HARI kedua di kediaman baru. Mahu sambung cuti lagi. Penat mengemas belum hilang. Entah kenapa pagi ni tergerak pula hati berdiri di tepi pagar. Dari tadi dia berdiri di situ. Mahu menghirup udara pagi.
Kedengaran rumah sebelah seperti kecoh saja. Tengku Kamarul tertanya juga, ramai sangat ke anak sampai riuh rendah begitu sekali.
Si ibu dari mula lagi bercakap. Si ayah tidak pula kedengaran suaranya. Atau si ayah ambil langkah tutup mulut untuk tidak panjangkan cerita?
“Janganlah aku dapat isteri macam ni. Mahu lingkup nanti.” Tengku Kamarul berbicara sendiri sambil menggeleng. Boleh sakit jiwa kalau dapat isteri tak menang mulut ni.
Tapi kenapa ibunya tidak seperti ibu jiran sebelah? Ibunya tak pernah marah-marah. Tak pernah menengking dan yang pastinya ibunya jarang ada di rumah. Sibuk dengan urusan sendiri sehingga Tengku Kamarul merasakan dia sudah diabaikan.
Setiap kata ibunya adalah perintah dan tidak boleh sama sekali dibantah
“Mama tak nak dengar atuk mengadu macam-macam. Mama pening kepala nanti. Buat apa yang mama suruh. Kalau atuk ada cerita yang tak baik, mama tak teragak nak rotan Ajif. Makin besar mesti makin cerdik, bukan makin tak pandai. Mama hantar Ajif pergi sekolah sebab nak Ajif jadi orang pandai, bukan jadi orang tak cerdik. Jangan degil.”
Tengku Kamarul dengarkan saja bebelan Raihana. Wahai Cik Puan sebelah rumah, hantar anak pergi sekolah tak semestinya semua pandai, semua cerdik. Awak dapat anak yang baik, yang taat dah cukup beruntung.
“Makan apa yang nenek masak. Jangan mintakgorenglah, ayam goleklah. Pening mama nanti.”
“Mama ni asyik pening, pening, pening.” Si anak menjawab. Tersenyum Tengku Kamarul jadinya. Bakal jadi seorang peguam tu.
“Memang mama pening dengan perangai Ajif sekarang ni. Suka ikut cakap Ajif aje. Belum besar dah pandai menjawab cakap mama. Masuk cepat.” Makin lantang suara Raihana.
Tengku Kamarul menjeling. Alahai, anak seorang saja pun. Ingatkan tadi tiga empat orang. Ketika itu Ajif juga pandang ke arah Tengku Kamarul. Kesiannya dia. Anak secomel itu terpaksa mendengar bebelan ibu setiap hari. Tengok muka pun macam tertekan saja.
“Assalamualaikum.”Ajif beri salam sambal tersenyum.
“Waalaikumussalam.” Cepat saja Tengku Kamarul jawab. Walau si comel nampak tertekan, namun tetap pamerkan senyuman manis. Lelaki haruslah begitu kan Ajif. Tak terganggu dengan tekanan.
“Woit, apa lagi tu assalamualaikum, assalamualaikum. Masuk cepat.” Secepat itu juga Raihana memintas.
Terkejut Tengku Kamarul. Sombong betul. Si anak berbudi bahasa tinggi, si ibu pula main menengking. Teringin benar Tengku Kamarul melihat wajah wanita garang yang dari tadi tak sudah bercakap.
“Ajif pergi dulu…” Ajif bersuara perlahan.
“Nanti kita jumpa lagi.” Tengku Kamarul berusaha untuk tersenyum.
Tengku Kamarul berdiri di tepi pagar. Perhatikan sahaja kereta Raihana yang membawa Ajif Bersama bergerak perlahan.
Tiba-tiba Tengku Kamarul rasa hidupnya kembali sepi. Tadi riuh juga kini terasa kosong. Betul juga kata sesetengah orang. Bebelan seorang ibu itu juga satu bentuk hiburan secara tidak langsung.
“SIAPA lelaki tu?” Raihana menyoal. Mata menjeling Ajif.
“Kawan Ajif.”
“Yalah kawan, tapi siapa dia?”
“Ajif belum berkenalan.”
“Habis tu dah siap bagi salam apa kes?”
“Tak boleh ke Ajif bagi salam, mama?”
“Bukan tak boleh. Dah berapa kali mama pesan. Jangan berkawan dengan orang yang kita tak kenal. Buatnya lelaki tu orang jahat macam mana? Masuk rumah kita dan rompak rumah kita ke. Tak pun dia tu penculik kanak-kanak.”
“Mama, uncle tu baiklah.”
“Eh, perompak tak cakap pun dia perompak. Mama tak nak Ajif tunjuk ramah sangat dengan lelaki tu. Kita tak tahu siapa dia. Mama tengok muka dia pun mama takut. Serabut muka dia macam perompak.”
“Tak baik mama cakap macam tu.”
“Ewah, pandai pulak tegur mama.”
Ajif peluk tubuh. Raihana tahu Ajif sedang tunjuk perasaan.
“Tak payah nak tunjuk ramah tak bertempat.”
Payah juga kalau dapat anak yang terlebih peramah. Semua orang hendak disapanya.
“Mama, ustazah cakap kita tak boleh buruk sangka dengan orang. Tak baik. Kita kena selalu bersangka baik sesama kita. Kita kena saling menghormati antara satu sama lain. Kita kena saling berkasih sayang. Tak boleh benci orang lain.”
Ah! Tak pasal-pasal Raihana kena ceramah pula pagi-pagi ni. Sudahlah masalah di tempat kerja memang berlambak. Kena dengar pula ceramah Ajif. Tapi itulah pendidikan yang bagus. Jiwa kanak-kanak masih lembut. Senang dibentuk. Sekurang-kurangnya Raihana tidak bimbang akan perkembangan Ajif.
Sebaik sahaja sampai di rumah ayahnya, Haji Razak sudah sedia menunggu untuk menghantar Ajif ke taska yang terletak di belakang rumah mereka.
Raihana cium terlebih dahulu tangan Haji Razak.
“Pagi ni kenapa pulak?” soal Haji Razak.
“Baru bagi ceramah kat along. Kena berbaik sangka selalu. Tak boleh buruk sangka.”
“Padan muka along,” balas Haji Razak sambil tersenyum. Setiap hari ada saja cerita yang membawa keceriaan kepada mereka.
“Ayah jangan cakap apa-apa. Karang dengan ayah sekali kena ceramah,” pesan Raihana.
“Atuk baik, kan sayang.” Haji Razak usap kepala Ajif dengan rasa kasih. Tempat dia menumpang sayang seorang cucu. Dalam meniti usia begini, Haji Razak benar-benar rasa kehidupannya sudah lengkap walau tidak seorang pun anaknya yang berumah tangga. Dia tetap bersyukur kerana apa yang dia miliki sekarang ini sudah lebih daripada mencukupi.
“Ya, atuk baik…” Ajif peluk kaki Haji Razak.
“Mama pergi kerja dulu. Ingat pesan mama. Jangan macam-macam.” Raihana hulur tangannya. Ajif sambut dengan cium.
“Mana ada Ajif macam-macam, kan? Ajif cucu atuk yang baik.”
“Ayah jangan manjakan sangat. Kalau nakal, rotan aje. Anak boleh aje ayah rotan, kenapa cucu tak boleh?”
“Anak lain, cucu lain.”
“Tu pasal cucu naik kepala.” Raihana masuk ke dalam kereta dan dia mula memandu.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL SAYANG, MENGAPA TAK MERINDU… (PENULIS: NUEEN)