~ Bila hati disuruh memilih, antara cinta dan juga nyawa ~
“KISS me first.” Syarat yang diberikan Adrian sebelum mereka memulakan perbincangan.
“Janji kiss je?”
“Dah tak percayakan I ke?”
Tasneem terpaksa akur dengan permintaan Adrian. Mereka hampir terbabas dan Tasneem melupakan niatnya kerana tangan Adrian yang tak boleh diam.
“You dah janji!” Tasneem merajuk.
“You terlalu menyelerakan, Neem. Setiap masa I tergoda dengan you. I sentiasa inginkan you walaupun you tak ada di sebelah I.”
“Gatal!”
“Gatal dengan you tak apa kan? Janji I tak gatal dengan perempuan lain. Betul tak?”
Buat masa ini hanya Tasneem dalam hidupnya. Dia belum bosan bersama Tasneem. Pasangannya tak pernah kekal lama kerana dia cepat bosan. Dengan Tasneem lain pula. Tak tahu mengapa hubungannya dengan Tasneem boleh bertahan selama ini. Mungkin dia tertarik dengan kepolosan Tasneem. Sudah diubah penampilan Tasneem sebegini rupa pun masih ada lagi sifat polos Tasneem yang belum hilang.
Tasneem duduk sambil betulkan pakaiannya. Adrian hanya tersengih. Dipanggung kepala sambil mata merayap ke wajah Tasneem. Dia tersenyum kecil. Cantik, tak pernah tak cantik.
“Apa pandang-pandang? Pakai baju tu!” Baju Adrian dilemparkan ke muka lelaki itu.
“Kenapa? Dah biasa tengok I tak pakai baju kan? Takut tak tahan eh?” Adrian tersenyum usil.
“Adrian!”
Dia tergelak besar apabila suara Tasneem mula meninggi. Dia duduk seraya memakai baju yang dilemparkan Tasneem. Sejak hamil emosi Tasneem sukar ditebak. Bercampur aduk, malam ini sebagai contoh. Manjanya bukan main, tiba-tiba berubah jadi garang.
“Dah?”
“Dah baby. I dah pakai baju ni. Come, duduk sebelah I. I janji I behave.”
Tasneem menceber. Muka Adrian tak boleh dipercaya. Sekejap lagi adalah akalnya nak menduga Tasneem. Sengaja nak melarikan fokus Tasneem.
“Cepatlah. Nanti you nak tidur pulak. Pukul berapa dah ni.”
Tasneem akhirnya duduk bersila di sebelah Adrian.
“Apa yang you nak bincang dengan I?”
Tasneem yang memandang lurus ke depan dipaksa memandangnya.
“Apa dia, baby? Talk to me.”
Kepala Tasneem dielus. Diberikan senyum untuk melegakan debaran di jantung Tasneem. Jujur Adrian pun berdebar. Dia lelaki, takkan dia nak tunjuk lemah di hadapan Tasneem. Tak suka, tapi dia kena hadap juga. Lari daripada masalah bukan caranya. Cukuplah sebulan dia membiarkan. Jika menunggu lebih lama mungkin sudah tidak ada penyelesaian
untuk masalah mereka.
“You sayangkan I?”
Senyum, tipis sahaja. Namun Adrian ikhlas. “Of course, baby. I love you.”
“Don’t kiss me!” Tasneem menolak dada Adrian yang cuba tunduk untuk menciumnya. Tengah berbincang mana boleh gatal! Nanti perbincangan ke mana, penyelesaian tertangguh lagi.
“Amboi, sejak bila you kedekut dengan I?”
Tasneem menyilangkan tangan di dada. “Sejak you dah pandai lari daripada masalah.”
“Bila masa I lari?”
Tasneem senyap. Adrian ada jawapan untuk soalan itu.
Adrian melepaskan keluhan berat. Wajahnya bertukar serius. Tangan Tasneem dicapai kemudian digenggam erat.
“I love you, Neem. Of course. I tak nafikan. Tapi…”
Ada tapinya. Tasneem memberi peluang Adrian meluahkan perasaannya. Setelah itu baru giliran dia pula menyatakan segala perasaan yang bersarang di dada.
“I tak bersedia dengan apa yang kita ada sekarang.”
Bibirnya digigit. “Apa kita nak buat sekarang?”
“Bukan kita, baby. You. Apa you nak buat sekarang? My suggestion, kita gugurkan baby tu. I belum bersedia jadi bapa. Jadi suami pun rasanya I belum bersedia.”
Kenyataan yang baru keluar dari bibir Adrian bagai batu yang sedang merejam dirinya.
Tak bersedia? Walaupun menjadi suaminya yang sah? Belum bersedia jadi bapa dia masih boleh terima, tapi belum bersedia menjadi suami Tasneem tidak dapat hadam alasan Adrian.
Siapa dia di mata Adrian? Takkan mereka akan hidup bergelumang dosa buat seumur hidup mereka? Apakah selama ini ungkapan cinta di bibir Adrian hanya palsu. Adrian bukan sebenarnya cinta. Adrian hanya inginkan tubuhnya.
“Neem…”
Diam Tasneem meresahkan Adrian.
“Jangan salah faham. I memang sayangkan you. I cintakan you. It’s true.”
Tasneem ingin menangis.
“Agama kita berbeza Neem. Kalau I kahwin dengan you, I kena convert. Itupun I tak sedia, Neem. Ataupun you sanggup hidup tanpa agama macam I? In case kalau…”
“No way!” Tangannya direntap. “You dah gila?”
“Come on, Neem. Itu cadangan I je. Lagipun sejak you bersama I you dah tinggalkan semuanya. Solat pun tak, puasa pun tak kan? Jadi, apa salahnya kalau kita terus hidup macam ni?”
“I ada kepercayaan, Adrian.”
Adrian gelak. Sinis nadanya sampai di telinga Tasneem.
“I pelik dengan you, Neem. Actually bukan dengan you je. Dengan kawan-kawan muslim I yang lain juga. Mengaku Islam, marah bila Islam digelar macam-macam tapi yang peliknya tingkah mereka, hati mereka, jarang sangat menunjukkan sifat Islam yang sebenar.”
Tasneem ingin membangkang.
“I maybe tak percaya TUHAN, Neem. Tapi I juga ada ambil tahu tentang agama you, agama orang lain like Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain agama minoriti. Memilih untuk tak percaya it doesn’t mean I tak tahu.”
Bicara Adrian menikam jantung Tasneem. Malu pula untuk menatap wajah Adrian.
Adrian mungkin asbab yang buat dia terpesong dari landasan. Tetapi yang salah tetap dia. Imannya tak kuat. Hatinya terlalu rapuh. Dia membiarkan cintanya terhadap Adrian mengaburi matanya sehingga dia tergamak membuang segalanya.
“I minta maaf, Neem. I bukan tak fikir masalah ni. You betul. I memang mengelak dari you. Bukan sebab I dah tak sayang you. Tapi hal inilah yang I sedang fikirkan. I tak mahu ambil keputusan yang salah. I perlu ruang untuk fikirkan masalah kita.”
Dagu Tasneem diangkat. Dia memaksa Tasneem memandang anak matanya.
“I terpaksa minta you buat pilihan, Neem. You hanya boleh pilih satu. I ataupun baby dalam perut you. Kalau you pilih I, please gugurkan baby. Kalau you pilih baby, I minta maaf. Kita kena berpisah.”
Tasneem kelu. Lidahnya bagai digam. Tak mampu digerakkan untuk membalas kata-kata Adrian.
“You akan pilih I kan?”
Kedua-dua belah juring mata Tasneem yang berkaca-kaca dikecup perlahan.
“You cintakan I kan, Neem.” Pipinya dielus sebelum pipinya dikecup lama oleh Adrian.
“I love you so much, Neem.” Dahinya dikecup Adrian.
Tasneem tidak bergerak. Hanya bibir dan bahunya yang semakin bergetar. Air matanya luruh.
“Don’t cry, baby. Don’t cry.”
Sendu yang ingin meletus keluar dari bibir ditahan dengan bibir Adrian. Tasneem tak mampu membalas setiap sentuhan yang diberikan Adrian. Malam ini buat pertama kalinya sejak dia menyerahkan segalanya kepada Adrian, dia menangis.
Jiwanya mengutuk nafsunya. Dia terluka, namun fikirannya masih keliru.
“I love you so much, Tasneem.”
Bisikan Adrian masih mampu didengar walaupun matanya sudah terpejam.
“Please choose me, baby.”
Dan dia tak mampu mengawal air matanya gugur saat telapak tangan Adrian melekap di perutnya.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL TELAH AKU CINTA (PENULIS: AFNAN)