Sandiwara – Bab 3

KELUAR dari bilik air dengan hanya berjubah mandi, kaki kubawa

melangkah keluar bilik. Pintu bilik Dinar kuintai, masih lagi tertutup kemas. Kaki aku melangkah ke dapur. Pintu peti ais aku buka, satu tin Coke aku bawa keluar. Pintu balkoni aku buka dan labuhkan duduk di buaian.

Mata melihat langit yang semakin hilang sinar siang, menandakan malam bakal menjelma. Betapa sunyi hidup aku. Aku nak salahkan siapa? Aku yang pilih jalan ini.

Agaknya sampai bila aku, mommy dan papa akan begini? Sampai bila kami akan terasing dalam dunia masing-masing. Aku rindukan mommy dan papa walaupun antara kami tidak pernah ada kenangan manis. Bodoh kan aku? Mereka entah ingatkan aku ataupun tidak. Selalu aku pujuk hati yang terluka dengan berkata kepada diri. “Ingati mereka sebagai tanda hormat atas jasa mereka selama ini.” Cumanya aku tak tahu sejauh mana aku mampu bertahan dengan bujukan itu.

Lagu OST drama Romantic Teacher Kim berkumandang kuat. Dengan malas kaki kubawa ke ruang tamu. Melihat saja nama di skrin, bibirku menguntum senyum senget.

Yo, babe. Any new job for me?

“Kalau aku call kau haruslah ada job. Kau free tak malam minggu ni?”

“Rasanya free. Escort siapa kali ni?” Darwina kalau call memang bukan dengan tangan kosong. Pasti ada kerja untukku. Itu sebab aku suka Darwina jadi orang tengah, dia memang terbaik dalam bab ini.

“Kali ni bukan VIP, tapi taraf dia lebih kurang VIP.”

Kening aku dah berkerut. Apa ke berbelit ayat Darwina ni. Bukan VIP, tapi taraf VIP? “Kau nak buat lawak apa ni?”

“Aku cakap betullah. Dia lebih gah daripada VIP. Kau akan ternganga kalau dengar latar belakang dia.” Tawa Darwina memenuhi corong telefon.

Suka hati sungguh minah ni. Kalau dah begini reaksi Darwina, pasti subjek kali ini memang terbaik. Dan itu membuatkan rasa ingin tahuku mencanak naik.

“Majlis apa?”

Well, ikut syarat kau. Majlis VVIP untuk semua ahli perniagaan dalam Malaysia. Sebenarnya lelaki yang kau perlu escort ni taikun dalam perniagaan.”

Penjelasan ringkas Darwina membuatkan bola mata aku meluas. Taikun dalam dunia perniagaan? Wow! Ini kali pertama aku kena escort orang penting yang lebih penting daripada VIP bak kata Darwina. Tapi, apa jenis business yang dia buat sampai dipanggil taikun?

“Dia buat business apa?”

“Ini yang akan buat kau melopong, babe. Taste kau sangat.”

Ah, rasa teruja aku mencanak naik. Kalau taste aku maknanya ala-ala bad boy yang berkarisma, teruna, muda dan kacak.

“Kau jangan nak gatal sangat, Fa.”

“Kau dah cetuskan urat gatal aku dengan sebut taste aku. Kau nak aku bayangkan apa, babe?” Aku hamburkan tawa galak. Aku bangun dari kerusi, membawa langkah ke bilik. Bersembang sambil berbaring lebih enak.

“Huh, kau memang! Jangan pula nanti kau jumpa mamat ni terus hilang prinsip escort girl kau tu.” Tekan Darwina dan itu aku dapat dengar dengan jelas. Darwina, Darwina. Macamlah baru hari ini aku buat kerja ini.

Aku belum kelabu matalah. Dah berpuluh lelaki kacak yang umur sebaya aku sehingga yang tua tapi gagah, tidak pernah sekali pun aku terbabas. Yang selalu terbabas tu mereka. Merayu mahukan lebih. Uh! Untuk bab ini aku belum cukup bodoh untuk serahkan diri aku kepada mereka biarpun dijanjikan dengan berjuta janji manis. Lelaki, semua sama!

Sungguhlah hari ini jiwa aku sensitif!

“Ceritakan pada aku tentang dia.”

“Dia dipanggil taikun bukan sebab business dia besar. Tapi, sebab dia samseng dalam dunia korporat ni.”

“Maksud kau?”

