Telah Aku Cinta – Bab 2

~ Kala hati terlalu cinta, jiwa dan raga aku serahkan ~

TASNEEM bertongkat tangan di singki bilik air. Lembik seluruh anggota tubuhnya. Termasuk kali ini sudah lebih lima kali dia muntah. Minum air kosong pun dia boleh muntah. Inikan pula jika dia makan makanan berat.

Beberapa ketika sebelum dia muntah dia cuba mengambil sekeping roti untuk mengalas perut. Tak tahan rasanya perutnya berkeroncong minta diisi. Dia kelaparan. Walaupun tahu kemungkinan dia akan muntah lagi dia tetap ingin mencuba.

“Ya ALLAH, peritnya tekak.”

Air matanya menitis di pipi tatkala perit tekak dan hidungnya kesan daripada dia muntah sebentar tadi.

Sekarang baru pukul 3:00 petang. Pukul 6:00 petang baru Adrian akan sampai ke rumah. Ikutkan hati dia mahu menghubungi Adrian. Dia mahu meminta Adrian membawanya ke klinik tetapi dia bimbang tindakannya itu akan mengganggu kerja Adrian. Tak mustahil Adrian akan marahkan dirinya.

“Tahanlah sekejap.” Cuba dipujuk hati sendiri.

Sebentar lagi Adrian pulang. Adrian pasti akan membawanya ke klinik.

Wajahnya ditundukkan untuk membilas muka yang terasa berminyak. Ada baiknya dia tidur saja sementara menunggu Adrian pulang. Mungkin bila dia buka mata nanti Adrian sudah ada di hadapannya.

“NEEM…” Mukanya dibelai lembut.

“Adrian?”

“Yes, baby.”

Adrian tunduk mengucup bibirnya. Matanya terpejam menerima kucupan Adrian pada bibirnya.

“You dah okey ke?” soal Adrian sebaik saja melepaskan bibir Tasneem.

“O… okey.” Tasneem membalas dengan suara sedikit serak dan muka yang membahang.

Jemari Adrian mengusap lembut bibir penuh Tasneem yang sedikit membengkak kerana perbuatannya. Pipi Tasneem yang kemerahan menerbitkan rasa ghairah. Seperti ingin diserang Tasneem sekarang juga. Namun dia tahu dia perlu menahan diri. Tasneem sedang tidak sihat. Kejam benar dia jika dia meminta Tasneem melayan nafsunya dalam keadaan lemah seperti ini.

“Kenapa muka you macam tu? Kerja okey ke?”

Tasneem cuba bangun, namun lekas ditahan Adrian.

“Baring. You tak sihat.”

Dipegang kedua belah bahu Tasneem yang hanya memakai singlet putih.

“Tadi you pengsan dalam bilik air. Nasib baik tak ada apa-apa jadi.”

“Hah?” Tasneem terkejut. Betul ke dia pengsan dalam bilik air? Dia langsung tak ingat. Yang dia ingat selepas dia membasuh muka kepalanya pening. Cuma setakat itu. Dia ingatkan selepas itu dia tertidur sementara menunggu Adrian. Ah, dia pengsan rupanya!

Dia turut menyedari bajunya yang telah bertukar. Tak perasan sungguh dia.

“Lama ke I pengsan?”

“Adalah dalam sejam dua.”

“Sejam dua? Sekarang dah pukul berapa?”

Adrian melirik jam tangannya. “Pukul 8:00 lebih dah.”

“Oh, dah malam.”

Adrian baring di sebelah Tasneem yang sudah mula membuka selimut. Perutnya terasa panas. Lantas diselak bajunya sehingga menampakkan perutnya yang kempis. Adrian hanya memerhatikan tingkah Tasneem.

“Sorry, I tak bawa you pergi klinik.”

Oh, persoalan itu turut bermain di fikiran Tasneem. Kenapa Adrian tidak terus membawanya ke klinik ataupun hospital sejurus Adrian menjumpainya pengsan di dalam bilik air?

“You ada sakit kat mana-mana?”

Tangan Adrian melekap di perut Tasneem. Berlabuh di situ tanpa digerakkan ke tempat lain.

“Perut you ada sakit?”

Tasneem menggeleng.

“I jatuh macam mana tadi?”

“I tak sure, baby. You terduduk tadi. I tak sure tubuh you ada terhempas atau tak. Masa I mula-mula jumpa you dalam bilik air tadi I ingat you tertidur kat situ. Muka you nampak tenang sangat. Syok agaknya dalam bilik air tu. Sejuk kan?”

Tasneem tertawa halus mendengar usikan Adrian. Tak ada yang syoknya kalau dah terpengsan macam tu. Agaknya tidak ada hentakan pada tubuhnya. Mungkin dia dibantu TUHAN. Lantaran itu tiada kecederaan yang dialami.

“I risau…”

“I know…”

Tasneem mengiringkan badan menghadap Adrian. Adrian melakukan hal yang sama. Mereka bertentangan mata.

“Apa kita nak buat sekarang? You know what I mean…”

Sudah pasti Adrian mengerti maksud Tasneem. Tasneem sedang berbicara tentang benih cinta mereka yang sudah membuahkan hasil.

Telah seminggu hal itu diketahui namun mereka belum membuat sebarang keputusan. Adrian sendiri masih kusut memikirkan penyelesaian. Dia keliru.

“Kita patut buat check-up kan?”

Adrian senyap.

Hanya alat ujian kehamilan yang dibeli di farmasi yang menjadi bukti kehamilan Tasneem. Mereka belum membuat pemeriksaan di klinik. Adrian belum bersedia.

Kejutan kehamilan Tasneem sukar diterima. Dia sudah melakukan yang terbaik dengan memakai alat perlindungan setiap kali mereka bersama. Dia terlalu yakin Tasneem tidak akan mengandung.

Malah sepanjang dia bersama perempuan semenjak dia mula berjinak dengan perhubungan badan, belum ada seorang pun yang menghamilkan anaknya. Entah mengapa dengan Tasneem boleh melekat.

Dia tidak boleh menuduh Tasneem mengandungkan anak lelaki lain. Dia tahu dia satu-satunya lelaki dalam hidup Tasneem. Meskipun dia boleh membuat tuduhan itu untuk melepaskan diri, dia belum tergamak.

“Adrian.”

Tasneem menyentuh lengan Adrian.

“Yes, baby?”

“Are you okey?” Risau pula Tasneem melihat wajah Adrian yang berkerut-kerut. Hal apa yang sedang difikirkan Adrian? Tentang diakah?

Sejujurnya dia bimbang Adrian tidak mahu bertanggungjawab. Setiap hari dia  memikirkan kemungkinan itu. Namun setakat hari ini Adrian belum menunjukkan tanda-tanda ke arah itu.

Jauh di sudut hati dia mengharapkan Adrian akan bertanggungjawab. Dia sudah cukup takut sebaik saja menerima berita kehamilannya.

Dia pernah terfikirkan untuk menggugurkan kandungannya. Tetapi dia terlalu takut untuk menjadi seorang pembunuh. Kehadiran benih di dalam perutnya tidak pernah diinginkan tetapi dia tidak sampai hati untuk membunuh darah daging sendiri.

“Neem…”

“Ya.”

“Are you okey?”

Giliran Adrian pula yang bertanya. Jemari menyentuh dahi Tasneem yang berkerut seribu.

“Apa yang patut kita buat?”

Mengerti soalan Tasneem namun Adrian menolak untuk memberikan jawapan.

“Kita bincang hal ni nanti?”

“Tapi…”

Sampai bila nak dibiarkan? Takkan nak tunggu perut dia terlihat bentuknya baru Adrian bersedia hendak berbincang masalah ini. Penyelesaian harus dicari segera. Masalah seperti ini tidak boleh ditangguh-tangguh.

“Please, baby. Nanti baru kita bincang.”

“But…”

Tanpa sempat Tasneem menamatkan bicara Adrian terus tunduk menyambar bibir Tasneem. Persetankan rehat yang perlu diberikan kepada Tasneem. Persetankan tubuh Tasneem yang masih lemah. Hanya ini saja cara yang dapat membuatkan Tasneem tunduk kepada permintaannya.


PROLOG • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL TELAH AKU CINTA (PENULIS: AFNAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *