“DAYN, DAYN! Dah tak ada nama lain lagi ke?” Soal Khai selajur menghempas beg berisi baju kotor ke lantai.
Dia baru saja pulang dari outstation. Ingatkan balik awal adalah isteri yang menunggunya di rumah, rupa-rupanya isteri dia seronok keluar berpelesiran dengan jantan lain.
“Kenapa abang ni? Balik-balik terus nak marah Hani. Kan Hani dah minta izin abang sebelum keluar.”
Tihani membatalkan hasrat untuk membuatkan Khai air. Apa kena dengan suaminya? Asyik nak marah saja dua tiga menjak ini. Semua yang dia buat serba tak kena di mata Khai.
Dia dah ikut semua permintaan Khai. Khai minta dia berhenti kerja, dia dah berhenti. Khai minta dia jadi suri rumah, pun dia dah buat. Apa lagi salah dia? Apa lagi yang Khai tak puas hati?
“Hani tak faham ke abang cakap abang tak suka Hani kawan dengan dia.”
“Tapi Hani tak ada kawan lain. Dayn seorang aje yang sudi kawan dengan Hani…” Lirih suara Tihani membalas bicara Khai.
Khai sendiri tahu dia tidak mempunyai ramai kawan. Dayn seorang saja yang rapat dengannya. Kalau sebelum ini Khai boleh terima, kenapa sekarang Khai mengungkit pula? Sungguh dia tidak mengerti perubahan sikap Khai. Dia boleh faham jika dari awal Khai tidak sukakan Dayn, masalahnya sebelum ini elok saja. Tidak timbul sebarang isu. Sejak akhir-akhir ini saja Khai berubah.
“Punya ramai manusia dalam dunia ni, Hani kata Dayn seorang aje kawan Hani? Hani dah cuba belum berkawan dengan orang lain? Atau Hani sengaja tutup ruang lingkup Hani semata-mata Hani nak berkawan dengan Dayn?”
“Apa yang abang cakap ni?”
“Hani jangan ingat abang dah lupa dulu macam mana cintanya Hani pada Dayn. Sampai sanggup tunggu Dayn walaupun Hani tahu Dayn tak pernah cintakan Hani.”
“Abang!” Suara Tihani naik seoktaf. Tak sangka Khai akan mengungkit cerita lama. Dia sendiri sudah lupa dia pernah mencintai Dayn sejak kehadiran Khai dalam hidupnya.
“Dah pandai nak meninggi suara. Belajar dengan siapa? Dayn ke? Abang ni suami Hani. Kenapa Hani sibuk mengharapkan lelaki lain? Abang penatlah dituduh dayus!” Bentak Khai garang serentak dengan tangan yang menghentak meja.
Tihani terlonjak kaget. Gegaran meja kayu jati itu membuat nyalinya menjadi kecut.
Khai menengkingnya? Besar sangat ke salah dia? Tak boleh ke Khai cakap baik-baik?
Setelah itu dia hanya mampu menatap belakang Khai yang meninggalkannya dengan deraian air mata.
Perang mereka tidak berakhir sampai di situ. Dibawa berlarutan sehingga keesokan hari. Khai tak henti-henti mengungkit. Pertemuannya yang tak disengajakan dengan Dayn pun boleh jadi satu isu besar. Lebih malang lagi bila pertemuan itu disaksikan Khai sendiri.
ALLAHU. Ada saja masalah yang menimpa rumah tangganya. Di mana silapnya?
Tihani tidak bergeming di ruang tamu itu. Dia menatap malas wajah Khai yang merah padam. Perasaan takut berganti dengan rasa lelah dan bosan. Jika Khai penat digelar dayus, dia juga bosan dituduh murahan.
Sepanjang hidupnya, tiada seorang pun pernah memandang jelik padanya. Hanya selepas bergelar isteri Khai dia mendapat pelbagai gelaran. Setelah semua yang dia lakukan, mengorbankan kerjaya yang sangat dia cintai, tinggal di rumah meski dia bosan bagai nak gila, Khai tetap meragui cintanya terhadap lelaki itu?
Jujur dia penat dan malas berbalah. Sakit kakinya masih belum hilang. Sama seperti sakit hatinya yang diabaikan Khai tengah hari tadi.
Dah nampak dia bukan Khai nak tegur. Khai menonong berjalan bersama setiausaha lelaki itu ke sebuah kafe. Dasar lelaki ego!
“Awak pergi mana tadi?”
Awak… Panggilan yang selalu Khai gunakan apabila marahkan Tihani.
“Saya kan dah bagitau awak,” jawab Tihani malas. Kalau Khai nak berawak saya, dia pun boleh. Dia tak hairanlah setakat panggilan seperti itu.
“Berapa kali saya cakap saya tak suka awak dekat-dekat lagi dengan Dayn. Awak isteri saya. Awak pula? Ada nak dengar cakap saya?” Khai panas hati melihat Tihani yang berwajah selamba. Bukannya meminta maaf tertangkap keluar dengan Dayn, boleh pula selamba tayang muka tak bersalah.
“Apa salahnya? Awak keluar dengan setiausaha awak boleh pula?” Balas Tihani lelah.
“Saya keluar bekerja, bukannya keluar bermain-main dengan jantan macam awak!” Entah bagaimana perkataan itu keluar dari mulut Khai tanpa dapat dicegah.
Tihani menarik senyum sinis. Jadi selama ini itu yang bermain di fikiran Khai? Tihani isterinya suka bermain dengan jantan.
“Suka hatilah awaklah nak cakap apa pun.” Tihani bangun, lantas membawa bersama beg tangannya. Penat melayan Khai.
“Saya tak izinkan awak keluar dengan dia lagi.”
Tihani berhenti melangkah. Dia tidak menoleh pada Khai, hanya bibirnya lekas bertanya, “Kenapa? Apa yang salah dengan hubungan kami?”
“Apa yang salah? Yang salah awak tu isteri saya dan dia bekas tunang awak. Itu kesalahan awak yang paling besar yang awak tak nampak selama ini!” Sahut Khai berapi-api.
Dia berasa tercabar. Tihani terlalu sukar dikawal dan selalu tidak mendengar kata. Semakin lama semakin menjadi-jadi perangainya. Makin diberi muka makin diinjak-injak kesabaran Khai.
“So kalau dia bekas tunang pun, kenapa? Yang jadi suami saya, awak bukannya Dayn.” Tihani menoleh hanya untuk melihat muka Khai yang menyalang garang.
“Sebenarnya yang bermasalah tu awak! Bukan saya, bukan Dayn. Kalau awak percayakan saya, semua masalah ni takkan timbul. Awak tak pernah tanya apa yang saya mahukan selama pernikahan kita. Yang awak tahu hanya bagi arahan. Awak terlalu ikutkan rasa cemburu awak sampai perasaan tu dah berjaya butakan mata hati awak,” bicara Tihani panjang lebar.
Dia malas sebenarnya berbincang dalam keadaan emosi mereka sedang meledak kerana dia tahu sebentar lagi perang bakal meletus. Khai terlalu ego. Jarang mahu mengakui kesalahan sendiri. Semua nak ikut kepala angin dia saja.
“Sekarang ni pun awak tak tanya macam mana saya boleh jumpa Dayn tadi. Awak terus sergah. Terus buat andaian bukan-bukan,” ujar Tihani lagi.
Semalam dia akui memang dia ada janji nak bertemu Dayn. Tapi hari ini benar-benar kebetulan yang tak disengajakan. Itu pun sebentar saja mereka saling menyapa, setelah itu mereka membawa haluan masing-masing.
Dia berniat mahu meneruskan langkah, sekali lagi langkahnya terhenti apabila mendengar pertanyaan Khai.
“Awak tak bahagia ke dengan saya? Awak masih cintakan Dayn?”
Ah, suami siapakah yang dungu ini? Berkali-kali sudah dia ucapkan cinta, sampai sekarang Khai masih tak percaya? Tetap dengan andaian dia masih mahukan Dayn yang hanya tergila-gilakan Adrina?
Dia tak bodoh untuk terus menunggu lelaki yang dah tertutup pintu hati itu. Lagipun dia dah ada Khai. Untuk apa lagi dia harapkan Dayn?
“Awak tak bahagia dengan saya, kan? Apa pun yang saya buat tetap tak dapat puaskan hati awak. Dekat hati awak Dayn tetap yang terbaik.” Suara Khai mendayu-dayu.
Tihani menggeram halus. Drama apa pula ni? Tangannya terkepal menahan amarah. Mahu saja ditumbuk muka tampan Khai. Biar sedar diri.
“Kalau awak memang tak bahagia, lebih baik kita berpisah saja.”
Dum! Ketika itu Tihani rasa Khai bagaikan si petir yang sedang memanah dirinya. Dia terbakar dan menjadi puing-puing halus yang sedang berterbangan.
Awak tak serius, kan Khai? Tarik balik kata-kata awak. Hati kecil Tihani memberontak. Merayu agar Khai cepat-cepat menarik semula bicaranya. Jangan sampai jadi terlajak perahu…
“Saya lepaskan awak kalau itu yang terbaik untuk awak. Talak satu.”
Tihani terjegil. Dia tergamam di situ. Semudah itu Khai lafazkan talak? Ini perbincangan dalam rumah tangga atau sidang mahkamah tempat menjatuhkan hukuman?
Air mata yang mahu mengalir di pipi lekas-lekas dikesat. Dia berpaling lalu tersenyum pada Khai.
“Okay, fine. Kita berpisah.”
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL SELAGI ADA CINTA (PENULIS: AK RAFFHAN)