AKHIRNYA Zainal mengaku!
Ya.
Mengaku bila dia tahu yang aku sudah tahu tembelangnya. Kisah yang tersorok dalam tempayan takkan bertahan lama. Busuk tembelang mana boleh disembunyi. Walau aku tak pernah bertanya…tak pernah menyebut hal ini, dia patut lebih tahu dia takkan mampu menyembunyikan perkara ini selama-lamanya dari pengetahuanku.
Zainal Rauf.
Dia lelaki yang aku sanjung selama lima tahun perkahwinan kami. Aku hormat dia. Terlalu. Aku sayang. Aku kasih. Aku cinta. Seluruh jiwa dan rasa ini milik dia. Tak pernah aku bersangka buruk walau sebesar zarah padanya. Tapi…dia rupanya menyembunyikan siapa dia sebenarnya selama ini padaku.
Dan Zainal yang berada di depanku ini…lelaki yang bergelar suamiku sejak lima tahun akhirnya mengaku dia telah berlaku curang dalam diam. Curang yang dalam kata lain dia buat hubungan dengan perempuan lain secara senyap-senyap di belakangku. Curang yang bukan sehari dua tapi dah berbulan-bulan. Paling menyakitkan, dia seperti tak rasa bersalah buat begitu padaku isterinya. Semua lelaki yang berlaku curang memang tak ada perasaan aku rasa. Kalau ada sekelumit rasa itu dalam kepala lelaki-lelaki bernama suami, perkataan curang ini takkan wujud!
Dalam hal suamiku, dia rasa tak bersalah buat begitu padaku mungkin sebab perempuan itu kekasih lama yang terlalu dia cinta. Cinta yang kembali mekar bila perempuan itu kembali ke tanahair selepas membawa hati yang kecewa kerana cinta mereka tidak direstui. Impian untuk bersatu tidak jadi kenyataan. Tapi api cinta mereka yang marak tak pernah padam. Terus menyala-nyala. Cinta mati kata orang muda-muda sekarang. Aku jadi heran. Perempuan tu dah kenapa? Tak ada jantan lain kat muka bumi ni ke sampai hadap sangat dengan laki orang? Kalau sungguh mereka teguh pada cinta, kenapa tak pertahankan cinta mereka sejak dulu? Kenapa mesti mengalah? Kenapa sekarang? Kenapa pilih aku untuk jadi korban penyatuan cinta mereka. Ingat aku ni apa?! Barang mainan korang berdua?
Aku pandang Zainal dan bertanya pada diri sendiri dalam diam. Apa salahku selama ini hingga Zainal tergamak lakukan semua ini? Tak cukupkah segala khidmat dan layananku padanya. Terkurang apa pada diriku ini? Aku tahu aku bukan cinta hatinya. Aku sedar hal tu dari mula kami berkahwin. Ya. Aku ini isteri pilihan mak dia. Tapi selama lima tahun berkahwin, aku perhambakan diri sepenuhnya pada dia. Serba serbi keperluannya zahir dan batin aku lunaskan dengan penuh tanggungjawab. Tapi…ini yang aku dapat akhirnya.
Dicurangi.
Mana-mana perempuan pun di dunia ini yang bernama isteri akan punya rasa yang sama dengan aku saat ini. Rasa kecewa. Rasa marah. Rasa sakit hati. Dan yang rasa yang paling kuat menguasai jiwa tentulah rasa sedih. Sedih bila segala kesetiaan dan keikhlasan dibalas dengan kecurangan. Sedih bila cinta dan sayang selama ini rupanya tidak pernah singgah di hati orang yang dikasihi. Sezarah pun tiada. Semua itu semua bagaikan debu di mata Zainal rupanya. Debu yang tidak berharga dan perlu dihargai.
Diduakan secara sembunyi oleh suami itu belati paling tajam. Dibohongi tanpa rasa bersalah itu luka yang darahnya takkan henti mengalir biar dicurah ubat paling mujarab. Selama ini, telinga hanya mendengar bisik dan berita tentang perbuatannya.
Dan hatiku yang terluka ini dipujuk agar percaya semua itu cerita palsu yang dibawa angin cemburu walaupun jiwa rancak berteka-teki akan kesahihan kisahnya. Paling sadis bila segala teka-teki yang diharapkan cuma omongan kosong….cerita palsu bawaan mulut orang rupanya benar belaka bila tuan punya badan buat pengakuan sendiri.
Di depanku saat ini, lelaki bernama Zainal sekarang sedang buat pengakuan berani mati. Pengakuan yang dia buat hubungan sulit dengan perempuan lain yang juga kekasih lamanya di belakangku selama ini. Sudah berbulan-bulan rupanya hubungan mereka. Hampir menjangkau setahun.
ALLAH.
Sesak nafas mendengar pengakuannya. Cubalah letakkan diri sendiri pada situasiku ini. Dalami perasaanku sekarang ini. Telinga saat ini hanya menadah setiap bait dan tutur kata tentang segala perbuatan curangnya selama ini.
Aku terus diam lepas dengar apa yang Zainal cakap. Memang dari mula dia bercakap tadi aku hanya diam. Sepatah pun tak mencelah. Aku biarkan dia bercakap. Biarkan Zainal bongkar segala dosa yang dia buat selama ini di belakang isterinya. Dosa yang sememangnya sudah lama sampai ke telinga cuma aku sahaja yang bisukan mulut. Aku tunggu mulut dia yang bersuara dan malam ini mulut Zainal bersuara tentang curang seorang suami.
Berbulan-bulan dia tipu aku dengan lakonan paling hebat seorang lelaki yang selama ini sangatku hormati dan sanjungi. Lelaki yang aku pandang tinggi kerana berpelajaran tinggi. Tak macam aku yang SPM pun nyawa-nyawa ikan aje. Tak sangka lelaki umpama malaikat depan mataku ini rupanya lelaki yang tewas dengan nafsu dunia. Hanya berpura-pura baik depanku selama ini. Dalam diam bermain cinta dengan kekasih lama di belakang isteri sendiri!
Aku tabah tadahkan telinga untuk terus dengar segala penipuan yang dia cipta selama ini. Pengakuan yang akhirnya terpaksa diluahkan kerana dia harus buat satu keputusan penting. Keputusan yang melibatkan perkahwinan kami. Dalam hati, aku yakin perempuan itu yang mahukan Zainal buat keputusan. Dan dia pastinya takkan melepaskan Zainal lagi seperti lima tahun dahulu. Perasaanku sudah berbisik. Zainal pasti harus memilih antara aku dan perempuan itu. Akukah yang akan Zainal korbankan demi kekasih pujaan hatinya itu?
A ku tak pernah bermimpi akan berdepan perkara macam ni selepas kahwin dengan Zainal. Sungguh aku tak pernah bermimpi. Selama ini mata tengok benda-benda macam ni dalam drama-drama melayu kat tv aje. Dan habis-habis pun memang aku maki aje jantan tak guna dalam drama tu. Sekarang ini, jantan tak guna versi drama yang selalu ditonton dan dimaki kat tv tu ada depan mata sekarang. Dan aku sedang terfikir haruskah aku maki dia? Tak. Aku bukan setakat nak maki. Aku rasa nak terajang dia aje.
“I kahwin dengan you sebab mak I. I memang tak pernah cintakan you, Zira.”
Aku rasa dia sedang tetak dadaku bertubi-tubi. Tak ada perasaan ke dia sampai tergamak cakap macam ni. Aku ni patung bernyawa di mata dia agaknya.Tak sangka rupanya aku bersuamikan lelaki yang nampak baik tapi kejam perasaannya. Kejam hingga tiada belas walau sebesar kuman.
Zainal yang duduk di sofa hujung diam lepas habis bercakap. Hanya mata dia yang tak lepas pandang aku yang hanya macam batu sejak mula dia bercakap tadi. Bila kepalaku ulang lagi ayat yang Zainal cakap tadi, fikiranku jadi keliru.
Kenapa baru sekarang Zainal nak cakap yang dia kahwin dengan aku sebab terpaksa? Bukan sebab ikhlas. Dia nikahi aku sebab tak mahu lukakan hati mak dia. Sebab aku ni pilihan mak dia. Kenapa lepas lima tahun baru nak cakap benda ni? Kenapa tidak dari sebelum dia nikahi aku? Kenapa tak berterus-terang dengan aku? Kenapa?!!!
Aku memang sedar perubahan Zainal bulan-bulan kebelakangan ini. Aku bukan buta. Aku tahu dia bukan macam Zainal yang aku kenal selama ini. Dia dah mula kerap balik lewat. Selalu sangat. Dulu-dulu sesekali aje dia balik lewat. Hujung minggu pun asyik tak ada kat rumah. Keluar aje. Dulu tak kerap macam bulan-bulan kebelakangan ini. Tak pernah lekat di rumah. Pastu lewat malam baru balik. Bila aku tanya, alasan dia seperti selalu. Keluar dengan kawan-kawan.
Pelik juga aku mulanya. Kata keluar dengan kawan-kawan, tapi tak pernah nak ajak atau bawak aku. Alasan, sebab keluar dengan kawan-kawan pejabat dan masing-masing pun tak bawak bini. Takkan dia nak bawak aku pulak. Macamlah aku ni bebal sangat.
Ingat aku tak kenal ke kawan-kawan pejabat dia yang dah kahwin. Ingat aku tak kenal bini dia orang tu semua? Kami ada group WhatsApp sendiri dan aku ni walaupun bukan ahli yang aktif tetap sentiasa tahu gossip-gossip di pejabat Zainal termasuk kisah dia ada hubungan sulit. Dari situ aku dah tahu dia dah mula tipu aku. Dan aku dapat tahu jugak akhirnya dia bukan keluar dengan kawan-kawan pejabat macam yang dia kata. Dan akhirnya aku tahu dia keluar dengan perempuan lain. Dunia ni kecil dan sempit aje. Pusing-pusing tertembung jugak. Zainal…Zainal. Kau ingat aku perempuan bangang ke?
Perubahan Zainal memang buat hidup aku jadi lain tapi aku diam aje. Aku bukan jenis yang suka serang-serang orang tak tentu hala. Maki hamun macam orang gila. Aku percaya apa juga yang kita buat kat dunia ni…baik atau buruk akan ada kesannya. Dan sebab itulah aku tak tanya dia. Aku nak tengok setakat mana dia nak main wayang. Namun, jauh di sudut hati, aku berharap benar segala yang aku dengar cuma cerita bohong. Tapi ternyata harapan itu musnah dengan pengakuannya.
Segala tingkah lakunya yang pelik kembali singgah di layar ingatan. Duduk kat rumah pun perangai dia lain macam. Masuk dalam bilik air lama-lama. Siap bawak handphone dalam bilik air. Bertahun kahwin dia tak pernah macam tu. Macam takut aku nak ambil menatang tu kalau dia dalam bilik mandi atau masa dia tengah buat urusan alam. Ingat aku ni kaki intip aktiviti laki dalam telefon dia ke? Orang kalau dah buat dosa kat belakang memang akan rasa macam tu kan. Rasa takut. Rasa tak selamat. Rasa bersalah.
“I minta maaf.”
Aku tak angkat muka pun pandang dia. Kalau aku pandang muka dia sekarang, memang aku akan bangun pergi dekat dia dan terus ludah muka dia nanti, tapi aku tak mahu jadi isteri yang emosi macam tu. Aku takkan benarkan diri aku nampak murah di depan Zainal. Apa yang lebih penting, aku sedang berkira-kira dalam kepala tentang apa yang Zainal cakap tadi. Aku kena buat sesuatu. Aku memang kena buat sesuatu. Aku ada hak atas hidup aku.
“Zira…”
Aku masih jadi patung cendana di sofa. Dari ekor mata, aku nampak Zainal bangun dari sofa yang dia duduk dan datang ke sofa yang aku duduk. Zainal duduk depan aku. Lebih tepat duduk atas meja kayu jati depan aku. Tangan aku Zainal capai. Aku tarik dan kunci atas riba. Aku angkat mata. Aku pandang dia yang memang sedang renung aku.
“Jangan nak pegang-pegang tangan I lepas you sedap-sedap pegang perempuan lain.” Mulut aku buka lepas berdiam dari tadi. Aku tengok Zainal raup muka bersalah. Mungkin dia tak sangka aku yang selama ini cukup menjaga tutur kata tiba-tiba cakap macam tu. Aku dah tak peduli. Aku memang jijik dengan dia lepas apa yang dah dia lakukan di belakang aku. Badan aku sandar ke belakang. Dua tangan aku simpul ke dada.
“I tahu I berdosa pada you. Maafkan I.”
Senangnya lelaki minta maaf lepas buat dosa. Senang sungguh!
“Tapi…I tak mampu nak elak dia, Zira.”
Dah dua-dua sama gatal, nak elak macam mana!
“Zira…please. Say something.” Aku tengok muka bersalah Zainal. Lama aku tenung muka dia. Aku terbayang wajah mak mertuaku. Aku pasti apa yang akan jadi antara aku dan Zainal selepas ini akan buat wanita itu kecewa dan sedih. Maafkan Zira, mak. Zira tak boleh nak maafkan Zainal. Aku tarik nafas perlahan sambil lontar pandangan pada Zainal.
“Apa you nak buat sekarang?”
Zainal ambil tempat di sebelahku.
“Zira…”
“Cakap aje. I dengar.” Cupingku jelas dengar helaaan nafasnya yang amat berat. Dan aku bagaikan boleh mengagak akan sukarnya apa yang ingin dia katakan padaku. Aku pusing dan tenung dia. Wajah rusuhnya bagai menceritakan apa yang ada hati Zainal saat ini.
“You cakap ajelah, Zainal.” Dia tunduk seketika sebelum kembali menghantar pandangan padaku.
“I…”
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL TELAH KU SERAHKAN HATI INI (PENULIS: APRIL SNOW)
restock please..saya nk beli sgt ii ni