Sekali Akad Kulafaz – Bab 5

JAM lapan malam Azmira sudah ada di pejabatnya semula. Dari sini dia boleh memerhatikan keseluruhan kawasan resort sehinggalah ke pantai. Masih belum ramai yang berkumpul di tepi kolam renang. Cuma para pekerja F&B yang kelihatan sibuk ke sana ke mari. Mahu memastikan acara berjalan lancar. Selain acara makan-makan ada juga pentas kecil di situ. Azmira agak sebelum acara karaoke bermula tentulah orang atasan EasyJet AirLines mahu memberikan ucapan.

Azmira mengenakan gaun labuh berwarna krim dengan corak bunga-bungaan di biku baju dan lengan. Gaun kain sifon itu dikenakan dengan inner berwarna putih. Shawl glitter dwi warna krim dan coklat dililitkan ke kepala. Dia nampak sangat anggun malam ini walaupun sekadar merias nipis wajah dengan bedak kompak dan gincu merah jambu kegemarannya.

Laptop dihidupkan. Sementara dia menunggu masa yang sesuai untuk turun ke tepi kolam renang tu ada baiknya dia update kerja dia sekejap. Satu hari ni dia sibuk berjalan ke sana ke mari sampai rasa tegang betisnya. Malam ni ingatkan bolehlah berehat. Apakan daya!

Ralitnya dia bekerja sampai tak sedar jam sudah menghampiri sembilan malam. Itu pun setelah Tengku Nelly menelefon sebab dia tak nampak kelibat Azmira di mana-mana katanya. Pantas Azmira shutdown laptopnya dan disimpan dalam laci. Lampu bilik kerjanya ditutup dan pintu dikunci.

Azmira membetul-betulkan pakaiannya dan melangkah perlahan. Entah kenapa dia rasa tak sedap hati je ni. Ya-ALLAH, minta-mintalah tak ada kejadian yang tak diingini terjadi dalam majlis makan malam para tetamu malam ini. Nak-nak lagi apabila Tengku Arif Shah pun khabarnya akan turut serta. Aduhai.

BOSAN! Itu yang Ahmad Syukri Iman rasakan ketika ini. Ikutkan hati dia memang tak mahu ke mari. Buang masa! Lagipun dia memang tak minat nak bercampur gaul dengan orang ramai. Dia lebih suka buat hal sendiri. Tapi Tengku Nelly ni mana boleh tengok dia senang! Dia sengaja tak ikut konvoi ke mari tadi. Apabila lihat dia tidak ada Tengku Nelly call dan paksa dia datang juga. Siap gunakan nama CEO mereka lagi. Kononnya Tan Sri Adam yang bertanya tentang dia.

Rasanya dah naik kembung perut dia minum jus oren ni. Tadi dia cuma ambil sesenduk nasi goreng dan dua ekor udang. Itu pun tak habis dia makan. Tak tahulah kenapa, sejak isterinya lari dia jadi manusia yang suka menyendiri. Parti, kenduri-kendara ataupun sebarang majlis yang melibatkan kehadiran orang ramai akan cuba dijauhi. Kalau boleh, dia mahu hidup di planetnya sendiri.

“Bos, nak makan apa-apa lagi tak? Saya boleh ambilkan.” Setiausaha dia Nida, menawarkan khidmat. Ahmad Syukri Iman hanya menggelengkan kepala. Bagi dia tak perlulah Nida ambil berat hal dia di sini. Bukannya mereka dalam waktu bekerja pun.

“It’s okay Nida. You pergilah join dia orang yang lain. I nak bersendirian!” Itulah puncanya dia duduk di ceruk yang agak gelap dan tersorok di penjuru kolam renang ini.

Nida berlalu pergi. Ahmad Syukri Iman angkat gelas ke mulut. Dia rasa panas malam ini. Dahaga pun ya juga. Itu yang dari tadi dia asyik minum je. Gelas di tangan yang kosong diletakkan atas meja. Dia baru bercadang mahu kembali ke vila apabila dia nampak kelibat seseorang yang sedang berjalan ke arah kolam renang.

Siapa gadis yang sedang tersenyum manis itu? Tengku Nelly menyambut kedatangan gadis itu dan mereka berpelukan seketika. Apa yang Ahmad Syukri Iman pasti, gadis itu bukanlah salah seorang pekerja EasyJet AirLines. Entah kenapa ya, gaya gadis itu berjalan mengingatkan dia kepada seseorang. Maka Ahmad Syukri Iman terus memerhatikan gelagat gadis tersebut.

Matanya masih tidak lepas memerhatikan si gadis yang kemudiannya menghampiri Tengku Arif Shah. Mereka bertegur sapa seketika dan kemudian si gadis menyapa pula Tan Sri Adam. Dia nampak Tengku Nelly yang berpusing dan mencari-cari seseorang. Ketika ternampak dia yang sedang berdiri Tengku Nelly melambaikan tangan. Dia turut mengangkat tangan dan kemudian dia lihat Tengku Nelly dan gadis itu berjalan menuju ke arahnya.

“Syuk! You nampak macam bosan aje?” Tengku Nelly menegur dengan manja sebaik tiba di depannya.

Syukri rasa rentak jantung dia sudah tidak sekata sebaik matanya menyapa wajah si manis yang sedang tunduk. Syukri tahu, si manis itu pasti kenal akan dirinya.

“Bosanlah juga. Tak ada teman berbual.” Ahmad Syukri Iman pakukan pandangan kepada si manis yang masih pura-pura memandang lantai.

“Oh, kenalkan. Cik Mira dari resort ni. Kawan baru I ni. Mira, boleh tak you temankan Encik Ahmad Syukri Iman ni makan dan berbual. I nak uruskan sesuatu, nanti dah siap kerja I, I datang balik.” Tengku Nelly pandang Azmira dengan senyuman mengharap. Syukri yang sendirian, Mira yang keseorangan, jadi pada Tengku Nelly apa salahnya mereka berdua duduk dan berbual-bual bersama.

Azmira rasa nak pengsan ketika dia dengar Tengku Nelly menyebut nama penuh lelaki di depannya ini.

‘Ya-ALLAH, bukankah ini lelaki yang ku cari-cari selama ini? Mengapa sesudah aku bertemu dengannya hatiku rasa tak kuat?’ Azmira rasa macam nak hilangkan diri sekelip mata.

“Jom Cik Mira kita ambil makanan. Lepas tu kita berbual-bual. Tentu Cik Mira ada banyak benda yang nak diceritakan kepada saya.” Sengaja Syukri menekan perkataan cik yang disebutnya tadi. Azmira panggung kepala, Tengku Nelly dah tak ada rupanya.

“Shall we?” Syukri buat gaya tangan minta Mira berjalan mendahului. Dia berjalan rapat di belakang Azmira. Dia takkan lepaskan Azmira kali ini.

“Diet?” Syukri bertanya sebaik dia lihat isi atas pinggan Azmira.

Seekor ikan kembong bakar, seekor udang dan juga seekor sotong. Azmira hanya gelengkan kepala. Syukri pun apa kurangnya. Dia cuma ambil pencuci mulut sahaja.

“Makanlah.” Syukri angkat muka pandang Azmira seketika dan kemudian pandang arah pentas.

Peserta pertandingan karaoke dah mula menyanyi. Suasana di meja mereka ini agak suram dan kelam kerana jauh dari tepi kolam renang. Namun Syukri sangat suka berada jauh daripada orang lain. Lebih-lebih lagi hanya mereka berdua di sini.

“Mira… where have you been?” Rasa nak putus tangkai hati Azmira apabila Syukri bertanya dengan nada perlahan. Menyebut nama dia dengan bunyi penuh kelembutan dan kasih sayang.

“Dah hampir dua tahun saya di sini.” Azmira pandang pinggan depan matanya tanpa ada selera untuk menjamahnya. Selera dia terus mati.

“Dah lama abang cuba cari Mira. Tak sangka kat sini Mira menyorok rupanya.” Syukri buat-buat ketawa. Patutlah, walaupun hatinya berat mahu ke mari namun kakinya ringan sahaja melangkah meninggalkan rumah. Rupanya di sini dia berjumpa dengan ‘kenangan silamnya’.

“Mira tak menyorok! Mira bekerja di sini!”

“Kenapa Mira tak pernah balik? Tak ingat mama dan papa lagi dah?” Syukri pandang wajah manis Azmira di depannya.

Dia akui, Azmira nampak berbeza, isterinya itu kelihatan lebih menarik dan berkeyakinan ketika bercakap. Tidak lagi malu-malu seperti gadis pingitan yang pernah Syukri kenal dulu. Azmira kelihatan matang dan cantik!

Azmira tunduk. Memang dia ingkar masa Syukri suruh dia balik ketika mereka terserempak depan Maybank di Cyberjaya tu. Masa tu baru sebulan dia tinggalkan rumah dan ikut Mila ke sini. Dia tak pernah terfikir nak balik sehinggalah Hafeez kerap mengasak dia dengan soal kahwin.

Lima enam bulan lepas dia ada ke rumah mentuanya itu, tapi mereka sekeluarga sudah berpindah. Jiran pun tak tahu ke mana mereka berpindah, sudah agak lama katanya dan ada orang lain yang menghuni rumah itu.

“Mira ada balik sebenarnya, tapi rumah tu…”

“Ya, rumah tu dah dijual kepada orang lain. Lepas Mira pergi mama dah tak boleh tinggal di situ lagi. Siang malam dia teringatkan Mira. Siang malam mama berendam air mata risaukan Mira. Ray sampai nak bagi abang penumbuk dan tak boleh nak pandang muka abang lagi dah. Dia orang salahkan abang sebab Mira lari.” Bergetar suara Syukri ketika mengeluarkan ayat-ayat daripada mulutnya.

Elok Syukri habis bercakap suara Tengku Nelly kedengaran.

“Ni I bawakan buah-buahan untuk pencuci mulut. Syuk, layan Mira baik-baik tau! Dia ni pemalu orangnya.” Tengku Nelly letak sebiji pinggan berisi buah-buahan atas meja.

“Oh, pemalu rupanya Cik Mira ni. Well… I can see that.” Syukri bersuara sinis.

“You jangan nak buli dia ya! Dia tetamu VVIP I malam ni. Sorry ya Mira I tak dapat layan you. I busylah pulak malam ni. You tak kesahkan duduk dengan Syuk. Oh… lupa nak beritahu you. Syuk nilah pengurus operasi yang datang lambat tadi. Sampai I kena ambilkan kunci vila dia tu.” Tengku Nelly menerangkan sambil senyum lebar.

Entah kenapa Azmira rasa Tengku Nelly mesra bukan main lagi dengan Syukri. Panggilan nama Syuk tu selalunya digunakan oleh orang yang rapat dengan Syukri. Mereka ni ada apa-apa ke?

“I janji takkan buli dia. I tak sanggup buli gadis secantik dia ni. I baru je nak buat sesi perkenalan dengan dia. Boleh kan Cik Mira, kita berkenalan?” Syukri bersuara senormal mungkin. Dalam hati hanya ALLAH SWT yang tahu, macam-macam perasaan ada. Semuanya bercampur baur.

“Bolehkan Mira, you temankan boyfriend I ni?” Tengku Nelly kelihatan begitu ceria.

Mana mungkin Azmira akan menggelengkan kepala. Maka dia hanya mengangguk sahaja sambil pamer senyum buat Tengku Nelly yang cantik jelita itu.

“Kalau you nak tahu, Syuk ni kesayangan Tan Sri Adam. Mana ada pengurus operasi yang muda macam ni? Bertuahlah badan sebab diberi kepercayaan. Maklumlah, orang berkebolehan.” Tengku Nelly sempat mengiklankan tentang Syukri.

Azmira hanya mampu ukir senyum dan anggukan kepala. Tak sangka, Syukri begitu berjaya dalam kerjayanya. Tak sia-sialah Syukri mengutamakan kerja.

Seminar dan kursus di sana sini sampaikan mama dan papa mentua kemalangan dan meninggal dunia pun dia tak balik. Utamakan kerja sampai rumah tangga berantakan. Wajarlah Syukri berada di kedudukannya kini, sehinggakan dia sanggup korbankan segala-galanya demi kerja.

Oh, Azmira lupa. Hubungan mereka jadi begini kerana Syukri ada perempuan lain. Atau lebih tepat lagi, Syukri ada isteri lain selain daripadanya. Itulah puncanya mengapa dia lari.

Syukri kahwin dengan dia atas permintaan keluarga dan Mona itu pula perempuan yang dia cinta dari zaman universiti lagi. Tak lama lepas mereka bernikah, Syukri bernikah dengan Mona pula. Jadi, buat apa Azmira tunggu lagi?

“Okeylah, I pergi dulu! Jumpa you all nanti.” Tengku Nelly melambai pergi. Azmira senyum dan membalas lambaian Tengku Nelly yang sangat ceria orangnya.

“Jangan percaya cakap dia. Abang bukan boyfriend dia,” terang Syukri. Dia tidak mahu Azmira salah faham lagi.

Azmira buat tak dengar. Dia tak minat nak tahu pun. Tapi kalau betul Tengku Nelly tu girlfriend Syuk, memang gatal nak mampuslah lelaki depan dia ni. Dah ada dua isteri pun masih nak bergirlfriend bagai. Rasa nak aje potong-potong badan Syukri ni dan campak dalam laut bagi jerung makan!

“Mira… err… Mira nak makan lagi tak?” Syukri bertanya apabila Azmira hanya mendiamkan diri. Makan minum tidak, bercakap apatah lagi.

Azmira gelengkan kepala. Ikutkan hati nak bernafas pun rasa tak larat dah ni. Tak cukup oksigen untuk disedut rasanya. Boleh tak dia nak balik je? Anggap aje pertemuan dia dengan Syukri hari ini tidak pernah terjadi.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7


BELI NOVEL SEKALI AKAD KULAFAZ (PENULIS: JAZZMEEN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *