Surat Untuk Abang – Bab 5

Tahun 2004

Maryam!” Aku ditahan beberapa orang pekerja wanita sewaktu aku dalam perjalanan mahu ke loker.

Mereka bertiga. Di tangan masing-masing sedang memegang beg duit. Mungkin mereka mahu ke kantin memandangkan sekarang waktu rehat pertama.

“Tengah rehat kan?”

Aku senyum segaris, kemudian anggukkan kepala.

“Rehat dengan siapa?” Ana melihat di belakangku. Aku jadi terikut melihat ke belakang. Dia mencari siapa?

“Sorang.”

Ana senyum, dia memang peramah orangnya.

“Jom, ikut kita orang makan?” Dia mempelawa.

Dia bekerja satu syif denganku. Beberapa hari masuk bekerja syif di kilang, aku belum dapat beramah-tamah dengan sesiapa pun. Acapkali aku mencuba ramah, setiap kali itu juga percubaanku tidak berjaya.

Susah rupanya menjadi seorang peramah. Lagi-lagi untuk manusia beku seperti aku.

Disapa orang terlebih dahulu pun aku sudah berasa kekok. Inikan pula aku sendiri yang mula menyapa. Hai, memang taklah kut!

“Jomlah!”

“Erm, tak apalah. Terima kasih. Saya tak lapar.”

Mereka bertiga berpandangan. Kemudian dua orang kawan Ana yang tidak kuketahui nama, berbisik-bisik sesama mereka. Agaknya mereka mengata aku sombong. Susah diajak berkawan.

“Dah makan ke kat rumah tadi?” Ana belum berputus asa. Dia tidak mengendahkan kawannya yang sedang menarik hujung baju-T yang dipakainya.

Aku mengerling arloji di pergelangan tanganku.

Tidak mahu ke kantin ke mereka? Peruntukan waktu rehat pertama tidak begitu lama. Tak takut ke terlepas waktu makan gara-gara bertanyakan itu ini kepada aku? Nanti aku pula yang dipersalahkan kalau mereka terlepas waktu rehat.

“Ya. Saya dah makan kat rumah tadi.”

Bohong sunat, tak apalah kut! Berbohong untuk sedapkan hati sendiri dan hati orang lain. Padahal mana pernah aku sarapan di rumah! Tak sempat.

Kalau bekerja syif pagi, pukul lima lebih aku sudah perlu keluar dari rumah untuk menunggu bas. Sebelum itu aku wajib menghantar Akeef ke rumah Linda dahulu.

Apabila sampai di kilang, aku terus masuk ke dalam kilang. Jarang sangat aku membeli di luar kawasan kilang meskipun di awal pagi bersepah gerai yang menjual sarapan pagi.

Entahlah, bukan aku tidak lapar. Lapar juga sehingga adakala perutku berbunyi tetapi aku tidak ada selera. Belum terbiasa meninggalkan Akeef. Perasaan rinduku menutup semua rasa lain sehingga rasa lapar pun mampu kuabaikan.

“Betul ke tak nak ikut ni?”

“Ya. Terima kasih ajak.” Ayat untuk ambil hati.

“Okey, tak apa. Lain kali ya?”

Ana angkat tangan melambai. Selepas itu Ana dan kawan-kawannya tergesa-gesa meninggalkan aku. Aku pula menyambung langkah ke loker.

Sampai di loker, setelah menyimpan baju seragamku, aku duduk bersila di hadapan loker. Kalau hendak diikutkan di kawasan lokar ini tidak dibenarkan melepak, namun selagi pengawal keselamatan tidak meronda, duduk sajalah.

Tidak ada tempat lain yang boleh kutuju selain kantin dan surau. Pada waktu rehat seperti ini walaupun masih terlalu awal pagi, surau selalunya penuh dengan orang bersembang dan tidur. Tak teringin aku menambahkan keramaian. Bingit telingaku mendengar mereka bersembang.

Sedang aku duduk sendirian itu, lokar yang menjadi tempat aku bersandar, berbunyi. Aku tidak mendongak, sepasang kaki berdiri di sebelahku.

Melihat pada saiz kasut itu aku mengagak itu kasut lelaki. Agak lama dia berdiri di sebelah aku, entah apa yang dibuat di dalam lokar.

Aku buat tak tahu saja. Malas mendongak, malas beralih tempat. Lokarku betul-betul di hadapanku. Baris paling atas, apabila kudongak terus akan terlihat lokarku itu.

Bila agaknya manusia yang sedang berdiri di sebelahku ini mahu pergi? Rimas pula bila sudah berdua begini. Nak-nak lagi yang berdua denganku itu lelaki, bukannya perempuan.

Oh, dia memang tak mahu pergi! Kerana dia duduk di sebelahku selepas itu.

“Maryam kan?”

Aku menoleh kepada lelaki di sebelahku. Mengengsot memberi jarak kepada kedudukan kami.

“Saya Saiful.” Dia memperkenalkan diri walaupun aku tidak bertanya mahupun menjawab soalannya.

“Sorang je?”

Dahiku berkerut. Dia ada nampak orang lain ke dengan aku? Sudah beberapa minit dia di sini, rasanya sedari dia sampai sehinggalah sekarang, aku bersendirian. Lainlah kalau ketika itu ada orang lain bersamaku.

“Maryam bisu ke?”

Mana dia tahu nama aku Maryam? Aku tak kenal pun siapa dia. Dia juruteknik dalam department yang sama dengan aku ke?

“Takut dengan abang?” Dia mendekatkan mukanya dengan mukaku.

Mataku terbeliak, lekas-lekas menjarakkan muka kami.

“Gurau ajelah. Janganlah cuak macam tu.” Saiful tertawa halus.

“Maryam umur berapa? Muka Maryam nampak macam muda lagi. Kalau Maryam tak keberatan nak bagitahu abanglah. Abang tak paksa.” Saiful duduk dengan lututnya diangkat. Dia memandang aku yang belum membuka suara.

Dia mengajak aku berbual tetapi aku tidak mahu berbual dengannya. Dengan kaum sejenis pun aku tidak berminat untuk berbual, apatah lagi dengan lawan sejenis.

“Kita ni kerja dalam satu kumpulan. Maryam tak boleh sombong sangat. Sekurang-kurangnya bila orang tanya soalan yang mudah dijawab, Maryam kenalah jawab. Nanti orang kata Maryam sombong.”

Begitu ya? Adakah itu bermaksud sudah ada yang menggelari aku manusia sombong? Baru dua tiga hari bekerja syif, aku sudah menjadi manusia sombong? Cepat sungguh telahan itu dibuat.

“So?”

“So?” Aku menyoalnya kembali.

Dia senyum segaris. “Ada pun suara! Abang ingatkan ada ketika Maryam bisu!”

Aku tidak tersenyum. Tidak juga masam. Namun, bibir Saiful tetap tersenyum.

“Umur Maryam berapa?” Dia bertanyakan soalan yang sama.

“Lapan belas.”

“Lapan belas? Wow, maksudnya baru habis SPM?”

Sudah kuagak pasti dia akan menyangka begitu apabila aku memberitahu umurku.

Aku menggelengkan kepalaku. Dahi Saiful berkerut.

“Maksudnya?”

“Maksudnya saya tak ambik SPM. Saya sekolah setakat tingkatan tiga je.” Rajin pulak aku bercerita. Motif aku bercerita? Haih, aku pun tahu!

“Really?”

“Hurm ….”

Buat beberapa ketika kami senyap. Walaupun senyap, aku dapat merasakan Saiful sedang merenung aku. Tidak kuendahkan. Rasa rimas tadi perlahan-lahan menghilang.

Selagi dia tidak menggangguku, bercakap atau bertanya yang bukan-bukan, suka hati dialah nak duduk di situ pun. Kawasan lokar dia, apa hak aku hendak melarang?

“Maryam tak nak tanya apa-apa ke?” Saiful bersuara semula.

“Tak ada.”

“Kenapa tak ada?”

“Kenapa kena tanya?”

“Yalah. Kita kan tengah berkenalan. Selalunya masa sesi perkenalan, kita kena soal menyoal, baru dapat saling mengenal.”

Kedua-dua belah keningku terangkat. “Ye ke? Tapi saya tak rasa macam tu pun! Saya tak nak kenal awak pun!” Aku berterus terang.

“Amboi! Eksyennya dia!” Saiful tidak marah sebaliknya dia gelakkan aku.

“Jatuh hati dekat abang baru tahu!”

Aku mencebik. Tergesa-gesa bangun dan membuka lokar mengambil baju seragamku apabila loceng menandakan waktu rehat pertama sudah habis mula kedengaran.

“Kalau jatuh, kutip! Senang cerita.” Sempat lagi aku menjawab.

“Sebelum Maryam kutip, abang yang kutip dulu. Lepas tu simpan dalam hati abang!” Saiful tergelak lagi.

Uwek! Gedik aje bunyi ayat. Menyesal pulak aku layan kalau tahu Saiful hendak bagi ayat gedik seperti itu. Malas menjawab, nanti makin banyak bunyinya.

Saiful mengekori aku dari belakang, tak sampai beberapa saat dia sudah di sebelahku. Dia terus berceloteh sepanjang kami berjalan menuju department ku bekerja.

Apabila aku masuk ke dalam department, dia turut mengekori. Oh, jadi benar sangkaanku dia juga satu department denganku? Agaknya sebab itulah dia mengetahui namaku.

Erm, lantak dialah. Dia kerja di bahagian mana, tak ada kena mengena dengan aku. Aku datang bekerja, bukannya untuk mengambil tahu urusan orang lain.

Bye, Maryam!”

Aku hampir terloncat apabila tiba-tiba saja ada suara menegurku sewaktu aku sedang berjalan mahu ke tempat bas diparkir. Ada orang mintak ditampar. Mujur aku tak melatah.

Saiful tersengih-sengih di sebelahku.

Menyibuk sajalah dia ni. Tak ada orang lain lagi ke dia nak tegur selain aku? Punya ramai manusia, aku juga yang dia pilih.

“Maryam naik bas mana?”

“Mana-mana pun boleh!” Jawabku malas. Bukan ke tadi dia sudah ‘bye‘ kan aku? Kenapa sekarang dia masih sibuk ikut aku berjalan?

Dia nak ke mana sebenarnya ni? Haih, aku rasa terganggu! Hendak marah, jalan yang sedang kami lalui bukan milik persendirian, terpaksa aku tahankan diri.

“Abang nak pergi parking kereta. Tu, dekat belakang sana!” Tangan Saiful menunjuk kawasan parkir di belakang tempat bas-bas kilang diparkir.

Oh, patutlah dia mengikut jalan yang sama denganku. Tapi perlu ke dia berjalan di sebelahku? Aku tak suka mata-mata yang sedang melihat kami. Kemudian berbisik-bisik seperti kami sedang melakukan perbuatan yang tidak senonoh.

Inilah yang paling aku tidak suka, menjadi perhatian orang lain. Kalau boleh aku tidak mahu langsung menjadi pusat perhatian orang. Lebih bagus lagi kalau orang tak nampak aku dan memperlakukan aku seperti aku tidak wujud. Biarkan aku hidup dalam duniaku sendiri.

“Oh, Maryam naik bas ni?” Saiful membaca nama bas kilang yang akan kunaiki. Aku tidak membalas.

Bye, Maryam! Jumpa lagi esok. Hati-hati. Kalau jatuh, bangun sendiri ya! Abang tak boleh tolong!”

Aku memutar bola mataku. Masuk ke dalam bas dan terus ke tempat duduk yang dua tiga hari ini menjadi tempat duduk pilihanku.

Saiful menunggu sehingga aku sampai di tempat duduk. Setelah itu dia pergi ke bahagian tingkap tempat aku duduk kemudian melambai dan tersenyum seperti kerang busuk.

Aku buat bodoh! Tidak membalas lambaian mahupun senyumannya. Huh, malu aku apabila beberapa orang pekerja kilang yang sudah berada di dalam bas itu memandang aku.

Sewel! Janganlah esok dia buat perangai macam ni lagi. Tak sukalah aku!


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL SURAT UNTUK ABANG (PENULIS: AK RAFFHAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *