Surat Untuk Abang – Bab 1

Kisah sebelumnya ….

Permulaan kisah kita. Kisah yang tidak akan pernah kulupakan buat seumur hidupku.

Tahun 2001

Tak cukup tanah aku berlari. Lama kelamaan kaki kecilku terasa seakan tidak lagi memijak tanah.

Aku keletihan, namun ketakutan lebih mendominasi. Memaksa ku terus berlari tanpa henti. Pedulikan letih dan kaki yang sakit, aku harus menyelamatkan diri. Entah apa penyebabnya, perasaanku seperti aku dikejar sesuatu. Sesuatu yang mahu menyambar tubuh kecilku. Sedikit saja lagi, jika aku terlewat barang sesaat aku bakal dibaham oleh sesuatu yang sedang menghambatku.

Sebenarnya, apa yang sedang mengejarku? Aku takut untuk menoleh. Terlalu takut menghadapi sesuatu yang sedang berada di belakangku.

“Maryam ….”

Aku terketar-ketar ketika suara itu memanggil namaku. Bergaung suaranya, seolah-olah aku berada di dalam gua. Walhal aku tidak berasa aku berada di suatu tempat yang tertutup. Bahkan ketika aku berlari aku boleh merasakan angin bertiup kencang sehingga tubuh kecilku sedikit goyah.

Aku seperti dapat merasakan kawasan pelarianku sebenarnya adalah sebuah tempat yang lapang, namun gelita. Pelarianku tanpa tujuan. Aku tidak tahu ke mana aku berlari. Dan mengapa aku melarikan diri. Namun, ketakutan di dalam diriku saat ini begitu besar. Sukar untuk kugambarkan dengan sejuta kata yang tertulis di muka surat kamus berdaftar Dewan Bahasa Dan Pustaka.

“Maryam! Huargh!” Ngaungannya semakin kuat dan besar.

Dalam kegelapan, tanpa dapat kulihat walau setitik sinar cahaya, sebuah mulut seakan ternganga luas. Nafas yang berhembus melalui mulut yang terbuka itu begitu busuk, meloyakan tekak aku.

“Maryam! Mahu lari ke mana engkau?” Sejurus suara itu bertanya, kakiku tidak boleh digerakkan. Aku bagai dipaku dan terpasak ke tanah. Lemah longlai, tetapi tidak boleh bergerak.

“Maryam!”

“Maryam!”

“Maryam! Maryam!”

Suara mula bersahut-sahutan. Gegak gempita bunyinya.

Aku menahan pulas di perutku yang mahu terkencing. Terlalu takut, dan aku tidak dapat berbuat apa-apa.

“Bangsat!” Serentak dengan itu dahiku terasa ngilu. Air mengalir, dari dahi turun ke hidung, kemudian turun pula ke bibir. Sewaktu melalui hidung, bau hamis darah mula tercium oleh hidungku.

Aku berdarah? Apakah aku sedang dibaling dengan batu?

“Maryam!”

“Maryam!!”

“Maryam!!!”

Suara semakin kuat dan ramai. Tanganku terbuka sendiri, terdepa seluasnya. Dan aku yakin kini bahawa ada sekian banyak makhluk, mungkin manusia, mungkin sebaliknya sedang membalingku dengan batu. Sakitnya tidak terperi.

Mukaku berdarah-darah dan azabnya sakit yang kutanggung saat ini tidak mampu kuterjemahkan dengan sebarang bahasa.

Jeritanku terkumpul di rengkung. Kini mulutku pula seperti dijahit. Hanya mataku yang mampu terkebil-kebil, menatap lurus gelap sekeliling.

“Rejam!”

“Rejam dia!”

“Dia penzina!”

“Dia pembunuh!”

Air mataku mengalir laju. Mulut tidak dapat terkumat-kamit. Hati lupa menyebut nama TUHAN. Dan aku tidak tahu doa apa yang harus kubaca. Penawar apa yang mampu menghilangkan kesakitan yang sedang kutanggung.

Apakah ini merupakan satu bentuk hukuman untukku? Adakah malam atau siang tanpa cahaya ini pengakhiran bagi hidupku di dunia?

Mungkinkah aku sebenarnya sudah mati? Dan saat ini aku sedang menerima pembalasan di atas segala dosa-dosaku? Sudah kiamatkah dunia? Inikah akhirat yang abadi? Atau aku sebenarnya sedang berada di padang mahsyar?

Aku tidak tahu. Aku tidak tahu.

Aku keliru. Aku ketakutan. Aku mati. Mati, jiwaku!

Buk!

“Argh!! Sakit!” Tiba-tiba saja mulutku terbuka. Dan aku menjerit dengan suara kuat yang sangat dahsyat bunyinya.

Sakitnya, ya Rabbi!

Celah kangkangku mengalirkan darah. Semakin lama darah yang mengalir semakin banyak, dan akhirnya menjadi seperti sungai yang berpusar. Aku di tengah-tengah, terperangkap dalam pusaran sungai darah yang berbau terlalu hamis.

“Emak! Ayah! Tolong kakak!”

Di mana emak dan ayahku? Tidakkah mereka tahu penderitaanku? Tak dengar ke mereka aku terpekik terlolong meminta tolong?

“Tolong kakak!” Aku menjerit lagi.

Jika aku tidak menggunakan kesempatan ini untuk meminta tolong, aku bimbang selepas ini suaraku akan tenggelam semula di anak tekak.

“Tolong! Emak! Ayah!”

“Kakak! Kakak! Astaghfirullahal’adzim. Kakak, bangun!”

Bahuku bergoncang. Aku tersentak, lalu terduduk dengan wajah dibasahi peluh. Kuraba seluruh tubuhku. Hanya basah peluh yang kudapatkan. Bau hamis darah menghilang, celah kangkangku juga sudah tidak mengeluarkan darah.

Aku di dalam bilikku! Adakah yang kualami sebentar tadi hanya mimpi semata-mata?

“Kenapa kakak menjerit tadi?” Ayah memegang bahuku.

Di sebelah ayah, emak berdiri dengan wajah khuatir. Di tengah-tengah muka pintu pula adik-adikku seramai tiga orang berdiri dengan muka menahan kantuk dan mata terpisat-pisat.

“Kakak?” Ayah menyeka peluh di dahiku.

Aku baru tersedar. Ketakutan itu datang semula.

“Ayah!” Aku menerpa ayah. Tubuh ayah kupeluk kejap. Aku menangis teresak-esak dalam pelukan ayah.

“Kenapa kakak? Kakak mimpi ya?” tanya ayah sambil mengusap kepalaku. Aku mengangguk di dada ayah.

“Kakak mimpi apa?” Aku menggeleng.

Bagaimana mahu kuceritakan kepada ayah dan emak akan mimpi burukku? Menghadapi ayah dan emak bagiku lebih menakutkan daripada mimpi buruk yang baru saja kualami. Penerimaan mereka pasti sangat buruk setelah mengetahui hal yang sebenar.

“Kakak mimpi ngeri?”

Pantas aku mengangguk bagi menjawab soalan emak.

“Mimpi je. Mainan tidur. Tidur ya? Kakak tak berwuduk ke sebelum tidur tadi?”

Aku menggeleng pula.

“Patutlah kakak mimpi bukan-bukan. Doa tidur pun tak baca?”

“Kakak lupa. Kakak tertidur.” jawabku sambil menundukkan kepala. Rasa bersalah kerana tidak mengamalkan rutin sebelum tidur yang sering diajar emak dan ayah.

“Tak apa. Sudahlah, emak dengan ayah tak marah. Kakak nak apa-apa? Kakak nak minum?” Lembut suara emak bertanya.

Ayah hanya melihat. Sementara adik-adikku sudah kembali ke bilik masing-masing.

“Emak, boleh tak teman kakak tidur?” Aku menatap belas wajah emak.

Emak memandang wajah ayah, dibalas anggukan ayah. Mungkin sebagai tanda memberi izin kepada emak untuk menemani aku. Setelah itu ayah meninggalkan aku dan emak.

Emak baring mengiring menghadap aku. Kami bertentang mata.

“Kakak nak cerita pada emak apa yang kakak mimpi tadi? Kuat betul kakak jerit sampai emak ingat ada apa-apa jadi pada kakak. Entah-entah orang sebelah rumah pun dengar suara kakak.” Emak membetulkan rambut di dahiku.

Aku menggeleng. Aku tidak mahu bercerita kepada emak. Aku takut. Mimpi itu mimpi terburuk yang pernah kualami. Tidak pernah selama hidupku aku bermimpi seperti itu.

“Lain kali sebelum tidur amalkan berwuduk dulu. Baca doa tidur. Tidur pun kena dalam keadaan bersih, baru lena.” Nasihat emak kepadaku.

“Kakak mintak maaf, emak. Kakak tertidur.”

Emak tersenyum lembut. Meneduhkan hatiku yang sedang gering.

“Emak tak marah. Emak cuma nasihat kakak. Kalau tak buat tak berdosa. Kalau buat insya-ALLAH dapat pahala.”

“Emak…”

“Ya, kakak.”

“Boleh ke kakak hendak tidur peluk emak?” Senyuman di bibir emak semakin lebar. Emak membuka tangan emak, mengajak aku masuk ke dalam pelukan emak.

“Mestilah boleh, kakak. Kakak tak mintak pun emak boleh bagi.”

Aku menghambur ke pelukan emak. Memeluk seerat-eratnya tubuh emak yang sangat kucintai. Semasa tangan emak mengelus belakangku, diam-diam air mataku mengalir perlahan.

“Manja pulak anak sulung emak malam ni.”

Ah, kalaulah emak tahu kenapa aku bersikap seperti ini! Bolehkah lagi senyuman emak terus terukir?

Aku menggigit bibirku. Tidak mahu suara esakanku bolos daripada bibir. Kalau didengar emak, pasti emak akan syak yang bukan-bukan.

Aku berdosa pada emak. Aku berdosa pada ayah. Aku paling berdosa pada TUHAN. Sebentar lagi emak dan ayah pasti akan kecewa padaku.

Apa yang harus kulakukan? Aku tidak tahu. Jawapannya belum kutemui.

Ya ALLAH. Semakin sakit jiwaku menyembunyikan kenyataan ini.

Jika emak dan ayah tahu apa yang telah kulakukan, mahukah emak dan ayah mengampunkan aku? Apakah seumur hidupku, aku bakal dilaknat TUHAN?

Aku menutup mulut. Menahan diri daripada menggerakkan tubuh. Emak tidak boleh tahu. Ayah tidak boleh tahu. Aku tak sampai hati hendak memberitahu mereka hal yang sebenarnya. Tak mungkin kuberitahu ayah dan emak.

“Emak, ayah! Kakak mengandung!”

Tidak! Tidak! Aku harus menyembunyikan masalah ini selagi aku terdaya. Aku tidak boleh hancurkan hati emak dan ayah.

Emak, ayah.

Maafkan kakak.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL SURAT UNTUK ABANG (PENULIS: AK RAFFHAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *