Sekali Akad Kulafaz – Bab 3

RUMAH semi-D itu kelihatan sangat kemas halamannya. Apa tidaknya, pasu-pasu bunga elok tersusun rapi. Rumput karpet yang berwarna hijau segar itu menambahkan lagi seri pemandangan rumah ini. Azmira terpegun walaupun hanya melihat luaran rumah sahaja.

“Alongggggg… ingatkan dah lupa jalan balik sini.” Ija menempelak sebaik menjawab salam daripada Hafeez.

“Jangan nak perli sangat. Awak tu mak buyung, kena cakap elok-elok.” Hafeez buat gaya nak ketuk kepala adiknya dengan tangan. Ija bergerak menjauh.

“Apa khabar bakal kakak ipar? Akhirnya sampai juga ke sini ya?” Ija terus memeluk Azmira yang kelihatan serba-salah.

Tadi mama Hafeez pun memeluk dia juga. Suami Ija yang bernama Syed Aqil itu hanya tersenyum memerhatikan sesi perkenalan antara Azmira dengan isterinya.

“Khabar baik, ini untuk Ija.” Sebuah beg plastik dihulur kepada Ija.

Tadi mama Hafeez pun sudah mendapat habuan. Azmira memang panjang akal, dibelikannya kain pasang buat kedua-dua beranak itu sebagai buah tangan. Patutlah beria-ia Azmira bertanya warna yang menjadi kegemaran mama dan adiknya, rupanya nak hadiahkan kain pasang. Sungguh Hafeez rasa besar hati dengan tindakan Azmira. Mama pun bukan main senyum dapat kain kapas bercorak songket tu!

“Jomlah kita makan. Masing-masing pun dah laparkan?” pelawa Puan Hamimah.

Beg berisi kain pasang kejap di tangan. Puan Hamimah suka sangat dengan hadiah yang diterimanya. Memang tak salah Hafeez memilih. Azmira ni bukan sahaja cantik dan bersopan santun malahan berbudi pekerti tinggi pulak tu. Datang bertandang siap membawa hadiah buat tuan rumah.

Sebiji Kek Chocolate Indulgence dari Secret Recipe pun dibawa sekali. Macam tau-tau pula yang Puan Hamimah memang teringin hendak makan kek coklat sehari dua ini. Syukur alhamdulillah, rezeki bergolek depan mata.

Azmira ikut menuju ke ruang makan. Jubah dari butik D’Yana yang baru dibelinya itu nampak sepadan dengan selendang warna biru yang dikenakan. Dia sempat beli sehelai jubah dan selendang sebab malu berpakaian ringkas untuk berjumpa bakal mentua.

“Biar Mira sendukkan nasi.” Azmira menawarkan diri. Ija tu dah nampak sarat, entah berapa bulan dah mengandung agaknya.

“Biar along tuangkan air.” Hafeez bangun dan bergerak ke kepala meja. Berdiri bersebelahan dengan Azmira yang sedang mengisi nasi atas pinggan.

“Kali pertama nampak along rajin. Selalu tu duduk je macam tuan besar.” Ija tak lepas peluang mengutuk abangnya.

“Tolong sikit eh, bukan memang selalu ke along rajin kat rumah ni? Rasanya Ija yang selalu duduk macam mem besar.” Hafeez kutuk Ija balik.

“Ishk, kamu berdua ni. Depan rezeki pun nak bergaduh. Malulah sikit kat Mira. Aqil tak apalah, dah memang faham perangai tak semenggah kamu berdua ni,” marah Puan Hamimah.

Hafeez naikkan kedua-dua ibu jari dan tunjuk kepada Ija. Masam muka adiknya itu.

“Baca doa dulu along.” Terkedu Hafeez apabila ditegur oleh mamanya. Bukan apa, ikan patin masak tempoyak dalam mangkuk tu bagaikan memanggil-manggil dia. Tu yang dia capai sudu dan kaut dulu seketul ikan patin dan letak atas pinggan.

“Ni masakan favourite along. Kak Mira kena belajar masak ni dengan mama.” Ija bersuara sebaik Hafeez selesai membaca doa makan.

Azmira hanya anggukan kepala, dia rasa muka dia panas. Apa tidaknya, semua yang di meja makan itu sedang memandangnya. Segan pun ada apabila Ija yang lebih tua beberapa tahun daripadanya memanggil dia Kak Mira.

“You jangan rasa burden. Tak pandai masak ni pun tak apa. I jenis makan tak memilih.” Hafeez tunjuk mangkuk berisi ikan patin masak tempoyak sambil pamer senyum bahagia. Dia nampak penerimaan keluarganya yang positif terhadap Azmira. Memang cerah masa depannya mahu menjadikan Azmira isterinya yang sah!

Bab makan tu memang Azmira dah faham sangat. Hafeez memang jenis yang tak cerewet. Apa pun dia makan. Kalau makan di kedai, pelayan tersalah hantar pesanan pun dia tak kesah. Tak pernah Azmira lihat Hafeez marah-marah orang tak tentu fasal. Hafeez ni memang penyabar orangnya.

Makan sudah, solat zohor pun sudah. Sekarang ini Azmira dengan Ija sedang ambil angin atas buaian di tepi rumah semi-D itu. Walaupun hari redup dan kelihatan agak mendung namun tetap terasa hawa panasnya. Tak ada angin yang sudi bertiup nampaknya.

“Kak Mira! Bila nak kahwin dengan along?” Ija ni memang lepas laku sungguh. Selamba dia tanya Azmira soalan yang tak ada jawapan tu.

“Itu… err… kena tanya alonglah!” Mujur Hafeez ada di dalam rumah. Dapatlah Azmira petik nama dia. Fuhh…

“Along tak payah tanya. Kalau boleh malam ni dia nak nikah dengan Kak Mira. Along tu dah gila bayang, tau tak?” Ija bisik ke telinga Azmira. Takut juga kalau Hafeez dengar dia mengumpat abangnya itu.

“Gila bayang? Kalau dia dengar tentu dia marah tu,” ujar Azmira pula sambil tersengih.

Agaknya beginilah keadaannya kalau dia ada adik-beradik. Boleh berkongsi cerita dengan orang lain tentang perangai mereka.

“Yelah, mama kata semenjak along ada Kak Mira ni mood dia bukan main baik lagi. Muka tu macam dua puluh empat jam je nak tersenyum dan tersengih. Masa mula-mula Kak Hajar pergi dulu, jangan haraplah nak nampak along senyum walaupun sekali, monyok memanjang,” adu Ija dengan ramahnya.

“Ada-ada je Ija ni. Erm… boleh Kak Mira tanya? Dah berapa lama Kak Hajar pergi?” Azmira tanya sambil pandang muka Ija yang dah berubah warna.

Nak buat macam mana, dia nak sangat tahu pasal bekas isteri Hafeez. Hajar tu pastilah orangnya, kenapa dia pergi? Apa maksud pergi tu? Pergi dan meninggalkan Hafeez ataupun Hajar tu meninggal dunia?

“Along tak pernah cerita ke?” Ija dah serba salah.

“Tak, kalau akak tanya pun dia senyum je. Tak jawab soalan akak,” bohong Azmira.

Padahalnya Hafeez tak pernah sebut pun tentang Hajar. Baru hari inilah Azmira tahu nama bekas isteri Hafeez itu.

“Err… Ija pun tak tahu sangat punca perceraian dia orang tu. Tapi dah lima tahun jugaklah dia orang berpisah. Along sayang sangat dengan Kak Hajar tu, maklumlah dia orang bercinta dari universiti lagi. Hurm… jodoh dah habis nak buat macam mana kan? Ija harap sangat Kak Mira dapat terima along. Bahagiakan along, lahirkan anak-anak yang comel. Tentu mama suka dan tak sunyi lagi kalau ada ramai cucu nanti.” Ija mengusap perutnya. Azmira agak mungkin anak dalam kandungan Ija tu perempuan. Sebab perutnya membulat cantik.

“Along pernah tak cerita fasal akak?” Entah kenapa Azmira rasa sangat selesa bercerita dengan Ija yang peramah ni.

Tentu seronok ada adik ipar yang sporting macam Ija ni. Keluarga kecil Hafeez ni bagus rupanya, jenis yang mudah mesra. Taklah rasa kekok dan terasing masuk dalam kelompok mereka. Hilang kerisauan di hati Azmira kalau-kalau keluarga Hafeez tidak boleh menerima dirinya.

“Selalu! Tiap-tiap kali call mama atau bila balik sini asyik sebut nama Kak Mira je. Memang boleh nampaklah dia tu gilakan Kak Mira sangat. Jangan dera along lama-lama ya? Akak cepat-cepatlah kahwin dengan along. Nanti kita boleh sama-sama mengandung.”

Erkkk… tak tertelan rasa air liur di kerongkongnya mendengar kata-kata Ija yang selamba tu. Terpejam-pejam mata Azmira membayangkan dia membawa perut boyot macam Ija ni. Boleh ke? Akan adakah peluang untuk dia menjadi seorang ibu? Azmira menarik nafas panjang mengenang takdir hidupnya.

“Risau ya? Maaflah kalau Ija tersalah cakap dan mendesak Kak Mira. Dah lama Ija tak nampak along happy macam ni. Bayangkanlah, lepas Kak Hajar pergi along dah lupa macam mana nak senyum. Dia berubah dua tahun kebelakangan ni. Ija agak sebab dia jumpa Kak Mira kut. Terima kasih sebab berjaya buatkan along tersenyum semula. Ija jamin, tak rugi Kak Mira terima along. Dia seorang lelaki yang baik. Bukan Ija nak puji abang sendiri, tapi memang itulah hakikatnya. Lepas arwah ayah meninggal sepuluh tahun lepas, along yang jaga kami. Ija nak sangat along hidup bahagia, tolong Ija realisasikan impian Ija ni ya Kak Mira.” Ija menggenggam kedua-dua tangan Mira dengan tangan gebunya.

Azmira hanya mampu tersenyum dan menganggukkan kepala. Dia akui kata-kata Ija, Hafeez memang seorang lelaki yang baik. Entah ada atau tidak jodoh dia dengan Hafeez ya?

“Kat sini korang rupanya! Ija goreng apa dekat bakal isteri abang tu? Sayang jangan dengar sangat cakap mak buyung ni. Dia memang suka sabotaj I” Hafeez muncul depan mereka.

Mujur juga ketika itu masing-masing sedang berdiam diri. Ija tarik muka dengar kata-kata Hafeez. Azmira pula dah merah muka sebab Hafeez panggil dia sayang depan Ija. Tak cover line langsung!

“Jom masuk… I nak you buat jemput-jemput ikan bilis.” Hafeez angkat-angkat kening pandang Azmira. Sejak dia makan jemput-jemput ikan bilis buatan Azmira tak lama dulu dia dah jadi ketagih.

“Jom Ija… kita berbual kat dapur pulak!” Azmira turun dari buaian dan menunggu Ija. Kemudian ketiga-tiga mereka masuk ke dalam rumah.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7


BELI NOVEL SEKALI AKAD KULAFAZ (PENULIS: JAZZMEEN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *