Takdir – Prolog

NADIA berlari laju ke ladang tebu Pak Man. Kaki dia bagai tak cukup tanah dipijak. Dia mahu cepat sampai ke tempat Suwaibah. Dia risau temannya itu tidak akan sempat menghalang apa yang sedang terjadi. Atau mungkin ia memang takkan mampu terhalang kerana takdir manusia bukan di tangan manusia namun dia mahu mencuba agar dia tak menyesal. Lebih lagi dia tak mahu Suwaibah ralat. 

“Su!” laung Nadia dari jauh. Dia nampak susuk tubuh Suwaibah di sebalik pokok tebu. “Su!” panggilnya lagi dengan tangan melambai tinggi. 

Suwaibah yang kedengaran sayup-sayup suara yang memanggil menoleh dengan terpinga-pinga mencari dari mana arah suara yang datang. 

“Su!” laung Nadia lagi. Sahabatnya itu kalau ada cuti sekolah, selalu sahaja pandai cari kerja sampingan.

Terlihat susuk tubuh Nadia, Suwaibah melambai juga. Dia kemaskan kain di kepala, hujungnya ditarik bagi mengelap peluh di dahi dan leher. Cuaca hari ini sangat terik panasnya. Dia perlu siap tebang pokok tebu ini sebelum petang. Dengan daun tebu yang belum disusun setempat untuk dibakar. Banyak pula kerja yang perlu dia lakukan hari ini. Memang akan banyak kerja kerana semalam dia terpaksa minta cuti dengan Pak Man apabila mak dan ayahnya tak sihat.

“Jangan lari Nadia. Terperosok dalam lubang nanti patah kaki kau tu.” Laung Suwaibah menggeleng kepala. Apalah yang penting sangat sampai Nadia mencari dia di sini.

Sampai ke tempat Suwaibah, Nadia tercungap-cungap bagai kehabisan nafas. Dia cuba tenangkan pernafasan sebelum bersuara. “Su, ayah kau…” dia masih termengah-mengah. Nadia cuba selarikan aliran pernafasannya agar lebih tenang. Dia perlu sampaikan hal ini sebelum terlambat.

“Kenapa dengan ayah aku?”

“Mak kau…”

Raut wajah Suwaibah terus berubah. “Kenapa dengan mak ayah aku, Nad?” Suara Suwaibah juga sudah tidak setenang tadi. Daripada bahasa tubuh Nadia dia dapat baca ada sesuatu yang tak kena. 

“Balik Su. Balik.” Hanya itu yang Nadia dapat cakap dalam keadaan mengah dan masa yang singkat. 

Parang di tangan, Suwaibah sisip ke dalam sarung di pinggang. Dia buka langkah meninggalkan ladang tebu. Dalam kepalanya sudah ada pelbagai bayangan yang tidak elok namun lidahnya tidak berhenti mendoakan agar apa yang terlintas di benaknya itu hanyalah kerisauan dia semata.

“Mak, ayah…” perlahan bibir Suwaibah menyeru kedua-dua nama yang sangat penting dalam hidupnya. 

Sampai di depan rumah, kaki dia terpaku melihat orang kampung yang berkumpul ramai di rumahnya. Detak jantung juga semakin laju dan laju. Peluh di dahi menitis di kelopak mata juga diabaikan. Laju kakinya mencelah dalam kumpulan orang kampung menjejaki anak tangga kayu naik ke atas rumah dan…

Terjelepok dia atas lantai. Akhirnya apa yang ditakutinya terjadi juga. Emak yang terkedang di tengah rumah dengan darah memenuhi mulut dan leher. Dia menoleh ke arah ayah yang duduk di satu sudut dengan kaki berlunjur panjang. Kepala mendongak ke atap rumah, kaku. Air mata Suwaibah jatuh dengan lajunya.

“Itu mati mesti sebab tak bagi saka belaan dia makan. Orang kata saka ni lama-lama makan tuan.” Dia nampak Mak Cik Jenab. Dia yang menuturkan kata.

Kelopak mata dipejamkan rapat. Waktu begini pun orang kampung masih memandang serong kepada ahli keluarga mereka. 

Ya ALLAH… kelamkah perjalanan hidup aku atau akan cerah nanti?


PROLOG  BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4   BAB 5


BELI NOVEL TAKDIR (PENULIS: SK AISYAH)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *