Selagi Ada Cinta – Bab 3

JAWAPAN yang diminta Tihani sebenarnya memang tak pernah datang melalui mimpi. Boleh dikatakan sepanjang dia mencari arah tuju yang betul itu dia tidak pernah mimpikan Khai. Dia hanya mengikut kata hatinya yang entahkan betul atau tidak. Ketika itu dia tidak peduli. Dia hanya tahu dalam hatinya sudah terukir nama Khai, menggantikan tempat yang pernah menjadi persinggahan Dayn.

Sejujurnya ketika menjadi isteri Khai dia tidak pernah mimpikan Khai. Dia tidak ralat tentang itu. Khai sudah ada di sisi, untuk apa dia bermimpi lagi? Bukankah lebih elok kalau dia terus merealisasikan sesuatu yang hanya boleh dimimpikan oleh orang lain?

Kekesalan yang tidak dirasakan ketika masih menjadi isteri Khai, dilaluinya setelah mereka berpisah. Dia tidak mengerti mengapa dia hanya bermimpikan Khai pasca perpisahan mereka. Hidup ini memang aneh, bukan? Sama seperti hati yang sering merasakan perasaan yang tidak-tidak dan tak kena pada tempat.

Sebagai contoh pada saat ini seharusnya dia melupakan Khai, namun apa yang terjadi? Saban waktu dia teringatkan bekas suaminya itu. Kucar-kacir hidupnya. Susah nak menjemput tenang walau puas dipaksa.

Tihani membuang keluh yang sangat panjang.

“Nak apa lagi ni, sayang?” Soalnya setelah merasakan tendangan bayi dalam rahimnya. Perutnya yang memboyot diusap perlahan.

Beberapa ketika ini bayinya cukup aktif. Barangkali seperti dirinya juga, cuba untuk aktifkan diri yang sejujurnya semakin tidak bermaya.

“Ibu penatlah, baby. Kita rehat dulu, boleh?” Pujuknya kepada bayi dalam rahim yang tidak mahu duduk diam. Senak perutnya ditendang berkali-kali.

“Tak sayang ibu ke?”

Tubuhnya dibaringkan di atas sofa panjang. Tangannya terus mengelus perut. Berbaring seperti ini,  fikiran Tihani mula menerawang. Disebabkan inilah dia memaksa dirinya sentiasa aktif. Dia tidak mahu fikirannya terus berkelana memikirkan sesuatu yang tidak mungkin menjadi miliknya lagi.

“Kenapa bawa perempuan tu balik rumah mak? Dah berpisah buatlah cara berpisah. Tak payah nak berbaik-baik lagi.”

Tihani berhenti di hadapan pintu kayu itu. Dia menyorok di sebalik pintu yang separa tertutup sehingga bayangnya tak terlihat. Setelah itu dia mengintip dua  beranak yang sedang berbual dengan suara perlahan. Walaupun tahu perbuatannya salah, dia tetap tidak dapat menahan keinginannya untuk mengambil tahu topik perbualan mereka.

“Mak, tolonglah. Jangan macam ni. Hani tengah mengandungkan anak saya. Tanggungjawab saya pada dia takkan berhenti selagi saya hidup kat dunia ni.”

“Tanggungjawab konon! Perempuan tu dah cukup kaya. Dia tak perlukan perhatian Khai. Khai aje yang berlagak nak jadi hero. Lagipun dah banyak kali mak cakap mak tak sukakan perempuan tu. Kenapa Khai tak nak dengar cakap mak?”

Hati Tihani terhenyak. Dadanya berdebar-debar. Emak Khai sedang berbicara tentang dirinya.

Apakah kedatangannya ke rumah ini tidak dialu-alukan? Jika diikutkan hati, dia juga belum bersedia namun Khai begitu memaksa.

“Sekejap aje. Jumpa mak… Takkan dah tak sudi? Mentang-mentang bukan menantu lagi…” Pujuk Khai beberapa jam sebelum mereka ke sini.

Pastinya dia menolak, pusing dengan Khai yang tak habis-habis memujuk. Dia mengubah keputusan setelah melihat muka Khai yang terlalu monyok. Tak sampai hati mahu hampakan permintaan Khai yang tidak sebesar mana.

“Baby okey hari ni?”

Tihani menolak sewaktu Khai cuba menyentuh perutnya. Mereka sudah tidak seperti dahulu lagi. Seharusnya semua sentuhan fizikal meskipun sekadar sentuhan biasa perlu dihentikan. Apatah lagi dalam keadaan hatinya yang keras tidak mahu kembali kepada Khai.

“Okey…” Jawab Tihani pendek.

Setelah itu tiada lagi perbualan yang mengisi perjalanan mereka. Dia tahu Khai terasa, dan dia tidak berasa perlu meminta maaf.

Mata Tihani mengerjap. Dia masih mendengar suara emak Khai dan Khai sendiri bertegang leher mempertahankan pendapat masing-masing.

“Khai dengar sini baik-baik. Kalau Khai dah kemaruk sangat nak beristeri, pergi cari perempuan lain. Kalau Khai nak, mak boleh tolong carikan perempuan lain yang lebih baik. Tetapi kalau dengan perempuan tu, sampai mak mati pun mak takkan restu hubungan Khai dengan dia!” Tegas suara emak Khai.

“Mak…” Dia mendengar Khai bersuara, cuba memujuk emaknya lagi.

“Mak tak nak dengar apa-apa lagi! Kalau Khai betul-betul sayangkan mak, berhenti pujuk mak!”

Dia cuba tersenyum. Perasaan menyesal kerana termakan pujukan Khai mula dirasa. Sepatutnya dia biarkan saja Khai terasa, berkecil hati dengannya.

Mereka sudah tak punya apa-apa hubungan lagi. Mengapa dia perlu sibuk dengan urusan hati Khai?

“Hei, perempuan!  Kau dengar sini baik-baik. Kau jangan ingat sebab kau mengandung, aku akan restu hubungan kau dengan anak aku.”

Belum habis lagi rupanya emak Khai meluahkan perasaan sakit hatinya. Sebaik saja Khai beredar masuk ke dalam bilik, Tihani terus diserang dengan kata cacian.

“Entah-entah anak kau tu bukan anak Khai! Tapi kau pandai-pandai mengaku tu anak Khai. Budak jantan yang kau gila-gilakan tu mana? Kenapa kau tak pergi mengendeng dia? Kenapa kau sibuk nak goda anak aku lagi? Kau sedar diri tak dalam keadaan kau macam tu kau dah hodoh. Gendut! Ada hati nak goda anak aku! Huh, dasar perempuan murahan!” Cemuh emak Khai sambil sesekali matanya melilau menatap pintu bilik Khai yang tertutup.

Bimbang juga sewaktu dia sedang memberi amaran pada Tihani, Khai mendengar segala herdikannya. Tak pasal-pasal hubungannya dan Khai berantakan disebabkan Tihani. Padahal yang diharapkan adalah kehancuran hubungan Khai dan Tihani, yang mana saat ini sedang dilalui pasangan itu.

Tipu kalau Tihani kata hatinya tak terluka ketika bayi yang dikandungnya diragui oleh emak Khai sendiri.

Dia tahu emak Khai memang tidak sukakan dia, tapi dia tak pernah menduga sebenci ini perasaan emak Khai padanya. Patutlah sepanjang pernikahan mereka Khai jarang-jarang mahu mengajaknya balik ke rumah keluarga lelaki itu.

Boleh dikatakan Khai lebih suka balik ke rumah ibu Tihani berbanding balik ke rumah emaknya. Rupanya inilah sebab sebenar yang cuba disembunyikan Khai selama ini.

Dayn… Khai…

Tak ada seorang pun yang benar-benar mahukan dirinya. Tiada yang ikhlas dan bersungguh mahu memperjuangkan dirinya.

“Kenapa ya, baby?” Soal Tihani perlahan kepada diri sendiri. “Ibu jahat sangat ke?”

Kenapa terlalu sukar untuk meraih bahagia? Tak layak ke dia memperoleh walau secebis bahagia?

Perasaannya terlalu sedih. Perkataan yang emak Khai lemparkan kerap menghantui dirinya. Kadang-kadang terbawa sehingga ke alam mimpi.

Sadis sungguh. Pada saat dia sudah dapat mimpikan Khai, bukan mimpi indah yang dia kecapi sebaliknya mimpi ngeri yang membuatkan hidupnya semakin kelam.

Tihani memicit kepalanya yang berdenyut hebat.

“Hani…”

Suara Adrina! Dia memegang perutnya yang tiba-tiba kejang. Kenapa dengan perutnya?

“Hani! Ooo Hani!”

Pintu rumah diketuk bertalu-talu.

Ah, Adrina! Kenapa tiba-tiba menjadi sopan? Masuk sajalah seperti biasa.

“Rin!” Panggil Tihani, tidak terlalu kuat.

Pintu rumahnya tidak berkunci. Berharap sangat Adrina tidak pulang, menerobos masuk mencarinya di dalam rumah.

“Ya ALLAH, sakitnya…”

Tihani terduduk sambil memegang pinggangnya yang sakit. Kepalanya menunduk ketika merasakan celahan kangkangnya mengalirkan cairan. Bukan ketuban, belum masanya lagi.

“Adrina!” Jeritannya melengking.

Jeritan itu bukan hanya jeritan penuh ketakutan. Berbaur dengan rintihan kesakitan.

Cepatlah masuk, tolong dirinya. Tolong bayinya.


PROLOG  BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4   BAB 5


BELI NOVEL SELAGI ADA CINTA (PENULIS: AK RAFFHAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *