Telah Ku Serahkan Hati Ini – Bab 2

AKU sampai ke pejabat lambat sedikit dari biasa. Lambat sebab hari ini aku pergi kerja sendiri guna pengangkutan awam. Dari rumah aku menapak ke perhentian berdekatan dan naik bas. Lepas tu sampai di pusat bandar kena tukar naik LRT pulak. Lepas turun dari LRT, kena naik bas sekali lagi untuk sampai ke pejabat. Penat jugak rupanya. Berpeluh ketiak.

Waktu di perhentian bas tidak jauh dari kawasan perumahan yang aku tinggal, terkejar-kejar dan menggagau aku bertanya orang kat perhentian bas tu nombor bas untuk ke KL. Yelah. Aku mana pernah naik bas selepas kahwin dengan Zainal. Semua bergantung kat dia aje untuk hantar dan jemput.

Nasib baik ada kumpulan wanita Indonesia yang sedang menunggu bas beritahu mereka pun nak ke KL. Mereka kata ikut aje naik bas yang mereka naik nanti. Lega aku dapat geng baru. Geng bas. Sempat la berbual dengan dia orang. Bertanya itu ini. Aku diberitahu salah seorang kakak indon dalam bas tadi, aku kena naik LRT untuk sampai ke pejabat. Aku redah dan terjah aje tanya kat orang di stesen LRT. Janji sampai ke pejabat. Alhamdulillah selamat jugak sampai ke pejabat.

Zainal tak hantar aku ke pejabat macam biasa. Bukan dia tak nak hantar, tapi aku yang tak nak lagi dihantar oleh dia. Lepas kejadian malam tadi, aku tidur di bilik tetamu. Habis dia beritahu rancangan dia malam tadi, aku beritahu dia terus-terang aku terluka dengan apa yang dah dia lakukan.

Dan untuk itu, aku rasa sebaiknya kami berpisah tempat tidur seketika untuk dia buat keputusan tentang hala tuju hubungan kami. Dia tak cakap apa. Diam aje. Aku tak peduli. Dia kena fikir apa yang dah dia lakukan memang sesuatu yang tak boleh diterima oleh mana-mana perempuan bernama isteri.

Aku tinggalkan rumah waktu dia masih tidur. Lepas solat subuh aku terus keluar rumah. Aku dah putuskan malam tadi sebelum lelapkan mata. Biar aku uruskan hidup sendiri mulai hari ini. Aku takkan harapkan Zainal lagi. Aku kena bersedia. Bersedia untuk ditinggalkan.

Aku letak tas tangan di atas meja. Kerusi baldu beroda lima aku tarik ke belakang. Aku hempaskan duduk dan lepaskan nafas penat sekejap. Pagi ini aku baru rasa dan tahu apa itu penat datang kerja.

Baru aku tahu apa tu susah payah menunggu dan berkejar dengan kenderaan awam. Selama ini aku tak perlu menunggu. Tak pernah rasa penat pergi kerja sebab duduk aje dalam kereta berhawa dingin dan Zainal yang memandu sampai depan lobi pejabat. Aku dah tak boleh manja-manja lagi. Kesilapan membiarkan diri bergantung penuh pada Zainal untuk urusan hidup seharian harus ditamatkan. Aku kena bergantung pada diri sendiri bermula hari ini.

Kunci laci yang terlekat bersama access card yang tergantung di leher aku sorong ke lubang laci. Aku pulas kunci. Aku tarik balik kunci. Lanyard berwarna merah yang tergantung di leher aku tarik dan letak tepi desktop. Laci aku tarik. Tas tangan aku capai dan keluarkan telefon. Aku tengok ada dua puluh missed call dari Zainal.

Aku memang senyapkan telefon waktu keluar dari rumah tadi. Sengaja aku buat begitu. Aku tahu Zainal pasti akan telefon bila dia bangun dan tengok aku dah tak ada kat rumah. Aku abaikan sahaja. Aku tak ada rasa nak call dia balik. Biar dia tahu aku sedang marah dan marahku masih membara lagi.

