Telah Aku Cinta – Bab 4

~ Kalau cinta katakan cinta, kalau benci lepaskan aku ~

DIA bukan bosan menunggu. Namun dia perlukan kepastian. Sudah sebulan dia menunggu. Daripada tiada ikatan batin dengan janin dalam rahimnya, kini dia mula terasa sayang.

Ada keinginan untuk membelai bayi mereka yang bakal lahir dengan tangan sendiri. Ada keinginan untuk menjadi ibu yang sebenar walaupun dia langsung tak bersedia.

Benih yang terhasil ini adalah benih haram. Menjadi satu kesalahan jika dia meneruskan niat untuk mempertahankan dosa ini. Lalu dia harus bagaimana? Melepaskan semua rasa dengan membiarkan janin ini pergi sementara masih boleh digugurkan?

Tasneem menekup mulut. Digigit bibirnya kuat. Dia buntu.

Keluarga di kampung sudah tak dipedulikan sejak tahu dia berbadan dua. Apa khaba agaknya umi dan ayah? Sihatkah mereka? Apa agaknya perasaan mereka seandainya tahu lakunya yang buruk di belakang mereka.

Oh, dia sedih. Baru sekarang kesedihan berjaya memerangkap rasa dalam jiwanya. Semenjak setahun ini jiwa dan fikirannya hanya dipenuhi Adrian sehingga dia tak nampak hal lain lagi. Bukan setakat sahabat handai, malahan umi dan ayah pun berani dibuang. Teruknya dia.

Tasneem menunggu Adrian dengan gelisah di atas katil. Adrian pulang agak lambat malam ini. Pukul 8:00 lebih baru menunjukkan muka. Bila ditanya Adrian memberikan alasan ada banyak pekerjaan yang perlu diuruskan. Meskipun curiga, namun melihat muka letih Adrian mahu tak mahu Tasneem terpaksa percaya.

Sekelumit rasa di hati berprasangka Adrian pulang lewat kerana ingin mengelak darinya. Mungkin Adrian takut dia bertanya perihal bayi mereka.

Tiga bulan mereka tinggal bersama. Tiga bulan mereka berterusan melakukan perbuatan terkutuk itu tanpa rasa malu. Bahkan boleh dikatakan hampir setiap malam dia melayan nafsu Adrian. Dilakukan sebagai bukti cinta dan sayangnya pada Adrian.

Dia pun pelik kenapa benih Adrian boleh tersangkut di rahimnya. Dia tahu dan dia nampak kerana Adrian melakukan di hadapan matanya. Setiap kali mereka bersama Adrian tak pernah lupa mengenakan alat perlindungan. Dalam berhati-hati pun mereka masih juga terkena.

Pintu bilik air terbuka. Adrian keluar dengan rambut setengah basah dan hanya bertuala separas pinggang.

“Adrian.”

Adrian menoleh pantas ke arah Tasneem yang duduk di birai katil.

“Kenapa tak tidur lagi?”

Tasneem dihampiri.

“I tunggu you.”

“Kenapa? You tak sihat ke?”

Tasneem geleng.

“Atau you lapar?”

Adrian menyentuh dahi Tasneem dengan belakang tangan. Walau sudah diberitahu Tasneem sihat, dia tetap mahu memastikan sendiri. Bukan boleh kira dengan Tasneem. Kadangkala sengaja dirahsiakan sakit yang ditanggung badan demi tidak mahu menyusahkan Adrian. Padahal dia tak pernah berasa susah kerana Tasneem. Kecuali sejak akhir-akhir ini. Kehamilan Tasneem memberikan satu beban yang sangat berat di bahunya.

Dia masih muda. Belum puas menikmati hidup. Baru penghujung 20-an. Tasneem juga masih muda. Baru setahun Tasneem bekerja. Takkan lah Tasneem belajar tinggi-tinggi setakat nak jadi isteri? Dia tak rela Tasneem korbankan masa muda hanya untuk sebuah kesilapan yang tak disengajakan.

“Tak demam. You lapar ke, baby?” Adrian mengulang soalan yang tidak dijawab Tasneem.

“Tak.”

“Rindukan I?”

Adrian tunduk mengucup dahi Tasneem. Agak lama dia menunduk. Tidak dipedulikan air rambutnya yang jatuh ke muka Tasneem.

“Hurm.” Tasneem menggumam sewaktu dipeluk Adrian.

Ah, rindunya dia pada Adrian. Seminggu ini hanya pelukan sewaktu tidur yang diterima. Dalam jaga Adrian belum pulang. Dia sudah tertidur baru Adrian sampai di rumah.

“I miss you too, baby.” Tanpa menukar tuala dengan pakaian yang lebih sesuai Adrian duduk di sebelah Tasneem. Tubuh Tasneem diangkat lalu diletakkan di atas ribanya. Tasneem sekarang duduk di atas riba sambil menghadap mukanya.

“Kenapa ni? Monyok je. Nak I usap perut you? Panas ke?”

Adrian menyelak baju Tasneem. Tasneem hanya membiarkan Adrian mengusap perutnya. Rasa membahang di perutnya sebenarnya tak pernah reda pun setiap kali Adrian mengusap perutnya tetapi dia tetap suka tangan Adrian di situ. Sentuhan kulit ke kulit itu  seakan memberi interaksi antara mereka bertiga. Dia, Adrian dan bayi mereka yang tidak diketahui jantina.

“Best?”

Tasneem angguk dengan mata terpejam. Adrian mengulum senyum. Diperhatikan lekuk wajah Tasneem yang terlihat sempurna. Bibir delima merekah Tasneem tampak penuh. Bibir itulah yang sentiasa menjadi kegilaannya. Membuatkan dia kecanduan. Tak cukup sekali mengucup Tasneem, bahkan seumur hidup pun rasanya dia tak akan pernah puas bermain dengan bibir Tasneem. Tasneem membuka mata apabila merasakan sentuhan ringan bibir Adrian di bibirnya. Adrian tersengih menatapnya.

“Sorry, baby. Tak boleh tahan.”

Tasneem tersipu-sipu mendengar pengakuan Adrian. Adrian pernah memberitahu anggota badannya yang paling digemari Adrian adalah bibirnya. Mungkin benar kerana Adrian suka sekali mengucup bibirnya tak kira masa. Pantang ada peluang Adrian pasti takkan melepaskannya.

“Semalam mahupun hari ini, you tak pernah berubah, baby. Tak pernah tak blushing.” Pipi Tasneem dielus perlahan.

“I minta maaf seminggu ni I selalu balik lambat. Banyak kerja.”

Antara benar dan bohong, Adrian rasa dia perlu melakukan keduanya. Dia tidak mahu melukai hati Tasneem. Tasneem pasti akan terguris jika dia memberitahu ada ketika dia pulang lewat kerana mahu mengelak pertanyaan Tasneem tentang masa depan mereka. Soal pekerjaan yang sedang banyak tidak sepenuhnya Adrian menipu. Pekerjaannya memang banyak namun boleh saja jika dia menyambung keesokan hari. Tak perlu dia bekerja lebih masa. Namun, demi Tasneem dia paksakan dirinya melakukan sesuatu yang sangat jarang dilakukan. Bekerja lebih masa!

“It’s okey. I faham. You kerja untuk kita juga kan?”

Adrian tersenyum nipis. ‘Ya, untuk kita. Tak termasuk bayi dalam perut you.’

“So, ada dinner tak malam ni?”

“You nak makan?”

Adrian menarik pinggang Tasneem yang mahu bangun dari pangkuannya.

“No, baby. Bukan makan kat dapur. Tapi makan kat sini.”

Mata Adrian mengerling tilam empuk yang menjadi saksi bisu mereka memadu kasih setiap malam.
“Hesy, you ni!”

Adrian menangkap tangan Tasneem yang mahu memukul dadanya. Tasneem bergerak-gerak di atas pangkuannya.

“Merahnya pipi you. Tak nak ke?” Kening Adrian terangkat.

“Shhhh. Tuala I nak tanggal dah ni!”

Adrian memberi amaran. Tasneem diam tak berkutik. Dia baru teringat ada perkara yang perlu mereka bincangkan.

“We need to talk, Adrian.” Terdesak nada suara Tasneem.

Mungkin ini saja peluang yang ada. Dia tidak boleh membiarkan Adrian lari lagi. Jika tidak malam ini, entah bila pula mereka dapat bertentang mata seperti ini. Tak mustahil Adrian akan pulang lebih lewat. Dan hanya kucupan panas diberikan Adrian sebelum berangkat ke tempat kerja. Dia tak sempat membuka mulut bagi mengajak Adrian berbincang. Pantang dia bersuara Adrian akan diamkan Tasneem dengan serangan di bibirnya. Selagi tak bengkak dan
tak kebas bibir Tasneem selagi itulah Adrian tidak akan melepaskan Tasneem.

“Tak nak makan I?” Adrian ingin mencuba nasib. Mana tahu Tasneem berjaya digoda. Kalau perlu dia akan terus buka tualanya.

“Please, we need to talk,” rayu Tasneem.

Dia mahu Adrian berhenti menggodanya.

“Seriously you tak mahu? I menyelerakan tau. You kata you rindukan I?”

“Ad!”

Adrian terkekeh gelak dengan reaksi Tasneem. Tasneem tergesa-gesa bangun dari pangkuannya sehingga tertarik tuala yang sedang dipakai.

“See, tengok ni! You rindu I kan? Tak sabar-sabar.”

Tasneem melarikan pandangan. Pandangan liar di hadapannya sudah sering dilihat. Memang mampu menggugat ketenangan dirinya. Tetapi malam ini dia perlu menahan diri tak kira betapa berat godaan yang diberikan Adrian.

“Adrian.” Tasneem bersuara lemah tatkala dihampiri Adrian yang tidak mengenakan seurat benang.

“I nak ambil tuala je. Tunggu I pakai seluar dulu, okey.”

Tasneem menarik nafas lega. Adrian mengotakan kata. Dia hanya mengambil tuala dan terus menuju wardrobe.


PROLOG • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL TELAH AKU CINTA (PENULIS: AFNAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *