0

Sayang, Mengapa Tak Merindu… – Bab 1

MAMA ada orang pindahlah.” Kelam kabut saja Ajif beritahu Raihana. Budak lelaki yang bakal berusia enam tahun bulan depan, dari tadi menunggu di tepi pagar melihat orang melakukan kerja-kerja memindahkan barang. Suka benar dia kerana sudah sekian lama rumah sebelah tidak berpenghuni.

“Jangan sibuk hal orang boleh tak?” Raihana yang baru saja selesai melakukan kerja-kerja rumah sedang meluruskan pinggang. Wanita bertubuh langsing, berkulit cerah itu, hanya akan melakukan kerja-kerja mengemas rumah seminggu sekali memandangkan dia sibuk dengan tugasannya di sebuah butik tudung.

“Masuk!” arah Raihana. Tidak suka melihat perangai Ajif begitu. Suka sangat menyibuk hal orang. “Kecik-kecik dah pandai kepochi.” Raihana sambung membebel.

Ajif berlari anak menuju ke arah pintu.

“Mama, jomlah kita kenal dengan jiran baru tu.” Ajif tarik tangan Raihana.

“Ewah, ewah. Ramah pula awak ni.”

“Kalau mama tak nak kenal, biar Ajif aje yang kenal.”

“Jangan nak kepochi, awak tu lelaki. Budak lelaki lain mana ada perangai macam awak. Ramah tak bertempat.”

Bukan Raihana tidak tahu perangai Ajif. Kadang-kadang dia juga agak rimas dengan sikap Ajif yang terlebih ramah. Semua orang hendak ditegur. Tak kiralah kenal atau tidak. Budak-budak sebaya dia, tak pula perangai macam tu.

Ajif tidak peduli. Dia kembali semula ke tepi pagar dan menyambung melihat beberapa orang melakukan kerja memunggah barang.

 

“KAMARUL, kau ada jiran barulah.” Hanafi cuit bahu Tengku Kamarul sambil muncung mulut menghala ke arah pagar dawai yang memisahkan halaman rumah mereka.

“Comelnya…” Tengku Kamarul berdiri tegak dan pandang Ajif. Lelaki tinggi lampai, berkulit cerah, wajah agak serabut dengan jambang mula melambai ke arah Ajif. Ajif balas dengan melambai tangan juga.

Tengku Kamarul tersenyum, Ajif balas dengan senyuman yang mempamerkan giginya yang bersih dan tersusun cantik.

“Ajif! Masuk!” Raihana menjerit dari dalam rumah.

Terperanjat Tengku Kamarul dan Hanafi mendengar jeritan Raihana.

“Itulah salah satu sebab kenapa pintu hati aku tak terbuka langsung untuk perempuan. Menjerit tak tentu pasal. Macam la anak tu cari pasal dengan orang.”

Tengku Kamarul merungut sambil angkat kotak sebesar kotak TV 14 inci.

“Itukan sifat kaum perempuan. Nak tak nak, kenalah terima. Tambah lagi kalau sudah punya anak. Mestilah nak bertempik selalu.”

“Masalahnya, kau tengok budak tu. Dia berdiri tepi pagar aje pun. Bukan kacau kita pun. Yang nak menjerit macam Tarzan tu kenapa? Tak boleh panggil anak dengan cara yang lebih bersopan? Kalau esok-esok anak pun kuat menjerit, nak salahkan siapa kalua sendiri yang punya ajaran.” Tengku Kamarul masih tidak berpuas hati. Bengang saja dia rasa.

“Eh, kau tak ada anak, jangan bercakap macam kau ada anak sepuluh orang. Tunggu ada anak sendiri nanti, baru kau tahu senang atau susah nak jadi ibu bapa. Setakat bercakap secara teori, orang gila pun boleh beri pendapat!”

Tengku Kamarul diam. Dia malas bertekak. Cakap Hanafi mana boleh dilawan. Karang kena angina tak betul, menonong saja balik. Sedangkan Tengku Kamarul memang mengharapkan tenaga Hanafi untuk tolong angkat semua barang-barangnya.

Namun sempat juga Tengku Kamarul menjeling Ajif yang masih tercegat di situ. Perlahan dia atur langkah menghampiri pagar yang memisahkan rumah mereka.

“Hai, boleh berkenalan?” sapa Tengku Kamarul dengan ramah.

“Hai,” balas Ajif.

“Siapa nama adik ni?”

“Ajif.”

“Ajif aje? Nama penuh apa?”

“Muhamad Hazif Bin Khairuddin.”

Ambik kau.Dengan nama bapa sekali diasebut.

“Emm…Pandai.” Tengku Kamarul tersenyum cantik.

Nampak bijak budaknya. Nampak seperti sangat berkeyakinan juga. Pasti daripada didikan seorang ibu yang memiliki keyakinan yang tinggi.

“Umur berapa tahun?”

“Enam tahun.”

Tengku Kamarul angguk.

“Ajif, masuk!” Raihana panggil.

“Bye, mama suruh masuk.” Ajif lambai tangan dengan lemah.

“Okey, nanti kita berbual lagi.” Tengku Kamarul perhatikan saja langkah Ajif yang menghala ke pintu utama.

“Dah berkenalan ke?” tanya Hanafi.

“A’ah. Bakal peguam juga tu.” Tengku Kamarul mengekori Hanafi sambil tersenyum cantik.

“Hurm, sejak bila pula suka budak-budak?” Pelik Hanafi tengok Tengku Kamarul. Lelaki ala-ala sejuk beku boleh sukakan kanak-kanak? Kalau dulu memang tak suka.

“Baru kejap tadi. Budak tu comel betul.”

“Itu kalau tak mak dia yang comel, mesti ayah dia yang comel.”

“Tapi kalau ayah dia serupa kau, susahlah aku nak cakap.”

“Menghina nampak!” Hanafi sepak kaki Tengku Kamarul. Tengku Kamarul sambut dengan ketawa.

“Dah betul, takkan aku nak tipu pulak.”

“Pujilah aku sikit. Taklah aku rasa terhina sangat.”

Tengku Kamarul terus bawa barangnya tanpa pedulikan Hanafi.

 

AJIF masuk semula ke dalam rumah sambil masamkan muka.

“Cepat siap, kita pergi rumah nenek. Nenek dah siap masak.” Raihana sudah siap pakai tudung. Masa untuk ke rumah ibu bapanya.

Ajif peluk tubuh dan masamkan muka. Menyandar di dinding.

“Awak ingat buat muka macam tu awak cantic sangatlah?” usik Raihana.

“Ajif tak nak pergi rumah nenek.” Ajif protes.

“Habis awak nak pergi rumah nenek siapa pulak?”

“Ajif nak duduk rumah.”

“Nenek dah masak ayam goreng. Tunggu Ajif.”

“Mama tak boleh ke goreng ayam sendiri? Sikit-sikit suruh nenek masak.”

Raihana cekak pinggang.

“Amboi. Banyak bunyi pulak awak ni. Hari tu mama goreng, awak sendiri cakap ayam goreng mama tak sedap. Ayam goreng nenek juga yang sedap.

Sekarang cakap lain pulak. Dah cepat, karang mama merajuk.” Seperti biasa Raihana akan ugut Ajif setiap kali Ajif menolak ke rumah ibu bapa Raihana.

Raihana tahu, Ajif sebenarnya lebih takutkan rajuk Raihana daripada marah Raihana. Kalau Raihana merajuk, puas Ajif kena pujuk.

Ajif masih begitu. Namun wajah Ajif sedikit berubah. Perkataan merajuk memang sangat-sangat berkesan buat Ajif.

“Jomlah. Lepas makan kita baliklah.” Raihana pula memujuk Ajif.

Raihana juga sedar, kadang-kadang Ajif tidak suka ke rumah atuk dan neneknya kerana Ajif lebih selesa di rumah sendiri. Kalau di rumah ibu bapa Raihana, Ajif bakal menjadi bahan usikan adik beradik Raihana yang lain. Hanya dia cucu tunggal sekarang ini.

“Mama janji?”

“Ya, mama janji. Lepas kita makan kita baliklah.”

Raihana peluk erat Ajif. Pelukan adalah bahasa kasih sayang yang sukar ditafsirkan maknanya.

Ajif cium pipi kiri Raihana.

Hurm. Memang lepas makan kena betul-betul bawa Ajif balik. Kalau tidak Ajif takkan percaya Raihana nanti.

Raihana dan Ajif keluar rumah. Ketika itu kerja- kerja pemindahan di rumah sebelah sedang giat berjalan.

 

DI RUMAH sebelah, Tengku Kamarul panjangkan leher melihat kereta kuning yang baru saja meninggalkan halaman rumah sebelah. Tidak Nampak pemandunya.

“Aku peliklah. Kenapa kau beli rumah ni sedangkan kau mampu membeli rumah yang lebih mewah. Sepuluh buah rumah jenis ni pun kau mampu beli.”

Hanafi teguk minuman dalam tin sambal perhatikan rumah teres satu tingkat kos sederhana yang dibeli oleh sahabatnya. Sedangkan Hanafi memang tahu Tengku Kamarul itu daripada golongan orang ada-ada. Mampu memiliki rumah mewah harga berjuta.

“Kan aku nak hidup seperti orang biasa-biasa saja. Dah puas hidup jadi orang ada-ada.”

“Peliklah kau ni. Kalau orang lain berbangga dengan kehidupan mewah. Ini kau pilih untuk jadi orang biasa-biasa saja.”

Tengku Kamarul juga teguk minuman dalam tin.

“Tak faham betullah. Kalau kau rasa dengan hidup cara begini boleh bahagia, kau dah jumpa ke bahagia yang kau cari tu?”

Satu keluhan terlontar dari mulut Tengku Kamarul.

“Hampir sepuluh tahun merantau, hidup macam orang terbuang, kau rasa kau bahagia?”

Kalau jawapan yang Hanafi mahukan, pasti saja jawapannya tetap tidak. Tengku Kamarul langsung tidak temui bahagia mahupun ketenangan yang dia cari selama ini. Jiwanya tetap kosong dan perasaannya tetap mati.

“Aku rasa aku takkan jumpa, tapi aku tetap akan berusaha.”

“Satu saja caranya untuk kau temui bahagia tu.”

Tengku Kamarul pandang wajah sahabat baiknya.

“Kenapa selepas hampir sepuluh tahun baru kau nak beritahu aku caranya?”

“Senang saja. Kau kena buka pintu hati kau untuk menerima gadis lain. Itu saja caranya.”

Tengku Kamarul geleng.

“Pintu hati aku takkan terbuka lagi untuk mana-mana perempuan. Tertutup terus.” Tengku Kamarul bangkit. Dia mahu menyambung kerja mengemas.

“Itulah masalah kau. Aku cakap kau tak percaya.

Kau kena jatuh cinta semula. Bila kau dah jatuh cinta barulah kau akan jumpa bahagia.”

“Masalahnya aku dah tak ada perasaan terhadap perempuan. Perasaan aku dah mati.”

Jawapan bernada sedikit keras buat Hanafi sedikit gerun. Tak guna dia memberi kata-kata nasihat lagi kalau memang betul perasaan Tengku Kamarul sudah mati. Untuk sekian kalinya, Hanafi mengalah lagi.

“Kalau pintu hati aku boleh terbuka semula, bagi aku itu adalah keajaiban yang tak terduga. Kau doa-doalah sama semoga ada seorang wanita yang hebat yang mampu menghidupkan semula perasaan aku.”

“Ya, aku sentiasa berdoa semoga satu hari nanti ada seorang gadis yang akan menghidupkan semula perasaan kau dan kau akan jatuh cinta lagi. Aamiin…”

“Huh, kau cakap aku. Yang kau pun tak kahwin-kahwin sampai sekarang apa kes? Teman wanita asyik bertukar.”

“Jodoh selalu salah alamat.”

“Yalah tu…”

Tengku Kamarul menggeleng. Entah bilalah sahabat baiknya itu mahu berubah. Usia semakin meningkat namun tiada tanda mahu berubah langsung.


PROLOG  BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL SAYANG, MENGAPA TAK MERINDU… (PENULIS: NUEEN)

  • Share post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *