HARI Jumaat yang sangat sibuk. Hari ini mereka akan menerima bilangan pengunjung yang ramai. Tempat ini ditempah oleh EasyJet AirLines sepanjang tiga hari nanti. EasyJet AirLines, syarikat penerbangan yang mempunyai cawangan serata negara mengadakan hari keluarga untuk staf-staf pengurusan di cawangan Kuala Lumpur dan Selangor.
Menurut Tengku Nelly, pegawai perhubungan awam syarikat tersebut, ini adalah kali pertama mereka akan mengadakan hari keluarga dalam negara. Selalunya mereka akan ke pulau peranginan di luar negara. Kali ni mereka mahu berubah angin dan mahu menikmati sendiri keselesaan di The Breeze Hotel, Resort and Spa ini seperti yang sering disebut-sebut oleh pengunjung yang pernah ke mari. Tempat ini juga selalu dimuatkan dalam majalah dan surat khabar. Memang tinggi reputasi tempat ini nampaknya.
Pagi lagi Azmira sibuk memeriksa semua bilik-bilik yang sudah ditempah. Dia mahu memastikan semua bilik berada dalam keadaan yang memuaskan. Di samping bilik hotel dan suite, EasyJet AirLines juga menempah empat buah vila yang berada betul-betul berhadapan pantai. Tentu itu tempat untuk orang-orang atasan syarikat.
Azmira sempat mandi sebelum menunaikan solat zohor. Berjalan ke sana ke mari menguruskan agar semuanya berjalan lancar membuatkan dia rasa tidak selesa dek banyaknya berpeluh.
Seragam korporat syarikat dikenakan dan dia merias wajahnya sedikit. Jangkaannya para tetamu akan mula mendaftar masuk pada jam 3 petang. Azmira harus bersedia dengan staf di kaunter pendaftaran. Dia mahu segalanya berjalan dengan lancar. Selama tiga hari ini semua staf dikerahkan bekerja. Semua kena all out demi keselesaan para tetamu mereka.
Bunyi ketukan di pintu bilik kedengaran dan serentak dengan itu Hafeez terjengul di muka pintu.
“Dah siap?” Hafeez masuk sambil menjinjing beg kertas di tangan kanan. Botol air mineral di tangan kiri diletakkan atas meja kerja Azmira.
“Baru siap!” Azmira pamer senyuman. Mahu meredakan kegusaran di hati. Memang selalunya begini kalau ada tetamu dengan jumlah yang ramai. Azmira akan rasa gementar.
“Mari makan dulu! I tahu you belum makan. Pagi tadi pun you sempat minum secawan Nescafe je kan?” Hafeez membuka bekas berisi makanan yang dibawanya. Segera aroma nasi ayam yang menyelerakan memasuki rongga hidung Azmira. Terus perutnya terasa pedih dan lapar.
“Mana you tahu I belum makan?”
“Macam I tak kenal you tu. Kalau banyak kerja ataupun nervous you memang tak lalu nak makan, kan?” Hafeez jeling Azmira yang sedang tersenyum memandang dia. Wajah manis itu kelihatan segar. Memang tak jemu dipandang mata.
“You dah makan ke? Kita share nak?” Azmira tak rasa dia mampu habiskan nasi ayam dalam bekas tu.
Ikutkan tekak dia tak mampu nak telan sebarang makanan ketika ini. Selagi urusan kemasukan semua para tetamu itu belum selesai dia takkan dapat duduk dengan tenang.
Lagi pula Tengku Nelly sudah menelefon mengingatkan dia tadi. CEO mereka akan ikut serta bersama keluarganya. Lagilah Azmira takut sebab Tengku Nelly beritahu dia CEO berdarah Pan-Asian itu agak cerewet orangnya.
“I dah makan tadi.” Hafeez berbohong.
Hafeez pun sama sibuk menguruskan macam-macam hal berkaitan para tetamu mereka ini. Segala sistem bunyi, pentas, tempat untuk jamuan dan sebagainya. Dia pun kena ambil bahagian agar nama baik resort ini dapat dikekalkan.
Azmira buka laci paling bawah dan keluarkan sebuah tupperware bersaiz sederhana. Dia mahu berkongsi makan dengan Hafeez. Dia faham sangat perangai Hafeez. Kalau bercakap tak pandang mata dia maknanya Hafeez berbohong.
Dia tahu Hafeez belum makan. Entah-entah nasi ayam tu Hafeez beli untuk dirinya sendiri. Apabila teringatkan Azmira langsung dia kemari. Agaknya itulah yang berlaku, teka Azmira dalam hati.
Masing-masing mula menyudu nasi ayam ke dalam mulut. Suasana sunyi menyelubungi mereka yang makan tanpa bercakap.
“Banyak benda kita dah share bersama. Share makan, share minum, share cerita dan masalah… agak-agak bila kita boleh share hidup?” soal Hafeez tiba-tiba.
Azmira langsung tersedak dengar kata-kata Hafeez. Mujur dia sempat capai tisu dan tutup mulutnya. Berair mata jugalah dia akibat tersedak dan batuk-batuk. Dengan muka bersalah Hafeez hulurkan botol air mineral yang sudah dibuka penutupnya. Azmira menyambut dan terus minum untuk meredakan batuknya.
“Sorry sayang… I tak sengaja.” Hafeez meminta maaf sebaik sahaja Azmira sudah berhenti batuk.
“It’s okay… ada orang sebut nama I agaknya.” Azmira mahu segera menghabiskan nasi ayamnya. Dia mahu segera bergerak ke kaunter pendaftaran. Jam sudah menunjukkan angka 2:40 petang. Dia semakin berdebar.
Soalan Hafeez tadi dibiarkan tanpa sebarang jawapan. Bukannya dia sengaja tidak mahu menjawab tapi dia memang tidak ada jawapannya buat masa ini.
“You turun dululah. I kemaskan bekas-bekas ni semua. Nanti I datang.” Hafeez menawarkan diri.
Azmira anggukan kepala, setuju dengan cadangan Hafeez. Bibir yang dilap dengan tisu tadi dioleskan semula dengan gincu berwarna pink.
“Dah cantik sangat tu. I takut ada orang lain yang terpikat kat you nanti. I juga yang gigit jari!”
Hafeez memang tak suka Mira bermekap. Dia tak suka orang lain memandang Azmira. Tak bermekap pun Azmira dah cukup cantik dan manis. Dah bermekap begini lagilah berganda cantiknya rupa Azmira. Itu yang buat Hafeez rasa tak sabar nak jadikan Azmira miliknya yang sah.
“You ni kalau sehari tak usik I memang tak sah agaknya.” Azmira buat muka merajuk. Hafeez hanya tersenyum, dia tahu Azmira main-main.
“I pergi dulu! Jumpa you nanti.” Azmira mengatur langkah keluar dari biliknya diiringi sepasang mata milik Hafeez yang tak pernah jemu memandangnya.
LEGANYA apabila hampir semua tetamu sudah ditempatkan di bilik masing-masing. Ada yang sudah berada dalam bilik penginapan dan ada juga yang berada di Coffee House untuk minum petang. Dalam hati Azmira rasa bersyukur kerana segalanya berjalan lancar.
“Thanks, Mira. Semua nampaknya berpuas hati dengan bilik masing-masing. Ada yang dah tak sabar nak terjun dalam kolam renang dan mandi di pantai. Tapi tempat ni memang cantik. I nak sarankan kat management agar semua cawangan EasyJet buat family day di sini.” Tengku Nelly sangat menghargai usaha keras Azmira dan pasukannya mengatur bilik para tetamu. Cekap sungguh mereka menangani setiap tetamu yang datang. Kerja dilakukan dengan cekap dan teratur.
“Terima kasih kepada Tengku juga, banyak bantu I lancarkan tugas.” Azmira rasa seronok berurusan dengan Tengku Nelly yang tidak sombong dan banyak memudahkan kerjanya. Gadis keturunan bangsawan ini bukan sahaja cantik malahan cepat mesra orangnya.
“Oh ya, I nak ambil kunci untuk pengurus operasi, dia datang lambat sikit. Vila Bayu Berbisik.” Tengku Nelly bercakap dengan Anis yang berada di belakang kaunter daftar masuk. Kunci vila bertukar tangan.
“Mira! Jam lapan malam kita jumpa kat majlis barbeque ya.” Tengku Nelly mengingatkan Azmira tentang janji temu mereka malam nanti.
“I mungkin balik awal malam ni Tengku.” Azmira memang tidak berhasrat hendak memenuhi undangan Tengku Nelly yang mahu dia ikut hadir dalam majlis makan malam nanti. Seganlah. Dia pekerja di sini. Takkan dia nak masuk campur dalam acara tetamu mereka.
“Please Mira… I insist! Your GM will also join us. I invited Hafeez as well… so please, don’t make any excuses.” Tengku Nelly pandang Azmira dengan renungan tajam tapi penuh berharap.
“Tengoklah nanti macam mana,” jawab Azmira perlahan.
“Tak mahu tengok-tengok. You tak datang I tak mahu tegur you lagi.” Tengku Nelly buat muka masam. Mengancam Azmira.
“Insya-ALLAH Tengku.” Rasa nak tersekat suara di kerongkong. Kenapalah Tengku Nelly nak paksa-paksa ni? Tak sukanya!
“Tu maknanya you akan datang kan? So, see you this evening.” Tengku Nelly berlalu dengan kunci vila di tangannya. Siap melambaikan tangan buat Azmira lagi tu.
Nak tak nak nampaknya Azmira kena juga ikut serta dalam majlis mereka malam ni nanti. Baik dia tanya Hafeez, eloklah dia hadir bersama-sama dengan Hafeez. Taklah segan sangat. Yang dia kenal cumalah Tengku Nelly itu sahaja.
CEO EasyJet AirLines itu pun dia biasa tengok dalam majalah dan surat khabar aje. Memang nampak karisma kepimpinan lelaki Pan-Asian tu tadi. Dah tua pun masih kacak. Isterinya pun bukan main lawa lagi. Senyum aje pandang orang.
“Sorry sayang, I tak boleh attend malam ni. Mama ada kat rumah dengan Ija dan Aqil. Dia orang baru sampai petang tadi. Mak buyung tu teringin nak makan seafood. I kena bawa dia orang pergi makan.” Hafeez pandang muka Azmira yang berharap dengan rasa serba-salah. Ishk… Ija ni pun satu, kat Shah Alam tu apa yang tak ada? Bapak segala seafood pun ada. Kat Port Dickson ni jugalah yang dia nak makan.
“I pun tak nak attend. Tapi Tengku Nelly ugut I.” Azmira mencebik. Walaupun dia tahu Tengku Nelly ugut dia main-main tapi orang dah berbudi kita kenalah berbahasa. Tak gitu?
“Dia ugut you? Ugut yang macam mana?” Hafeez ambil serius setiap patah perkataan Azmira. Mana boleh main ugut-ugut orang sesuka hati?
“Dia tak nak kawan, kalau I tak pergi majlis barbeque tu.”
Hafeez ketawa. Ingatkan ugut apalah tadi. Suruh pergi makan pun susah. Tapi yalah juga, segan kut nak masuk majlis orang. Tapi kenalah bersikap professional, tetamu mengajak apa salahnya kita penuhi sahaja. Mudah-mudahan di masa akan datang mereka akan datang lagi bercuti di sini. Win-win situation kan?
“Pergi jelah sayang. Kalau I habis cepat nanti I datang. Satu je I nak pesan. Jangan pakai lawa-lawa sangat. I tengok ramai lelaki tadi. I cemburu!” Hafeez terus-terang sahaja.
Penat nak berselindung. Kalau dah bekerja dengan syarikat penerbangan, rupa dan gaya masing-masing faham-faham sahajalah. Memang tiap seorang sedap mata memandang penampilannya. Kalau boleh Hafeez nak semua orang tahu yang Azmira adalah bakal menjadi miliknya. Jangan ada sesiapa pun yang berani mengganggu bakal isterinya.
“Jangan tak tahu, nak makan barbeque pun ada dress code tahu. Kena pakai gaun.” Mira gelengkan kepala. Pelik dengan dress code yang macam nak makan di fine dining restaurant.
“Pakai jelah jubah. Lebih kurang la dengan gaun.” Hafeez buat saranan.
“Kalau bab merepek you memang juara! Dahlah, I nak pergi jumpa budak-budak house keeping kejap. Jam enam petang I nak balik. Lepas maghrib kena datang semula. Penatlah,” adu Azmira.
Esok dan lusa kena datang kerja lagi. Kalau tetamu tak seramai ini lebih mudah. Boleh aje dia berehat dengan amannya di rumah waktu hujung minggu. Tapi komitmen terhadap kerja haruslah diutamakan.
“Ingat pesan I tadi. Jangan pakai lawa-lawa. Kalau boleh biar you nampak macam mak cik-mak cik aje. Barulah senang hati I,” ujar Hafeez.
Azmira hanya menggelengkan kepala dengan pesanan Hafeez. Lelaki tu kalau tak mengusik dia sehari memang tak sah. Tak boleh tidur agaknya!
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5 • BAB 6 • BAB 7
BELI NOVEL SEKALI AKAD KULAFAZ (PENULIS: JAZZMEEN)