AZMIRA sedang memeriksa jadual tugas para pekerjanya di ruang penyambut tetamu. Begitu asyik dia memakukan pandangan pada iPad di depan mata, sampai tak perasan dirinya diperhatikan oleh Hafeez.
“Sayang! Meeting jam 2:30 petang ya.” Suara itu buat Azmira hampir terlompat dari kerusi.
Bulat matanya memandang tuan empunya suara. Siapa lagi kalau bukan mantan bosnya, Hafeezur Rahmaan. Mata Azmira melilau sekeliling. Dua orang gadis yang berada di depannya sudah tersenyum-senyum. Sah lagi nyata mereka berdua mendengar apa yang Hafeez katakan tadi. Hafeez ni memanglah, cakap tak toleh kiri kanan. Tak jaga langsung reputasinya sebagai Pengurus Sumber Manusia.
Tanpa mempedulikan Hafeez yang masih di situ, Azmira bangkit ke front desk, memberi arahan kepada dua orang stafnya yang bertugas di situ. Kemudian, dia kembali mendapatkan Hafeez yang masih belum berganjak. Mata Hafeez tepat ke arahnya.
“Jom teman I minum!” Hafeez masih tersenyum memandang Azmira.
Jam di lengan kiri Azmira kerling sekilas. 2:15 petang. Lima belas minit je lagi mesyuarat akan bermula dan Hafeez ajak dia minum? Sempat ke?
“Alah… jomlah kejap! I dah order minuman dari Coffee House.”
Tanpa sebarang amaran Hafeez menarik tangannya. Tergesa-gesa Azmira mengatur langkah yang bersepah akibat tarikan Hafeez yang kuat itu. Tahulah kaki panjang, berjalan laju pulak tu. Seksa dia nak mengikut dengan kasut tumit tinggi yang dipakainya.
“Duduk.” Hafeez menarik kerusi untuk Azmira duduk.
Saat yang sama, pelayan datang meletakkan dua cawan air di depan mereka. Azmira terus tersenyum apabila melihat secawan Caramel Macchiato yang menjadi kegemarannya terhidang depan mata.
“Minum cepat. Kita ada sepuluh minit sebelum kena berlari naik tingkat satu dan bermesyuarat!” Hafeez hulur senyum. Dia letak sebelah tangan atas meja dan menyengetkan badan, memandang arah Azmira duduk.
“I miss you.” Bisik Hafeez sambil mengenyitkan sebelah mata.
“Encik Hafeez, jangan buat macam ni. Nanti semua staf di sini bergosip fasal kita.” Azmira memang tak rasa selesa dengan sikap Hafeez yang suka mempamerkan kemesraan tak kira masa. Waktu bekerja pun lelaki ini suka memerhatikannya jika ada peluang.
“Tak payahlah berencik-encik. Panggil I Feez je, lebih selesa macam tu. You ni kalau dengan I formal bukan main.” Hafeez buat muka.
“Mesyuarat apa hari ni? Pagi tadi kan dah mesyuarat? Kalau asyik sibuk bermesyuarat je macam mana kerja nak jalan?” Azmira pantas ubah topik sambil ambil peluang bertanya.
Dia jenis yang berterus terang. Bermesyuarat berjam-jam serta berbincang perkara yang tak membuahkan hasil memang dia tak gemar. Dia lebih suka mengelolakan anak buahnya daripada membuang masa dengan para ketua jabatan yang gemar sangat mengadakan mesyuarat. Rasa nak aje buat saranan kepada Tengku Arif Shah, Pengurus Besar mereka itu agar mengehadkan mesyuarat kepada sekali sahaja seminggu. Tapi, siapalah dia nak memandai-mandai. Nak tak nak kena ikut sahajalah rentak orang di sini.
“You busy ke sayang?” Hafeez pandang Azmira dengan renungan penuh kasih sayang.
“Mestilah busy. You tahulah budak-budak house keeping tu. Kalau I tak check setiap bilik yang dikemaskan tu memang ada je yang tak kena. Customer masuk nanti ada je yang tak lengkap. Towel tak cukup lah, sabun mandi tak ada lah… cadar berkedut lah. Susah nak jaga dia orang tu. Sengaja nak naikkan darah I kadang tu.” Terlepas juga keluhan Azmira
Hafeez hanya senyum dengar omelan Azmira. Cakaplah apa sahaja, dia sudi mendengarnya. Suara Azmira bagaikan halwa telinga buat dia. Suara yang selalu dia rindu.
“Kadang nak bernafas pun rasa tak sempat.” Azmira buat muncung. Ikutkan hati nak je dia kerja balik di bawah Hafeez. Tapi apa pula gunanya dia dinaikkan pangkat kalau dia masih nak buat kerja-kerja lama dia dulu?
Penatnya jaga bahagian penyambut tetamu dan house keeping. Dulu masa buat payroll dan berada di bawah Hafeez dia tak rasa terbeban sangat. Sebab Hafeez selalu ada kalau dia memerlukan bantuan. Dah naik pangkat dan ada jabatan sendiri baru dia tahu erti tanggungjawab yang sebenarnya.
“Jangan sampai you berhenti bernafas sudahlah, merana I nanti.” Hafeez pandang wajah polos Azmira.
Matanya nampak Azmira sangat cantik dalam persalinan kebaya batik yang merupakan seragam korporat resort mereka.
Cantik yang asli, cantik gadis Melayu. Tanpa perlu bermekap pun Azmira sentiasa tampak manis dan segar. Sebab itulah dia tak pernah jemu mahu menatap wajah wanita di sebelahnya ini.
“Kalau macam tu you tak payah attendlah meeting tu. I brief you nanti masa makan malam. You habis kerja jam berapa?”
Azmira senyum. Sifat Hafeez yang sangat bertimbang rasa inilah yang menyenangkan hatinya. Susah nak cari lelaki penyabar macam Hafeez ni. Bertuah sangat dia dapat mengenali lelaki di hadapannya ini.
Bukan sedikit pekerja di sini yang sukakan Hafeez namun semuanya dipandang sepi oleh lelaki ini.
“Rasanya lepas maghriblah baru balik. Kita nak makan kat mana?”
Hafeez pula senyum dengar kata-kata Azmira.
“Okey, jam lapan tunggu I kat lobi. Nanti kita decide nak makan kat mana.” Kopi di cawan Hafeez habiskan.
“You duduk dan minum sampai habis. I kena bergerak sekarang. Jumpa nanti sayang.” Hafeez tarik kerusi dan berlalu pergi.
Dia kena cepat kerana perlu mempengerusikan mesyuarat. Itulah antara tugas dia di sini sebagai Pengurus Sumber Manusia. Sempat dia melunaskan bayaran minuman mereka sebelum dia mula bergerak keluar dari Coffee House.
Azmira menghembus nafas dan mengangkat cawan ke mulut. Hafeez, duda berusia tiga puluhan itu adalah antara orang yang interviu dia ketika minta kerja dulu.
Kali pertama berjumpa dia dapat rasakan Hafeez tu baik orangnya. Kata-katanya berhemah dan lelaki itu suka tersenyum.
Sepanjang bekerja di sini, Hafeezlah yang banyak beri dia tunjuk ajar. Pendek kata Hafeez yang memudahkan segala-galanya untuk dia di sini. Jadi, tidak susah untuk dia menerima Hafeez apabila lelaki itu mendekatinya.
Cuma apabila Hafeez semakin kerap mengasak dan mengajak dia berkahwin, Azmira jadi sedikit gusar.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5 • BAB 6 • BAB 7
BELI NOVEL SEKALI AKAD KULAFAZ (PENULIS: JAZZMEEN)