Marahku takkan padam setelah apa yang aku dengar dari mulut dia malam tadi. Aku tengok ada beberapa pesanan WhatsApp dari Zainal. Aku tak bukak. Nanti dia tahu aku dah baca pesanan tu. Dan aku memang tak ada hati dan keinginan nak baca. Aku biarkan sahaja dan letakkan telefon di tepi meja. Biar dia kepanasan bila aku bertindak dingin begini.

Aku masukkan tas tangan ke dalam laci dan aku tolak laci semula. Tubuh pusing kerusi mengadap desktop. Tangan tekan suis. Layar skrin yang gelap mula bertukar warna. Aku termangu renung skrin komputer. Hidupku yang berwarna seperti skrin ini sudah tiada lagi. Warna bahagia yang dahulu menceriakan hidup kini bertukar warna duka. Warna bahagia yang hilang selepas Zainal buat pengakuan berani mati malam tadi. Terngiang-ngiang semula di telinga kata-kata tak bersalah Zainal malam tadi.

“I mengaku yang I buat hubungan dengan perempuan lain di belakang you selama ini. I tahu yang you dah tahu perkara ini tapi you diam aje.” Zainal pandang muka aku yang tak beriak. Mungkin kawan-kawan rapat dia di pejabat yang beritahu aku dah tahu pasal affair dia. Dia lupa dunia ni sempit aje.

Takkan boleh nak sorok perkara tak elok. TUHAN tu maha kaya. Itu yang dia lupa agaknya waktu sorok-sorok berhubung sulit dengan perempuan itu di belakang aku. Mata orang di sekeliling tak buta, Zainal. Nak aje aku cakap pada dia. Jangan dia fikir aku buta biarpun aku tak lihat apa yang dah dia buat di belakang aku.

“I tahu you nak dengar kebenaran tentang perkara ini dari mulut I sendiri. Yes. I mengaku I memang ada hubungan dengan perempuan lain di belakang you. I tak mampu nak elakkan diri dari dia. I terlalu sayangkan dia. I cintakan dia. Dia cinta pertama I. Kami kenal sejak di universiti lagi. Dia perempuan yang bertakhta di jiwa I selama ini. Dan selama-lamanya.”

Hati aku sedang dicencang lumat oleh Zainal dengan pengakuan maha kejam dia. Depan aku isterinya yang sah, dia mengaku cintakan perempuan lain. Terfikirkah dia kalau dia di tempat aku sekarang, mampukah dia terima kenyataan begini jika aku lafazkan pada dia yang aku cintakan lelaki lain?

“Mak tak setuju hubungan kami dahulu. Mak pilih you jadi isteri I. Mak mahu I kahwin dengan you. I tak sanggup nak sakitkan hati mak jadi I pilih korban hati I. Korbankan cinta kami.”

Aku geleng kepala. Bibir aku kemam. Jadi aku sekarang yang kena jadi korban? Berkorban demi satukan cinta korang berdua yang terputus selama ini. Aku pejam mata sesaat. Maaf, Zainal. Aku bukan malaikat. Bukan bidadari dunia berhati mulia. Aku perempuan biasa. Yang ada hati. Hati yang kini sudah kau cencang lumat.

“I minta maaf, Zira. Tapi I tak pernah cintakan you selama ini. You pilihan mak I. Bukan pilihan hati I. I minta maaf, Zira. Tapi I tak boleh tipu hati dan perasaan I.” Dada terasa nyilu dengan kata-kata tidak bersalah Zainal.

Jiwa halusku sedang disiat-siat dengan kejam sekali. Sampai hati Zainal buat aku macam ni. Salahkah aku sebab jadi pilihan mak dia? Aku tak minta itu semua. Aku layan mak dia macam jiran-jiran yang lain juga. Sebagai orang tua, aku hormatkan mak dia.

Aku tak pernah tahu mak dia sukakan aku dalam diam dan mahu aku jadi menantu. Sumpah, jika aku tahu Zainal ada orang lain dalam hatinya ketika itu, aku takkan minta mak abah setuju terima lamaran mak Zainal lima tahun dahulu. Kau yang bersalah, Zainal. Kau lelaki dayus! Kau pengecut!

“I dan dia akan bernikah dalam masa terdekat.”

Aku rasa siling ruang tamu rumah makin rendah. Mahu menghempap kepala. Dan jantung aku dicabut kejam dari dada bila dengar Zainal cakap macam tu. Akhirnya teka-teki yang bersarang dalam kepala tentang sejauh mana hubungan Zainal dengan perempuan yang dirahsiakan dari pengetahuan aku selama ini sudah terlerai. Sudah jelas lagi bersuluh. Dia sudah buat keputusan rupanya tentang hubungan rahsia mereka selama ini.

Bernikah.

Dan aku bagaimana?

“I harap you beri I izin nikahi, Janice. I tak mahu terus buat hati you terluka bila kami berhubung secara rahsia lagi di belakang you. I tak sanggup nak membohongi you lagi, Zira. Dan I juga tak mahu kehilangan Janice lagi. Cukuplah lima tahun kami terpisah.”

Janice.

Oh. Jadi itu nama perempuan yang Zainal cinta selama ini. Aku pejam mata. Aku dah lebih dari terluka dengan perbuatan Zainal selama ini. Sangat terluka dengan segala kata-kata dari pengakuan kejamnya hari ini. Dan sekarang dia boleh minta izin macam tu aje padaku.

Izin?

Aku ketap bibir. Jangan harap aku akan setuju, Zainal. Jangan harap! Kau kena buat pilihan. Aku atau dia.

 

BEB…apasal kau lambat hari ni? Bangun lambat?” Teguran Zai buat aku berpusing. Suara kejam Zainal ikut hilang. Untuk seketika aku hanya melempar pandangan kosong pada Zai. Aku pusing kepala semula pandang skrin komputer. Aku dapat rasa Zai sedikit terkejut dengan reaksi balasku. Maaf Zai. Aku tak sengaja. Jiwa sedang benar-benar rusuh sekarang. Semuanya kacau-bilau!

“I tahu I berdosa pada you Zira tapi perasaan ini tak mampu I buang. Dia terlebih dahulu singgah dalam hati I and I love her so much.” Aku kemam bibir. Senangnya seorang Zainal bercakap. Cinta? Jadi layanan mesra dia padaku selama ini bukan cinta? Lalu apa? Nafsu? Langsung dia tak fikirkan perasaan aku isterinya. Kau ingat aku apa haa, Zainal? Kau ingat aku apa?!!!

“Zira? Kau…kau okey ke?” Zai mencangkung di tepi kerusiku. Entah bila agaknya Zai berada di situ. Aku sendiri tak sedar dek hanyut dengan kenangan tentang kejadian malam tadi. Perlahan-lahan aku pusing pandang Zai.

Aku pandang mata Zai. Telinga terngiang-ngiang lagi kata-kata kejam Zainal. Aku rasa mata aku panas, Tolonglah air mata jangan keluar sekarang. Aku tak mampu nak tahan nanti kalau aku menangis. Zai capai tanganku. Rasa nak rebah aku dibuatnya.

“Kenapa ni, Zira?” Zai macam dah boleh agak ada yang tak kena denganku.

Tengok reaksiku pun dia pasti dah boleh teka. Dia sahabat baikku. Pasti dia boleh rasakannya. Aku sapu pelupuk mata yang hangat. Kalau boleh aku tak mahu menangis depan Zai. Aku malu. Aku malu dengan cerita pincang rumah tanggaku.

“Zainal dah mengaku pasal perempuan tu, Zai.” Aku tahu Zai faham apa yang aku maksudkan. Selama ini memang dia sahaja tempat aku mengadu tentang cakap-cakap yang aku dengar tentang skandal Zainal di belakangku.

“Dia nak nikah dengan perempuan tu. Dia minta izin aku.”

Zai makin kemas pegang tanganku. Dipegang kuat. Aku rasa dada macam nak pecah lepas dengar ayatku sendiri. Aku balas genggaman tangan Zai. Ya ALLAH, beratnya ujian ini. Sampai hati Zainal kianati kesetiaan kasih sayang dan cintaku pada dia selama ini.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL TELAH KU SERAHKAN HATI INI (PENULIS: APRIL SNOW)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *