Surat Untuk Abang – Bab 4

Abang….

Begitu cepat masa berlalu. Anak ibu yang pada mulanya hanya tahu senyum, perlahan-lahan tumbuh menjadi seorang kanak-kanak yang lincah.

Ibu bahagia abang. Buat masa sekarang ibu masih berpeluang melihat abang membesar di hadapan mata ibu.

Alhamdulillah. Syukur kerana TUHAN masih memberikan ibu peluang. Insya-ALLAH peluang ini akan ibu hargai dengan segenap jiwa dan raga ibu.

Ibu melihat abang yang masih merah, yang terus duduk tanpa meniarap, lalu abang merangkak kemudian pada usia belum cukup setahun abang sudah boleh berjalan. Keletahnya anak ibu.

Terima kasih sayang. Abang membesar tanpa banyak kerenah. Mudah sungguh menjaga abang. Mungkinkah jauh di sudut hati abang yang belum mengerti apa-apa itu, abang sebenarnya faham kesulitan yang dihadapi ibu? Mungkinkah begitu, abang?

“Bu ….” Abang bertepuk tangan. Tertawa gembira menunjukkan gigi susu yang belum sepenuhnya tumbuh.

Panggil lagi sekali, sayang. Ibu mahu mendengarnya lagi.

“Bu ….” Abang memanggil lagi. Semakin kerap, bersama senyum dan tawa girang yang membuatkan bunga-bunga di taman hati ibu berkembang mekar.

Tangisan ibu tidak berhenti mengalir sewaktu mendengar abang memanggil ibu buat pertama kali. Alhamdulillah, anak ibu sudah boleh bercakap.

Dan masa pun berlalu dari hari pertama abang berjaya memanggil nama ibu. Kini, abang sudah genap dua tahun. Gigih abang berlari, terlompat-lompat setiap kali kita berpimpinan tangan. Penat ibu mengejar. Tapi tak mengapa ….

Abang berlari, ibu mengejar. Abang berjalan, kita berpimpinan tangan.

Abang ….

Hari ini ibu berduka. Semenjak malam tadi tidur ibu tidak lena. Sehingga ke subuh, ibu kerap terjaga dan teraba-raba perbaringan di sebelah ibu.

Ibu mencari abang. Walhal abang tidak ke mana-mana. Abang ada di sebelah ibu, sedang tidur lena. Dada abang berombak halus.

Wajah comel abang ibu perhatikan. Dan perasaan bersalah itu hadir lagi. Ibu tidak dapat lari dari perasaan yang saban masa mengekori ke mana saja langkah ibu.

Jejari kecil abang ibu sentuh. Ibu cuba tersenyum. Mengabadikan setiap momen memerhatikan abang di dalam diam.

Pagi nanti kita akan berpisah buat seketika. Lantaran itu ibu ingin memasukkan wajah abang dalam kotak ingatan ibu. Meskipun tidak dipandang, wajah abang sudah pun terakam kemas dalam ingatan ibu. Namun, ibu tetap mahu menatap abang.

Ibu takut ibu rindu. Kalau ibu rindu apa yang boleh ibu lakukan? Tidak ada abang yang boleh ibu peluk. Hanya ingatan dan doa yang mampu ibu titipkan dari jauh.

Tidaklah sejauh mana kedudukan kita. Masih dalam daerah yang sama. Namun kebersamaan kita yang tidak pernah berpisah semenjak abang lahir membuatkan ibu berasa kita telah jauh terpisah.

Abang ….

Maafkan ibu. Ibu terpaksa tinggalkan abang dengan Nek Mah. Ibu tinggalkan abang bukan kerana ibu sanggup berpisah dengan abang tetapi ibu perlu bekerja saying.

Ibu keluar mencari rezeki untuk keluarga kecil kita. Kalau bukan ibu, siapa lagi yang akan menafkahi kita?

Tok memang berikan kita duit belanja setiap bulan. Tetapi ibu malu hendak meminta-minta. Jadi ibu ambil keputusan untuk keluar bekerja. Semoga kerja bergaji kecil ibu ini berkat buat membesarkan abang.

Membesar dan jadi orang yang berguna ya abang. Jangan jadi seperti ibu. Hanyut dalam nikmat duniawi yang sementara, sampai ke mati menyesal tak sudah.

Anak ibu semakin hari semakin membesar. Satu hari nanti ibu mungkin perlukan lebih banyak wang untuk menyara abang.

Bukan, abang jangan salah faham. Ibu bukan merungut kerana perlu bekerja demi keluarga kecil kita. Ibu mengeluh kerana ibu perlu tinggalkan abang. Tak tergamak rasanya hati ibu untuk meninggalkan abang.

Sedihnya sewaktu ibu terpaksa melepaskan genggaman tangan kita. Separuh nyawa ibu seakan terputus dari badan. Tertinggal bersama abang di saat ibu melangkah keluar dari rumah Nek Mah.

Selama lapan belas tahun ibu hidup di dunia, ini kali pertama ibu bekerja. Lagi sekali ibu mahu memohon kemaafan dari abang.

Kerja ibu tidak sehebat pekerjaan ibu bapa orang lain. Dengan kelulusan ibu yang setakat tingkatan tiga, ibu hanya mampu bekerja kilang. Kerja operator kilang yang menjaga mesin. Kerja shift pula.

Kerja kilang pun kerja yang halal kan abang? Ibu mohon jangan malu jika suatu hari nanti teman-teman abang tanyakan pekerjaan ibu. Setakat ini hanya pekerjaan ini yang mampu ibu kerjakan. Insya-ALLAH selepas ini ibu akan berusaha lebih gigih lagi. Mana tahu ada rezeki lain di masa akan datang.

Sebagai manusia yang percaya dengan qada’ dan qadar, kita tidak boleh berputus asa dengan rahmat ALLAH, kan abang?

Selepas ini semakin banyaklah masa ibu berkurang untuk abang. Masa kita bersama pasti berkurang tapi jangan diragukan cinta dan kasih ibu pada abang. Selagi hayat ibu dikandung badan, abang tetap anak yang paling ibu sayang.

Tahun 2004

Beg yang penuh berisi barang-barang Akeef kuserahkan kepada Mak Cik Salmah.

Mak Cik Salmah merupakan ibu Linda. Mak Cik Salmah lah yang akan kuamanahkan menjaga Akeef sepanjang aku bekerja di kilang.

Baik sekali hati Mak Cik Salmah. Tanpa aku bertanya, dia sendiri yang menawarkan perkhidmatan. Alhamdulillah, di sekitar aku masih ramai orang yang baik dan prihatin. Walaupun mereka langsung tidak mempunyai pertalian darah dengan aku. Malahan kebaikan mereka melebihi kebaikan ahli keluarga yang tidak mempedulikan aku.

“Nanti balik kerja saya terus ambik Akeef.”

Mak Cik Salmah mengangguk. “Ya. Jangan kelam kabut. Pelan-pelan je. Mak cik faham.”

“Terima kasih, mak cik”

“Ya ALLAH, Maryam! Berapa kali nak ucap terima kasih ni. Mak cik ikhlas tolong Maryam. Maryam dengan Linda sama je. Dua-dua mak cik sayang.”

Mak Cik Salmah menepuk-nepuk lenganku. Dia tersenyum kepadaku. Mungkin perwatakan Mak Cik Salmah tak selembut emak, tetapi hati Mak Cik Salmah tersangatlah mulia.

Ketika emak kandungku tidak mahu menunaikan tanggungjawab menjaga aku selepas aku melahirkan bayiku, Mak Cik Salmahlah yang banyak membantu. Namun, Mak Cik Salmah tidak boleh selalu ke rumahku. Ayah tidak suka!

Pernah sekali ketika Mak Cik Salmah datang ke rumah menjenguk aku, ayah menghempas pintu sehingga Mak Cik Salmah termelatah. Kasihan Mak Cik Salmah terpaksa terima tempias amarah ayah.

Aku yang punya angkara, dia turut dipandang serong oleh ayah. Kononnya Mak Cik Salmah turut bersubahat dengan Linda menyembunyikan aku suatu ketika dahulu.

“Sudahlah tu. Jangan sedih-sedih. Adatlah tu. Nak keluar cari rezeki, kenalah tinggal anak. Rezeki tu memang kena cari. Tak datang bergolek. Maryam kenalah kuat.”

Aku senyum kelat. Bibirku tercebik sedikit. Sebenarnya aku sedang menahan diri dari menangis.

“Tak apa. Pergi kerja elok-elok. Jangan risau. Mak cik pasti jaga anak Maryam dengan baik. Anak Maryam dah macam cucu mak cik,” pujuk Mak Cik Salmah apabila melihat aku masih juga tidak berganjak dari situ.

“Maryam ….” Mak Cik Salmah membuat isyarat menyuruh aku segera pergi.

“Kejap, mak cik.”

Aku menatap sayu wajah anakku. Ah, perasaanku sebak sekali mahu meninggalkan hartaku itu kepada orang lain.

“Dah, jangan tenung-tenung. Lagi ditenung, lagi berat hati tu. Dah pukul berapa ni? Takkan hari pertama kerja dah lambat?”

Mak Cik Salmah lepaskan tanganku pada Akeef, menolak aku ke arah pintu. Kakiku masih berat untuk melangkah.

Di muka pintu aku berpaling. Akeef sedang bermain dengan permainan yang sengaja kubawa supaya dia tidak bosan berada di rumah Mak Cik Salmah.

Dua tahun. Tak pernah sehari pun aku berenggang dengannya. Mampukah aku untuk melalui setengah hari tanpa melihat dan mendengar suara permata hatiku itu?

“Dah, cepat pergi. Nanti Akeef nampak, dia menangis pulak.”

Ah, bukan Akeef yang menangis, tetapi aku!

Sepanjang perjalanan ke tempat kerja, di dalam bas kilang aku menangis sehingga teresak-esak. Baru beberapa minit rinduku sudah sedalam ini. Bagaimana pula beberapa jam ke depan nanti?

Abang ….

 Melalui alam pekerjaan tidak semudah melalui alam persekolahan. Beban ketika bersekolah hanya pada peperiksaan dan kerja sekolah.

Ketika di tempat kerja, bukan setakat bebanan pekerjaan, malah kawasan persekitaran dan orang sekeliling memberikan beban lain pada ibu.

Payahnya. Baru ibu tahu bekerja dan menjadi ibu dalam satu masa yang sama bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi ibu terpaksa bekerja syif. Ibu tak biasa abang.

Saat ini ibu ingin menyatakan kekaguman ibu buat mereka yang mampu seimbangkan kehidupan seharian di antara menjadi seorang wanita berkerjaya dan juga ibu yang terbaik buat anak-anak mereka. Semoga ibu juga mampu mengharungi kehidupan dengan tabah seperti mereka.

Hari pertama rasanya ibu mahu menangis. Perasaan rindukan abang yang terlalu membuak-buak, juga teman-teman yang majoritinya bukan rakyat Malaysia membuatkan ibu ingin berhenti saja.

Ibu cuak. Panik. Sukar menyesuaikan dengan keadaan sekeliling. Menghulurkan senyum buat mereka yang memberi senyum itu juga begitu payah ibu rasakan.

Ada satu perasaan yang tanpa ibu sedari telah tertanam semenjak satu demi satu tragedi terjadi dalam hidup ibu. Ada benteng yang tak nampak di mata yang ibu bina menyebabkan ibu sukar membuka hati untuk menerima orang lain masuk ke dalam hidup ibu.

Perasaan ibu ketika bekerja tidak begitu gembira, tetapi ibu tahu ibu perlu teruskan demi abang. Ya, demi abang!

Setiap sesuatu yang payah selalu menjadi mudah apabila nama abang ibu jadikan sebagai satu alasan.

Tidak keterlaluan ibu katakan abanglah segala-galanya bagi ibu. Abang satu-satunya keluarga yang ibu punya.

Bukannya ibu sudah tak sayangkan keluarga ibu yang lain. Ibu masih mempunyai ibu bapa yang sihat, adik beradik ibu yang lain juga masih segar-bugar.

Mereka memang tidak membuang ibu, namun sikap mereka menunjukkan mereka tidak lagi menganggap ibu wujud. Ibu ibarat halimunan yang tak nampak di mata mereka.

Kalau boleh, janganlah suatu hari abang anggap ibu seperti itu juga ya.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL SURAT UNTUK ABANG (PENULIS: AK RAFFHAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *