MALIN duduk di tangga surau. Dia menunggu Imam Ayub selesai menunaikan solat sunat. Hajat yang dia sudah simpulkan harus disampaikan secepat yang mungkin. Risau bunga pujaan hati akan disunting orang.
“Ha, Malin. Kamu buat apa tak balik lagi ni?” tegur Imam Ayub.
Dia turut melabuhkan duduk di sebelah Malin. Si lelaki bujang Kampung Pinang Sebatang yang rajin melangkah ke surau untuk solat jemaah. Kadang dia kesian dengan Malin ni, umur dah menghampiri 30 tahun tapi masih bujang. Lelaki kampung ini yang seusia Malin pun sudah punya isteri dan anak.
Malin bukan tak kacak atau tak ada duit, lelaki ini ada pokok getah sendiri yang diwasiatkan oleh orang tuanya yang meninggal lima tahun lalu. Setakat untuk jaga anak isteri memang lebih daripada mencukupi. Malah ada saja anak gadis kampung yang suka akan Malin tapi lelaki ini begitu juga. Apabila dikenen dengan anak dara kampung, dia hanya tersenyum.
“Tadi aku nampak kamu tumpangkan anak Leman. Ke mana?”
“Oh, saya jumpa dia kat jalan getah sana. Katanya cari daun apa entah. Nak tumpang balik. Saya kesian tumpangkanlah.” Ujar Malin polos. Tulus sebenarnya.
Bahu Malin ditepuk Imam Ayub. Lelaki ini tak sedar ke ada cerita sedang bertiup tentang dia dan Jenab. Biasalah orang kampung bab gosip laju seperti angin. “Ingat Malin dia anak dara kamu teruna. Berdua…”
“Ada yang ketiga.” Sambung Malin. Dah selalu sangat Iman Ayub nasihatkan dia sebegini. Dan dia hargai nasihat lelaki tua ini. Malin anggap itu tanda kasih sayang Iman Ayub kepadanya.
“Jadi berbalik kepada apa yang membawa kamu tunggu aku kat sini. Apa hajat kamu?”
Malin betulkan duduk. “Begini imam saya nak minta tolong imam pinangkan Uda untuk saya.” Ujar Malin senafas namun gugupnya sangat ketara daripada getar bibirnya.
“Uda anak Melah?” tanya Imam Ayub memastikan.
“Iya.”
“Itu ke bidadari yang ditunggu selama ini?” usik Imam Ayub.
Malin senyum saja. Angguk tidak geleng pun tidak.
“Insya-ALLAH Malin. Esok aku ajak mak cik kamu ke rumah Melah.” Putus Imam Ayub.
Pulanglah Malin dengan rasa gembira. Betapa dia lega apabila dapat menyatakan niat hatinya kepada Imam Ayub. Akhirnya dia akan hidup berteman. Kayuhan basikal dia terhenti apabila susuk tubuh Jenab menerpa basikalnya. Gadis itu mengah. Apalah yang dibuat Jenab di kawasan gelap, dalam semak samun pula tu?
“Awak kenapa, Nab?”
“Abang Malin boleh tolong Nab, tak? Nab nak balik tapi kat situ tadi Nab nampak ada bayang putih. Nab takut.” Ujar Jenab dengan raut wajah yang jelas ketakutan walhal dia memeluk lengan Malin.
Cepat saja Malin menolak lengan gadis itu. “Saya boleh hantar, Nab. Awak jalan di depan saya di belakang, ya.” Ujar Malin.
Jenab ketap bibir geram. Namun dia ikutkan juga kemahuan Malin. Tak mengapa lambat atau cepat dia akan pastikan Malin menjadi miliknya.
Sesampai sahaja di rumah Jenab, Malin terus pusing basikalnya meninggalkan gadis itu. Pastinya keadaan sudah selamat. Dia tak mahu berlama dengan perempuan pada waktu malam begini. Banyak fitnah yang mungkin akan terjadi nanti.
Jenab menoleh ke belakang, laju dia berlari mendapatkan basikal Malin. “Kejap.”
Malin menoleh. Aduh! Apa lagi Jenab ni.
Tiba-tiba Jenab memeluk belakang Malin. Kemas dan kejap. Dia takkan biarkan Malin pergi tanpa menjadi milik dia. Uda… perempuan itu tak layak untuk dapatkan Malin. Dia yang dah lama kenal Malin sejak kecil lagi. Takkanlah dia nak biarkan Malin disambar oleh Uda yang hanya beberapa tahun sahaja berpindah ke kampung mereka ini.
“Eh, apa yang awak buat ni, Nab?”
“Abang Malin, Nab dah lama suka abang. Nab nak jadi isteri abang.” Jenab mula bertindak lebih lagi. Tangan dia liar meraba bahagian depan tubuh Malin. Walau hanya bekerja kampung, Malin memiliki tubuh yang tegap. Patutlah Malin menjadi idaman gadis kampung.
Ah, semua gadis yang meminati Malin dia dapat singkirkan dengan mudah. Itu pun dengan bantuan Bidan Jemah.
“Nab, lepaskan saya. Tak elok orang pandang kita begini.” Malin berusaha lepaskan pelukan Jenab tanpa perlu mengasari gadis itu. Matanya juga meliar sana sini melihat jika ada yang datang. Mungkin orang tua Jenab…
“Hoi, kau orang buat apa tu?”
“ALLAH!” Hanya itu yang keluar dari mulut Malin. Apa yang dia takuti terjadi juga. Terus dia terbayangkan segala impian bersama Uda yang berkecai begitu saja.
Jenab senyum kemenangan di sebalik belakang tubuh Malin. Dengan takut-takut dia menoleh ke belakang. Lampu suluh tepat kena wajahnya. Dia adang matanya dengan tangan dek silau.
“ALLAH, kau buat apa dalam gelap ni, Jenab?”
“Pak.” Takut-takut Jenab bersuara.
“Siapa jantan tak guna yang kau peluk ni?” Pak Akub menerpa Malin yang tegak berdiri bak patung. “Kau Malin?” Terkejut Pak Akub melihat Malin berduaan dengan anaknya dalam gelap. Dia kenal peribadi lelaki ini. Dia menoleh kepada Jenab dengan mata mencerlang tajam.
“Kamu balik Malin.”
“Pak.” Suara Jenab tak puas hati. Ingatkan bapaknya akan marah atau paling tidak meminta Malin bertanggungjawab.
“Pak cik.” Malin kelu.
“Aku kata balik, balik! Atau kau nak aku paksa kau kahwin dengan anak aku?”
Laju Malin menggeleng kepala. “Saya tak sentuh Nab, pak cik.”
“Aku tahu sebab tu aku suruh kau balik.” Pak Akub tarik tangan Jenab masuk ke dalam rumah.
“Pak!” Jenab rentap tangan sekuatnya. “Pak kenapa tak paksa Malin kahwin dengan Nab?”
“Kau sengaja nak memalukan aku ya, Nab? Kalau orang kampung yang nampak tadi, kau nak suruh aku letak muka kat mana?” Pak Akub jadi berang. “Kau nak orang cakap aku ni tak reti jaga anak, hah?” Semakin berang Pak Akub apabila Jenab mencebik. Anak ini sudah tidak takut akan dia.
“Pak tahu kan aku suka Malin. Dah lama, pak.”
“Kau ingat dia nak kat kau kalau dia tahu siapa kau?”
Jenab mendengus. Dia mahu berlalu masuk dalam bilik tapi tangannya direntap kasar oleh Pak Akub. “Kau nak dia buat apa? Dia bukan pandang kau. Tak cukup lagi apa yang aku bagi kat kau?”
“Itu sebab pak tak bagi aku kahwin dengan Malin kan? Sampai bila pak nak aku jadi pemuas nafsu pak?” Berani Jenab melawan.
“Kurang ajar kau kan?” Kepala Jenab ditolak hingga terhantuk ke dinding kayu. “Habis tu setiap malam kau merintih nama aku tu apa? Aku paksa kau ke?” jerkah Pak Akub. Tali pinggang dicapai lalu dilibas tubuh Jenab semahunya.
Dia dan Jenab bukanlah anak dan bapa kandung pun. Ketika dia berkelana ke kampung ini dia terjumpa Jenab di perhentian bas. Entah siapa yang buang Jenab dia pun tak tahu. Yang ada hanya surat beranak. Rasanya waktu itu Jenab berusia lima tahun.
Jadi dia bawa Jenab ke Kampung Pinang Sebatang. Dengan gelaran duda anak satu dia mudah mendapat tempat di kampung ini. Berkahwin pula dengan janda kaya kampung ini. Selepas sebulan kahwin isterinya meninggal. Tanpa zuriat segala harta isterinya menjadi milik dia.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL TAKDIR (PENULIS: SK AISYAH)