“SUAMI yang sudah segak bergaya itu dipandang lama. Nak ke mana suaminya bersiap-siap seperti itu?
“Abang nak pergi mana?” Puan Habsah menyuarakan persoalan yang sedari tadi bermain di fikirannya.
“Nak pergi tengok menantu awak dekat hospital. Awak tak nak ikut ke?”
Rambut Encik Hamdi banyak yang sudah rontok kesan penuaan. Uban juga memenuhi hampir keseluruhan rambutnya. Sudah jarang sangat mampu mencari helaian hitam di sebalik helaian berwarna putih.
Disisir rambut yang semakin tipis. Nampak kulit kepala, tetapi dia tidak peduli. Biasalah, semua orang akan mengalami perubahan itu. Apa yang nak dikisahkan?
“Menantu saya? Siapa? Fadli? Rahman?” Disebut nama menantu mereka satu persatu.
Encik Hamdi berhenti menyisir rambutnya. Dia berpaling untuk memandang wajah isterinya.
“Bukan menantu lelaki kita. Tapi menantu perempuan kita. Hani…” jawab Encik Hamdi.
Puan Habsah merengus kasar. “Dia bukan menantu kita lagi. Dah jadi bekas pun. Huh, selama ni pun saya tak pernah anggap dia menantu!” Ujar Puan Habsah angkuh.
Benci betul dia mendengar nama Tihani. Kenapa mereka suka benar menyakitkan hatinya? Tak anak, suaminya sendiri. Sudah tahu dia tak sukakan budak perempuan itu, disebut-sebut juga namanya. Buat dia mahu termuntah saja.
“Saya tak fahamlah dengan awak ni. Apa salah budak tu dengan awak? Kenapa awak benci sangat dengan Hani tu?” Tanya Encik Hamdi seraya duduk di sebelah isterinya.
Sampai sekarang dia tidak mengerti dengan kebencian Puan Habsah terhadap Tihani. Nak kata Tihani buruk perangai, rasanya tidak. Cuma biasalah anak orang kaya yang dimanjakan dengan pembantu. Serba-serbi pembantu uruskan. Bila dah kahwin dan tiada pembantu, kekoklah sikit. Bagi Encik Hamdi hal itu bukan masalah besar. Benda boleh belajar, buat apa nak kecoh-kecoh?
Puan Habsah membuang muka. Sakit hati mahu balas menatap muka suaminya.
“Hani sakit. Awak tak nak ke jenguk dia? Saya rasa sepanjang Hani jadi menantu kita, awak dah buat banyak dosa pada budak tu. Kata Khai, Hani masih koma tak sedarkan diri. Awak tak nak lawat dia ke? Jomlah kita pergi tengok cucu lelaki kita yang pertama.” Pujuk Encik Hamdi sembari menyentuh lembut bahu isterinya.
Dia berharap hati Puan Habsah melembut setelah mendengar Tihani sudah melahirkan anak. Bayi lelaki pula, cucu sulung lelaki pertama yang ditunggu-tunggu oleh keluarga mereka sementelah cucu mereka setakat yang ada semua perempuan. Adik-beradik Khai pun Khai seorang saja lelaki. Yang lain semua perempuan. Sudahlah lelaki, bongsu pula.
“Koma aje? Kenapa tak mati terus? Senang sikit saya nak kahwinkan Khai tu dengan perempuan lain. Entah apalah dibagi makan budak tu pada Khai. Susah betul nak lupakan dia. Saya syak dia tu dah guna-gunakan anak kita. Sebab tulah Khai tu sampai gila talak! Siang malam tergila-gilakan dia. Asal mimpi aje sebut nama budak tu! Menyampah saya!” Balas Puan Habsah lantang. Tak peduli jika kata-katanya bakal menyakitkan hati orang yang mendengar.
“Astaghfirullah al-azim awak ni. Bawak mengucap! Awak sedar ke tak apa awak cakap ni? Jangan cakap bukan-bukan, nanti jadi fitnah. Kut ya pun awak tak sukakan Hani, janganlah cakap macam tu sekali. Anak dia yang baru lahir tu perlukan ibu. Jangan doakan kematian orang lain, berdosa! Apa rasa awak kalau orang doakan awak cepat mati?”
Encik Hamdi tergeleng-geleng apabila Puan Habsah hanya menjelingnya. Bicara Encik Hamdi tidak lagi disahut.
Dia malas mahu berbicara tentang Tihani. Semakin benci dan buat dia rasa mahu tambahkan doa tak putus-putus supaya lekaslah TUHAN ambil nyawa Tihani. Hidup pun menyusahkan hati dia.
Dia tak suka Khai terlihat seperti mayat hidup. Tak lalu makan, tidur pun asyik termimpi-mimpikan Tihani.
Khai anak lelaki satu-satunya. Dijaga bagai menatang minyak yang penuh. Seharusnya Khai dahulukan perasaannya, tetapi mengapa setelah wujudnya Tihani, cakapnya langsung tidak mahu didengar Khai?
Sebagai ibu dia rasa tergugat. Dia cemburu. Dia jadi benci dengan kehadiran Tihani. Tihani dianggap sebagai musuh yang mahu merampas harta kesayangannya.
“Awak nak pergi ke tak ni?” Encik Hamdi berdiri lalu betulkan bajunya.
“Tak naklah! Saya nak tidur.” Ketus jawapan Puan Habsah. Dia berbaring membelakangi suaminya.
Pergilah kalau nak jenguk perempuan itu. Tapi jangan mimpi dia mahu ikut sekali. Dan jangan mimpi juga dia akan doakan yang baik-baik buat Tihani. Perempuan itu tak pantas mendapatkan doa baiknya.
TOMBOL PINTU yang tidak berkunci itu dipulas lalu daun pintu ditolak kasar. Lantas dia segera menarik tangan Azira supaya mengikutnya masuk ke dalam bilik Khai. Teragak-agak gadis itu mengikut.
Seperti biasa Khai memang tidak pernah mengunci pintu bilik bila ke mana-mana. Mungkin menurut Khai tiada apa yang menarik di dalam biliknya melainkan barang-barang yang biasa ada di dalam bilik orang lain juga.
“Tak apa ke mak cik kita masuk macam ni? Abang Khai tak marah ke?” Azira takut-takut. Risau juga kalau Khai mengamuk dia pun terpalit sekali. Dia kena jaga nama baik. Selagi Khai belum jatuh ke dalam pelukannya, imejnya harus bersih.
Meskipun begitu dia tak melepaskan peluang untuk melihat-lihat bilik Khai. Pertama kali dia masuk ke dalam bilik lelaki ajnabi.
Seperti yang selalu ada dalam gambaran fikirannya, bilik Khai memang kemas dan teratur. Semua barang tersusun rapi, langsung tidak terlihat seperti bilik seorang teruna.
Ah, teruna apanya! Khai sudah pernah menikah, mustahil masih teruna! Kutuk mindanya. Lagi pula bekas isteri lelaki pujaan hatinya itu baru lepas melahirkan bayi lelaki.
“Macam manalah tak gila talak. Gambar perempuan tu bersepah dalam bilik.” Bisik Puan Habsah perlahan kepada dirinya sendiri.
Puan Habsah buka plastik hitam yang ada di tangannya. Dia pasti akan laksanakan segala rancangan yang sudah tersusun rapi dalam mindanya. Dengan apa cara sekalipun dia akan pastikan kali ini rancangannya berjaya. Tidak seperti yang sudah-sudah, memanjang gagal.
Dia memandang Azira yang sedang melihat-lihat sekitar bilik Khai. Kali ini Azira termasuk dalam rancangan yang telah diaturnya. Dia yakin Azira mampu gantikan tempat Tihani.
Gadis yang sudah lama dikenalinya ini cukup sopan dan berpelajaran. Wajah juga elok. Pandai serba-serbi membuat kerja rumah. Pokoknya jika Khai menikah dengan Azira, Khai pasti akan bahagia hingga ke jannah seperti kata orang zaman sekarang. Hari-hari boleh makan air tangan isteri. Tak perlu sibuk mencari makan di luar. Barulah namanya hidup beristeri. Ini memanjang aje makan makanan kedai. Tak berjenis langsung kehidupan rumah tangga Khai dengan perempuan yang dia benci itu.
“Ira…”
Azira tersenyum lembut. Dia menghampiri Puan Habsah yang sudah siap sedia dengan beberapa helai plastik hitam.
“Nak buat apa plastik ni, mak cik?” Soal Azira apabila Puan Habsah menyerahkan plastik itu ke tangannya.
“Buang sampah!”
Buang sampah? Azira mengedarkan pandangan ke sekeliling bilik Khai. Buang sampah dalam bilik Khai ke? Tetapi dia tak nampak di mana sampah yang dimaksudkan Puan Habsah. Bilik Khai terlalu bersih, hatta habuk sehujung kuku pun masih belum dijumpai Azira.
Bertuahnya siapa yang jadi isteri Khai. Sudahlah kacak, kerja pun bagus. Rajin pula tu. Cadar pun macam cadar asrama. Tegang aje.
“Tunggu apa lagi?”
“Err… kita nak buang apa, mak cik?”
“Buang apa?” Sinis nada suara Puan Habsah di telinganya.
Puan Habsah ambil sekeping gambar Tihani yang berbingkai indah di atas meja yang digunakan Khai untuk membuat kerja. Gambar itu dicampak ke dalam plastik sampah yang dipegangnya.
Terkesiap Azira melihat perbuatan emak Khai. Wajah separuh baya itu langsung tidak menunjukkan sebarang riak. Tiada tanda-tanda wujud perasaan bersalah pada roman wajahnya.
“Ira tolong buang semua gambar perempuan tu ya? Mak cik tak nak tengok satu pun gambar dia lagi,” arah Puan Habsah. Tangannya menunjuk pada laci meja Khai yang tidak berkunci. “Pastikan dalam tu pun tak ada gambar yang Khai simpan.”
Azira teragak-agak mahu menurut arahan Puan Habsah. Dia takut dimarahi Khai. Dia kenal Khai sudah lama sedari mereka kecil lagi kerana mereka jiran sekampung. Sejak emak dan ayahnya masih hidup sampailah dua-dua dah meninggal. Tinggal dia sebatang kara sekarang. Rumahnya dan rumah Khai meskipun tidak boleh dibilang terlalu dekat, tetap saja mereka sekampung. Apatah lagi dia memang berkawan dengan kakak-kakak Khai.
Walaupun tidak rapat dengan Khai tetapi melalui Khairunnisa, kakak Khai yang paling kerap berbual dengannya, dia tahu Khai tidak suka orang mengusik barang peribadinya.
“Ira tunggu apa lagi? Tak payah takut-takut. Ikut saja cakap mak cik. Kalau Ira jadi budak baik, mak cik akan pastikan lepas ni Ira jadi menantu mak cik. Ira dah lama suka Khai, kan? Ira tak nak ke kahwin dengan Khai?”
Pipi Azira yang lembut disentuh Puan Habsah. Diusap perlahan seperti dia memegang anak-anaknya.
Azira tersipu-sipu mendengar soalan Puan Habsah. Macam mana Puan Habsah tahu dia menyimpan hati pada Khai? Ketara sangat ke sikapnya selama ini? Padahal Khairunnisa sendiri tidak pernah tahu Azira menyukai adiknya itu. Dasar kakak tak peka! Tak cakna langsung perasaan Azira setiap kali bercerita tentang Khai dan isteri lelaki itu. Huh, sekarang dah jadi bekas pun! Puas hati dia.
“Mak cik perasan Ira selalu curi-curi pandang Khai,” ucap Puan Habsah selamba tanpa peduli rona merah yang muncul di pipi Azira.
Dia membuka almari baju Khai. Bilik Khai akan diselongkar bersama Azira hari ini. Sementelah semua orang juga sibuk dengan urusan masing-masing.
Khai sibuk dengan perempuan koma itu. Dia pula bolehlah sibuk menguruskan barang-barang peninggalan perempuan itu. Dia tidak mahu barang perempuan itu tinggal sisa lagi. Biar hapus tak tinggal jejak. Mudahlah Azira masuk daun nanti.
Dengan itu Tihani hanya akan tinggal nama. Dan Khai akan bangkit daripada kekecewaan yang lalu.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3• BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL SELAGI ADA CINTA (PENULIS: AK RAFFHAN)