Surat Untuk Abang – Bab 3

Abang….

Pada kala duka merantai kehidupan seharian ibu, ibu selalu kenangkan abang. Ibu ingatkan diri supaya jangan berputus asa.

Pada saat gadis seusia ibu masih bersuka ria bersama teman-teman, ibu sudah memiliki abang. Ibu ingatkan lagi diri ibu bahawa ibu perlu berusaha lebih gigih berbanding dengan gadis lain yang seusia dengan ibu.

Ibu dan mereka walaupun sebaya, takdir telah menentukan kehidupan kami jauh berbeza. Sewaktu mereka menongkat dunia dengan memegang tangan emak dan ayah mereka, ibu pula belajar tegakkan kaki ibu agar ibu tetap kuat, tidak memberi peluang kaki ibu bengkok. Setidaknya apabila abang mula mengenal dunia keji ini, ibu mampu untuk menjadi perisai yang melindungi abang.

Jujur ibu akui terselit keraguan akan kemampuan diri ibu menghadapi dunia. Meskipun begitu, ibu cuba cekalkan diri demi abang. Ketahuilah, segala yang ibu lakukan semata-mata untuk abang.

Abang, permata hati ibu ….

Di sini ibu mengakui tulus dari hati ibu, membesarkan abang tidak begitu mudah. Banyak cabaran yang terpaksa ibu lalui. Namun, tidak pula cabaran itu membuatkan ibu mahu berundur ke belakang.

Kata-kata Pak Cik Leman pada hari ibu melahirkan abang kerap terngiang-ngiang di telinga ibu. Tidak pernah ibu lupakan walaupun masa berlalu tanpa menunggu ibu barang sedetik.

“Kau ingat senang nak jadi mak? Kau rasa kau layak jadi mak budak sekarang sebab kau yang beranakkan budak tu?”

Benar, bukan senang menjadi seorang ibu. Apatah lagi seorang ibu yang masih bergelar remaja hingusan. Ibu seringkali berasakan ibu tidak layak menjadi ibu abang.

Banyaknya kekurangan ibu. Kekurangan itu kadangkala membuatkan ibu gentar menghadapi masa depan. Ibu takut baru setengah jalan ibu berusaha, ibu sudah mengalah. Ibu bimbang ibu tak cukup kuat, abang.

Justeru itu, sudi tak abang menjadi penguat ibu? Pemangkin semangat bagi ibu agar tetap tegar melawan dunia yang penuh kemarahan dan caci maki ini? Jika tidak di hadapan ibu, setidaknya bolehkah abang berdiri di belakang ibu?

Abang ….

Susahnya menjadi seorang ibu yang benar-benar ibu, bukan hanya pada nama. Tanggungjawab ketika memegang nama ibu itu sudah menjadi begitu besar, apatah lagi amanah-amanah lain yang perlu digalas seorang ibu.

Tetapi ibu tidak mahu menyesali keputusan ibu. Sewaktu ibu membuat keputusan untuk mempertahankan abang, ibu juga faham risiko yang terpaksa ibu tanggung.

Dan ibu cukup sedar dan waras, di suatu ketika, apabila abang mula menyedari hakikat yang sebenar, abang mungkin akan membenci ibu.

Ketika itu mungkin abang juga akan mencerca ibu seperti mana orang lain memandang rendah. Ibu cukup sedar tentang semua itu abang.

Bukan ibu tidak tahu. Sesungguhnya TUHAN juga tahu .

Ibu terlalu menyayangi abang. Justeru itu ibu bersedia menghadapi segala ribut dan taufan yang bakal melanda.

Abang mungkin membenci.

Abang mungkin tidak mahu mengakui.

Abang mungkin tak lagi sudi.

Tetapi ibu.

Ibu tidak akan pernah bencikan abang.

Ibu tidak pernah malu mengakui abang harta ibu di dunia dan di akhirat.

Dan untuk seumur hidup ibu, abang tetap anak yang paling ibu sayang.

Tahun 2002

Aku duduk bersimpuh di ruang tamu. Menerima saja aura bengis yang terpancar pada wajah tua itu. Matanya menatapku nyalang.

“Nah!” Sekeping kertas dicampakkan ke mukaku. Tak sempat aku sambut. Bentakan kasar itu membuatkan aku terpempan.

Dengan perasaan hiba, aku mengutip kertas yang terjatuh di atas ribaku itu. Kertas itu kubaca, kutelek satu persatu perkataan yang tertulis di situ.

“Kalau tak ingat kau ni anak aku, dah lama aku cincang kau hidup-hidup. Dengan budak tu sekali aku bagi mampus!”

Nafas ayah turun naik. Tetap memandang aku dengan wajah paling bengis yang pernah kulihat.

Azriel Akeef. Nama yang kuberikan kepada bayiku.

Kertas itu hampir renyuk. Peganganku terlalu kuat.

“Apa salah aku, kau buat aku macam ni? Tak cukup apa lagi pelajaran agama aku bagi selama ni sampai kau sanggup buat benda terkutuk tu? Apa nak jadi dengan manusia dalam rumah ni? Ada agama tapi perangai macam manusia laknat hidup tak beragama!” Melengking nada suara ayah mengejutkan rohku yang masih terkurung tidak bermaya.

“Abang!” Emak cuba ikut campur.

“Awak diam! Sebab awak tak pandai jaga anaklah budak ni jadi macam ni. Mengandung, lepas tu beranakkan anak haram! Awak tahu tak malu muka saya dekat pejabat pendaftaran tadi? Semua orang kenal saya! Mana saya nak letak muka saya?” Ayah menjerkah emak. Biru muka emak menyambut tempias kemarahan ayah.

Aku yang berdosa. Aku yang membuat salah, tetapi emak turut menanggung bahana.

“Haih! Haih! Geram aku nak cekik budak ni bagi mati!” Ayah mengetap gigi. Emak sudah tidak menyahut. Terpaksa menutup mulut di sebelah ayah. Mahu tidak mahu emak terpaksa menelan segala kemarahan yang dihamburkan ayah kepadaku.

Di hujung ekor mata, aku perasankan wajah emak yang kemerahan. Begitu juga dengan mata emak.

Emak berduka kerana aku. Ayah marah juga kerana aku. Akulah punca segala kata-kata kesat itu terluah daripada bibir.

Ayah yang tegas, namun tidak pernah sekalipun berbicara menggunakan kata-kata kesat dengan anak dan isterinya, kini mula akrab dengan patah kata yang tidak sedap didengar itu.

Aku menelan segala kata-kata ayah dengan hati yang retak seribu. Bukan salah ayah, semuanya adalah salah aku. Dan aku mengerti kemarahan ayah.

Aku telah menconteng arang ke muka ayah dan emak. Mereka masih mahu menerima kehadiran aku di rumah ini pun sudah cukup baik.

Meskipun aku di rumah ini bagaikan tak lagi wujud di mata mereka, ayah masih sudi ke pejabat pendaftaran untuk buatkan surat beranak anakku.

Ya, kertas yang dilemparkan ke mukaku tadi adalah surat beranak anakku.

Kata orang, mujur anakku lelaki. Ketika dewasa kelak, tidak akan ada masalah perwalian yang bakal dibangkitkan.

Ya, mujur.

Terima kasih, TUHAN. KAU masih berbaik hati kepadaku meskipun aku mengingkari segala larangan-MU.

“Emak tak tahulah kakak. Lepas ni kakak nak jadi apa. Emak memang marah, sakit sangat hati ni. Hancur hati emak dibuat kakak sampai tak tahu nak kata apa lagi. Malu emak bila orang mengata macam-macam tapi kakak tetap anak emak. Buruk-buruk kakak, emak tak mungkin buang kakak. Tapi soal kepercayaan, emak tak dapat nak percayakan kakak macam dulu lagi. Kakak dah sia-siakan harapan dan kepercayaan yang pernah emak dan ayah bagi.”

Alunan kata-kata lembut emak berlagu dalam irama yang tidak menyakitkan telinga. Namun kesan dari setiap bait kata yang terlontar itu menghiris seluruh hatiku. Nadi dan jantungku seakan berhenti berdenyut buat seketika.

Emak tak lagi percaya padaku. Malah emak juga tak lagi peduli padaku. Emak dan ayah hanya sediakan barang-barang keperluan, selepas itu mahu aku tertonggeng, terbalik, mereka tidak pernah peduli lagi.

Bahkan sewaktu mendengar anakku teriak sehingga mahu keluar anak tekak, mereka tidak susah-susah mahu menjenguk ke bilikku.

            Abang pasti tak dapat bayangkan perasaan dan keadaan ibu pada bulan pertama kelahiran abang. Ibu juga tak pernah membayangkan hidup ibu akan menjadi sekacau ini.

Melahirkan tetapi tidak berpantang. Menjadi ibu hanya untuk seorang bayi lelaki, tetapi sakitnya seperti ibu melahirkan sepuluh orang bayi lelaki!

Ibu hampir tersesat abang. Tidak tahu bagaimana cara menjadi ibu yang paling baik untuk abang. Tidak ada sesiapa yang mahu memberikan panduan. Ibu terpaksa mencari cara sendiri. Namun ibu berjanji, ibu akan berusaha sebaik mungkin.

Ketahuilah abang ….

Ibu menyesali semua perbuatan sumbang itu. Namun, ibu tidak pernah menyesal memiliki abang.

Ibu bukan perempuan jahat … rasanyalah! Atau ibu memang telah berubah menjadi perempuan jahat sekarang?

Kata tok abang, ibu tak ubah seperti pelacur! Perempuan yang tidak ada maruah. Sewenangnya menyerahkan diri kepada lelaki yang tidak berhak.

Benarkah taraf ibu serendah itu sehingga ayah ibu sendiri tergamak menggelar ibu begitu? Ibu mungkin sudah hilang maruah disebabkan mata ibu yang buta dek kerana cinta. Tetapi ibu bukan pelacur. Bukan!

Ibu bukan pelacur! Ibu tidak pernah menjual diri ibu.

Kata opah pula, perempuan baik-baik takkan pernah menyerahkan diri pada lelaki yang tidak halal untuknya.

Ibu mengakui ibu tak lagi baik ketika ibu tersungkur di lembah cinta yang menyesatkan itu.

Tetapi ibu tak bangga abang. Kesilapan itu amat ibu sesali. Kalaulah ibu boleh mengulang masa, kembali ke masa lalu ….

Ibu pasti memilih untuk tidak jatuh cinta pada ayah abang.

Dan ibu juga menyedari satu hal, jika ibu kembali ke masa lalu, semuanya tidak akan berlaku seperti sekarang, mungkin abang juga tidak akan wujud dalam hidup ibu.

Dan abang ….

Masih bencikah abang pada ibu?


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL SURAT UNTUK ABANG (PENULIS: AK RAFFHAN)

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *