SUWAIBAH dongak kepala memandang Salim. Sejak tadi dia hanya menundukkan kepala. Segan untuk memandang lelaki tersebut.
“Terima kasih.” Ucap Suwaibah.
Dia menuntun si ayah naik ke atas rumah. Baru satu anak tangga kaki dia mati langkah apabila satu suara menjerit kuat. Mata terpejam rapat. Suwaibah kenal suara itu, nampaknya tak perlu tunggu esok. Hari ini akan menjadi hari yang paling memenatkan.
Salim yang baru nak meninggalkan pekarangan rumah Suwaibah turut terkejut dengan kemunculan isteri ketua kampung yang tiba-tiba ini. Turut ada di situ Jalil. Pandangan Salim beralih ke arah Suwaibah di atas anak tangga. Gadis itu kelihatan tenang sekali walaupun air mata masih tersisa di tubir sepasang matanya.
“Su! Kau sini.” Panggil Mak Cik Anum.
Salim tidak jadi meninggalkan pekarangan rumah Suwaibah. Dia rasa tak sedap hati dan kaki dia berat untuk melangkah. Dia mahu lihat kegilaan apa yang bakal terjadi. Mata dia memerhati Suwaibah yang masih tenang di atas tangga; walaupun Mak Cik Anum tayang muka seperti harimau yang mahu menerkam mangsa – ajak Suwaibah turun ke bawah pun seperti nak bergaduh. Ah, nada Mak Cik Anum pun dah menunjukkan ada yang wanita ini tidak puas hati dengan Suwaibah.
“Ayah duduk sini kejap ya.” Dengan lembut Suwaibah dudukkan ayahnya. Dia turun mendapatkan Mak Cik Anum. Jalil di sisi Mak Cik Anum itu hanya dikerling sekilas. “Ada apa mak cik?”
“Kenapa kau tinggalkan dapur tak berkemas? Ruang tamu tak berkemas? Lauk pun kau masak dua jenis aje.”
Suwaibah kerut kening. Dia sudah kemas ruang tamu kenapa Mak Cik Anum cakap dia belum kemas? Sekali lagi dia kerling Jalil yang tersenyum sinis. Fahamlah dia apa yang sedang terjadi sekarang ni.
“Mak cik saya dah…”
“Dah la kau menggatal dengan anak aku. Aku dah pesan dari awalkan? Pergi rumah aku waktu pagi dan tengah hari saja. Itu pun waktu aku takde.” Kepala Suwaibah ditunjal-tunjal.
Hari ini dia keluar ke pekan atas urusan bank. Terkejut dia, apabila anak perempuan sulungnya Melati bagi tahu yang Suwaibah datang memasak seperti biasa sedangkan Mak Cik Anum tak meminta pun gadis itu untuk datang. Tapi Mak Cik Anum biarkan saja, sebab elok sangatlah Suwaibah datang. Balik nanti dia boleh makan terus, tapi apabila balik dengan rumah tunggang-langgang, dapur berkecah, hatinya panas. Belum lagi ditambah aduan Munirah tentang Jalil dan Suwaibah.
Suwaibah ketap bibir. Bertambah tebal muka dia dengan Salim. Lelaki itu pun satu hal, kenapa masih ada di sini. Balik laa… suka ke tengok drama murahan ni?
“Kenapa tak nak jawab? Kau ingat kalau kau goda anak aku, aku akan benarkan dia kahwin dengan kau? Hei, cermin sikit muka tu.” Sekali lagi tangan Mak Cik Anum naik menunjal kepala Suwaibah.
Salim yang melihat panas hati dengan perlakuan Mak Cik Anum. Lagi sakit hati apabila Suwaibah diam membisu tidak membela diri.
“Kau tu dah la keturunan gila. Tu bapak kau gila sebab mak kau membela. Entah saka mak kau jugalah yang buat kampung ni huru-hara. Asal malam Jumaat saja, ada yang kena usik.” Tuduh Mak Cik Anum. Hati dia panas.
Suwaibah telan segala kata perit itu. Apa lagi yang dia mahu sangkalkan? Segala perkara buruk yang berlaku dalam kampung ini akan dituding jari ke arah keluarga dia. Dulu ada juga dia menyangkal, membela diri tapi tidak ada yang mahu dengar. Alih dia putus asa saja.
“Lepas ni kau jangan datang rumah aku lagi. Ni gaji kau!” Duit dilempar ke muka Suwaibah.
“Mak.” Jalil bersuara. Ala, kalau dah sampai berhentikan Suwaibah susahlah dia nak jumpa gadis ini nanti.
“Apa mak? Perempuan macam ni kau nak Jalil? Tu Si Salim tu dibawa balik rumah, apa maksudnya?” Mak Cik Anum jeling Salim. “Kalau dah keturunan tak elok itu memang selamanya tak eloklah. Entah muka lawa tu pun sebab membela.”
Mak Cik Anum lekas-lekas tarik tangan Jalil meninggalkan rumah Suwaibah.
Salim pandang Mak Cik Anum kecil besar saja. Ada pula nama dia dikaitkan sekali. Apa ke gila orang tua tu? Dia menoleh kepada Suwaibah yang tunduk mengutip duit. Keluhan kecil terlepas tanpa sengaja.
“Kau memang berat mulut nak membela diri apabila kena marah?”
“Terima kasih, abang.” Ucap Suwaibah sopan.
“Abang?”
“Awak lebih tua daripada saya jadi sebagai tanda hormat saya, abang tu… maaf andai awak marah.” Ujar Suwaibah masih dengan kepala menunduk.
Salim diam. Terbit senyum diulas bibir dia dengan bicara Suwaibah. Tanpa kata dia meninggalkan rumah gadis itu.
Suwaibah angkat wajah memandang belakang tubuh Salim. Apa yang pelik sangat hingga lelaki itu senyum? Rasanya dia tidak berkata sesuatu yang lucu atau lelaki itu ketawakan dirinya. Ya, siapa saja tak lucu dengan kehidupan seorang Suwaibah. Ke mana saja pergi hanya akan menjemput kebencian orang. Daripada yang muda hingga yang tua tak senang dengan dirinya.
Dia genggam duit yang dilempar Mak Cik Anum. Nampaknya dia sudah kehilangan satu punca rezeki. Dengan langkah lemah dia naik ke atas rumah. Tidak mengapalah untuk rezeki yang pergi; pasti esok ada rezeki lain yang datang. Dia mencari kelibat ayah di dalam bilik. Lelaki itu perlu dimandikan dan disuapkan makan; jika tidak seharian tanpa makan dan mandi pun tak mengapa.
“Ayah, Su mandikan ayah.” Tangan lelaki itu ditarik masuk ke bilik air. Dia mengarahkan apa yang patut dilakukan dan ayah melakukannya sendiri. Senyuman manis tak lekang terukir dari bibirnya. Menjaga ayah memang penat namun dia merasa bahagia di sebalik kepenatan itu.
Selesai uruskan ayah, Suwaibah keluar rumah mahu ke kedai Pak Amit. Lauk basah dan barang dapur sudah ada yang hampir susut. Kiranya dia patut bersyukur dengan duit yang diberikan oleh Mak Cik Anum. Nyata kebaikan itu datang dalam pelbagai cara. Mungkin saja datang daripada keburukan.
“Nak beli apa, Su?” tegur Roslan.
Suwaibah senyum segaris. “Bagi ayam seekor. Ikan selar ni lima ekor. Ikan tongkol yang sederhana besar ni sekor, Lan. Siang semua, ek.” Beritahu Suwaibah. Sayur tak perlu dia beli kerana dia ada menanam sedikit di belakang rumah. Cukuplah untuk dia dan ayah. Masuk ke dalam kedai, dia terserempak pula dengan Jenab. Dia tundukkan kepala tanda hormat tapi wanita itu menjeling tajam.
“Kau patut tak benarkan orang membela masuk kedai kau Amit. Nanti tak pasal kedai kau sial.” Ujar Jenab kuat. Dia letak duit beliannya atas meja.
“Kamu ni Nab, percaya benda macam tu khurafat. Memanglah jin, syaitan, malaikat ini wujud tapi setiap yang berlaku dengan izin ALLAH. Jadi tidak ada istilah sial tu.” Tegur Amit.
“Kau kan Amit, asal aku bagi nasihat kau pangkah aku balik. Habis yang malam Jumaat tu, siapa punya kerja? Habis ternakan orang hilang. Sejak Si Uda meninggal, keadaan kampung kita jadi macam tu. Kau nak cakap aku menipu lagi?”
Amit menggeleng kepala memandang Jenab dengan rasa kesal.
“Kau nampak ke arwah Uda membela? Kau ada nampak dia memuja atau dia lakukan perkara tu dengan mata kepala kau sendiri?” selar Pak Amit. Kalau sekadar berkata sahaja, bimbang akan jatuh fitnah. Silap-silap dia juga terlibat sama nanti dipersoalkan di hadapan ALLAH kelak.
Suwaibah yang dengar hanya pekakkan telinga. Bukan perkara baru bagi dia. Khabar angin yang tersebar tentang mak dia mengamalkan ilmu hitam pun datang dari mulut Jenab. Mak Nadia ada bagi tahu persengketaan antara Jenab dan orang tuanya, dia anggap itu ujian sajalah. Tidak perlu dia perbesar hal yang sudah bertahun lamanya. Biarlah Jenab dengan rasa marah yang tak pernah surut. Tidak perlu dia mengajar hatinya melakukan yang sama. Membenci ini sebenarnya sangat memenatkan.
Apa boleh dikatakan, memang manusia akan buta apabila melibatkan cinta. Terlalu taasub dengan perasaan sayang sesama manusia. Walhal ALLAH telah katakan, dahulukan cinta DIA maka cinta manusia akan menyusul kerana hati manusia ALLAH yang pegang.
“Pak Amit, saya nak beras tiga kilo.” Pinta Suwaibah lembut.
Jenab menjeling. Melihat Suwaibah dia seperti melihat Uda. Wajah gadis ini saling tak tumpah persis wanita itu. Setiap kali dia melihat Suwaibah, setiap kali itulah menumbuhkan kembali dendam lama. Walaupun hakikatnya dendam itu tak pernah dia padamkan. Bukankah dia sudah berjanji akan musnahkan seluruh keturunan Malin.
“Ayah kau merayap ke kubur lagi ke?”
Suwaibah senyum. Tidak perlu menjawab kerana dia yakin Jenab tahu. Wanita itu pun bukan bertanya dalam nada mahukan jawapan tetapi sekadar mahu menyindir.
“Aku rasa ayah kau tu, otak dah tak betul. Kau bawalah dia ke hospital gila.”
Amit yang dengar geleng kepala lagi. Bertanya macam prihatin, tapi ayatnya menyakitkan hati. Apalah yang masih wanita ini tak puas hati dengan keluarga Malin? Orang tu dah kehilangan isteri. Lama hidup merana. Ada masa elok perangai Malin, seperti lelaki waras. Ada ketikanya, seperti orang hilang akal. Cuma yang sama ialah lidah Malin seperti berat untuk berkata-kata.
“Insya-ALLAH Mak Nab. Terima kasih sudi bertanya.” Masih saja sopan balasan Suwaibah.
Kagum Amit dengan sikap lembut Suwaibah. Gadis ini tidak seperti anak dara kampung yang lain. Walau belajar hanya setakat SPM, dengan keadaan ibu bapa yang begitu pun adab gadis ini terpelihara. Tidak pernah meninggikan suara walau dihina, dikeji atau disindir orang.
Jenab mencebik. Semakin sakit hati dia apabila Suwaibah langsung tidak terkesan dengan kata-katanya. “Aku balik dulu, Amit. Yang tak cukup nanti aku suruh Ayu datang bayar.”
“Ya la.” Jawab Amit malas. Itu ajelah kerjanya. Bawa duit seposen belinya beratus. Lepas tu masuk buku hutang. Lama-lama bankrap juga dia dengan Jenab ni.
“Kamu jangan nak ambil hati dengan kata-kata dia tu. Ini, cukup ke beras tiga kilo?”
“Insya-ALLAH cukup Pak Amit.” Balas Suwaibah lembut.
“Ni ayam dan ikan.” Roslan letak atas meja.
“Berapa Pak Amit?”
“Tak apalah, Pak Amit belanja.”
“Eh, jangan Pak Amit. Saya miskin, ayah saya pula begitu tapi selagi saya berkudrat saya takkan terima sedekah. Bukan nak berlagak tapi masih ramai layak terima sedekah Pak Amit ni.” Secara berhalus Suwaibah menolak. Takut terasa hati lelaki tua ini.
Amit ketawa. “Ya la. Bagilah RM30.”
Suwaibah pandang pelik. “Betul ni Pak Amit?”
“Iya, betul.”
“Terima kasih.” Ucapnya ikhlas. “Hurm, Pak Amit… kalau ada orang cari pekerja boleh Pak Amit bagi tahu Su?”
“Haih, bukan kamu kerja rumah penghulu ke? Duit getah ayah kamu lagi. Cukuplah tu, jangan fikir nak cari kerja. Fikirkan masa depan kamu juga.
“Mana cukup Pak Amit. Belanja ubat ayah dah berapa.”
“Kalau macam tu kahwinlah. Cari suami yang boleh kamu tumpang beban kamu.” Cadang Amit. Dia kerling Roslan yang sejak tadi tak lepas pandang Suwaibah. Sebagai orang tua, dia faham maksud pandangan Roslan.
“Insya-ALLAH, apabila sampai masanya saya kahwinlah. Pak Amit jangan lupa tau, bagi tahu saya kalau ada yang nak cari pekerja.”
“Yer la.” Akur Amit.
Suwaibah ambil semua barang, langkah diatur ke arah basikal. Mencari suami untuk berkongsi masalah? Ada ke yang mahu berkongsi masalah dengan dia? Lagi pula siapa yang nak perempuan macam dia. Dah la miskin bersahabat dengan syaitan pula tu. Sakit dihina kerana anak pengamal ilmu hitam tak sesakit dihina kerana tak pandang kufu.
Cukup sekali dia dihina begitu, yang lebih perit lelaki yang konon mengaku cinta hanya memandang tanpa kata. Waktu itu dia sedar, lupakan saja tentang lelaki, tentang cinta atau tentang perkahwinan. Hidup saja dengan ayah hingga nafas terakhir. Berbakti kepada lelaki itu yang sahihnya ganjarannya syurga.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL TAKDIR (PENULIS: SK AISYAH)