Sekali Akad Kulafaz – Bab 2

AZMIRA rasa cuak apabila Hafeez memandu ke jalan besar. Sepatutnya Hafeez ikut jalan bertentangan untuk menghantar dia ke rumah semula. Apa agenda Hafeez ni? Nak bawa dia ke mana? Dia baru aje bercadang nak kemas rumah lepas ni sebabnya minggu ini dia memang tak nak ke mana-mana. Mahu mengemas dan berehat sahaja. Nak qada tidur yang selalu tak cukup waktu tu.

“Kita nak pergi mana ni Feez?” Keluar dari rumah jam 9 pagi mereka bersarapan dahulu. Selepas itu laju sahaja Hafeez melarikan keretanya atas jalan raya. Destinasinya menghala ke Negeri Selangor Darul Ehsan.

“Balik rumah mama.”

“What? Eh, tak naklah!” Azmira dah separuh terjerit.

Hari Ahad, dia mengenakan jean dan t-shirt sahaja. Walaupun ada kardigan kelabu tersarung di tubuhnya Azmira tetap berasa segan dengan cara berpakaiannya yang sempoi sangat. Dia pun hanya bersandal. Ingatkan Hafeez ajak dia bersarapan sahaja. Kalau tahu nak ke rumah mamanya tentu Azmira akan pasang badan.

“Mama call tadi. Suruh I balik. Dah lebih sebulan I tak balik jenguk mama dan Ija,” ujar Hafeez sambil fokus memandu.

Memang mamanya menelefon semasa mereka bersarapan tadi. Menyuruh dia pulang ke Shah Alam sekiranya ada kelapangan. Mama umpan dia dengan ikan patin sungai masak tempoyak. Adik dia Ija yang kahwin dengan orang Temerloh tu bawa balik beberapa ekor ikan patin sungai. Dengar mama mahu masak lauk kegemarannya lekas sahaja Hafeez bersetuju.

“Malulah pakai macam ni, boleh balik tukar pakaian dulu tak?” Azmira mahu tawar-menawar. Hafeez senyum sambil terus menekan minyak.

“Okey apa you pakai macam ni. Sopan aje I tengok. Bukannya you pakai skinny jean pun,” ujar Hafeez, bibir masih menguntum senyum.

Jangan haraplah dia nak berpatah balik ke rumah Azmira semula. Dulu masa mula-mula dia ajak Azmira ke rumah mamanya gadis ini buat alasan yang sama. Nak balik tukar pakaian, sampai aje kat rumah, Azmira buat alasan sakit perut. Padahal masa dalam kereta elok aje. Macamlah dia tak tahu taktik Azmira tu. Liat sangat kalau nak dibawa berjumpa dengan mama. Baru sekali aje mamanya dengan Azmira berjumpa. Itu pun masa majlis jamuan hari raya anjuran resort pada tahun lepas.

“I malulah Feez, famili you dengan famili I…” Terhenti kata-kata Azmira apabila teringatkan keluarganya. Keluarga? Ah, dia mana ada keluarga lagi selain nenek dan mak su?

“Tak ada apa yang nak dimalukan sayang. You dengan I sama aje tarafnya di sisi ALLAH SWT. Yang penting I sayang you dan you sayang I. Tu aje dah cukup buat I.” Hafeez cuba menenangkan Azmira.

Pujukan daripada Hafeez berjaya mendiamkan Mira yang kegusaran. Gusar untuk bertemu keluarga Hafeez dan gusar juga dengan Hafeez yang suka sangat panggil dia sayang. Kalau dia berkeras tidak mahu ikut pun belum tentu Hafeez akan sudi berpatah balik.

Walaupun banyak kenderaan atas jalan raya namun keadaan lalu lintas agak lancar. Belum pun jam 11 pagi mereka sudah pun berada di Shah Alam.

“Nak singgah Jakel?” tanya Hafeez.

Ada banyak banner jualan habis-habisan Jakel digantung sepanjang laluan di Shah Alam ini. Azmira memang suka membeli kain pasang untuk dibuat baju kerja. Sebabnya dalam seminggu Azmira hanya pakai dua kali seragam korporat. Selain itu dia boleh memakai baju kurung ataupun kebaya.

Kata Hafeez dia memang suka lihat Azmira berbusana kebangsaan yang sopan itu. Jangan berpakaian ketat dan mengikut bentuk badan, nanti jadi santapan mata lelaki-lelaki yang lain. Hafeez mahu Azmira untuk dirinya sahaja, tidak mahu berkongsi dengan orang lain.

Cemburu! Itulah yang Hafeez sering ulang cakap sekiranya Azmira berdandan dan menyambut kedatangan pelanggan. Lebih-lebih lagi kalau yang datang dalam kumpulan yang besar itu terdiri daripada lelaki. Selalu aje Azmira perasan, Hafeez akan turut ‘menyibuk’ di ruang penyambut tetamu itu. Langsung tak kena dengan jawatan yang disandangnya itu. Sebabnya ruang penyambut tetamu itu bukan ‘kawasan jajahan’ Hafeez pun.

“Boleh ke?” Azmira pandang Hafeez dengan pandangan mengharap. Diskaun sehingga 90%? Rugi kalau tak singgah ni.

“Untuk you apa pun boleh. Lagipun masih awal lagi kalau nak makan tengah hari ni.” Hafeez mencari parkir. Ada sebuah kereta mahu keluar dan Hafeez menunggu dengan sabar. Alhamdulillah, selalunya susah nak dapat ruang parkir dekat dengan bangunan Jakel ni.

