Sayang, Mengapa Tak Merindu… – Bab 4

MASIH kecoh di rumah sebelah. Sama seperti pagi sebelumnya. Tengku Kamarul dengarkan saja. Bebelan yang diulang setiap pagi. Tetap sama. Makin terhibur dia mendengarnya. Sekejap saja suara bising-bising hilang. Bermakna jiran sebelah sudah pergi.

Sunyi semula hidup Tengku Kamarul.

Tengku Kamarul kemaskan butang di bahagian tangan. Sudah lama dia tidak berpakaian seperti itu. Mujur dia masih ingat cara hendak berpakaian ketika ke tempat kerja.

Selesai bersiap dia terus keluar dari rumah. Hari ini dia bakal menyambung tugasannya yang lama benar ditinggalkan. Cukup sudah dia berehat panjang. Masa untuk dia mulakan kehidupan barunya.

Tengku Kamarul sudah berpesan. Dia tidak mahu sebarang sambutan. Kalau ada, dia terus balik. Memandangkan Tengku Kamarul jenis serius dan tegas orangnya maka tiada sebarang sambutan diadakan.

Hanya ucapan selamat kembali sahaja yang kedengaran. Selepas itu masing-masing menyambung tugas masing-masing. Bertanya khabar Tengku Kamarul pun tidak. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

“Selamat kembali,” ucap Hanafi sebaik sahaja Tengku Kamarul duduk di tempat duduknya.

“Terima kasih.”

“Peguam hebat dah kembali.”

Senyuman nipis terukir di bibir Tengku Kamarul. Dia menyandar sambil pandang wajah Hanafi.

“Aku dah balik. Jadi, aku rasa kau dah boleh fokus kepada kehidupan kau.”

“Maksud kau?” Hanafi tak faham. Tengku Kamarul hendak pecat Hanafikah?

“Aku tak nak menjadi penyebab kau tak kahwin-kahwin sampai sekarang. Aku balik ni pun sebab mak kau suruh aku balik. Katanya dah tak tahan dengan perangai kau yang selalu sangat tukar baju.” Akhirnya Tengku Kamarul berterus terang.

“Kau tak cakap pun mak aku suruh kau balik.”

“Aku jumpa mak kau di Zurich hari tu. Dia merayu suruh aku balik. Dia cakap kau terlalu sibuk dengan kerja sehingga tak ada masa nak berumah tangga. Sebenarnya aku nak menjawab, tapi bila mak kau asyik salahkan aku, aku diam ajelah.”

Giliran Hanafi pula menyandar di kerusi berhadapan meja Tengku Kamarul.

“Aku nak beritahu mak kau yang kau bukan sibuk sangat pasal kerja tapi terlalu memilih. Entah perempuan macam mana baru layak jadi isteri kau, aku pun tak tahu.” Tengku Kamarul mula buka fail di hadapannya. Membaca satu persatu.

“Aku minta maaflah bagi pihak mak aku kalau mak aku sudah membuatkan fikiran kau berubah. Sekurang-kurangnya ada juga kebaikan untuk kau walau belum tentu baik untuk aku.”

Hanafi mula mengeluh.

“Nampaknya selepas ini tak adalah alasan untuk kau berfoya-foya lagi. Padan muka kau.” Tengku Kamarul ketawa sinis.

“Habislah aku. Kau pun satu. Tunggulah dua tahun lagi.”

“Dua tahun lagi kita dah empat puluh tahun. Sebelum terlambat buatlah sesuatu.”

“Habis kau?”

“Aku macam nilah. Tak mengharapkan apa-apa lagi.”

“Hebatkan kuasa cinta. Boleh buat manusia hidup dalam mati.”

Tengku Kamarul sibukkan diri dengan membaca fail dengan lebih teliti. Setiap kali hal peribadinya berbangkit, dia akan berusaha mengelak.

Hanafi bangun.

“Kalau ada sesiapa tanya pasal aku, kau cakap saja tak tahu.”

“Walaupun ibu kau?”

“Ibu aku takkan tanya pasal aku. Aku kenal Puan Mazura. Aku mati pun mungkin dia tak kisah.”

Hanafi geleng. Dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk melembutkan hati Tengku Kamarul yang benar-benar keras. Hanya kerana seorang gadis, Tengku Kamarul berpatah arang.

“Apasal?” soal Hanafi kepada Nurrah si penyambut tetamu.

“Tengku Amylin ada di ruang menunggu.”

“Dah pulak. Bala dah datang. Ada sesiapa bagitau Tengku Kamarul dah balik?”

Nurrah geleng.

“Bagus. Biar dia tak tahu Tengku Kamarul dah balik.”

Hanafi bergerak menuju ke ruang menunggu.

“Apa hal tiba-tiba datang?”

“Betul ke Tengku Kamarul dah balik?”

“Mana kau tahu?”

“Amy tahulah. Ada orang beritahu Amy dia dah balik. Dia ada di pejabat dia ke? Amy nak jumpa dia.”

Ada juga mulut gatal yang menyampaikan berita. Tak boleh simpan rahsia langsung. Ini karang tak pasal-pasal Tengku Kamarul blahsemula. Bengang saja Hanafi. Dia baru rasa senang hati di atas kepulangan Tengku Kamarul, terpaksa susah hati semula kalau-kalau Tengku Kamarul sambung buat perangai.

“Aku rasa baik tak payah jumpa dialah. Buat sementara waktu dia memang tak mahu jumpa sesiapa. Kalau kau jumpa dia pun bakal mengundang masalah saja. Kau bagilah dia masa dulu. Bukan apa, aku takut dia buat perangai balik. Yang susah aku jugak nanti.”

“Takkan nak jumpa pun tak boleh? Dah lama Amy tak jumpa dia.”

“Bukan tak boleh. Dia masih belum bersedia nak jumpa sesiapa. Tolonglah faham sikit. Lagipun, tak penting pun kau nak jumpa dia.”

“Siapa cakap tak penting? Sangat penting. Banyak perkara yang Amy nak cakap pada dia.”

“Kalau macam tu, sabar-sabarlah. Dia dah balik. Aku rasa dia balik terus. Jadi, masih banyak masa untuk kau bercakap dengan dia.”

“Takkan jumpa sekejap pun tak boleh?”

“Kau faham bahasa ke tidak?”

Tengku Amylin mengalah. Tanpa menyambung kata-kata dia, dia beredar. Pasti ada masa yang sesuai untuk berbual dengan Tengku Kamarul.

“Sebelum tu, kalau boleh jangan bising-bising pasal kepulangan Kamarul. Jangan beritahu pada ibu dia juga. Kita jangan keruhkan lagi keadaan. Aku takut akan memburukkan lagi hubungan mereka.” Sempat lagi Hanafi berpesan sebelum Tengku Amylin beredar.

Memang Hanafi tidak percaya Tengku Amylin akan menyimpan rahsia tapi terpulanglah kepada Tengku Amylin. Dia hanya membantu setakat yang mampu. Hubungan kekeluargaan ini sangat unik dan aneh. Orang luar mana boleh masuk campur sangat.

“Tahulah Amy.”

“Yalah, tahulah sangat. Macamlah aku tak kenal kau.”

Hanafi geleng kepala melihat Tengku Amylin.

“Entah apalah yang dia harapkan dengan lelaki keras kepala tu.”

Tak faham Hanafi. Tengku Kamarul bukannya elok sangat pun perangai. Ikut kepala dia saja. Tapi satu yang Hanafi kagum tentang Tengku Kamarul. Tengku Kamarul seorang pencinta yang setia.

“Amy cari aku ke?” soal Tengku Kamarul membuatkan lamunan Hanafi terhenti.

“Ha’ah.”

“Dia tahu aku dah balik?”

“Aku pun tak tahu siapa yang bagitahu dia kau dah balik.”

“Khairul?” Tengku Kamarul meneka.

Hanafi jongket bahu.

Wajah Tengku Kamarul langsung berubah.


PROLOG  BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL SAYANG, MENGAPA TAK MERINDU… (PENULIS: NUEEN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *