~ Kerana sayang kujadi gila ~
NOMBOR telefon Suzana didail. Sekali dicuba tidak diangkat. Dia mencuba lagi.
“Manalah Su ni!”
Tangannya mendail kasar. Mulai berasa marah kerana panggilannya tak bersambut.
“Helo!” Ucapnya kasar setelah panggilan tersambung.
“Dah kenapa kau tengking aku?” Suara Suzana tak kurang tinggi. Sakit telinga dijerkah Bariq. Telefon orang terus marah-marah, makan cili padi ke? Bukan nak bagi salam. Tak ada adab sungguh.
“Sorry, Su.”
Hanya dengusan Suzana menjawab permintaan maafnya.
“Kau nak apa?”
“Tasneem ada contact kau tak?” Terus kepada pertanyaan tanpa basa-basi.
“Dia ada call kau?”
“Aku tanya kau. Kenapa kau tanya aku semula?”
“Yalah. Kau kan bestfriend dia. Mesti dia ada contact kau kan?”
“Kau pun bestfriend Tasneem. Kita bertiga bestfriend!” Tegas nada suara Bariq.
Dia, Tasneem dan Suzana berkawan baik sejak dua gadis itu masuk belajar di universiti yang sama dengannya. Cumanya dia tua setahun daripada mereka. Meskipun begitu hubungan mereka tetap rapat. Dan tidak ada ada jurang antara mereka.
“Dia dah buang aku. Malaslah aku nak terhegeh-hegeh dengan dia.” Malas saja Suzana berkata-kata.
“Tolonglah, Su. Buang yang keruh ambil yang jernih. Kita lupakan sengketa. Kau kena faham kenapa Tasneem jadi macam tu.”
Suzana menjuih bibir. Meskipun Bariq tak nampak dia tetap buat muka. Suka sangat membela perempuan liar seperti Tasneem.
Bukan dia mengeji kerana dia cemburu pada Tasneem. Tidak sama sekali. Dia mengeji kerana dia bencikan perubahan sikap Tasneem. Daripada gadis bertudung litup dan menutup aurat kini berubah seperti gadis liar yang terkena kejutan budaya. Semuanya gara-gara terkena panahan cinta bengkok si Adrian. Menyampah!
“Aku benci perempuan bodoh macam Tasneem. Tak ada otak. Letak kat lutut agaknya.”
“Jangan macam tu, Su. Dia kawan kita. Kita kena bagi dia sokongan.”
Suzana mendengus keras. “Kalau kau nak bagi sokongan, kau bagi sorang-sorang. Jangan harapkan aku sokong dia. Nampak kawan aku buat salah takkan aku nak biar? Nak sokong? Kawan jenis apa aku ni kalau galak kawan aku tambah dosa?”
Tak faham betul Suzana dengan Bariq. Dalam keadaan macam ni masih nak menyokong tindak tanduk Tasneem yang sah-sah salah. Kawan, kawan juga. Tak adalah sampai nak ikut perangai kawan yang haram jadah.
Sayang, sayang juga. Tapi tak adalah bodoh sampai nak korbankan semuanya termasuk maruah diri. Esok-esok lusa kalau harta dah habis, maruah diri pun dah tergadai, apa lagi yang akan tinggal? Menunggu dijemput masuk ke neraka?
“Aku tahu kau tengah marah. Sabarlah. Bila dia dah sedar nanti dia mesti kembali pada kita.”
Keluhan halus terbit daripada bibir Suzana.
“Aku penat dah nak sabar dengan dia. Kau tengoklah jadi apa dia sekarang. Lain betul dengan Tasneem yang aku kenal dulu. Dia dah jauh sangat hanyut.”
Bariq turut mengeluh. Apa yang dikatakan Suzana semuanya benar. Bariq tidak dapat menyangkal sebuah kebenaran.
Tasneem berubah kira-kira hampir setahun yang lalu sewaktu gadis itu baru saja melangkah masuk ke alam pekerjaan. Gadis itu berkenalan dengan seorang jejaka yang bernama Adrian. Setelah itu sedikit demi sedikit Tasneem mula berubah.
Gadis sopan yang dia kenali dahulu kini berubah menjadi perengus. Tak sampai setengah tahun mengenali Adrian, Tasneem sudah berani menjalinkan hubungan dengan Adrian. Bermula detik itu perubahan yang dilakukan Tasneem begitu besar sehinggakan dia dan Suzana merasakan mereka telah kehilangan Tasneem yang pernah mereka kenali di awal
perkenalan mereka dahulu.
Tudung hilang entah ke mana. Pakaian yang dikenakan semakin mencolok mata. Membuatkan mata lelaki hidung belang yang memandangnya boleh terkeluar dari soketnya. Tiada lagi baju kurung kebanggaan Tasneem. Tanpa segan silu gadis itu berani memakai pakaian sendat yang memperlihatkan bentuk badannya.
“Kau tak payahlah nak pertahankan dia lagi. Aku tahu kau sayang dia. Kau harap dia akan berubah. Aku pun sama, Bariq. Tiap-tiap hari aku doa dia diberikan hidayah. Masalahnya doa kita mana cukup kalau tuan badan tak usaha. Bagi aku dia takkan berubah selagi dia bersama dengan jantan tak guna tu. Sebab jantan tu dia berubah. Sebab jantan tu dia buang kita. Jantan tak guna tu bagi pengaruh tak elok pada Tasneem. Ajar Tasneem buat benda bukan-bukan.”
Suzana menarik nafas berat. Dia bukan saja marah pada Tasneem malahan dia turut kecewa dengan perubahan Tasneem. Tak sangka sungguh Tasneem yang persis gadis melayu terakhir boleh berubah sedrastik itu.
“Aku bukan nak doa yang tak baik, Bariq. Tapi aku rasa bukan setakat fizikal Tasneem je berubah.”
“Astaghfirullahal’adzim. Kau ni! Jangan fikir jauh sangat boleh tak?”
“Tak mustahil, Bariq. Adrian bukan muslim. Kau tahu kan amalan hidup dia macam mana. Dia minum arak macam kita minum coke. Perempuan keliling pinggang sebelum dia dengan Tasneem. Kau nak aku fikir baik-baik pasal dia? Jangan mimpilah.”
Bariq meramas bantal kecil di sebelahnya. Sakit hatinya mendengar tuduhan Suzana.
“Mungkin Adrian betul-betul sayangkan Tasneem.”
“Sayang?” Ulas bibir Suzana menyenget. “Kalau dia betul sayangkan Tasneem dia takkan ubah Tasneem jadi perempuan liar macam tu. Dia tak akan jauhkan Tasneem dari kita!”
Bariq meraup muka. Dia bagaikan ditampar dengan kenyataan yang dilempar ke mukanya.
“Kenapa kau tiba-tiba tanya pasal Tasneem?” Suzana kembali ke punca Bariq menghubunginya.
“Aku tak sedap hati. Aku buka Instagram dia. Dah banyak hari dia tak update status. Facebook dia pun last update minggu lepas. Aku risau.”
Suzana tertawa sinis.
“Kau dengan Tasneem sama-sama bodoh.”
“Eh, apa hal pulak kau kata aku bodoh?” Berang pula Bariq apabila Suzana mengatanya bodoh. Apa dia dah buat sehingga Suzana kata dia begitu?
“Tak betul aku kata? Tasneem bodoh sebab suka jantan tak guna macam Adrian. Kau pula bodoh sebab suka perempuan macam Tasneem. Padahal banyak lagi perempuan lain. Aku ni pun ada, hah! Solo lagi!”
Kemarahan Bariq pudar begitu saja mendengar lawak bodoh Suzana. Dia iklankan diri sendiri pulak?
“Rizal tu kau nak campak mana? Kau jangan Su. Nanti aku bagitau Rizal, awek dia gila. Tawarkan diri sendiri pada lelaki lain.”
“Hoi, bodoh! Aku main-main jelah.”
Dia yang buat lawak bodoh orang lain pula dikata bodoh? Tak patut sungguh!
“By the way, Bariq. Tasneem dah lama tak call aku sejak kita orang gaduh masa kita orang jumpa hari tu. Dia kata kat aku tak ada kawan macam aku pun tak apa. Ada pun buat semak otak dia je.”
Suzana mengeluh lagi. “Aku nak tengok esok-esok lusa siapa yang dia cari bila dia susah. Nak lagi ke Adrian tu dekat dia.”
“Hesy, kau ni!”
“Aku geram tahu tak? Dia kata aku hipokrit. Berlagak baik. Padahal bila keluar dengan Rizal pegang sana pegang sini. Dia ingat aku macam dia agaknya.”
“Kau macam tu ke?”
“Choilah kau ni! Aku lempang karang. Pegang tangan aku pun tak pernah tahu tak si Rizal tu. Kami dating cara selamat. Rizal tu baik.”
“Aku tahu…”
“Dah tu yang kau tanya soalan bangang tu kenapa?”
“Apa-apa pun kau tetap kena hati-hati. Kau tu perempuan, Rizal lelaki. Bila keluar berduaan yang ketiga adalah syaitan. Kalau Rizal dah mampu kahwin jelah.”
“Ya. Kita orang tengah usahalah ni.”
Bariq mengangguk.
Dia bersandar lemah di kepala katil setelah memutuskan talian dengan Suzana. Sekali lagi dia membuka Instagram. Facebook juga dibelek. Dicari profil milik Tasneem.
Tasneem senyap. Belum ada sebarang pemberitahuan.
Dia risau. Kebiasaannya semenjak bergelar kekasih Adrian belum pernah sekali Tasneem tidak memuat naik sebarang status. Setiap masa ada saja gambar dan situasi yang ingin dikongsi Tasneem. Yang pasti bukan gambar dirinya. Mungkin Tasneem takut keluarganya dapat mengesan perubahan dirinya.
Di mana Tasneem? Berat kepalanya memikirkan gadis pujaannya itu.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL TELAH AKU CINTA (PENULIS: AFNAN)