0

Surat Untuk Abang – Bab 2

Abang ….

Tahukah abang tarikh itu merupakan tarikh paling keramat dalam hidup ibu?

Seumur hidup ibu, ibu takkan pernah melupakan tarikh itu. Bukan saja kerana hari itu merupakan hari cuti umum sempena sambutan Hari Buruh. Hari itu bahkan merupakan hari yang sama abang dilahirkan. Padahal kalau mengikut perkiraan doktor, abang lahir seminggu lagi.

Seminggu lagi. Masih lama kan abang?

Tahukah abang sepanjang menunggu hari kelahiran abang, dada ibu diulit debar. Debarannya tak menentu. Ibu kerap terjaga di tengah lena, tak kira masa. Dan boleh dikatakan hati ibu tak pernah tenang.

Beginikah agaknya hati ibu-ibu yang senasib dengan ibu merasakan? Melahirkan dalam keadaan tidak bersedia? Ketar dalam teruja? Takut dalam bahagia? Sedih dalam senyuman yang mengulum di bibir?

Ah, berbalik kepada kelahiran abang yang lebih awal!

Ibu hanya ingin mengatakan bahawasanya doktor yang meramal tarikh kelahiran abang bukanlah TUHAN. Ramalan mereka bukan semuanya benar belaka. Mereka hanya manusia biasa seperti kita. Meneka jangkaan yang adakala tepat, dan adakala begitu terpesong. Mereka meramal kelahiran abang seminggu lagi, tahu-tahu abang lahir seminggu lebih awal.

“Teran!”

“Hah! Hah!” Ibu tercungap-cungap. Mencari sesuatu yang boleh ibu pegang, tetapi tidak ada. Ibu dikelilingi oleh mereka yang tidak ibu kenali.

“Teran lagi!”

“Argh!” Ibu menjerit. Sudah tak peduli keadaan sekeliling. Entah siapa mereka, baik lelaki atau perempuan yang berada di sekeliling ibu.

Perasaan malu menjadi tontonan lawan sejenis sudah tidak dirasakan minda. Minda ibu ketika itu tersesat dalam daerah kesakitan yang mahu ibu hentikan segera.

“Teran! Teran! Baby dah nampak kepala!”

“Cepat, teran lagi kuat!”

Ibu semakin hilang tenaga. Tetapi ibu tidak mahu berhenti berusaha. Akhirnya, dalam perjuangan yang bukan sedikit itu sayup-sayup ibu mendengar suara tangisan bayi.

Suara abangkah itu? Bunyinya merdu, abang… Mengalun di cuping telinga, menusuk terus ke jantung ibu. Anak ibu telah lahir ke dunia!

Sakit. Ibu takkan menipu. Dan ibu menangis di dalam dewan bersalin sewaktu menjerit memanggil nama emak ibu. Emak yang tidak ada di samping ibu. Emak yang mungkin telah membuang ibu dan menganggap ibu tak pernah ada.

Ibu takkan mengatakan melahirkan bayi seberat 3.65 kilogram buat pertama kali itu tidak sakit. TUHAN saja yang tahu kesakitan yang harus ditanggung seorang ibu ketika melahirkan bayinya.

Dan ibu yakin buat ibu-ibu yang melahirkan untuk kali kedua, ketiga, keempat dan seterusnya, perasaan dan kesakitan yang ditanggung itu masih sama. Tidak akan berubah.

Sakit tetapi ada satu perasaan lain yang tidak dapat ibu gambarkan dengan kata-kata. Mungkin yang boleh ibu katakan hanyalah perasaan itu indah.

“Anak adik lelaki.”

Seorang bayi lelaki disuakan kepada ibu. Merah warna kulit bayi itu. Matanya tertutup. Air mata ibu menitis. Terharu, gembira, dan tak luput juga perasaan takut.

Ibu menyambut abang dengan tangan yang terketar-ketar. Rapuhnya abang ketika itu. Ibu bimbang ibu bakal menyakiti abang jika ibu tidak berhati-hati.

Pertama kali menyentuh abang, ibu seperti terkena renjatan elektrik. Satu perasaan halus menyusup masuk lalu bersembunyi di daerah asing di taman hati ibu. Apakah yang sedang ibu rasakan saat ini abang?

Cintakah ini? Sepantas ini perasaan kasih dan sayang ibu bercambah kukuh buat abang? Tubuh rapuh abang, ibu peluk seeratnya.

Janganlah ada sesiapa yang cuba merampas abang. Abang milik ibu, buat selama-lamanya! Ibu akan pastikan hal itu tidak hanya sekadar omong kosong tetapi bakal menjadi sebuah kenyataan.

“Adik boleh cuba bagi baby susu.”

Suara jururawat itu begitu lembut. Tidak seperti jururawat yang mula-mula menolak ibu masuk ke dalam dewan bersalin. Jururawat itu marahkan ibu kerana asyik menjerit lantaran tidak dapat menahan sakit.

“Masa buat tak sakit pulak. Tak ada teriak melolong. Masa nak bersalin ni tahu pulak menjerit sakit.” Jururawat itu membebel marahkan ibu. Dia mendengus kasar. Dijeling-jeling ibu, terkadang bibirnya mencebik.

Ibu gigit bibir ibu. Tahan suara supaya jangan menjerit lagi.

Sedih ibu cuba tahankan. Lagipun ibu terlalu sibuk fikirkan cara mahu menghentikan kesakitan itu dalam kadar cepat. Kata-kata yang menyakitkan hati itu mampir di minda sebentar, cepat pula berlalu pergi. Ibu tak mahu peduli kepada jururawat itu.

“Nanti tukar belah sini pulak. Kalau baby dah kenyang, buat mulut baby macam ni.”

Jururawat yang baik hati itu ajarkan ibu cara untuk melepaskan mulut abang sekiranya abang tertidur sewaktu menyusu. Ibu yang tidak tahu apa-apa hanya mengikut telunjuknya saja.

Kekoknya ibu sewaktu kali pertama menyusukan abang.

Hati ibu tertanya-tanya, betulkah apa yang telah ibu lakukan? Selesakah abang berada di dalam dakapan ibu? Ibu mulai ragu, mampukah ibu menjadi seorang ibu yang baik buat abang?

01 Mei 2002

Kau nak jual tak?”

Aku mengetap bibirku kuat. Berasa marah pada makhluk yang sedang duduk bergoyang kaki di pinggir katilku.

Baru beberapa jam yang lepas aku menahan sakit setengah mati bagi melahirkan bayiku, dan kini mereka datang bertanyakan tentang hal yang tidak masuk akal itu. Mereka ingat aku kilang yang menghasilkan bayi? Semudah itu mahu menjual bayi yang kukandung dan kulahirkan sepenuh perjuangan dan kudrat yang ku ada?

Sudah hilang akalkah mereka? Di mana hati perut mereka? Tergamak mereka mahu memisahkan aku dan bayiku.

“Kalau kau nak, orang tu nak bayar lima ribu. Cash! Sekarang jugak dia bagi. Bayaran hospital kau pun dia settle! Kau tinggal cuci kaki. Duit, Yam! Kau tak nak ke?” Leman buat isyarat tangan menunjukkan duit.

Aku diam. Enggan membalas bicaranya yang merepek.

“Hoi, Maryam! Aku tanya ni. Kau nak ke tak nak? Lima ribu, kau ingat senang nak dapat lima ribu macam tu je? Kerja bagai nak mampus pun belum tentu dapat, kau tahu tak?”

Linda menyenggol aku yang terdiam mendengar kata-kata Leman.

Lima ribu? Itukah nilai bayiku?

“Cepatlah! Orang tu tunggu kat luar. Kau tak payah banyak fikir, jual ajelah. Kau ingat senang nak jadi mak? Kau rasa kau layak jadi mak budak sekarang sebab kau yang beranakkan budak tu?” Leman, teman lelaki Linda mula meninggikan suara.

Aku masih terkedu. Mataku terbuntang, simpan amarah begitu banyak di hati. Kalaulah boleh kulepaskan kemarahan itu nescaya akan kutarik rambut Leman sehingga botak.

Anak itu anak aku. Anak yang aku kandungkan, kuusung ke sana ke mari membawa bersama seribu macam kesusahan yang terpaksa aku tanggung.

Tidak termasuk caci maki yang terpaksa aku dengar. Mereka fikir sembilan bulan itu sekejap? Sekelip mata aku boleh lepaskan segalanya begitu saja? Pejamkan mata seolah-olah bayi itu tidak pernah wujud dalam hidupku? Apakah mereka gila?

Wajah bayi comel yang telah kutanda sebagai milikku itu kupandang lama. Perasaan hiba itu muncul, mengapung kemudian meruap lalu membasahkan sekeping hati yang aku miliki.

Wajah bayi itu terlalu comel. Mirip dengan ayahnya.

“Maryam.” Linda memanggil.

Maryam itu namaku. Ramai juga orang mengejek namaku setelah mereka mengetahui namaku yang sebenar. Kata mereka namaku kolot dan kekampungan. Langsung tidak sesuai dengan aku.

Malah kata mereka, aku tidak layak menyandang nama Maryam.

Maryam menurut mereka adalah wanita suci yang melahirkan nabi, sedangkan aku? Jauh dari kata suci. Semakin dekat pula dengan kata sampah!

“Hoi, Maryam!” Leman menepuk bahuku keras.

“Hesy, awak ni! Yam baru lepas bersalinlah. Janganlah kasar sangat.” Linda menjegilkan matanya kepada Leman.

Leman buat muka. “Lantaklah! Ada aku kisah? Dia yang cari penyakit, tanggunglah sakit tu sendiri!”

“Yam, kau tak rasa ke apa Leman cakap tu betul? Macam mana kau nak jaga anak kau, Yam?” Linda mengusap bahuku, bahagian yang ditepuk Leman.

“Dia anak aku, Lin ….” Lirih suaraku.

“Wei, memanglah dia anak kau! Ada ke aku kata dia anak setan?”

Linda cepat-cepat memegang tangan Leman yang mahu menunjal dahiku. “Dahlah tu. Hospital ni. Malu orang tengok.”

“Huh!”

“Keluar ,” pintaku tegas. Jariku menunjuk pintu.

Leman mendengus. Aku tahu dia marahkan aku. Kulihat rahangnya mula mengeras. Hidungnya kembang kempis. Macam kata Leman tadi, lantaklah! Aku pun tak peduli!

“Aku nak tidur.” Ucapku seraya memejamkan mata.

“Tengoklah tu! Kurang ajar betullah budak ayam ni!”

“Sudahlah tu. Awak ni pun, kenapa tak nak faham?”

“Nak faham apanya? Dia tak sedar diri lagi tu!”

Aku menarik selimut sehingga ke paras dada. Mata kupejamkan. Suara Leman dan Linda yang mula bertelingkah tidak lagi kuendahkan.

“Perempuan bodoh!” Maki Leman sebelum menghempas pintu dengan kuat. Luruh semangatku kerana terkejut, sama luruh dengan air mataku.

Tak apalah jika Pak Cik Leman menganggap ibu bodoh. Sedari awal, ibu juga tahu yang ibu bodoh. Banyak hal bodoh yang telah ibu lakukan, terutama semenjak ibu mengenali ayah abang.

Namun, hari itu ibu tidak mahu mengulangi kebodohan ibu. Ibu membuat keputusan untuk mempertahankan abang.

Abang, anak ibu yang paling berharga.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL SURAT UNTUK ABANG (PENULIS: AK RAFFHAN)

  • Share post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *