PERUT sudah membulat, baby bump terlihat jelas. Baju-bajunya tak payah kiralah, banyak sangat yang tergantung di dalam almari langsung tak muat untuk dipakai. Bila pakai rasa macam pakai sarung nangka.
Baju tak muat padahal dia tak gemuk. Yang membuatkan baju jadi sendat kerana perutnya yang semakin besar. Kebanyakan pakaiannya mengikut bentuk badan. Bila perut membesar jadi tak selesa mengenakan baju sebegitu. Sudahnya dia membeli berhelai-helai baju baru yang bersaiz besar yang entahkan dipakai atau tidak pasca kelahiran bayinya nanti.
Ah, lantaklah! Belakang kira semua itu. Yang penting sekarang dia selesa dengan apa yang dipakai. Perutnya tak rasa terhimpit setiap kali dia mengenakan baju bersaiz besar.
Kasut lagilah tak usah cerita, satu pun dia tak boleh sarung lantaran kaki yang kian membengkak. Kakinya sakit setiap kali dia mengenakan kasut lama. Lagi-lagi jika memakai kasut yang tertutup. Mahu tak mahu terpaksa juga dia beli kasut baru.
Sekali-sekala dia merungut. Bukan tak gembira, hanya sedikit penat. Apatah lagi semua rasa itu dia tanggung sendiri.
“Huft!” Tihani membuang mengah. Dia duduk melepaskan lelah. Peluh di dahi yang mengalir dibiarkan begitu saja. Termengah-mengah dia mahu bernyawa.
Walaupun sudah dinasihatkan doktor supaya banyak berehat dan jangan melakukan kerja berat, dia tak boleh akur dengan saranan itu. Dia tak dapat tinggal diam tanpa melakukan sebarang pekerjaan.
Duduk diam akan membuatkan dia termenung. Apabila termenung dia akan teringatkan segala cerita. Cerita yang dikatakan kepada orang tak penting, tetapi meninggalkan tekanan yang begitu besar pada dirinya.
Dia stres! Setiap kali melakukan pemeriksaan dia akan dimarahi doktor. Jika tidak disebabkan berat badan yang menurun, pasti disebabkan tekanan darahnya yang selalu rendah.
Nak buat macam mana lagi? Suka hati doktor nak bebel ke apa, dia tadah saja telinga. Paling tidak pun dia tersengih-sengih macam kerang busuk.
“Kalau sayang baby, awak kena jaga kesihatan. Awak makan tak ubat saya bagi?”
Tihani angguk.
“Suami awak mana? Saya tak pernah lagi nampak suami awak sepanjang awak datang buat pemeriksaan.”
Tihani diam. Lama juga. Sampai berkerut dahi doktor. Nak cerita pasal suami pun jenuh nak kena fikir.
“Suami saya sibuk, doktor.”
“Sibuk sekalipun takkan tak boleh teman isteri buat pemeriksaan? Waktu macam sekarang merupakan masa-masa penting untuk pasangan berkahwin. Ini anak pertama awak, kan?”
Tihani angguk lagi.
Alahai, doktor ni kecoh sungguh! Banyak betul bunyinya. Tihani sudah mula nak ketap gigi. Geram dia tengok doktor separuh baya itu. Mujur doktor ini kawan tak berapa rapat ibu. Mahu tak mahu dia terpaksa dengarkan saja bebelan itu.
Tak kena batang hidung senanglah orang bercakap! Orang yang sempurna hidup, cukup lengkap ahli keluarga boleh cakap macam-macam. Dia yang melalui kehidupannya sekarang. Dia lebih tahu kenapa kehidupan dia tiba-tiba jadi porak-peranda seperti sekarang.
Tihani picit kepalanya. Berdenyut tak pasal-pasal. Tekanan ini bukan dibuat-buat. Ada orang bila nampak dia seperti ini, mereka menuduhnya mengada-ada. Terpaksa dia pekakkan telinga.
Dia tak minta perhatian sesiapa. Dia juga kalau boleh mahu bersendirian tanpa gangguan sesiapa. Apakan daya ada saja manusia busuk hati yang suka sekali melihatnya jatuh.
“Nak tarik perhatian Khailah tu!” Tuduh seseorang yang sedari dahulu memang tidak pernah suka padanya. Dia dianggap perempuan tidak baik. Tak pandai menguruskan rumah tangga. Hanya tahu berlawa tetapi tidak tahu menjaga suami.
Yalah, tentang dia semua tak baik. Semuanya nampak buruk. Maklumlah dia bukan perempuan pilihan.
Agaknya bersoraklah orang itu melihat hubungannya dan Khai yang sudah hancur. Berjoget-joget keliling rumah kerana terlalu gembira doanya dimakbulkan TUHAN.
“Kau memang perempuan tak sedar diri. Kalau kau pandai jaga laki, agak-agak dia ceraikan kau tak? Terfikir pun pasti takkan pernah.”
Herdikan itu sungguh menikam jantungnya sehingga berdarah-darah. Ada keinginan untuk melawan, tetapi tidak dilakukannya.
Dia lelah. Dia mahukan ketenangan. Susah sangat ke mahu memperoleh ketenangan itu? Apatah lagi sejak akhir-akhir ini dia selalu sangat teringat kenangan lama.
“HANI…”
Tihani mengeluh bosan untuk kesekian kalinya. Perasaan hendak tampar dan terajang orang makin menebal.
Dua tiga menjak ini dia kerap diganggu mamat tiga suku ini. Tak faham bahasa ke dia tak suka diganggu? Pergilah mengurat perempuan lain, buat apa terhegeh-hegeh nak berkawan dengan orang yang tak sudi?
“Hani, janganlah muncung macam tu. Tak cantik.” Dia ditegur dan dia tak suka ditegur oleh lelaki itu. Mulut dia, suka hati dialah nak buat macam mana pun!
“Hani…”
“Awak nak apa lagi?” Bentaknya geram. Sakit mata melihat muka mamat selenga seorang ini. Tak faham bahasa sungguh. Debik sebiji, niaya saja.
“Saya nak kita kawan,” jawab Khai mudah.
“Saya tak nak kawan dengan awak!”
“Kenapa pula tak nak? Tak baik tau menolak salam persahabatan saya,” ujar Khai dengan muka selamba.
“Bagilah saya peluang.” Dia menarik buku yang dibaca Tihani. Diangkat lalu dibelek sehelai demi sehelai.
Wow, Tihani suka Judith McNaught?
“Awak suka penulis ni?”
“Hesy, sibuklah!” Tihani terus merampas novel di tangan Khai.
“Saya pun suka penulis ni.”
Tihani kerling Khai. Macam tak percaya Khai suka penulis perempuan yang menulis genre romantik. Bukankah biasanya lelaki akan suka, paling tidak pun penulis seperti Nicholas Spark. Atau mungkin Dan Brown. Tihani tak begitu menyukai novel thriller. Tak banyak nama penulis genre thriller yang dia tahu. Nicholas Spark satu-satunya penulis lelaki antarabangsa yang dia suka. Itu pun disebabkan Nicholas Spark menerbitkan novel yang kena dengan genre pilihannya yang sudah semestinya romantik.
“Lagi seorang penulis saya suka. Susan Elisabeth Philips. Awak kenal tak? Julia Quinn? Hurm, siapa lagi ya? Cecilia Ahern? Awak pernah tak tengok movie Atonement tulisan Ian McEwan? Hurm, saya kurang berkenan dengan movie adaptasi sebab biasanya tak sama dengan kisah dalam novel. Tapi cerita tu saya suka.” Khai terus mengoceh. Habis nama penulis disebutnya. Adaptasi pun dia sibukkan juga. “Saya suka Keira Knightley. Eh, baru saya perasan muka awak iras muka Keira la! Muka saya ada tak macam James McAvoy?”
Khai gelak. Agaknya lucu dengan bicaranya sendiri. Muka Melayu tulen ada hati nak samakan dengan muka pelakon Scottish itu.
Tihani mendengus keras. Malas mendengar bicara Khai yang sangat mengganggu ketenangan. Merepek tak habis-habis.
“Awak nak suka penulis mana suka hati awak. Saya tak nak tahu. Sekarang ni saya minta jangan kacau saya boleh tak? Saya tak sukalah! Berapa kali saya nak bagitau awak, saya dah ada tunang.”
Tihani masukkan novel lama bertajuk Every Breath You Take itu ke dalam begnya. Niatnya mahu bersenang-senang di sini terbantut dengan kehadiran Khai.
“Relakslah. Saya nak kawan aje. Bukan nak mengurat awak…”
Muka Tihani merah padam mendengar kata-kata Khai. Apa maksud Khai? Khai nak cakap dia tengah perasan ke sebab Khai sibuk minta nak jadi kawannya?
Bencilah! Tihani hentak kakinya.
“Orang kata berkawan biar seribu, bercinta biar…”
“Masalahnya saya tak nak kawan dengan awak! Full stop!”
Dia tunjuk penumbuk pada Khai. Mana entah dia belajar perangai kurang ajar macam itu. Okey sikitlah kan, daripada dia tunjuk jari tengah.
DAYN tak cintakan dia, dia sudah lama tahu. Ada ketika terdetik di hatinya mahu memutuskan pertunangan mereka, tetapi dia tak mempunyai alasan yang kukuh untuk melakukannya.
“Lama-lama nanti dia sukalah tu…”
Jangan terkejut kalau ibunya tahu semua tentang retak hubungannya dengan Dayn. Dia tak pernah sorokkan apa-apa daripada pengetahuan ibunya.
Kala orang lain memilih sahabat sebagai tempat untuk meluahkan duka lara, dia pula memilih ibunya sebagai sahabat sejati tempat mencurahkan isi hatinya.
“Hani dah tak tahan, ibu. Dia memang layan Hani dengan baik, tapi dia terlalu kaku. Macam mana Hani nak teruskan hubungan dengan lelaki yang simpan nama perempuan lain dalam hati dia?” Adu Tihani dengan kepala terlentok pada bahu ibunya.
Semenjak papanya meninggal, ahli keluarga mereka hanya tinggal dia dan ibunya. Hubungan mereka yang rapat membuatkan dia tak segan-silu meluahkan segalanya.
Baik buruknya semua ibu tahu. Dan dia tak malu menangis setiap kali menceritakan rasa putus asanya terhadap Dayn.
“Kalau Dayn buat Hani putus asa, Khai pula macam mana?”
Tiba-tiba ibu menyebut nama Khai, dia tersentak. Panas mukanya, malu ditanya begitu.
“Hani suka Khai?”
Tihani terdiam. Dia belum tahu perasaan sebenarnya terhadap Khai. Hubungan mereka sejak akhir-akhir ini memang bertambah baik. Tak dinafikan dia tersentuh dengan layanan Khai yang melayannya bagaikan puteri.
Tipulah kalau dia kata dia langsung tidak terkesan dengan layanan Khai terhadapnya. Sering kali dia bandingkan Khai dengan Dayn, di mana pada akhirnya Dayn tidak pernah menjadi pemenang.
“Ibu setuju Hani putuskan pertunangan kalau Hani terima Khai. Kalau tak ada alasan yang kukuh, ibu segan nak putuskan pertunangan macam tu saja.”
“Hani tak tahu, bu… Hani belum yakin.”
Ibu menggenggam tangannya, seulas senyum terbit di bibir ibu.
“Kalau hati memang tak tahu, ambil wuduk, tanya TUHAN. Kadang-kadang jawapan tak datang melalui mimpi. Mana tahu selepas itu Hani tahu ke mana arah tuju hati Hani yang sebenar.”
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL SELAGI ADA CINTA (PENULIS: AK RAFFHAN)