HARI ini awal pagi aku keluar dari rumah semata-mata tidak mahu tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Bukan aku nak pergi kerja pun, aku cuma mahu berjoging di Taman Tasik Titiwangsa. Rata-rata komen, Taman Tasik Titiwangsa semakin cantik setelah dibuka kembali selepas pengubahsuaian taman tersebut. Namun begitulah, kawasan tu memang susah nak dapatkan parkir. Hendak pula aku ni dari Shah Alam. Gila jauh aku meredah pagi semata untuk joging.
Tempat itu menyimpan kenangan zaman kecil aku. Aku dibebel sepanjang hari hanya kerana merengek mahu ke taman ditemani mommy dan papa. Yang akhirnya aku dikata lembap dan ditinggalkan terkontang-kanting di situ. Mujurlah ada orang yang prihatin hantar aku ke post guard dan nasib juga aku memang hafal alamat rumah. Sejak kejadian itu aku memang tak minta dah mommy atau papa temani aku ke mana. Segala kemahuan aku pendam sendiri.
Kenapa aku semakin bodoh ni? Mengenang kenangan. Aku dah nak berubah menjadi perempuan yang penuh dengan emosi ke?
Pintu kereta aku tolak perlahan. Lama mata aku meneliti kawasan yang sudah banyak berubah. Makin cantik sudah semestinya.
Aku mulakan larian kecil sebelum meneruskan dengan larian pantas, tapi terhenti ketika melintasi kawasan permainan. Tempat di mana aku dimaki orang tua aku sendiri. Masih jelas dalam kepala setiap baris kata papa.
“Kau memang menyusahkan! Kau tahu berapa banyak aku rugi sebab ikutkan kemahuan kau hari ni!”
Spontan mata aku terpejam rapat. Liur aku telan perlahan. Terasa sangat perit anak tekak, namun hakikat sejarah yang aku perlu telan lebih memeritkan. Mommy dan papa sering kali menjatuhkan hukuman tanpa mengadili. Sama seperti kisah yang membawa aku pergi jauh dari mereka.
Huh! Apa lagi yang aku harapkan? Tanpa aku, mereka ada ‘anak’ lain. Anak yang lebih membanggakan mereka. Aku hanyalah anak yang menghabiskan harta yang mereka laburkan tanpa pulangan yang berbaloi. Sakit, namun itulah hakikat yang aku perlu hadapi apabila menjadi anak kepada pasangan korporat itu.
Bibir bawah kugigit kuat. Kelopak mata hangat, aku kerdipkan agar air mata tidak tumpah. Larian aku teruskan tanpa pedulikan suara-suara yang mula memenuhi ruang taman. Biasalah matahari sudah menampakkan wajah, hari ini pula hari Sabtu, memang ramailah ibu bapa yang bawa anak-anak ke sini.
Rasa sengal di bahagian kiri perut memaksa aku hentikan larian. Tanganku naik menekan bahagian tersebut. Kening sudah mengerut menahan sakit. Tidak pernah aku alami sakit begini. Nak kata sudah sampai waktu period, mustahil.
“Isy! Kenapa pula ni?” Aku bawa kaki melangkah perlahan ke kerusi. Nafas aku tarik dalam dan tahan sebelum aku lepas perlahan-lahan. Beberapa kali ulang perbuatan yang sama, dengan harapan rasa sakit itu akan berkurangan.
“Are you okay?”
Suara husky itu menarik aku mendongak. Lama sebelum aku menoleh ke kiri dan kanan, kemudian memandang kembali tampang lelaki yang sedang berdiri dengan nafas tercungap-cungap. Peluh berjejeran di dahi dan baju yang membaluti tubuh lelaki itu juga lencun dengan peluh. Ouch, so sexy! Komen yang hanya mampu aku luahkan dalam hati. Gila nak luahkan secara nyata, nanti lelaki ini tuduh aku perempuan gatal pula.
“Miss, are you okay?”
Sekali lagi suara itu berbunyi. Suara dah husky, orang pula kacak. Kulit tanned yang menambahkan lagi sisi macho lelaki ini. Agak-agak lelaki yang akan aku escort nanti kacak seperti ini ke?
“Well, you looked okay to me.”
Apa masalah aku ni? Terkelip-kelip mata aku memandang figura yang semakin menjauh. Serta-merta tangan naik menepuk dahi sendiri. Aku dah gila ke? Mamat kacak tu. Boleh aku biarkan dia pergi begitu sahaja?
Badan tersandar pada kerusi kayu tersebut. Are you okay? Dah lama aku tak dengar orang bertanyakan aku. Hampir tak pernah sebenarnya. Mommy dan papa tak pernah tanya aku okay atau tak. Aku sihat atau tak.
Kelopak mata aku tutup. Kenapa sejak akhir-akhir ini kenangan lama sering menyusup masuk ke dalam minda aku?
“Kat sini bukan tempat untuk tidur.”
Pantas aku buka mata. Melotot aku pandang dia yang sudah duduk di sisi aku. Lelaki tadi.
“Bukan you dah pergi ke?”
Aku nampak senyum nipis di bibirnya, namun sekejap cuma. Ketika dia menoleh, aku rasa dunia bagaikan terhenti. Pandangan itu…
“I terpanggil untuk duduk di sini. You look puzzled.”
Aku ketap bibir kuat. “I tak perlukan simpati you.” Tegas aku keras. Aku mahu bangun, tapi bicara dia menambahkan sakit hati aku.
“Tank top with tight pants and a puzzle look. What do you think, miss”
Melotot aku padanya. Sekarang dia nak cakap cara pemakaian aku ini yang buatkan dia berhenti dan duduk di sisi aku? Hello! Siapa dia nak condemn cara pemakaian aku?
“Ikut suka hati I nak pakai apa pun.” Aku mula berlari meninggalkan lelaki yang entah dari mana. Hilang segala tanggapan yang elok tadi.
Suara husky? Padam!
Muka kacak? Padam!
Prihatin? Padam!
Ah, aku mahu padam semua tentang lelaki itu dari kepala aku. Nampak sangat ke aku perlukan simpati orang? Aku, Fa boleh hidup dengan cara aku. Aku tak perlukan simpati orang!
Bersama hati yang panas, tubuhku bolos ke dalam perut kereta. Kunci aku pulas untuk hidupkan enjin. Aircond aku buka tahap maksima supaya cepat sejuk tubuh aku yang panas ni.
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL SANDIWARA (PENULIS: ARSYA AISYA)