TIDAK cukup tanah Khai berlari, terkejar-kejar mencari blok bangunan yang harus dituju. Dadanya tak usah cakaplah, paluan debar seakan memberi isyarat jantungnya bakal meletup bila-bila masa.
“Rin jumpa Hani pengsan kat ruang tamu tadi. Dia tumpah darah.”
Bicara Dayn terngiang-ngiang di telinganya. Tihani… Haninya. Janganlah sesuatu yang buruk menimpa wanita yang sangat dia cintai itu.
“Kau relaks, jangan gopoh!” Pesan Dayn sewaktu menghubunginya.
Bagaimana mungkin dia mampu bertenang? Dia sudah cuak dan takut separuh mati mendengar perkhabaran yang Dayn sampaikan.
“Kau bawa kereta elok-elok. Jangan Tihani kat sini tak apa-apa, kau pula yang mati accident,” nasihat Dayn betul, tetapi bunyinya sungguh kurang ajar. Seperti berdoa dia ditimpa kecelakaan pula.
Sepanjang perjalanan, dia cuba bertenang. Dayn memang benar, dia patut tenangkan diri jika mahu selamat sampai berjumpa Tihani. Malangnya dia tak mampu bertenang.
Seraut wajah Tihani asyik terbayang di ruang mata. Wajah cantik yang selalu menghiasi mimpi-mimpi indahnya. Wajah sama saban masa tak pernah dilupakan waima cuma sedetik.
Dia terlalu mencintai Tihani. Dan dia yakin Tihani juga mencintai dirinya. Dia masih mampu melihat kobaran api cinta di sebalik pancaran mata Tihani yang semakin suram. Sehingga ke detik ini dia tidak faham mengapa setiap kali dia cuba berbaik-baik dengan Tihani, wanita itu tetap berdegil tidak mahu memberinya peluang kedua.
“Saya dah tak cintakan awak!”
Tihani kalau marah semua kata panggilan keluar. Awak, saya, I, you… Dia terima saja. Janji Tihani mahu bercakap dengannya.
Ah, kata dulang paku serpih. Suatu ketika dahulu dia pun begitu bila marahkan Tihani. Bahkan sewaktu dia menalakkan Tihani, wanita itu diawakkan saja.
“Bohong…”
Tihani mencebik. “Awak tengoklah nanti lepas dah bersalin, saya akan buktikan pada awak!” Ucap Tihani bersemangat.
Khai jongket keningnya, senyum senget penuh kesinisan. Tihani nak buktikan dengan cara bagaimana? Sementelah Tihani juga cinta padanya. Dia yakin tunggu masa saja mereka akan berbaik semula. Tak sekarang, akan datang nanti. Dia tak peduli bila. Dia sanggup menunggu Tihani asal jangan sampai dia meninggalkan dunia sebelum waktu itu tiba. Kalau boleh dia mahu menjadi milik Tihani sehingga ke akhir hayatnya.
“Awak tak percaya?” Soal Tihani geram.
Khai malas melayan bicara Tihani kerana dia tahu jika dia terus melayan Tihani, yang sakit hati di akhir pertelingkahan mereka adalah dia juga. Tihani punya seribu cara untuk membuatkan dia bahagia dan sakit hati dalam masa yang sama.
Tihani mengetap bibirnya. Muka Khai direnung tajam. Tak peduli Khai nak dengar atau tidak apa yang ingin dia katakan, tapi dia akan buktikan dia mampu hidup tanpa Khai.
“Awak tengoklah nanti. Lepas saya habis pantang, saya akan cari lelaki yang lagi baik daripada awak. Lepas tu ajak dia kahwin dengan saya! Jadi bapak anak-anak saya!”
Kan Khai dah kata, Tihani memang cukup pandai dalam bab menyakitkan hatinya.
Khai mengepal penumbuk. Tak kiralah sekarang ke, lepas habis pantang nanti ke, sampai rambut dia dah beruban ke, selagi dia hidup dia akan pastikan Tihani tetap jadi miliknya. Tihani hanya akan mempunyai anak dengannya seorang. Anak mahupun anak-anak, semua akan berbin dan berbintikan dia.
“KAU tak boleh masuk!” Dayn menarik baju Khai yang cuba masuk ke dalam dewan bedah.
Khai suka sekali melakukan tindakan bodoh tak masuk akal. Terlalu ikutkan kata hati yang tidak semestinya benar.
Eh, kau bukan macam tu juga ke dulu? Sempat lagi fikirannya memerli diri sendiri.
“Lepaslah!”
Adrina yang menjadi pemerhati sedari tadi semakin pusing. Aishah menyorok di belakangnya, takut melihat perbalahan papa dan Uncle Khai.
“Lepaskan aku! Aku nak masuk tengok Hani.”
Khai meronta-ronta sembari cuba menolak Dayn yang menghalang laluannya. Bukan sesuatu yang mudah kerana Dayn terlalu kuat dan tegap. Tak terlawan Khai yang masih tercungap-cungap lantaran berlari sewaktu mendaki anak tangga tadi.
Ada lif, cuma dia tak sanggup menunggu. Dia ambil keputusan untuk menggunakan tangga saja, lebih cepat.
“Tak bolehlah! Eh, aku hempuk juga kau ni! Degil betul!”
Ada juga yang betul-betul kena tumbuk dengan Dayn ini nanti. Tak faham bahasa sungguh!
“Tolonglah aku…” Cara kasar tak berkesan, Khai merayu pula.
Perasaan ini bukan dibuat-buat. Dia mahu berada di sisi Tihani yang sedang bertarung nyawa demi melahirkan buah cinta mereka.
“Kau jangan buat gilalah, Khai!” Dayn semakin berang menghadapi Khai. Tak boleh ke Khai diam-diam? Tunggu sampai Tihani selamat melahirkan bayi mereka.
Ini tidak, dari tadi asyik berkeras mahu masuk menemani Tihani di dalam. Khai ni sedar situasi ke tidak? Ke Khai sebenarnya mengalami amnesia? Kepala terhantuk parah sebelum datang ke hospital tadi.
“Aku nak tengok isteri aku. Aku nak teman Hani…” ucap Khai sayu.
“Duduk kat sini,” arah Adrina pada Aishah. Aishah didudukkan di kerusi menunggu. Meskipun ketakutan Aishah tetap mengikut perintah Adrina.
Dayn dihampiri. Lengan Dayn disentuh lembut, kemudian ditarik supaya terlepas pegangan Dayn pada baju Khai.
“Khai, awak tak boleh masuk.”
Khai pandang muka Adrina dengan wajah sugul.
“Awak ingat kan situasi awak dengan Hani sekarang macam mana?” Soal Adrina hati-hati.
Soalan Adrina ingatkan Khai tentang satu kenyataan yang cuba dinafikan sekerasnya. Hari itu akhirnya tiba.
Khai bersandar lemah pada dinding hospital. Perlahan-lahan tubuhnya menggelongsor sehingga terduduk. Matanya terpejam, tangannya terkepal.
Wanita di dalam bilik itu, yang sedang berusaha sekuat tenaga melahirkan bayi yang disangka bakal menjadi penguat cinta mereka, bukan lagi miliknya.
Tihani hanyalah seorang wanita yang bergelar bekas isteri.
“Sekalipun awak masih suami Hani, awak tetap tak boleh masuk, Khai. Hani bukan bersalin normal. Bayi awak tak cukup bulan. Hani pula pengsan. Doktor kena operation Hani untuk keluarkan baby awak dan Hani,” jelas Adrina lembut. Wajah Khai yang terduduk lemas di atas lantai dipandang dengan penuh simpati.
Khai semakin terpukul apabila teringatkan hal itu. Baru dia teringat kalau mengikut jangkaan doktor hari ini bukan sepatutnya hari Tihani bersalin. Terlalu panik buat dia lupa pada kenyataan itu.
Pintu dewan bedah itu dipandang sepi. Dia bagaikan ternampak Tihani yang sedang terlantar. Bilah pisau menyentuh kulit perut Tihani yang memboyot.
Bayangan mengerikan itu tak mampu dinyahkan dari fikirannya. Semua itu pasti menyakitkan Tihani.
Di kerusi menunggu, Dayn dan Adrina saling menggenggam tangan. Khai yang sedang risau tak mampu dipujuk.
Mereka teringatkan bicara Tihani sewaktu terakhir kali berjumpa mereka.
SEPERTI biasa, tanpa segan-silu Tihani masuk ke dalam rumah mereka tanpa memberi salam. Duduk di tengah-tengah antara Adrina dan Dayn yang sedang ralit menonton TV.
“Eh, apa you ni?” Soal Dayn yang berasa terganggu dengan kehadiran Tihani.
Mak buyung jiran sebelah rumah mereka ini tak boleh langsung lihat mereka bersenang-senang. Pagi petang siang malam, ada saja agenda yang mahu dilakukan buat mengganggu ketenangan mereka suami isteri.
Tihani pandang muka Dayn. “Rindu…” rengeknya perlahan.
Mata Dayn segera terjegil. Adrina yang masih betah menonton TV, sedikit pun tidak berasa terganggu dengan kehadiran Tihani. Malah tak kisah langsung mendengar rengekan Tihani. Rengekan itu persis rengekan Aishah bila mahukan perhatian mereka.
Semenjak mereka berdua berbaik, dia tidak lagi berasa tergugat dengan kemesraan dan kegedikan yang ditunjukkan Tihani. Kadang-kadang saja dia berasa cemburu, tetapi bukan cemburu yang melampau. Cemburu itu masih boleh diatasi kerana perasaan kasihannya pada Tihani lebih banyak.
Setiap kali memandang wajah Tihani, dia dapat merasakan kesepian yang dirasakan Tihani. Barangkali rasa sepi yang dirasakan Tihani lebih teruk daripada rasa sepi yang pernah dirasakannya dahulu. Sekurang-kurangnya dahulu dia masih ada Che Nah, Ashraf dan Alin. Mereka bersedia mendengar rintihannya bila-bila masa. Sedang Tihani hanya ada ibu. Bukan semua masalah boleh diceritakan pada ibu. Alasannya bukan tak percaya, lebih kepada tidak mahu ibu risau.
“Bukan rindu dekat youlah! Perasan!” Tihani cemberut. Dia beralih pada Adrina yang tidak peduli padanya. Laki bini sama saja. Dua-dua hati kering, tapi dua-dua dia sayang sebab dua-dua penguat semangatnya yang sedang gering. Saat seperti ini pada merekalah tempat dia bermanja.
“Rin…” Lengan Adrina dipegang.
“Hurm, kenapa?” Adrina mengalihkan pandangan ke wajah Tihani yang masam mencuka.
Sebenarnya Tihani tidak hanya menggedik dengan Dayn, tetapi dengan Adrina juga. Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan sekarang dia lebih suka bermanja dengan Adrina. Kadang-kadang saja dia beralih meminta perhatian Dayn. Hanya pada waktu Adrina sibuk, tak dapat berikan perhatian padanya.
“Boleh tak suruh suami kau ni pergi. Aku ada hal nak cakap dengan kau…” ucap Tihani selajur mengerling Dayn sekilas.
Dayn merengus. “Eh, ini rumah I la! Suka-suka hati dia nak halau kita! Tak sedar diri betul!”
Adrina tergelak kecil melihat muka Dayn yang merah padam. Tidak terima dihalau dari rumah sendiri.
“Abang…” Adrina bangun dapatkan Dayn. Terpaksa dia berdiri kerana tak mungkin dia dapat menyentuh Dayn dalam keadaan Tihani di tengah mereka.
Tihani duduk bersila. Tak peduli apa pun cara Adrina memujuk Dayn. Yang penting dia dapat meluahkan isi hatinya pada Adrina.
“Please…”
Tihani tak pasti apa yang dibisikkan Adrina di telinga Dayn. Pasti ada sesuatu yang membuatkan Dayn mahu menurut permintaan isteri kesayangannya itu.
Dayn bangun. Jarinya ditunjukkan tiga. Apa sajalah yang dimaksudkan oleh Dayn.
Adrina tersipu-sipu dengan muka merona merah sewaktu Tihani menatap wajah wanita itu. Kod rahsia apa pasangan laki bini ini sedang mainkan? Semacam saja Tihani lihat, nak-nak lagi apabila terpandangkan muka Dayn yang terlihat licik.
“Dayn cakap apa?” Tanya Tihani tak sabar.
“Hah? Erm… tak… tak ada apa-apa.” Terbata-bata suara Adrina mahu menjawab. Hal dalam bilik, takkan dia nak cerita pada Tihani.
Tihani tak percaya, dia hanya malas mahu bertanya lagi.
“Kau okey tak ni? Semacam aje aku tengok muka kau. Tak sihat ke?”
Wajah Tihani yang sedikit pucat ditatap lama. Semakin lama dia perasan Tihani terlihat semakin tidak sihat.
Dia tidak nampak Tihani seperti wanita mengandung lain. Jika tidak melihat pada perut Tihani yang memboyot, pasti sukar untuk mengatakan Tihani sedang berbadan dua.
Kalau dia masih belum lupa, wajah Tihani sekarang semakin cengkung berbanding dahulu. Muka Tihani juga terlihat pucat walaupun sudah mengenakan solekan tipis.
Selalu juga dia bertanyakan perkembangan Tihani. Kadang-kadang dia temankan Tihani ke hospital membuat pemeriksaan rutin untuk ibu mengandung. Setiap kali itu juga pasti ada saja yang tak kena dengan kesihatan Tihani. Sehinggakan telinga dia ikut sakit dibebel doktor konsultan yang menjaga kandungan Tihani.
“Hurm, okey.” Lemah nadanya. Tak sama langsung dengan jawapan yang diberikan.
“Kau tak ada selera makan lagi ke?”
Tihani mengangguk.
“Tak ada rasa nak makan apa-apa? Kalau ada, nanti aku minta Dayn tolong carikan,” usul Adrina tulus. “Aku pun boleh masak kalau benda kau nak makan tu aku tahu buat.”
Dia bukan nak berlagak baik tetapi dia benar-benar ambil berat tentang Tihani. Bersama Tihani, dia seakan dapat melihat sisi Adriana dalam diri wanita itu. Tak keterlaluan jika dia katakan dia sudah menganggap Tihani seperti kakaknya walaupun dia tidak pernah memanggil Tihani seperti itu.
Apatah lagi dia risau melihat keadaan Tihani yang tidak bermaya, tetapi memaksakan diri untuk tetap aktif. Tihani ini boleh digelarkan ibu segala degil. Susah mahu mendengar nasihat orang.
Boleh diibaratkan menasihatkan Tihani seperti mencurah air ke daun keladi. Masuk telinga kanan, keluar terus ikut telinga kiri. Tak ada dah nak tersangkut dalam kotak memori.
“Tak payahlah. Aku tak ada mengidam apa-apa pun. Tak pernah lagi rasanya,” jawab Tihani sambil bersandar ke sofa. Dia mencapai bantal kecil di atas sofa lalu dibawa rapat ke dadanya.
“Aku… aku, erm… rindukan Khai…” Ucap Tihani perlahan dan tersekat-sekat. Suaranya begitu sayu.
Tak tahu mengapa hari ini dia begitu rindukan Khai. Kalau boleh dia mahu Khai berada di hadapan matanya saat ini juga. Cumanya dia cukup sedar semua itu tak mungkin berlaku.
“Kau tak call dia?”
“Tak naklah. Buat apa?”
“La, tadi kata rindu. Mana tahu lepas call rindu kau hilang.”
Tihani geleng. Dia tidak akan sesekali menyatakan perasaannya pada Khai. Dia memang telah nekad untuk berpisah terus dengan Khai.
Untuk apa ucapkan cinta jika sudah tahu cinta itu tak mungkin bersatu? Hal itu pasti akan lebih menyakitkan mereka. Biarlah dia memendam perasaannya sendiri. Biar Khai buat kesimpulan dia sudah tak cintakan lelaki itu.
“Kau nak aku tolong call Khai?”
Tihani pegang lengan Adrina. “Hesy, janganlah. Aku cerita bukan sebab aku nak kau tolong aku. Aku cuma nak luahkan perasaan aku pada seseorang tapi bukan pada Khai. Sesak sangat bila pendam sorang-sorang.”
Adrina mengusap kekura tangan Tihani yang memegang lengannya. Tangan Tihani pada lengannya seperti terketar-ketar.
“Rin…”
“Ya.”
“Boleh ke kalau aku nak peluk kau?” Tanya Tihani pada Adrina yang laju mengangguk.
Adrina tahu diam-diam tanpa suara Tihani menangis dalam pelukannya. Bahunya basah.
Dia tidak mahu bertanya lagi. Seksa perasaan Tihani turut dapat dirasakannya. Kalaulah dia mampu membantu Tihani dan Khai bersatu semula. Tapi, dia tahu hal itu tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa persetujuan kedua pihak.
SILAU CAHAYA menerjah pandangan Tihani. Dia melingas, memerhati kawasan sekelilingnya. Dia di mana?
Suasana sekelilingnya begitu suram. Tiada sesiapa di sekitar dirinya.
Tempat ini asing bagi Tihani. Seingat Tihani dia tidak pernah sampai ke tempat ini. Sepi sekali tanpa bunyi-bunyian.
“Tihani!”
Tihani menoleh ke belakang. Mencari gerangan pemilik suara garau yang sedang memanggilnya.
Seorang lelaki berdiri tidak jauh darinya. Lelaki yang tidak kelihatan wajah di pandangan Tihani.
Tihani yakin itu bukan Khai. Suara itu bukan milik Khai. Tubuh itu juga bukan kepunyaan Khai.
Tihani tidak peduli siapa lelaki itu. Ada sesuatu pada lelaki itu yang menarik perhatian dia. Ya, sesuatu yang sedang digendong oleh lelaki itu.
Apakah itu?
Bunyi suara bayi menangis tiba-tiba menerjah pendengaran Tihani. Pada mulanya perlahan, semakin lama semakin kuat. Ketika itu jugalah sesuatu yang digendong lelaki itu bergerak-gerak.
Bayikah yang sedang digendong lelaki itu? Dia tak pasti.
“Bayi kau…” Lelaki itu mengangkat tinggi sesuatu yang dikatakan sebagai bayinya dengan sebelah tangan. Perbuatannya seperti mahu melempar bayi itu.
“Jangan!” Jerit Tihani cuba mendapatkan lelaki itu.
Tihani tak mampu bergerak. Kakinya bagai dipasak ke bumi.
Matanya terbeliak melihat aksi nekad lelaki itu yang mengacah-acah mahu membuang bayi itu.
“Kau nak anak kau?” Soal lelaki tanpa wajah itu.
Tihani mengangguk cepat. Air matanya merembes laju membasahi pipi. Dia ketakutan kerana tidak berdaya melakukan apa-apa untuk menyelamatkan bayinya.
Gema ketawa tiba-tiba nyaring menyakitkan telinga. Membuatkan bulu kuduknya meremang sendiri. Ilai tawa itu bukan ilai tawa manusia biasa.
“Nah, sambut anak kau!”
Bayi itu dicampakkan pada Tihani tanpa sedikit pun perasaan belas. Matanya terbeliak, cuba menyambut bayinya.
Dia berjaya! Bayinya selamat. Tihani tersenyum.
“ALLAH!”
Tihani tercampak bayi itu. Bukan, itu bukan bayinya. Yang disangka bayi itu rupanya nisan dibalut kain putih.
“Hahahaha!”
Sayup-sayup ilai tawa itu semakin menghilang. Tihani masih terketar-ketar di situ. Kalau itu bukan anaknya, lalu di mana anaknya berada?
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3• BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL SELAGI ADA CINTA (PENULIS: AK RAFFHAN)