DALAM hidup Tihani ada banyak kesalahan yang dia lakukan yang mana kesalahan itu amat dia kesali. Namun, ada beberapa hal yang menurut banyak orang, hal yang dilakukannya itu sebuah kesalahan tetapi berbanding terbalik dengan pendapatnya. Ada dua hal yang paling utama.
Pertama, menjadi isteri Khai.
Kedua, sewaktu TUHAN berikan dia kesempatan untuk merasakan nikmat menjadi seorang ibu.
Jujur berada dalam dua fasa yang berbeza, daripada isteri kepada bekas isteri, kemudian bakal ibu kepada ibu memberikan pengalaman yang sangat bermakna dan terkesan getir cabarannya. Meskipun begitu dia tetap ingin menekankan dia tidak pernah menyesal berada di fasa itu. Dia tidak menyesal menikah dengan Khai, namun menyesali mengapa pernikahan mereka perlu berakhir begini.
Tihani masih ingat hari itu dia keluar bersama Dayn. Sebenarnya mereka tidak berjanji, kebetulan mereka terserempak di luar sewaktu dia sedang berbelanja barang dapur, sementara Dayn entah membeli kelengkapan apa. Pokoknya mereka hanya terserempak, terlarut dalam perbualan singkat yang membawa mereka ke sebuah kafe dan berlanjutan beberapa jam. Mereka cuma duduk berbual kosong. Ketawa-ketawa sambil menjadikan kisah lalu mereka sebagai bahan olok-olokan.
Tihani rindu kebersamaannya dengan Dayn. Bukan sejenis rindu membara seorang wanita terhadap lelaki, lebih kepada rindu seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain. Hubungan mereka yang sebelum ini rapat perlu dijarakkan kerana Khai cemburu berat dengan kehadiran Dayn dalam hidupnya.
Sebetulnya tiada apa yang perlu dicemburukan. Dia dan Dayn adalah definisi cinta sebelah tangan yang tak mungkin bersatu. Dia di pihak yang mencintai, Dayn di pihak yang tidak mencintai. Tetapi itu dulu, ditegaskan D.A.H.U.L.U sebelum dia bertemu Khai. Setelah hadirnya Khai, cintanya pada Dayn berakhir begitu saja. Dayn yang biasanya tak begitu peduli sewaktu pertunangan mereka menjadi seorang lelaki yang begitu budiman setelah putusnya pertunangan mereka. Aneh, bukan?
“Mungkin sebab kita hanya sesuai jadi sahabat.”
Tihani menyedut kopi susu campuran hazelnut yang semakin menyusut di dalam gelas. Dia angguk, setuju dengan pendapat Dayn. Seandainya saja dia tidak terlalu mementingkan diri dahulu, mungkin mereka berdua sudah bahagia dengan pasangan masing-masing. Dia dengan Khai, Dayn pula dengan Adrina.
“Sudahlah. Benda dah lepas. Tak payah nak menyesal,” pujuk Dayn setiap kali dia mengungkit hal itu.
“I kesian dengan you, Dayn. Sampai bila you nak macam ni? You tak nak move on ke? Buka hati you untuk perempuan lain?”
Dayn hanya menatap wajahnya dengan pandangan yang sukar untuk dimengertikan. Tak lama selepas itu Dayn menarik nafas panjang sembari menggeleng. Banyak yang boleh diertikan dengan hanya sebuah gelengan. Namun, Tihani hanya mahu mengambil satu kesimpulan.
“Sepayah itu ke you nak melupakan seorang Adrina?”
Dayn melempar senyum tipis. Dayn yang biasanya sengal kerana suka mengusik akan terlihat berjuta kali maco dalam versi serius. Dan ketika itu tampangnya pasti mampu menggetarkan hati beribu wanita di dunia ini. Dia salah seorang yang rusuknya pernah bergetar disebabkan seorang Dayn.
“You tak bosan ke menunggu sesuatu yang tidak pasti?”
“Maksud you Adrina ke?”
Tihani angguk. Siapa lagi kalau bukan Adrina? Bertuah sangat kalau ada perempuan lain yang boleh menggeser posisi Adrina di hati Dayn. Dia pun tak mampu. Membuat dia terpaksa berpatah arang berkerat rotan dengan perasaannya terhadap Dayn lalu memilih lelaki yang kononnya begitu mencintainya. Cinta apa kalau akhirnya memilih untuk melepaskan?
“I tak tunggu Rin.”
Kening Tihani terjongket. Like seriously, Dayn? Dengan dia pun nak membohong? Memang taklah dia nak percaya dengan omongan kosong Dayn. Ingat dia budak kecil yang boleh diperbodohkan?
“Dah nak masuk enam tahun. I dah tak berharap. Entahkan Adrina dah jadi isteri orang. Macam you cakap tadi berharap pada sesuatu yang tak pasti itu sakit.”
Tihani mencebik.
“Tak tunggu konon. Kalau tak tunggu, kenapa you masih jadi bujang terlajak sampai sekarang. I yang sikit punya perfect ni pun you reject!”
“I reject you? Bukan you ke yang putuskan pertunangan kita lepas you jumpa dengan Khai? You jangan nak cakap macam I yang tinggalkan you.”
“I tak nak kahwin dengan lelaki buta kayu macam you!” Tempelak Tihani.
“You kahwin dengan lelaki tak buta kayu pun you still tak happy juga. For your information cinta saja tak cukup untuk buat kita bertahan dalam sesebuah perhubungan. Banyak faktor lain yang akan mempengaruhi. You pernah dengar tak ayat, cinta tak semestinya memiliki. Itulah hidup kita sekarang, Hani. Cinta tak bermakna langsung bila TUHAN kata kita tak berjodoh.”
Hurm, entah sejak bila Dayn jadi bijak begini dalam soal yang melibatkan perasaan. Sebelum ini tak ada pula Dayn nak berlagak pandai seperti ini. Maklumlah lelaki buta kayu yang berhati kering.
Benar kata Dayn, cinta tak seharusnya memiliki. Sedalam mana pun rasa cinta di hati, jika semesta tidak merestui, cinta hanya akan menjadi sebuah perasaan yang sia-sia.
Dan cinta yang menurut Dayn tidak seharusnya dimiliki sekiranya memang telah ditakdirkan bukan jodohnya, tiba-tiba berubah menjadi suatu keajaiban.
Dia menjadi saksi akan keputusasaan Dayn dengan rasa cinta lelaki itu terhadap Adrina, sehingga akhirnya Dayn berjaya memiliki Adrina. Proses yang pasangan itu lalui begitu panjang dan penuh liku sehingga telah mengorbankan banyak hati. Dia salah seorang yang pernah terkorban hati dalam perjalanan Dayn mencari cahaya menuju kepada wanita yang kini menjadi belahan jiwanya.
Dayn sudah bahagia. Dia bila lagi? Begini-begini saja hidupnya. Sampai ke sudah tiada kesudahan.
Bosan dan sunyi. Adakala dia berasa tak berdaya. Sungguhpun begitu dia tidak ingin menyesali jalan hidup yang dia pilih.
Sudah pasti jalannya selepas ini dan kemudian hari tanpa ada Khai dalam masa depannya.
Hidup jarang berjalan mulus. Begitulah hidupnya. Tampak normal, namun TUHAN saja yang tahu tentang hatinya yang kini sedang cedera parah.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL SELAGI ADA CINTA (PENULIS: AK RAFFHAN)