Sayang, Mengapa Tak Merindu… – Bab 3

TENGKU KAMARUL selak langsir sebaik sahaja mendengar bunyi enjin kereta. Jiran sebelah sudah pulang. Entah kenapa begitu bersemangat dia menunggu jiran sebelah.

“Siram semua pokok bunga mama,” arah Raihana sebaik sahaja keluar dari kereta.

“Baik.”

“Jangan nak curi tulang.”

“Baik.”

Garangnya si mama. Mak tiri ke tu?

Tengku Kamarul buka pintu dan berjalan keluar. Mahu menyapa si comel. Seronok pula melayan keramahan Ajif. Terhibur juga rawan di hati.

“Assalamualaikum…” Tengku Kamarul beri salam dengan mesra. Mata terpandang-pandang arah rumah. Takut kena sergah dengan mama orang tu.

“Waalaikumussalam.”

“Siram pokok ya?”

“Ha’ah. Siram pokok. Mama yang suruh. Setiap hari Ajif kena siram pokok. Kalau tak siram nanti pokok bunga mama mati. Kalau pokok bunga mama mati, mama pening kepala nanti.”

Tengku Kamarul tersenyum. Satu soalan dia tanya, dijawabnya berderet. Polos saja jawapan. Mungkin itulah salah satu penyebab kenapa Tengku Kamarul ternanti-nanti untuk berbual dengan si comel.

“Hari ni seronok tak kat sekolah?” Tengku Kamarul panjangkan lagi soalannya. Sebenarnya dia sendiri tidak tahu hendak berbual apa dengan kanak-kanak. Belum pernah dia berkawan dengan kanak-kanak sebab itu dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak memanjangkan bicara. Jadi, tanya sajalah soalan yang tidak-tidak.

“Tak seronok.” Jawapan polos juga.

“Kenapa tak seronok?”

“Budak perempuan suka tarik baju Ajif.”

Hurm, dah awak tu muka pun segak. Masa kecik budak perempuan tarik baju awak. Dah besar esok orang perempuan tarik hati awak. Awak kena jaga-jaga sikit.

“Oh ya ke? Tak beritahu cikgu ke?”

“Dah, cikgu dah marah pun.”

Tengku Kamarul lihat wajah Ajif yang bertukar muram. Memang, perempuan akan buat lelaki jadi muram, Ajif. Jadi, bersedialah untuk berhadapan dengan segala kemungkinan.

“Dah bagitau mama?”

“Dah, tapi mama tak percaya. Mama cakap Ajif yang nakal suka usik budak perempuan. Mama cakap mana ada budak perempuan suka usik budak lelaki. Budak perempuan malu. Budak lelaki aje tak tahu malu. Mama tak fahamlah masalah Ajif.”

Tengku Kamarul tersenyum lagi. Budak perempuan tahun bila tu Cik Puan? Berat kes Ajif ni. Budak perempuan zaman sekarang mana sama dengan budak perempuan zaman dulu. Budak perempuan zaman sekarang terlebih aktif. Terlajak pandai. Dan kurang rasa malu.

“Kalau macam tu cakaplah dengan papa.”

Ajif geleng.

Takut dengan papa rupanya. Mesti si papa lagi garang.

“Ajif tak ada papa.”

Terdiam Tengku Kamarul seketika.

“Papa Ajif dah pergi atas.” Ajif tunjuk atas langit.

Ya, Tengku Kamarul faham sekarang ini. Anak yatim rupanya. Padan si mama garangnya semacam. Dialah mama dialah papa. Kenapalah Tengku Kamarul tak terfikir jiran sebelah itu seorang ibu tunggal.

Takdir TUHAN sudah berkata begitu. Mungkin dia sudah biasa dengan ketiadaan ayah di sisi, jadi Ajif nampak biasa saja.

“Maaf, uncle tak tahu.”

“Takpe. Ajif okey je.”

Sebak pula Tengku Kamarul mendengarnya. Apalah budak sekecil ini tahu akan sebuah kehilangan. Kehilangan itu sangat menyakitkan. Perlukan waktu yang cukup lama untuk sembuh. Ya, Tengku Kamarul sendiri sudah merasai sebuah kehilangan. Sehingga sekarang belum ada penawarnya.

Dua kali dia merasai kehilangan. Pertama ayahnya. Ketika usianya berganjak 21 tahun. Tapi dia tak rasa apa-apa. Biasa saja. Mungkin kerana dia juga tidak begitu mesra dengan ayahnya namun kehilangan buat kali kedua terus menjadikan Tengku Kamarul seorang yang murung dan berputus asa.

“Ayah unclepun dah lama naik atas.”

“Ya?”

Kekasih unclejuga sudah naik ke atas. Sebab itulah unclepun rasa seperti mati saja.

“Ya.”

Uncle jangan sedih-sedih tau. Mama cakap, semua orang akan mati.”

Tersenyum Tengku Kamarul. Memang bijak budak seorang ini. Mampu menyenangkan orang lain seusia begini. Pasti ibunya juga seorang yang sangat bijak sehingga mampu mendidik anak sebaik ini.

“Ajif, siram pokok bunga ke bersembang?” Suara Raihana menegur.

Takkan nak berbual pun tak boleh, cik puan. Bukan kita nak bawa lari anak awak pun, bisik hati kecil Tengku Kamarul. Takut sangat kita apa-apakan anak dia.

“Siram pokok bunga.” Tenang Ajif menjawab.

“Cepat sikit. Dah petang ni.”

“Baik.”

Tengku Kamarul tersenyum sendiri. Nampak benar si mama mengawal ketat si anak. Sehingga nak berbual sekejap pun tak boleh.

Laju Ajif siram bunga.

“Ajif masuk dulu uncle.”

Bersopannya dia.

“Ya, baik.”

“Nanti kita sembang lagi, boleh?”

“Boleh apa salahnya.”

Ajif masuk ke dalam rumah. Sepi bertandang semula. Perlahan Tengku Kamarul atur langkah masuk ke dalam rumah.

Kosong.

Benar-benar kosong.


PROLOG  BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL SAYANG, MENGAPA TAK MERINDU… (PENULIS: NUEEN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *