan hanyut dalam dunia ciptaan aku sendiri. Ya, itulah yang aku pilih, aku yang melorekkan perjalanan hidup aku sendiri. Dan aku bahagia begini.

Sekali lagi aku sedut asap itu bersama tarikan panjang, dalam cubaan menarik rasa tenang. Tenang? Berapa banyak penipuan yang aku mahu tebarkan untuk diri aku sendiri, aku juga tidak tahu. Gila apa dengan hisap rokok tenang akan datang. Di mana datangnya tenang jika aku memilih jalan yang bengkok!

Tubir mata mula bergenang. Alangkah indah jika aku mampu betulkan perjalanan hidup aku semudah tempelakan hati aku. Alangkah bahagia jika aku mampu menolak segala yang mendatang semudah aku menyedut asap rokok ini. Hakikatnya ia tak mudah.

Rokok yang masih berbaki aku tenyeh dalam ashtray. Rambut yang serabai kukirai dengan jari lalu kusanggul tinggi. Kaki kubawa melangkah ke balkoni. Melempar pandangan luas ke depan, menggamit kenangan pahit dalam diri. Apatah lagi bila duduk sendirian begini. Mulalah pelbagai hal masuk ke dalam fikiran.

Apakah kesudahan hidup aku nanti? Beginikah, kelam tanpa sinar atau akan datang ada cahaya yang menyuluh perjalanan hidup aku? Yang bakal menarik aku dari dasar lembah ini untuk kembali ke muara? Masih adakah ruang untuk aku kembali ke pangkal jalan? Dosa manusia bernama Nailah Farafisya masih bisa diampunkan ke?

Kepala menunduk ke bawah. Kegilaan apakah ini? Sejak bila aku membina impian menjadi wanita bahagia? Sejak bila aku mula fikirkan taubat? Atau aku sudah mula takut dengan bayangan maut?

Senyum sinis terbentuk di bibir. Siapa saja tidak takut mati? Aku juga takut mati. Hanya dengan menyebut perkataan mati, aku rasa kering darah dalam tubuh aku. Gementar sekujur tubuh aku yang masih bernyawa, namun aku tetap begini. Tetap berada dalam dunia yang aku cipta dan bergelumang dengan noda yang aku pilih.

“Fa!”

Teguran tiba-tiba membuat bahu aku terangkat. Terkejut disergah begitu. Lantas kepala menoleh ke sisi. Kelihatan Dinar sedang memandang aku dengan senyum lebar. Aku tarik senyum nipis seraya menggeleng kepala. Melihat senyum Dinar aku tahu dia bawa pulang sesuatu.

“Kau bawa apa pula kali ni?”

“Fifty Shades.”

Aku lihat Dinar sengih, tapi aku geleng kepala. Apa ke gilanya Dinar ni, sejak semalam maraton cerita 18SX. Bila aku suruh dia kahwin, tak nak pula. Katanya menyusahkan. Nanti hidup jadi macam arwah mak dia. Jadi hamba seks suami sendiri! Alasan tak menahan langsung. Seks merupakan perkara kedua terpenting dalam hidup selepas wang ringgit.

“Kau tak muak ke, Dinar? Dari semalam kau menggila. Sangap sangat ke?” Selarku. Dengan Dinar tak payah nak cakap ayat cover atau lembut. Serang dengan ayat terus terang lebih cepat sampai ke otak dia yang bengong tu.

“Amboi, mulut kau! Aku sumbat juga dengan tin air ni kan.”

Jelas nada Dinar marah, tapi ada aku kisah. Betul apa? Kalau tak sangap, gila apa menonton cerita 18SX tu sampai berkeping DVD. Apa yang Dinar cari? Kepuasan? Kepuasan apa yang dapat dicapai dengan melihat aksi erotik orang lain? Jujur, aku sendiri tak faham apa faedah menonton cerita begitu melainkan menyeksa diri sendiri.

“Betul apa? Kalau dah sangap kahwin la, beb. Aku tengok Adli tu kemain mengurat kau. Kau tak layan kenapa?”  Buai besi yang sengaja aku letakkan di balkoni menjadi tempat aku labuhkan punggung. Malas aku nak duduk di ruang tamu dengan Dinar.

Senyap! Mungkin Dinar dah selamat melayan cerita Fifty Shades dan aku menutup kelopak mata. Terasa panas kelopak mata bila hati disapa sendu. Ada rindu yang terpendam, namun aku tak pasti rindu itu untuk siapa. Huh! Kenapa hati jadi tisu pula hari ini?

Aku kembali membuka mata bila terasa buaian dihenyak sesuatu. Tak perlu lihat siapa, aku tahu orangnya Dinar. Namun setelah lama Dinar diam, aku menoleh. Wajah yang manis dengan senyuman tadi sudah bertukar muram. Pandangan Dinar juga jauh ke depan seperti ada sesuatu yang mengganggu dia.

“Kau ada masalah?”

“Bila masa hidup aku tak ada masalah, Fa.”

Tawa kecil Dinar kedengaran, namun aku tahu ia sangat hambar. Seperti hambarnya raut wajah Dinar ketika ini.

“Aku ada kalau kau nak kongsi.” Lebih baik begitu daripada mendesak. Menunggu dia bercerita dan aku tahu dia akan bercerita. Kerana kami hanya ada satu sama lain.

“Ayah aku cari aku.”

Kenyataan itu menarik aku menoleh kepada Dinar. Dalam debar aku menanti sambungan bicara Dinar. Dua tahun ayahnya menghilangkan diri selepas arwah maknya meninggal tiba-tiba, sekarang muncul kembali. Kalau raut wajah Dinar gembira, itu satu cerita yang lain. Raut wajah Dinar sekarang raut yang selalu dia nampak ketika arwah mak Dinar masih hidup. Janganlah Dinar beritahu si ayah tak guna itu datang kerana hal yang sama.

“Dia nak aku ikut dia ke Thailand.”

What?” Rasanya memang suara aku melengking kuat. Sebab aku dapat dengar gema suara aku sendiri. “Pergi Thailand? Buat apa kat sana?”

“Kau rasa?”

Nada pertanyaan Dinar sungguh buat aku rasa nak hantuk kepala ke dinding. Apa lagi tujuan ke sana kalau bukan untuk jual tubuh sendiri.

“Kau kahwin dengan Adli, semua ni akan selesai.”

“Kau ingat semudah itu ke, Fa?”

Pandangan Dinar menyentak aku. Ya, tak semudah itu. Hidup aku dan Dinar lebih kurang sama saja. Kalau aku masih tersangkut di lembah yang dalam itu, apatah lagi Dinar. Tetapi untuk membiarkan Dinar pergi mengikut ayahnya, tak mungkin!

“Kenapa takdir hidup kita begini, Fa? Sejak aku kenal dunia, aku lihat kekejaman dunia pada manusia miskin seperti aku. Aku diherdik, dicaci-maki, malah dipulau hanya kerana aku miskin. Kenapa perlu ada sikap mendiskriminasikan kasta begitu sekali? Aku tak minta dilahirkan miskin. Aku yakin mak aku juga tak mahukan kehidupan yang begitu. Jadi, salahkah kami miskin?”

Luahan Dinar sangat menyakitkan. Itu bezanya aku dengan Dinar. Dia miskin, aku kaya. Namun, hakikatnya aku juga miskin seperti Dinar. Miskin kasih sayang, agama dan adab. Bila datang kewarasan, aku mula perasan bahawasanya hidup aku kosong. Harta yang aku ada tak mampu mengembalikan apa yang telah aku hilang dulu. Segala-galanya hanya sia-sia.

“Malah aku lihat kekejaman seorang suami memperhambakan isterinya. Aku nampak setiap malam mak aku dilayan seperti…”

Tubuh Dinar aku tarik ke dalam dakapan. Kisah ini sudah banyak kali aku dengar dan setiap kali itulah, kesakitan yang sama aku rasakan. Setiap kali bercerita, sepasang mata Dinar menyalakan kebencian.

“Belum cukup dia tunggang mak aku dengan nafsu gila dia, dia ajak kawan-kawan dia. Aku nampak, Fa. Aku nampak semuanya, tapi aku tak mampu buat apa-apa. Mak aku cakap, lebih baik dia yang menjadi mangsa asalkan bapa aku tak sentuh aku. Lebih baik dia yang diperhambakan asalkan bukan aku. Mak aku suruh aku berdiam diri untuk selamat. Semuanya untuk aku, Fa.”

Belakang tubuh Dinar aku usap perlahan. Jika aku semakin tenggelam dalam dosa aku, Dinar semakin tenggelam dalam dosa orang tuanya. Bagaimana aku mahu menarik Dinar sekiranya aku juga terkapar-kapar mengharapkan pertolongan?


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4   BAB 5


BELI NOVEL SANDIWARA (PENULIS: ARSYA AISYA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *