Takdir – Bab 4

Masa kini

JALIL cuba mendekati Suwaibah. Sudah lama dia perhatikan gadis ini. Cantik dan sopan malah Suwaibah sangat ramah menjawab apabila bertanya. Tapi gadis ini seperti jinak-jinak merpati apabila dekat menjauh. Berapa kali sudah dia luahkan perasaan dia kepada Suwaibah namun gadis itu hanya berdiam diri saja. Usahkan angguk… geleng pun tidak, hanya senyum dan berlalu. Itu pun senyum nipis. 

“Masak apa hari ni?” tegur Jalil di sisi Suwaibah.

Terkejut Suwaibah dan dia bergerak ke kanan sedikit mencipta jarak antara mereka.

Dia tunduk meneruskan menyiang sayur. Dulu dia suka melayan Jalil berborak sebab dalam rumah ni hanya Jalil yang suka menegur dia. Anak Mak Cik Anum yang lain memang tak suka akan dia. Usahkan mahu dekat, pandang dia pun dengan pandangan jijik. Tapi itu semua sebelum Jalil luahkan perasaan kepada dia. 

Cinta? Kahwin? Bukan dalam senarai hidup dia buat masa sekarang apatah lagi dengan Jalil anak ketua kampung. Sangat tinggi darjat Jalil jika dibandingkan dengan dia ni. Keluarga Jalil tidaklah sekaya mana pun tapi keluarga mereka cukup disegani di kampung ini. 

“Su, Jalil tanya ni masak apa?”

“Oh, Su goreng sayur.” Dia semakin tak selesa dengan Jalil yang semakin merapatkan kedudukan antara mereka. Suwaibah bimbang jika ada yang terlihat akan memandang serong. Mak Cik Anum bukan suka akan Suwaibah pun. Ketika dia diminta kerja di rumah ini pun berbakul pesanan yang diberikan oleh Mak Cik Anum. Kalau bukan kerana fikirkan yang dia perlukan duit untuk membeli ubat-ubatan ayahnya; tidaklah dia bekerja di sini.

Bekerja di sini dia tak penat. Hanya datang waktu tengah hari untuk masakan makanan dan mengemas rumah sahaja. Itu pun apabila Mak Cik Anum dan suaminya tidak ada di rumah. Bukan pasangan ini tidak ada anak dara tapi semua tak pandai memasak. Bak kata Nadia, dari atas kepala ke kaki semua tip top tapi kat dapur hampeh. Nadia… Nadia….

“Su!”

“Hah?” Terkejut Suwaibah dengan suara Jalil malah bahu mereka hampir bersentuhan. 

“Jalil, ke sana sikit. Tak elok kalau ada yang nampak.” Ujarnya. Dia mahu mengelak ke mana lagi. Di sebelahnya dinding.

“Biarlah orang tengok, dapat kahwin free dengan Su. Jual mahal sangat apabila Jalil ajak kahwin.” Jalil cuba paut pinggang Suwaibah namun pantas pula gadis itu mengelak. Dia mendecit geram.

Dia capai pinggan. Sendukkan sayur lalu diletak atas meja. Cepat-cepat dia tarik beg keluar dari dapur Mak Cik Anum. Panggilan Jalil tidak dihiraukan. Malah dia yakin esok dia bakal dimarahi Mak Cik Anum kerana tinggalkan perkakas dapur yang diguna tidak berbasuh.

Tak mungkin Suwaibah berlama-lama di situ. Dia cuak dengan olah Jalil yang semakin berani. Apa mahu lelaki itu? Kahwin dengan dia. Mak Cik Anum dah berikan amaran jangan berani nak jatuh cinta dengan anaknya, apakah Jalil tak rasa takut? Langkah semakin dilajukan, dia mahu cepat sampai ke rumah.

Kaki yang laju mula perlahan ketika melintasi kawasan kubur. Matanya dipicingkan untuk mengecam susuk tubuh yang sedang duduk bertinggung di depan pagar kubur. Langkah dibuka mendekati, setelah dia cam akan pemilik tubuh itu. Dengan helaan nafas berat dia menyentuh bahu lelaki itu.

“Ayah.”

Malin menoleh. Tidak senyum, tidak marah, hanya pandangan kosong tanpa rasa. Kemudian dia kembali membuang pandangan ke dalam kawasan perkuburan. Merenung jauh seolah-olah melihat atau mencari sesuatu yang sangat dia rindu. Tangan menguis-nguis tanah sambil mulut dia terkumat-kamit.

“Ayah, jom kita balik.”

“Isteri aku mana?”

Kaki Suwaibah kaku. Dia duduk bertinggung di depan ayahnya. Suara pertama yang dia dengar sejak emak meninggal. Tangan tua itu ditarik dan digenggam kemas. 

“Kau yang buat isteri aku tinggalkan aku, kan?” Malin bersuara lagi. Tangan dia masih menguis, mata juga masih memandang ke dalam kawasan perkuburan. Sesekali terlihat senyuman di bibir lelaki tua itu walau hanya segaris. 

Semakin meruntun hati Suwaibah dibuatnya. Dia tak kesah jika dituduh atau dimaki oleh ayah, tapi melihat keadaan ayah begini hati dia luluh. Sejak kematian mak, keadaan ayah semakin teruk. Sudah dibawa ke hospital, kata doktor semuanya normal. Keadaan otak ayah atau kesihatan tubuh badan ayah, semua normal. Jadi kenapa ayah begini?

“Jom balik dengan Su, ayah.” Dia cuba tarik tangan ayah tapi lelaki itu bertindak menolak tubuh Suwaibah hingga terjatuh. 

Malin bangun melilau sana sini. Matanya juga meliar ke sana sini. Tangan tergawang seperti sedang mencari sesuatu untuk dicapai. Suwaibah yang melihat situasi itu mula berasa tidak sedap hati. Jika begini keadaan ayah pasti ada sesuatu yang mengganggu lelaki ini. Apa yang ayah nampak? Ceritakan kepada Su, ayah. Rintihnya. Air mata yang mahu jatuh diseka kasar. Dia tak boleh menangis.

Malin mencapai ranting kayu. Bibirnya tersenyum riang kerana apa yang dicari sudah ditemui. Dia menoleh ke arah Suwaibah dengan laju menerpa, lalu ranting kayu tadi dilibas ke tubuh Suwaibah.

“Mana isteri aku?” Tangan semakin laju melibas.

“Ayah.” Suwaibah cuba menghentikan tindakan ayah. Dia mengelak daripada dilibas lelaki itu. Ada juga yang mengena tubuhnya, perit. 

“Pulangkan isteri aku!” jerit Malin seperti orang hilang akal.

“Ayah, mengucap ayah. Ini Su, ayah.” Pujuk Suwaibah. 

Dia masih berusaha untuk hentikan perbuatan ayah tapi lelaki itu seperti dikawal sesuatu. Otak Suwaibah ligat berfikir apa yang perlu dilakukan. Hendak meminta tolong tidak ada pula yang lalu di kawasan ini waktu begini. Nak tinggalkan ayah di sini, dia risau jika ada sesuatu menimpa ayah.

Malin berang. Ranting kayu tadi dilibas ke tubuh sendiri. Bulat mata Suwaibah melihat tindakan itu. Kalut dia menerpa si ayah, sedaya upaya dicuba merampas ranting tersebut. Namun kuatnya tenaga ayah menolak dia hingga jatuh terduduk. Tidak putus asa, Suwaibah bangun sekali lagi cuba memaut tangan ayah. 

“Ayah,” panggil Suwaibah. “Okey, ayah boleh pukul Su.” Tangan ayah yang sudah berada dalam genggaman dibawa memukul tubuhnya.

“Hei!” 

Sergahan itu mematikan perbuatan Suwaibah. 

Sejak tadi Salim perhatikan dua beranak ini. Bukan tidak mahu menolong, tapi dia mahu lihat sejauh mana usaha gadis ini menangani si ayah. Dia menoleh kepada Malin, siapa yang tak kenal lelaki ini. Dia selalu dengar kisah hidup Malin daripada maknya dulu dan juga orang kampung. Ada kisah yang baik dan ada kisah yang…. 

Pandangannya jatuh kepada Suwaibah yang terduduk atas tanah dengan pipi lencun air mata. “Kau dah gila biarkan dia pukul kau.” Jerit Salim. 

Ranting kayu di tangan Malin ditarik lalu dibuang jauh. Anak beranak gila ke apa? Bergaduh di depan kawasan kubur. Salim mencangkung di depan Suwaibah. Berbirat tangan gadis itu. Ini baru tangan, bahagian tubuh Suwaibah di sebalik pakaian tu macam manalah agaknya. 

“Kau nak ke klinik ke?” soal Salim.

Suwaibah tundukkan kepala. Malu mahu bertentang mata dengan lelaki ini. Apatah lagi Salim melihat kejadian tadi. Dengan air mata yang semakin laju menuruni bukit pipi dia tak sanggup hendak mengangkat wajah. 

Dia jongket bahu. “Tak nak pergi tak apa. Mari aku hantar kau balik.” Ajak Salim. 

Lengan Malin dia tarik agar mengikutnya. Sesekali terbit juga simpati buat si gadis. Usia masih muda namun menanggung beban yang berat. Aduh! Kau ni dah kenapa Salim nak memikirkan bebanan orang? Hidup kau sendiri pun tunggang-langgang. 

“Hoi! Kau nak balik ke nak duduk situ sampai petang?” laung Salim setelah berjarak jauh namun Suwaibah masih di situ. Di tempat dia duduk tadi. 

Perlahan Suwaibah bangun. Tapak tangan menyapu pipi. Dengan kepala menunduk dia membuka langkah mengekori dari belakang. Apa yang akan jadi nanti? Bila ayah akan kembali sihat, ayah? Dia tak pernah melihat ayahnya tersenyum seperti ayah orang lain. Sejak dia meniti usia remaja lagi dia melihat dan semakin faham keadaan orang tuanya. Itu pun Mak Nadia yang bercerita tentang apa yang menimpa orang tuanya. 

Siapa yang harus dia dipersalahkan?


PROLOG  BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4   BAB 5


BELI NOVEL TAKDIR (PENULIS: SK AISYAH)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *