ANAK MATA aku kecilkan, cuba mengecam susuk tubuh yang bergelut dengan seseorang. Dinar? Cepat aku tolak pintu kereta mendapatkan Dinar.
“Hei, apa hal ni?”
“Fa, tolong aku. Aku tak nak ikut jantan tak guna ni. Dia paksa aku, Fa.”
“Kau nak lepaskan dia atau aku telefon polis sekarang!” Aku bawa keluar telefon dari poket sweater. Acah-acah mahu telefon polis. Aku nampak lelaki-lelaki itu berpandangan sesama sendiri. Barangkali takut bila dengar aku sebut polis.
“Kau nak lepaskan tak?” Sergah aku. “Aku telefon ni.” Nombor talian kecemasan di skrin sedia untuk aku tekan dail saja.
“Baik! Kau terlepas kali ni. Kau kena ingat, bapak kau dah banyak hutang dengan aku. Sama ada nasib kau berakhir dengan aku atau kau perlu ikut dia ke Thailand.” Bergegas lelaki-lelaki itu berlalu.
Dinar terjelepok. Lekas-lekas aku paut tubuhnya bangun. Memimpin dia ke lif. Tak perlu bertanya aku dah faham cerita. Beginikah akhirnya kehidupan kami selaku orang perempuan? Apakah kami tidak punya hak untuk ada cita-cita? Untuk ada kehidupan dan kerjaya. Wujudnya kami hanya untuk jadi pemuas nafsu lelaki sajakah?
Masuk ke dalam lif aku pandang wajah Dinar yang lencun dengan air mata. Hilang sudah Dinar yang gila-gila. Yang selalu ceriakan hari-hari aku. Dinar yang selalu berceloteh tentang pelbagai perkara. Dengan Dinar aku merasakan hidup aku yang normal, tapi sekarang entahlah.
“Kau akan tolong aku, kan?”
Soalan tiba-tiba Dinar mematikan monolog aku. Aku memandang Dinar yang menunduk. Dengar suara dia saja aku sudah rasa sebak. Hati aku lirih. Apakah yang aku mahu jawab? Mampukah aku berikan janji? Yang paling penting mampukah aku tunaikan janji itu? Sedangkan aku sendiri berkali-kali menjadi manusia munafik pada diri sendiri.
“Kau akan tolong aku, kan Fa?”
Pertanyaan kali kedua Dinar buat aku telan liur. Nada mengharap dan pandangan Dinar betul-betul terdesak mahukan aku berjanji akan menolongnya. “Ya. Aku akan tolong kau. Kau jangan risau, ya.” Hanya kata pujukan itu yang mampu aku berikan. Aku akan pastikan yang aku tak menjadi kawan yang munafik. Cukuplah aku munafik pada diri aku sendiri.
Pintu kondo aku tolak, berikan sedikit ruang untuk Dinar masuk. “Kau nak ke mana tadi? Aku ajak joging kau tak nak ikut.”
“Aku…”
“Kau apa, Dinar?”
“Aku cari barang. Kepala aku serabut.”
Aduh! Aku faham barang yang dimaksudkan Dinar. “Kau bodoh ke apa? Sekarang dia orang tahu kau kat sini. Tak mustahil dia orang akan tunggu kau kat bawah.” Ikutkan hati aku nak hambur lagi kemarahan yang terbuku. Tapi, aku tahu itu bukan caranya. Cuma aku geram sekarang ni. Berapa kali aku pesan jangan keluar rumah buat sementara waktu. Sekarang mereka sudah tahu di mana Dinar tinggal. Aku bukan risaukan diri aku, tapi Dinar. Aku yakin lelaki-lelaki tadi takkan berputus asa mencari Dinar.
“Dah tu kau nak aku buat apa? Aku serabut. Ayah aku asyik telefon minta aku ikut dia. Aku tak nak! Kau tahu tak, aku tak nak!” Jeritan Dinar memenuhi ruang kondo.
Aku mengeluh. “Kalau dah serabut sangat solatlah!” Seketika kemudian aku gigit lidah sendiri. Orang seperti aku meminta orang lain solat, umpama aku menyimbah minyak gas dan bakar diri sendiri.
“Huh! Kau suruh aku solat? Kau dah berapa lama tak sentuh telekung? I bet you Fa, dalam rumah kau tak ada satu pun telekung. Cakap orang pandai. Cerminlah diri kau dulu.”
Ouch! Sangat pedih. Kaki aku atur ke bilik tinggalkan Dinar sendirian di ruang tamu. Malas aku nak bergaduh dengan Dinar. Tutup pintu bilik, aku sandar tubuh di belakang pintu. Melorot jatuh tubuhku. Bukannya aku tak terasa dengan kata-kata Dinar. Sentap sampai ke dalam hati. Apa yang Dinar katakan betul. Sudah berapa lama aku tak menyentuh telekung. Aku ketawa sinis kepada diri sendiri. Sendiri jalan bengkok mahu luruskan jalan orang lain?
Bangun berdiri kaki aku atur ke arah almari. Perlahan-lahan aku tarik laci dan bawa keluar sepasang telekung putih. Lama mata aku terpaku kepada telekung tersebut. Rasanya hanya beberapa kali aku guna telekung ni. Itu pun dulu, suatu masa di mana hati aku masih memilih putih. Namun, pilihan itu juga direnggut.
“Siapa suruh kau solat? Aku suruh kau belajar. Aku nak kau dapat anugerah dekan kali ini. Jadi macam Salwa tu, tak menyusahkan papa. Kenapalah aku ada anak yang lembap macam ni?”
Air mataku jatuh juga.
“Aku tak solat sebab tak ada siapa yang nak ajar aku, Dinar. Tak ada orang yang tegur aku. Aku sudah jauh terpesong. Kau gadis yang baik. Aku tak nak kau jadi seperti aku. Semakin dalam kau masuk lohong gelap semakin kau tak jumpa jalan keluar. Semakin sukar untuk kau…” Air mata semakin laju menuruni pipi.
“Kenapa mommy? Kenapa papa? Apa salah Fa?” Wajah aku sembam pada telekung putih yang basah dengan air mata. Segala kenangan lama menderu-deru masuk ke dalam minda. Membuatkan seluruh tubuhku terasa sangat lemah.
“Dasar bodoh!”
“Huh! Kau ingat aku nak kawan dengan kau? Kalau bukan sebab papa kau, tak ingin aku.”
Aku tekup telinga aku. Segala kata-kata yang berdengung di kepala menyakitkan. Terkadang manusia ini sangat lantang melontarkan kata-kata sehingga mereka tanpa sedar ia meninggalkan kesan yang dalam. Kerana kata-kata boleh jadi, sekeping jiwa hancur. Sekeping hati berdarah. Dan mungkin, mungkin juga kewarasan mereka tercabut dari paksinya.
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL SANDIWARA (PENULIS: ARSYA AISYA)