“Jom!” Hafeez mengajak dan Azmira menganggukkan kepala.

Mereka jalan bergandingan masuk ke dalam bangunan yang tersergam itu. Melangkah je kaki ke dalam bangunan, mereka terus disapa dengan mesra oleh para pekerja Jakel yang berseragam coklat.

Bukan Azmira sahaja yang sibuk memilih kain, Hafeez pun sama. Alang-alang dah sampai ke mari dia mahu melihat-lihat kain lace untuk majlis bertunang dan menikah mereka nanti. Dia mahu mencari kain lace paling cantik untuk pujaan hatinya.

Sejam di situ mereka akhirnya pulang dengan Azmira membeli beberapa helai kain pasang untuk dibuat baju kurung dan kebaya. Hafeez tunjuk muka serius walaupun Azmira cuba memujuk. Dia kecil hati kerana Azmira menolak untuk memilih kain lace untuk majlis mereka.

Kata Azmira masih terlalu awal. Kalau boleh Hafeez mahu terus membeli sahaja memandangkan ada potongan harga tapi Azmira pula beria-ia menolak. Dahlah masa Hafeez nak bayarkan kain pasang tadi pun Azmira menolak. Cepat-cepat Azmira hulur kad kreditnya kepada juru wang. Itu yang Hafeez tarik muka.

“Feez… tak mahulah merajuk macam ni. Nanti cepat tua!”

“Memang I dah tua pun…” Hafeez masih tarik muka.

“Kalau you merajuk I tak naklah pergi rumah mama,” ugut Azmira. Tak sukalah tengok Hafeez merajuk begini.

Hafeez hembus nafas. Mira… Mira… apa yang susah sangat nak ikut cakap dia? Kalau buat persiapan awal kan senang? Mana tahu nanti kain lace yang dia berkenan tadi dah tak ada? Ataupun harganya naik berganda-ganda? Kan dah rugi. Apa salahnya kalau beli aje, simpan dan apabila tiba masanya jahit dan pakai. Kain tu takkan basinya!

“I bukan tak nak fikir fasal kahwin Feez, tapi you tahu kan status I?” Azmira pula yang menghembus nafas. Sukarnya menjadi seorang Azmira Muzfirah!

Ya, sudah hampir setahun setengah Hafeez tahu tentang status Azmira. Enam bulan pertama bekerja Azmira masih mampu menyorokkan statusnya daripada pengetahuan Hafeez. Tapi lepas itu dia terpaksa berterus-terang apabila Hafeez terus-terusan cuba memikat dia.

Anehnya Hafeez tak terkejut pun dengan pengakuan Azmira. Malahan Hafeez yang sarankan agar Mira kekalkan aje status ‘bujang’ yang dia tulis dalam resume dan benda itu jadi mudah sebab memang semua orang ingat dia bujang.

“Bila masalah you ni boleh setel?”

“I pun tak tahu, Feez. I tak dapat hubungi dia orang. I pernah pergi rumah mak mentua I, tapi mereka dah jual rumah tu dan pindah. Owner baru pun tak tahu ke mana dia orang pindah. Patutkah I iklankan sahaja di surat khabar Feez?” Azmira pandang muka Hafeez.

Mereka masih dalam kereta yang belum seinci pun bergerak. Cuma enjin kereta dihidupkan dan penyaman udara dipasang.

“Berat masalah you ni Mira. Inilah yang dikatakan gantung tak bertali.” Hafeez letakkan kedua-dua tangan di belakang kepala. Kalaulah Azmira bukan berstatus isteri orang dah lama mereka berkahwin agaknya.

“Memang berat masalah I ni Feez. I tahu dan I sedar… jadi, kalau you ada orang lain, pertimbangkanlah untuk tamatkan zaman bujang you dengan orang lain.” Sayu suara Mira kedengaran, menyentak tangkai hati Hafeez.

“Apa you cakap ni sayang? You jangan merepek boleh tak? Kalau I nak kahwin dengan orang lain tak payah I susah payah tunggu you. I cuma akan kahwin dengan you aje.” Hafeez menekan suara.

Azmira langsung diam. Manalah dia nak sangka Syukri masih belum memfailkan perceraian mereka. Dia ingat lepas dia karang surat minta cerai dan kirimkan melalui pos Syukri akan faham dan menceraikan dia. Masa terserempak dengan Syukri di Cyberjaya dulu pun dia dah cakap, ceraikan dia. Kenapa Syukri masih biarkan status mereka begini?

“Tak apalah, tentu ada jalannya. You banyakkan berdoa, semoga terbuka hati si polan tu mencari you dan uruskan perceraian tu. Tentang I, you jangan risau. I sanggup tunggu you walaupun seribu tahun lagi.” Hafeez ukir senyum kelat.

Jujurnya Hafeez sendiri rasa terdera hati dan perasaan. Dapat melihat sahaja perempuan idamannya depan mata, tetapi tidak dapat dimiliki dek kerana statusnya yang masih isteri orang. Hafeez hela dan hembus nafas dengan agak kasar.

“Jom kita bergerak, ada orang tunggu dah tu,” ujar Azmira.

Ketika dia berpaling ke belakang tadi Azmira nampak sebuah Proton Saga memberi signal. Hafeez mengundurkan kereta dan mula memandu.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7


BELI NOVEL SEKALI AKAD KULAFAZ (PENULIS: JAZZMEEN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *