Takdir – Bab 3

MALIN pandang wajah Uda yang sentiasa manis. Tiga bulan bergelar suami isteri, dia bahagia. Malah bertambah bahagia dengan bakal anak yang akan menjadi penyeri rumah tangga mereka. 

“Kenapa pandang Uda begitu?” Dengan malu-malu wanita itu menyorong cawan air teh kepada si suami. 

“Cantik.” Puji Malin.

Uda senyum. Malin memang murah dengan pujian. Setiap masa dipujinya. Kalau tak dipujinya cantik, dipuji masakannya sedap.

“Mak mana?”

“Dalam bilik.”

“Masih tak sihat lagi mak?”

Uda mengeluh sedikit. Memikirkan kesihatan emak yang semakin menyusut hatinya bimbang. Ke hospital sudah, doktor kata tidak ada yang serius. Berjumpa perubatan kampung juga sudah, kata mereka terkena buatan orang. Entah hendak percaya atau tidak, dia serba salah. Kata bomoh itu lagi, santau itu ditujukan untuk mereka suami isteri tapi mungkin kerana emak tubuhnya lemah maka benda itu terkena emak.

“Uda, jangan mengeluh, sayang.” Tangan wanita itu diusap lembut.

“Uda risau akan mak.”

“Kita sama-sama doa agar emak kembali sihat. Penyakit itu datangnya daripada ALLAH dan penyembuhnya juga ALLAH.”

“Iyalah bang.” Akur Uda dengan kata-kata suaminya kerana itulah kebenarannya. 

“Jemput minum bang.”

Di sebalik pokok tidak jauh dari rumah Malin, Jenab memandang dengan hati yang penuh dendam. Ini semua salah Pak Akub kerana tak mahu paksa Malin bertanggungjawab. Dengan perasaan marah yang meluap dia membelah semak samun ke rumah Bidan Jemah. Kali ini dia nekad. Dia akan musnah semuanya. Keturunan Malin takkan bahagia, itu sumpahnya.

GEMPAR satu kampung apabila Pak Akub ditemui mati di bawah pokok besar di tepi sungai. Kematian yang sangat sadis. Kemaluan Pak Akub dipotong dan diletak di sebelah lelaki itu. Isi perut dirobek. 

“Kampung kita ni tak selamat dah. Dah lama takde kes macam ni.” Celah Manaf salah seorang orang kampung yang menguruskan jenazah Pak Akub. Dia bersimpati dengan kematian tragis lelaki itu.

Imam Ayub yang dengar hanya mengangguk kepala. “Mungkin kita boleh minta AJK kampung adakan kumpulan peronda. Jenab tu aku risau juga dia duduk sendirian di rumah tu. Tapi itulah tak naknya dia apabila aku suruh anak aku Munirah tu teman.” Luah Imam Ayub.

“Mereka anak-beranak memang jarang bergaul dengan orang kampung. Sesekali saja jumpa Pak Akub tu melepak di kedai kopi Haji Daud. Aku rasa dia tu boleh hidup seorang. Takpelah, dia pun dah dewasa. Tahulah dia mana nak cari bantuan kalau dia memerlukan.” Ujar Manaf.

“Betul tu.” Imam Ayub pandang Malin yang bergegas menerpanya. Basikal pun ditolak begitu saja.

“Kenapa ni Malin?”

“Imam… tolong saya imam… Uda…”

“Tenang Malin. Tarik nafas perlahan-lahan.”

Malin ikut saja apa yang disuruh oleh Imam Ayub. Dia risau akan isterinya sekarang ni.

“Sekarang cakap, apa tak kena dengan Uda?”

“Uda tiba-tiba menjerit lepas tu menangis imam. Aku dah tak tahu nak buat macam mana? Aku dah azan, dia berhenti lepas tu dia menangis semula. Mak mentua aku pun…”

“ALLAH, sabar Malin. Manaf, kau panggil beberapa orang kampung lagi. Ajak bini kau sekali boleh saing dengan bini aku.” Suruh Imam Ayub. Bergegas mereka ke rumah Malin.

Terkejut mereka melihat Melah tertiarap atas lantai. Uda pula duduk tidak jauh dari tubuh Melah menangis kemudian mengilai-ilai. “Gayah, tengok Melah tu macam mana?” Suruh Imam Ayub kepada isterinya.

Laju Gayah mendapatkan Melah memeriksa nadi wanita itu. Dia pandang Imam Ayub dan menggeleng kecil. “Innaa lillahi wainnaa ilaihi raaji’uun. 

Malin yang dengar hampir longlai kakinya. Dia tinggalkan sekejap saja tadi. Kalaulah dia tak tinggalkan mereka berdua pasti mak mentuanya masih hidup. ALLAH… rasa kesal menyapa hati. 

“Jangan mengeluh Malin. Ingat yang hidup akan mati. Tidak kira macam mana pun cara ajalnya menjemput.” Tegur Imam Ayub. “Ni pegang isteri kamu tu.”

Menurut kata dengan hati-hati Malin mendekati Uda dari belakang. Memeluk tubuh wanita itu dengan kuat.

“Jangan lepaskan dia tak kira apa pun jadi.” Pesan Iman Ayub. Dia meminta Manaf dan Daud pegang kaki Uda. Menggeleng kepala dia melihat liarnya mata Uda memandang sekeliling. Tanpa banyak bicara dia bacakan rukyah. Meniup di bahagian kepala hingga ke hujung kaki. 

“Aku tak nak keluar!” Suara garau itu bersuara.

“Aku tidak bertanya wahai makhluk ALLAH. Aku mahu kau keluar.”

“Aku tak nak!”

“Maka aku akan seksa kau dengan ayat ALLAH.” Ugut Iman Ayub selajur membaca beberapa potong ayat dari Surah Jin. “Keluarlah wahai makhluk ALLAH. Mengapa perlu menyusahkan manusia?” Lembut bicara Imam Ayub.

“Tuan aku mahukan perempuan ni mati.”

“Astaghfirullah al-Azim,” mengucap panjang Imam Ayub. “Hidup dan mati itu milik ALLAH.” Ucap lagi selajur melazimkan lidah dengan ayat-ayat rukyah selanjutnya. Meraung merintih suara dari dalam tubuh Uda langsung tidak diendahkan. Dia laungkan bacaan ayat suci Quran dengan penuh yakin dan betul tajwidnya.

Hampir setengah jam keadaan reda. Tubuh Uda longlai dalam pelukan Malin. Imam Ayub lap peluh di dahi. “Bawa Uda masuk bilik Malin. Bacakan dia Tiga Qul, Ayat Kursi hembus pada kepala hingga ke kakinya.” Pesan Imam Ayub. 

Malin angguk. Dia angkat tubuh Uda bawa masuk ke dalam bilik. Simpati dia melihat wajah pucat isterinya. Siapalah berkhianat pada mereka? Keluar kembali ke ruang tamu, jenazah Mak Melah sudah tertutup elok. 

“Esok pagi-pagi lagi kita uruskan jenazah mak mentua kamu ni.”

“Terima kasih imam.”

Di rumah arwah Pak Akub Jenab ketawa berdekah-dekah. “Kau takkan selamat Malin. Kau dan seluruh keturunan kau takkan bahagia! Ini janji kesumat aku.” Penuh ruang bilik dengan tawa kuat Jenab. 

Dia puas hati dengan apa yang baru dia lakukan. Tidak mengapa jika belum mati sekarang kerana dia akan pastikan yang suami isteri itu hidup merana dan sengsara sepanjang hayat mereka.


PROLOG  BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4   BAB 5


BELI NOVEL TAKDIR (PENULIS: SK AISYAH)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *