17 tahun yang lalu
MALIN kayuh basikal melintasi rumah Uda. Sengaja dia pilih jalan jauh untuk balik ke rumah, walhal dia boleh saja lalu jalan yang lebih dekat. Laluan ini sudah menjadi laluan wajib setiap kali dia balik dari menoreh. Terjenguk-jenguk kepala mengintai si dara pujaan. Selalu ada saja di laman rumah menjemur kain atau menyapu sampah.
Entah di mana silapnya tayar basikal Malin terlanggar batang pokok dan…
“Argh!”
Uda yang sedang kemaskan kebun di belakang rumah bangun mendengar jeritan yang kuat itu. Dia mengatur langkah ke luar laman. Bibirnya mahu ketawa melihat Malin yang terlentang atas pasir dengan basikal di atasnya.
“Kamu tak apa-apa?”
Malin dongak kepala seraya menyengih. “Takde apa-apa.” Laju dia menjawab. Malu usah katalah. Bagaimana lelaki sepertinya boleh jatuh hanya dengan basikal terlanggar kayu. Aduh! Bikin malu sungguh.
Uda senyum simpul. “Nak saya tolong angkat basikalnya?”
“Tak apa,” tolak Malin. Tapi dia terkial-kial mahu menolak basikal beralih dari tubuhnya.
“Biar saya tolong.” Uda membalas dengan sopan. Dia ke sebelah sana mengangkat basikal Malin. Kasihan tengok Malin bersusah payah mahu bangun. Lucu pun ada, tapi tidaklah dia mahu ketawa. Tahu Malin malu. “Kamu takde luka?” tanyanya lagi.
Malin geleng. Dia bagaikan terpukau dengan senyum manis si gadis. Tersangat beza senyuman gadis ini dengan senyuman gadis yang pernah dia kenal.
“Terima kasih.” Ucap Malin mengambil basikal daripada pegangan Uda. Dia mahu cepat berlalu kerana bimbang dia akan lebih terpukau. Wajah lembut yang manis dengan senyuman sangat menggoda jiwa lelakinya.
Dia terpaut pada Uda. Niat di hati untuk dijadikan isteri, bukan untuk menjadi perempuan teman gembira semata. Dengan laju Malin mengayuh basikalnya meninggalkan laman rumah Uda. Gadis itu ketawa halus melihat kalutnya Malin meninggalkan pekarangan rumah.
Bukan dia tak perasan setiap kali Malin melalui rumahnya, lelaki itu akan terjenguk-jenguk ke dalam kawasan laman rumah.
“Kenapa Uda?”
“Ada orang jatuh, mak.” Balas Uda sambil memimpin tangan maknya duduk di tangga kayu rumah.
“Siapa yang jatuh?”
“Malin mak.”
“Malin? Lelaki bujang yang duduk di hujung kampung tu?”
“Mungkin.” Jawab Uda perlahan.
“Mak tak nampak kamu Uda, tapi mak boleh rasa. Dia ke yang selalu mengintai kamu tu?”
Makin pijar kulit pipi Uda. “Uda hanya perempuan biasa mak. Belajar pun setakat sekolah rendah saja.” Balas Uda merendah diri. Bukan mahu mengungkit takdir hidup sekadar memberi peringatan kepada diri sendiri bahawa dirinya hanya manusia biasa yang banyak kurang. Apa yang ada pada dia hanyalah wajah yang cantik. Adakalanya wajah ini juga menyusahkan dia.
“Belajar di sekolah tak semestinya orang itu bijak pandai Uda. Ilmu ini bukan hanya di sekolah. Tapi ia ada di mana-mana saja. Di rumah ini, di bendang sana atau di kebun sayur kamu itu sekalipun punya ilmu jika kamu teliti. Setiap langkah kaki kita, ALLAH telah sediakan manfaatnya. Tidak ada yang sia-sia selagi kita percaya kepada-NYA.” Ujar mak lembut. Dia faham perasaan rendah diri si anak kerana dia dulu juga memikirkan perkara yang sama.
Dilahirkan sebagai buta bukan suatu yang dia pinta. Sebagai manusia dia juga mahu melihat alam yang indah ini namun ALLAH berikan dia nikmat merasai bukan nikmat melihat. Apa lagi yang mahu dia dustakan? Sekurangnya dia masih bisa bergerak dan merasai. Masih ada insan yang lain diuji dengan lebih berat daripadanya.
“Terima kasih, mak.” Ucap Uda lembut. Dia akui apa yang dikatakan oleh mak itu ada betulnya. “Jom masuk mak. Uda dah siap masak makan tengah hari.” Tangan mak dipimpin naik ke atas rumah. Serentak dikunci pintu utama sebelum melangkah bersama mak ke dapur.
Mereka hanya tinggal berdua di rumah ini. Ayah Uda meninggal dua tahun lepas kerana sakit jantung. Sejak itu segala urusan rumah, perbelanjaan harian mereka Uda yang uruskan. Bercucuk tanam di tanah sekangkang kera di belakang rumah dan dijual di kedai Pak Ucop. Hasil jualan dapatlah menampung makanan mereka berdua.
MALIN tersengih-sengih sambil mengayuh basikal. Berbunga riang hati dia hari ini. Bukan hanya dapat melihat dari jauh malah turut ditegur oleh si dara. Suara lunak Uda berdengung di telinga. Ah, dia betul-betul dilamun cinta dengan gadis itu. Nampaknya dia perlu bagi tahu Imam Ayub untuk melamar Uda bagi dirinya. Tak sanggup Uda terlepas ke tangan orang lain.
Dia tahu dalam kampung ni ramai yang mengintai gadis tersebut. Yang dia suka dengan Uda, gadis itu tidak bebas bergaul dengan lelaki. Jika bertemu dengan lelaki kepalanya menunduk ke bawah. Sikapnya yang begitulah menjadi rebutan orang ramai.
“Abang Malin.”
Kayuhan Malin terhenti. Dia mencari gerangan yang memanggil. Mata dia terpaku pada Jenab yang keluar dari semak. Gadis itu tersenyum manis kepadanya.
“Awak buat apa dalam semak tu, Nab? Bahaya tau.” Tanya Malin tanpa syak wasangka.
“Oh, pak suruh cari pucuk apa entah tadi. Lupa.” Sengih Jenab.
“Baliklah, Nab. Tengah hari rembang ni.”
“Nak baliklah ni, tu sebab panggil Abang Malin tadi. Nak tumpang boleh?” Manja nada Jenab. Tersengih-sengih entah apa yang lucu pun tak tahu.
Malin garu kepala. Nak kata tak boleh kesian pula dia melihat Jenab yang merah muka dengan peluh. Tapi kalau dia kata ya, apa pula kata orang kampung nanti. Bukan dia tak tahu sikap orang kampungnya yang suka menjaga tepi kain orang.
“Abang Malin tak risau ke nak biarkan Nab jalan sorang-sorang. Tadi abang juga cakap bahaya.” Jenab tukar nada bicara. Seperti merajuk orangnya.
“Hurm, yer la. Mari naik. Nak pegang mana pun peganglah asalkan tak pegang abang.” Pesan Malin.
“Ya.” Sengih Jenab makin lebar. Dengan teruja dia naik bahagian belakang basikal.
Malin mulakan kembali kayuhan. Niat dia ikhlas mahu menolong tanpa dia sedar sebenarnya Jenab sudah lama menaruh hati kepadanya. Penerimaan dia pada ajakan gadis ini juga tanpa dia sedar sudah memberikan harapan.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL TAKDIR (PENULIS: SK AISYAH)