SYUKRI capai gelas berisi jus oren. Perlahan-lahan dia meneguk jus oren tersebut sambil mata masih setia memandang Azmira. Sebaik habis minum Syukri letak gelas atas meja dan dia bangun menghampiri Azmira.
“Teman abang berjalan di pantai,” ujar Syukri sambil menarik kerusi untuk Azmira keluar.
Lengan Azmira terus dipegang. Ikutkan hati dia mahu merangkul pinggang Azmira, tapi nanti apa pula kata orang. Dia kenalah jaga reputasi. Bukannya mereka tahu hubungan suami isteri antara dia dengan Azmira ni.
Mereka berjalan menuruni tangga batu menuju ke arah pantai yang sunyi. Cahaya samar-samar menerangi sepanjang laluan ke pantai. Hanya kedengaran bunyi ombak yang sesekali menghempas tenang ke pantai. Terasa kedamaiannya berada di sini. Jauh dari hiruk pikuk majlis serta nyanyian di atas pentas sana.
Azmira berpeluk tubuh sebaik mereka tiba di pantai. Sejuk. Angin sedang bertiup dengan agak kuat.
Syukri dengan gentlemannya menanggalkan jaket yang dipakainya dan diletakkan di bahu Azmira.
“Eh, tak perlu! Saya okey, tak sejuk pun.” Azmira tanggalkan jaket yang membaluti tubuhnya dan dipulangkan semula ke tangan Syukri. Biarlah dia menggigil sekalipun, dia tak nak pakai jaket Syukri.
“Okey, orang tak sudi nak buat macam mana.” Syukri sangkutkan jaket ke bahunya dan menarik tangan Azmira agar ikut dia berjalan menyusuri pantai. Dengan hati tidak rela Azmira terpaksa akur apatah lagi Syukri peluk bahu dia dengan kuat.
“Mira bahagia sekarang?” Nada suara Syukri yang romantis semacam itu benar-benar buatkan bulu roma Azmira menegak. Soalan itu dibiarkan sepi tanpa jawapan.
“Erm, abang agak tentu Mira bahagia di sini. Sebab itulah Mira tak teringat nak balik.” Syukri teruskan bicara.
“Mira ada balik!” Azmira menyanggah kata-kata Syukri.
“Oh ya… Mira ada balik tapi kami dah pindah, dah tu kenapa Mira tak pernah call?”
“Mira tak ingat nombor telefon sesiapa pun. Sebab handphone Mira hilang, Mira terus beli handphone baharu dan guna nombor baharu juga.” Dia memang hanya simpan nombor telefon dalam handphone sahaja. Itu yang bila handphone hilang, semua contact pun hilang sama.
“Kenapa tak cari abang di tempat kerja?”
Azmira berhenti dan pandang muka Syukri. Masalahnya dia tak tahu pun Syukri kerja di mana! Lagipun dia bukannya bersungguh mencari, hanya kebelakangan ini sahaja dia benar-benar berharap untuk bertemu semula dengan Syukri. Kini orang yang ingin ditemui sudah ada depan mata.
“Tak apalah, perkara yang lepas jangan dikenang lagi. Kita dah berjumpa pun, ikut abang balik ya. Kita mulakan hidup baru.” Syukri senyum pandang Azmira. Kalau betul Azmira mahu pulang, dia adalah orang yang paling bahagia. Tak sabar hendak memberitahu mama dan papa berita gembira ini.
“Kejap, kejap! Mira balik rumah bukan sebab Mira nak balik dan duduk dengan abang…tapi…”
“Tapi apa?” Berubah air muka Syukri, hilang terus gembira yang bertamu di hatinya tadi.
Azmira terdiam. Lidah terasa kelu mahu terus berkata-kata. Padahal sebelum ini bukan main dia merencana, banyak perkara dia nak cakap dan minta daripada Syukri. Kenapa sekarang dia rasa fikiran dia kosong? Macam tak tahu nak bercakap.
“Mira dah ada seseorang dalam hati?” Syukri bersuara apabila Azmira diam. Kaki masing-masing melangkah perlahan-lahan menyusuri tepian pantai. Tiupan angin yang sejuk tidak menjadi halangan untuk mereka terus berada di sini.
Sudah agak jauh mereka berjalan. Keadaan semakin kelam dan sunyi. Azmira berhenti melangkah, dia mahu berpatah balik. Syukri ikut berhenti dan berpaling ke arah Mira. Mereka berdiri rapat antara satu sama lain. Syukri memegang bahu Azmira dengan kedua-dua tangannya.
“Abang rindu Mira,” jelas ada getar rindu dalam suara Syukri.
“Abang, Mira cari abang untuk selesaikan hal kita,” ujar Azmira tegas.
Dia tidak mahu terpedaya dengan kata-kata Syukri. Biarlah macam mana sekali pun Syukri mahu memujuk rayu, dia tidak akan berpaling lagi. Tak mungkin dia akan kembali ke pangkuan lelaki yang telah menghancurkan sekeping hati yang dia miliki. Syukri kejam! Lelaki kejam seperti ini tak ada tempat dalam hati Azmira lagi. Dia anggap Syukri dah mati!
“Selesaikan hal kita? Apa maksud Mira? Abang anggap hal kita dah lama selesai.”
“Abang dah failkan perceraian kita ke? Abang dah ceraikan Mira?” soal Azmira dengan nada teruja.
Azmira tak sedar pun keterujaannya itu meranapkan hati dan perasaan Syukri. Kalau dia dah ceraikan Azmira, buat apa dia ajak Azmira balik? Takkan itu pun Azmira tak boleh nak fikir? Tidak, dia takkan sekali-kali menceraikan Azmira. Syukri kacip gigi.
Syukri peluk Azmira dengan erat. Perbuatan yang secara tiba-tiba. Azmira langsung tidak menjangka dan tubuhnya hilang dalam pelukan Syukri yang hangat.
“Lepaslah! Apa abang buat ni! Nanti orang nampaklah,” jerit Azmira perlahan.
Azmira meronta-ronta namun semakin kemas pelukan Syukri. Muka Azmira yang mendongak memandang dia membuatkan Syukri tidak melepaskan peluang. Dia membenamkan hidungnya ke pipi Azmira sekuat hati namun seketika kemudian dia terperanjat apabila Azmira melayangkan penampar ke pipinya. Pelukan direnggangkan namun Syukri masih tidak mahu melepaskan Azmira.
“Lepaskan Mira. Bukan tu sahaja… Mira nak abang ceraikan Mira.”
“Cerai?” Syukri rasa tertampar sekali lagi.
“Ya, Mira nak kita bercerai. Dah lama Mira minta ceraikan? Kenapa abang masih tak ceraikan Mira? Kenapa abang sanggup gantung Mira tak bertali?” Azmira rasa air mata dia bila-bila masa sahaja akan keluar. Dia rasa geram dan sakit hati dengan perbuatan Syukri.
“Mira… abang takkan ceraikan Mira. Abang sayangkan Mira.” Lirih suara Syukri. Sekian lama dia berusaha mencari Azmira, ini balasan yang dia dapat? Permintaan yang tak mungkin akan ditunaikan!
“Jangan berlakon lagi Encik Ahmad Syukri Iman. Awak tak pernah sayangkan saya! Jangan seksa hati dan perasaan saya lagi. Tolonglah, lepaskan saya!” Azmira merayu sambil teresak-esak menangis.
Syukri memeluk Azmira, cuba menenangkannya. Kali ini Azmira tidak meronta-ronta seperti tadi. Hanya tangisannya yang kedengaran. Sayu. Hati Syukri hancur bagai kaca dihempas ke batu melihat Azmira begini.
PAGI itu Azmira ke resort agak lewat. Hari Sabtu dan Ahad memang dia tidak perlu bekerja sebenarnya. Dia datang pun hanya sekadar hendak menyelia anak buahnya sahaja. Ikutkan masing-masing dah tahu tugas yang harus dilaksanakan. Tapi sebagai ketua yang bertanggungjawab Azmira tetap mahu menjenguk anak buahnya. Mahu memastikan kelancaran tugas orang bawahannya. Lebih-lebih lagi ketika ada ramai tetamu yang menginap di sini.
Mata yang bengkak akibat menangis malam tadi diselindungi dengan cermin mata hitam. Tiba di rumah dia menangis lagi, memang puaka sungguhlah Syukri tu. Kata Syukri, jangan mimpi dia akan diceraikan. Syukri kata nak buat perintah mahkamah syariah supaya Azmira taat dan kembali kepada dia. Itu yang buat Azmira geram!
Dari dinding kaca di bilik pejabatnya Azmira menyaksikan acara sukan yang sedang dijalankan di pantai. Ada juga yang sedang berenang di kolam renang serta bermain bola tampar. Nampak sangat happening suasananya. Alangkah seronoknya kalau dia boleh bersuka ria seperti mereka itu.
Tengah hari itu Azmira makan bersama Hafeez dan keluarganya. Mujur bengkak di matanya sudah surut. Kalau tidak, malu juga dengan keluarga Hafeez. Mereka singgah mahu bertemu dengannya sebelum pulang ke Shah Alam. Sempatlah mereka makan tengah hari bersama di restoran resort.
“Lepas ni Mira nak ikut kami jalan-jalan?” Puan Hamimah mempelawa Azmira ikut mereka.
“Rasanya tak dapatlah… ada kerja yang belum beres.” Azmira beralasan. Entah kenapa dia rasa mahu menyendiri.
“Kerja apa lagi yang tak siap tu? Pagi tadi dah meeting dengan semua staf you kan? Jangan manjakan sangat dia orang tu. Nanti you yang susah. Sikit-sikit nak mengadu…” Hafeez tahu Azmira seorang ketua yang baik. Selalu mendengar dan ambil berat pengaduan dan apa sahaja masalah orang bawahannya. Tapi kalau dah selalu mua sangat dia orang tu nanti, Azmira juga yang susah!
“Paper works aje, sikit.” Azmira senyum.
“Hurm… apa pun jaga diri. You tu kalau dah sibuk dengan kerja, makan pun tak sempat.” Hafeez sambung membebel membuatkan Ija gelengkan kepala.
“Kak Mira, macam mana akak tahan dengan burung kakak tua ni? Dari tadi pot pet pot pet… pening dengar!” Ija menempelak abangnya.
Azmira tersengih. Memang begitulah perangai Hafeez. Dia kan jenis yang suka bercakap. Semua benda dia nak tegur. Sabar ajelah.
“What did you say? Nak along belanja makan ke nak bayar sendiri?” Hafeez tunjuk muka geram. Tak patut betul Ija gelar dia burung kakak tua!
“Hiii… berkira! Tadi dia jugak yang beria-ia nak belanja kita makan kat sini. Rupanya ada udang di sebalik mi. Bukannya nak belanja sangat, tapi nak jumpa Kak Mira, kan?” Ija jelir lidah ke arah alongnya. Azmira ketawa melihat sikap Ija yang macam budak-budak.
“Tak apalah Ija, kalau along tak nak belanja biar Kak Mira yang belanja.” Azmira menawarkan diri.
“Eh, jangan nak mengada-ada. I bayar.” Hafeez potong cakap Azmira.
“Ala, apa salahnya I belanja. Bukan selalu,” Azmira senyum.
“Simpan aje duit you tu sayang. I dah janji nak belanja hari ni.” Hafeez pandang Azmira yang berubah air mukanya. Dia tahu Azmira tak suka dipanggil sayang, lebih-lebih lagi di depan orang lain. Mesti Azmira tengah geramkan dia tu. Ah, biarkanlah, dah sayang nak buat macam mana!
“Ma, ada orang dah tak sabar nak kahwin nampaknya. Bersayang-sayang dah ni ma, jangan sampai sikit lagi gila bayang sudahlah.” Ija sambung menyakat abangnya. Hafeez yang disakat, Azmira pula yang panas muka.
“Itulah, mama harap tak lama lagi bolehlah kita adakan kenduri kahwin, kan Feez, Mira?” Puan Hamimah memandang kedua-dua orang yang namanya disebut tadi berselang seli.
“Insya-ALLAH ma, kalau dah jodoh tak ke mana,” ujar Hafeez perlahan. Azmira dah tak mampu nak angkat muka.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5 • BAB 6 • BAB 7
BELI NOVEL SEKALI AKAD KULAFAZ (PENULIS: JAZZMEEN)