Sekali Akad Kulafaz – Bab 7

SELEPAS melambai Hafeez dan keluarganya di tempat parkir Azmira berpaling dan mahu ke pejabatnya semula. Terperanjatnya dia apabila kelibat Syukri ada di depan mata. Mata bertentang pandang seketika, tanpa sepatah kata Azmira meneruskan langkah.

“Tunggu,” ujar Syukri sepatah. Terhenti langkah Azmira.

“Siapa tadi tu?” soal Syukri.

“Mana?” Azmira buat-buat bodoh.

“Yang Mira lambai-lambai tadi tu la, jangan nak buat tak tahu pulak.” Syukri silang tangan ke dada dan pandang Azmira tepat-tepat.

“Guest resort!” bohong Azmira.

“Tak tahu pulak guest resort boleh dapat layanan istimewa. Siap boleh makan sama?” Syukri jungkit kening.

Azmira hela dan hembus nafas. Entah kenapa dia rasa Syukri sengaja nak cari pasal. Tak puas lagi menyebabkan air mata dia tumpah malam tadi.

Sekarang ni nak apa pulak? Bukankah sudah terang lagi bersuluh dia minta dilepaskan malam tadi?

“Kalau macam tu, abang nak minta layanan istimewa jugaklah. Abang nak Mira teman abang makan.” Syukri masih pakukan pandangan kepada Azmira.

Kenapa dia rasa Azmira tetap nampak manis dan menawan walaupun dia sedang tarik muka sekarang ini? Ah, inilah akibatnya kalau kita sukakan seseorang. Semuanya nampak cantik dan sempurna sahaja.

“Minta maaflah, Mira baru je makan. Kenyang lagi.” Azmira tolak dengan muka sombong. Tak ingin dia nak duduk makan dengan Syukri.

“Abang bukan suruh Mira makan, abang kata temankan abang makan.” Syukri cakap lambat-lambat.

Tengok? Perangai puaka Syukri dah mula balik. Sengaja nak mendera mental Azmira nampaknya. Azmira ketap gigi. Geram sungguh dengan muka berlagak tak boleh blah Syukri tu. Rasa nak cakar-cakar je muka stone dia tu!

“Erm, kalau tak sudi tak mengapalah. Abang tak suka nak paksa orang.” Syukri buat nada berjauh hati.

Azmira diam. Kalau Syukri nak dia teman makan tengah hari di sini memang tak logik sangat. Setahu dia semua warga EasyJet AirLines sudah pun makan tengah hari. Makanan yang ditempah khas itu dihidangkan secara buffet untuk kakitangan bawahan berserta keluarga mereka. Kakitangan atasan pula disediakan bilik khas, siap ada pelayan lagi. Takkan dia belum makan?

Syukri melangkah setapak demi setapak menghampiri Azmira. Dia tahu Azmira takkan sudi duduk semeja dengannya pun di sini. Pastilah Azmira tak nak orang tahu hubungan mereka. Lelaki tadi nampak mesra benar dengan Azmira. Bukan Syukri tidak dapat mentafsir apa isi hati lelaki itu. Dia lebih daripada faham dengan pandangan ‘kasih sayang’ yang lelaki itu zahirkan melalui matanya. Dia kan lelaki, siapa yang lebih faham hati lelaki kalau bukan kaumnya sendiri?

“Betul Mira nak kita bercerai?” Syukri berbisik ke telinga Azmira.

“Be… betul!” Azmira anggukan kepala.

“Muktamad? Tak nak fikirkan semula?” Syukri pandang Azmira dengan hati geram. Kerasnya hati perempuan depan dia ini.

“Tak nak!” jawapan tegas Azmira bersama gelengan kepala buat hati Syukri bertambah geram.

“Kalau macam tu datang rumah abang minggu depan. Kita berbincang!” Serentak dengan itu Syukri letakkan sekeping kertas berlipat ke tangan Azmira.

“Kenapa nak kena datang rumah? Kita selesaikan di pejabat agama sahajalah,” tutur Azmira dengan berani.

“Talak di tangan abang ke di tangan Mira?” Soal Syukri sambil matanya dipakukan tepat ke wajah Azmira. Langsung terdiam isterinya itu.

“Mira yang berhajat. Jadi ikut cakap abang.” Habis cakap Syukri bergerak ke keretanya. Dia mahu pulang ke rumah. Di sini pun dia tak dapat ketenangan. Serabut!

Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia heret Azmira balik sekali dengan dia. Sudah hampir dua tahun Azmira lari meninggalkan rumah. Ingatkan Azmira sudah berubah, mana tahu isterinya itu sudah insaf dan bermuhasabah diri. Rupanya Azmira tetaplah Azmira. Sikit pun wanita itu tidak berganjak daripada keputusannya. Hati Syukri mendongkol geram.

Mesti sepanjang dua tahun ni Azmira langsung tak pernah pulang ke rumah arwah mama dan papanya. Jika tidak pasti Wan Mah akan beritahu dia. Syukri ada tinggalkan pesanan buat Wan Mah supaya berikan Azmira nombor telefon dan alamat rumah baru mereka. Kerasnya hati Azmira, tidak rindukah pada rumah tempat dia dibesarkan? Tidak rindukah untuk menjengah pusara mama dan papanya? Syukri jadi pening kepala memikirkan tentang Azmira.

“Abang nak tengok, sejauh mana Mira boleh lari. Kita tengok siapa yang akan menang nanti,” ujar Syukri sambil menepuk stereng kereta.

Ada jalan senang, Azmira mahu jalan susah. Dia takkan mudah-mudah tunduk dengan permintaan Azmira. Akal dia mula merancang, apa yang mahu dia lakukan kepada Azmira. Bibir mula menguntum senyum apabila ada idea yang mula menjengah di kepala. Pedal minyak ditekan supaya pemanduan menjadi lebih laju. Dia mahu cepat sampai ke rumah. Kali ini dia nekad. Tunggu sahajalah nasib kau Azmira!


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7


BELI NOVEL SEKALI AKAD KULAFAZ (PENULIS: JAZZMEEN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *