PINTU kaca Azmira tolak perlahan. Belum sempat dia ayun langkah, tiba-tiba ada tangan memaut pinggangnya. Tak cukup dengan itu, tubuhnya dipeluk rapat sampai kaki tak terasa menjejak lantai.
“Abang!” Pucat muka Azmira apabila nampak wajah ketat orang yang memeluknya. Ahmad Syukri Iman, bagaimana mereka boleh terserempak di sini?
“Hah! Kenal pun abang, ingatkan dah tak kenal…” Sinis suara tersebut masuk ke telinga Azmira
“Errr… errr… lepaslah!” Dia cuba meronta-ronta untuk melepaskan diri. Jangan kata nak lepas, makin ketat lagi ada la.
“We need to talk!” Syukri bisik ke telinga Azmira.
Tangan masih merangkul erat pinggang Azmira. Dia tak peduli pun pandangan pelik orang yang lalu lalang. Dia bukan peluk perempuan sembarangan, ini isterinya! Isteri yang dah hampir sebulan dia cari. Kalau mereka tak percaya dia boleh tunjuk kad perakuan nikah yang baru saja dia dapat dari pejabat agama. Azmira memang tak ada kad tersebut sebab belum apa-apa, isterinya ini dah lari!
“Nak cakap pasal apa?” Azmira buat-buat berani menentang mata tajam milik Syukri yang memandang dia bagaikan helang mahu menyambar mangsa.
“Pasal ni!” Syukri keluarkan kertas berlipat dari dalam sakunya dan tunjuk depan muka Azmira.
Seketika terdiam, Azmira cuba meronta.
“Kalau pasal tu, Mira tak ada apa nak cakap. Mira dah tulis semua dalam tu!” Tangan Syukri ditolak kuat.
“Lepaskan Mira.” Apabila rangkulan sudah terlepas, Azmira terasa lega. Gila kuat tenaga Syukri, sampai dia rasa semput nak bernafas.
Tapi Syukri tak lepaskan Azmira sepenuhnya, lengan isterinya dipegang sungguh-sungguh.
“Apa maksud surat ni?” Syukri masih mahukan penjelasan. Kertas yang sudah ronyok ditayangkan ke depan muka Azmira.
“Takkan abang tak faham?”
“Tak, abang tak faham. Abang nak Mira balik dan terangkan kat abang apa makna surat ni!” Syukri tekan suara.
“No, Mira takkan balik. Never!”
“Jangan degil Mira, sabar abang ada hadnya!” Gigi Syukri kacip kuat tanda geram.
“Mira nak abang ceraikan Mira!”
“Jangan buat permintaan yang tak masuk akal, Azmira Muzfirah!” Syukri pandang si isteri macam nak telan orang.
“Perbuatan abang tu yang tak masuk akal. Mira benci abang… benci!” Azmira rentap lengannya sehingga terlepas daripada pegangan Syukri. Dia terus berlari meninggalkan lelaki itu dan menghilang ke dalam kereta.
Syukri yang tak bersedia hanya mampu terpaku melihat kereta Myvi putih itu dipandu laju meninggalkantempat tersebut tanpa dia sempat terfikir mahu melihat plat nombornya pun!
“Mira…” Suara itu tersekat di kerongkongnya.
Syukri raup wajah dengan kedua-dua tangan. Hampa.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5 • BAB 6 • BAB 7
BELI NOVEL SEKALI AKAD KULAFAZ (PENULIS: JAZZMEEN)