PERLAHAN–LAHAN pintu bilik aku tutup. Lama aku berdiri kaku depan pintu bilik Dinar. Aku tak tahu apa yang perlu aku lakukan sekarang. Bagaimana mahu menolong Dinar? Dengan langkah yang longlai aku masuk bilik. Tubuh direbahkan atas tilam empuk. Mata kembali terpejam. Dahiku mengerut, telinga bergerak-gerak. Dengungan yang sedang memasuki telinga aku ketika ini bukan yang pertama kali dan aku sudah lali. Kenangan pahit itu sukar untuk aku luputkan, maka aku akur. Akur dengan permainan takdir hidup aku.
“Kau ingat aku nak berkawan sangat ke dengan perempuan tu? Kalau bukan sebab mak ayah dia sanggup bayar duit untuk aku jadi kawan dia, memang tak ingin aku. Dah la manja, lepas tu suka bercakap sorang-sorang.”
Terus mata yang terpejam dicelik kembali bersama air hangat yang membasahi pipi. Bibirku melorek senyum nipis. Itu harga kasih sayang orang tuaku. Sanggup membayar orang untuk menjadi kawan, walhal yang aku mahukan adalah kasih sayang mereka. Keprihatinan mereka.
Aku pernah mengadu pada papa tentang Salwa, namun maklum balas papa sangat mengecewakan. Pedihnya terasa sehingga kini.
“Pa, kenapa papa sanggup bayar Salwa kawan dengan Fa?” Aku nampak kerutan di dahi papa. Tanda papa terkejut dengan soalan aku.
“Mana Fa dengar cerita ni? Tak baik tuduh kawan macam tu. Tuduh papa juga.”
Hendak saja aku hamburkan tawa sekuat hati aku. Sangat lucu permainan papa. Apakah papa ingat aku ni budak perempuan hingusan yang senang ditipu? Dulu mungkin, tapi tidak sekarang! Dulu asalkan aku dapat apa yang aku mahukan, aku tidak kisah mommy atau papa ada di rumah atau tidak. Apa yang mereka hendak lakukan langsung aku tak kisah.
“Fa dengar sendiri. Dia mengaku pada kawan baik dia yang papa bayar dia untuk jadi kawan Fa. Kenapa, pa?” Nada aku makin lirih. Bosan sebenarnya dengan kehidupan aku yang dikawal sepenuhnya oleh papa. Aku tidak ada kawan bukan salah aku. Mommy dan papa yang terlalu prejudis dengan mereka yang nak berkawan dengan aku. Setiap kali aku bawa balik kawan, papa akan soal macam-macam sehingga esoknya mereka akan hindari aku. Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada aku.
“Papa sibuk. Kita bincang hal ni lain kali.”
Aku ketap bibir kuat. Papa mengemaskan kot di badan dan mommy muncul dengan menarik bagasi besar. Sekali lagi aku akan ditinggalkan sendirian di rumah besar ini!
“Apa yang bising ni, abang?”
“Awak tanya anak kesayangan awak tu la. Bising sebab kita bayar Salwa untuk berkawan dengan dia. Benda kecil pun nak bising. Bukan kita guna duit dia pun.”
Bebelan papa menyentap hati aku. Benda kecil papa cakap? Mungkin kecil bagi papa sebab bukan papa yang kena hadap semua itu. Di kolej semua orang memandang aku pelik. Semua orang yang cuba rapat dengan aku hanya mahu mengambil tempat Salwa. Pokoknya, yang datang hulurkan persahabatan tidak membawa keikhlasan bersama.
“Fa…” Sentuhan mommy tidak aku rasakan. Apakah hati aku yang hitam atau memang sentuhan mommy yang kosong tanpa kasih?
“Apa yang kami buat semua untuk kebaikan Fa.” Pujukan yang kedengaran seperti alasan di telinga aku.
Kali ini tubuh aku didakap mommy, masih juga seperti tadi. Aku tidak temui nikmat dipeluk ibu sendiri. Sekali lagi aku bertanya, apakah hati aku yang hitam untuk menilai atau sememangnya perbuatan mommy tidak ikhlas? Keluhan terlepas tanpa sengaja dan itu mengundang jelingan tajam mommy. Memang pantang bagi mommy kalau aku mengeluh ketika bercakap dengan dia. Sudahnya, aku ini patungkah? Mahu bersuara dihalang. Mahu mengeluh dihalang. Mujur saja aku mahu bernafas tidak dihalang.
“Apa yang tak cukup lagi, Fa? Kami berikan semua. Dalam bank, duit beribu untuk Fa guna. Kad kredit sentiasa penuh. Apa lagi yang tak cukup sampai mengeluh? Belajar bersyukur. Belajar berterima kasih pada orang tua.”
Teguran mommy aku sambut tawar. Patutnya pesanan itu mommy guna untuk diri sendiri. Rasanya mommy dan papa yang lupa bersyukur dan berterima kasih. Hendak saja aku hamburkan begitu, namun rasa hormat aku buat mereka masih ada. Lagi pula aku tahu, kalau aku katakan begitu, harus banyak lagi ungkitan yang akan disebut mommy dan papa. Ada ketika aku merasakan mereka tidak ikhlas menjaga aku. Jika mereka ikhlas mengapa perlu mengungkit?
“Jes, cepat. Kita dah lewat ni.”
“Coming. Sepanjang mommy tak ada jangan buat hal. Jangan ajak kawan datang rumah.”
Setelah pipi aku dicium, mommy berlalu. Aku masih diam membisu. Memandang pintu agam yang menenggelamkan tubuh mommy. ‘Jangan buat hal’. ‘Jangan ajak kawan datang rumah’. Aku ketawa kuat. Sungguhlah hidup aku sangat melucukan.
Aku ingatkan mommy mahu pesan, jaga diri. Tapi, kalau difikirkan balik bila masa mommy meninggalkan pesanan begitu padaku? Paling tidak, jaga rumah ni elok-elok. Mommy lebih risaukan harta bendanya daripada aku.
Dentingan jam menyentak lamunan aku. Terus aku bangun. Tangan meraup wajah. Jauh tenggelam dalam masa lalu. Jam di dinding kukerling, hampir 6.00 petang. Berendam dalam tab pasti menyegarkan.
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL SANDIWARA (PENULIS: ARSYA AISYA)