“Dia tawarkan khidmat kepada peniaga yang memerlukan khidmat dia. Contohnya untuk dapatkan kontrak atau untuk uruskan musuh dalam dunia perniagaan. Atau dalam bahasa lebih mudah, dia yang tolong selesaikan segala masalah dalam dunia korporat dengan cara dia! So, kau tahu kan betapa bahayanya lelaki ini.”

Penjelasan Darwina kusambut dengan senyum lebar. “Itu sebab kau cakap taste aku.”

“Ya, dan aku risau kau akan digulai dia.”

Meledak tawa aku dengan perkataan digulai Darwina. Ingat aku ni ayam ke? “Hey, ini akulah, Wina. Fa, the one and only escort girl yang kau boleh sentuh, tapi berpada.” Bangga? Mestilah aku bangga. Sudah dua tahun aku jadi escort girl dan sampai sekarang aku masih mampu pelihara dara aku. Bukan tak ada yang merayu untuk berakhir di atas katil, tapi bagi aku mudah. Sekali terjebak, takkan mampu patah balik. Jadi, untuk apa aku menjebak diri aku ke dalam lohong yang jelas gelap. Cukuplah kebodohan yang telah aku lakukan. Selebihnya biarlah aku cerdik sikit.

“Kau jangan berlagak. Kau belum tengok dia lagi, Fa. Aku bet, bila kau tengok dia kau akan lupa segalanya.”

Bibir bawah aku gigit kuat. Bila Darwina beria bertaruh begini, aku cuak. Hebat sangatkah lelaki ini sampai Darwina yakin mampu cairkan hati aku?

“Kata-kata kau buat aku teruja nak jumpa dia.”

“Nanti pembantu dia akan jemput kau kat kondo. Alamat dan nombor telefon kau aku dah bagi pada pembantu dia. Dia juga akan hantar pilihan baju untuk kau pakai malam tu nanti.”

“Uh! Macam kerek je.” Aku memang jengkel layan sikap renyah begini.

“Kau tengok sendirilah nanti.”

“Hurm. Dia ada sekali ke nanti?”

“Aku dah check, dia memang ada.”

Senyum kembali lebar. Tidak kisahlah siapa dan apa jenis lelaki yang bakal aku escort nanti, yang penting dia ada. Lagipun apa yang aku lakukan sekarang untuk buktikan pada dia yang dia silap. Aku mampu berdiri tanpa dia. Aku mampu membentuk hidup aku tanpa bayangan dia.

Perbualan dengan Darwina telah lama tamat, namun akal aku masih ligat berfikir. Memikirkan dia. Bibir aku melakar senyum. Hanya dengan penjelasan Darwina, dia sudah mampu menembusi akal aku. Agaknya apa akan jadi bila aku bertemu dia nanti? Apakah seperti yang Darwina katakan, aku akan tewas pada dia?

Bangun dari katil aku melangkah ke depan cermin. Di sebalik jubah mandi ini terdapat susuk tubuh yang menjadi idaman lelaki berhidung belang. Ya, aku akui aku cantik. Tuala yang membaluti kepala kubuka, membiarkan rambutku lepas bebas. Kaki kuatur melangkah lebih dekat. Lama aku memandang biasan tubuh aku di cermin hingga datang satu bisikan.

‘Apa yang kau banggakan dengan tubuh kau ni? Kau mampu jadikan tubuh kau ni perisai daripada api neraka?’

Kaki aku terundur ke belakang. Kepala aku menoleh ke kiri dan kanan. Bisikan tadi terasa sangat nyata di cuping telinga. Detak jantungku semakin laju. Liur yang aku telan terasa berpasir. Punggung kulabuhkan di birai katil. Otak ligat berfikir dan aku sangat terkesan dengan bisikan tadi. Malas mahu terus memikirkan, aku naik ke atas katil. Selimut aku tarik menutupi seluruh tubuh. Mata kupejam rapat agar lena datang menjemput.

‘Inikah maksudnya Nailah?’

Bibir aku ketap kuat sehingga terasa pedih. Resah sendiri aku tolak selimut, turun dari katil kaki kuatur kembali ke ruang tamu. Terpaku di situ. Sangat sunyi! Akhirnya aku hanya mampu dengar keluhan yang keluar dari mulut aku.

‘Beginikah akhirnya?’

Mata aku pejam rapat. Kembali ke bilik tidur aku hempas tubuh atas katil.

‘Beginikah akhirnya?’

Tangan naik menekup telinga. Berharap segala bisikan itu tidak lagi menjamah telingaku. Seketika semuanya kembali normal .

‘Bawalah aku pergi.’


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4   BAB 5


BELI NOVEL SANDIWARA (PENULIS: ARSYA AISYA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *