Telah Ku Serahkan Hati Ini – Bab 3

ZAI tarik tanganku masuk ke dalam surau lepas aku beritahu Zainal minta izin nak kahwin lain. Aku menurut aje langkah Zai. Masuk aje ke dalam surau, Zai tekan punat pintu dari dalam. Zai masih pegang tanganku.

“Jom.”

Kami tanggalkan kasut masing-masing. Zai tarik tanganku sampai ke tingkap. Kami berdiri saling mengadap. Zai pandang mataku yang merah dan basah. Aku kemam bibir. Malu pada Zai dengan keadaan rumah tanggaku yang tak macam dia. Betapa beruntungnya dia dapat suami macam Abang Jazli yang sangat baik dan sayang sangat pada Zai. Tangan sapu mata yang basah. Lama kami berdiam dan saling memandang. Zai tarik tanganku. Dia genggam.

“Kau macam mana?”

Kepala menggeleng. Sesak dada dengan pertanyaan Zai.

“Aku tak tahu. Tak boleh nak fikir sekarang. Buntu. Sedih. Kecewa. Semuanya.”

“Bila Zainal cakap dengan kau dia nak nikah lain dengan perempuan tu?” Bibir diam sejenak. Tak terus jawab pertanyaan Zai. Cuba menenangkan hati. Perkataan nikah lain tu dah jadi racun paling bisa untuk didengar. Dan aku yakin untuk mana-mana perempuan pun akan punya rasa yang sama macam ni.

“Malam tadi.” Mataku kalih pandang cermin jendela. Tak mampu nak pandang Zai. Sedih sangat dengan perbuatan Zainal. Aku pandang langit pagi yang putih bersalut kebiru-biruan. Langit pagi nampak cerah. Tapi langit hidup akan bakal gelap. Aku tahu dan yakin itu pasti akan berlaku. Semuanya sebab Zainal. Keputusan Zainal.

“Huh! Kurang ajar punya jantan.” Giliran Zai lepaskan nafas. Nafas geram bercampur maki. Tengok riak muka dia pun dah tahu Zai tengah marah. Dari berdiri tubuh menggelungsur duduk bersandar kan dinding surau. Dua kaki aku tegakkan dan paut rapat ke dada. Dada masih sesak dengan kata-kata kejam Zainal malam tadi. Zai ikut menggelungsur tapi dia pilih bersila di depanku. Buat seketika kami diam. Aku hela nafas. Mata pandang Zai.

“Zainal kata dia tak pernah cintakan aku selama ini. Aku bukan pilihan hati dia…tapi pilihan mak dia.” Aku senyum sambil geleng kepala.

“Macam mimpi aje aku dengar dia cakap macam tu kat aku, Zai. Lepas lima tahun kami kahwin, baru dia cakap yang dia tak pernah cintakan aku. Habis, selama ni yang layanan dia pada aku tu apa? Sebab nafsu?”

Aku kemam bibir. Geram. Marah. “Cuba kau rasa apa yang aku rasa, Zai. Sakit, Zai. Sakit sangat kat sini.” Tangan tumbuk dada sendiri.

“Sampai hati dia cakap macam tu. Sampai hati dia.” Menggigil bibirku. Menahan sedih yang datang.

Zai capai dan pegang tanganku. “Sabar, Zira. Sabar.” Kepala dongak pandang siling. Sakitnya dada dengar kata-kata sendiri.

“Tak sangka dia tipu aku hidup-hidup selama ini. Tipu perasaan aku. Aku tak pernah tipu dia tapi dia…” Aku gigit bibir. Kuat-kuat. Tahan diri dari menangis walhal hati dah meraung. Zai makin kuat pegang tangan aku.

“Aku tak minta jadi isteri pilihan mak dia. Sekuman pun tidak. Aku ikhlas terima dia dalam hidup aku. Tapi dia tergamak gadai perasaan aku selama lima tahun semata-mata nak jaga hati mak dia. Apa salah aku pada dia, Zai? Apa salah aku? Aku tak salah apa-apa, Zai. Lima tahun aku jadi isteri dia, tak pernah sekalipun aku abaikan dia, Zai. Aku setia, Zai. Aku patuh. Aku ikut semua kehendak dia. Kau tahu kan Zai aku isteri yang baik.” Zai angguk. Aku raup muka dan lepaskan keluhan kecil. Zai elus bahu aku. Mahu menenangkan.

“Selama ini, bila aku dengar cerita pasal dia ada hubungan dengan perempuan lain, aku cuba tak mahu percaya walaupun jauh di sudut hati, TUHAN aje yang tahu perasaan aku. Kau pun tau kan pasal cerita ni.” Zai diam. Makin kuat aku rasa elusan tangan Zai di bahu.

“Aku diam aje. Aku tak tanya dia. Aku tak mahu tanya. Aku tunggu dia buka mulut. Dan masa dia buka mulut aku harap sangat dia minta maaf dengan aku sebab buat macam tu di belakang aku dan akan lupakan perempuan tu. Tapi aku silap, Zai. Aku silap. Dia dah tak boleh dipisahkan lagi dengan perempuan tu. Dia boleh tanpa rasa bersalah minta aku izinkan dia nikah dengan perempuan tu.” Seketika suasana hening. Kami sama-sama diam. Aku sembamkan wajah ke lutut.

“Kau cakap apa kat dia lepas dia kata nak nikah lain dengan perempuan tu?” Aku angkat kepala dan pandang Zai. Aku nampak muka Zainal malam tadi. Muka tak bersalah Zainal.

“I dah buat keputusan untuk nikahi dia. Tapi I akan tetap jadi suami you. Kita akan tetap Bersama, macam sekarang.”

“Jangan jadi manusia yang pentingkan diri sendiri, Zainal. You pilih antara I atau dia.”

“Zira, please.” Aku tolak tangan Zainal yang cuba capai tangan aku.

“You pilih I. Lupakan dia dan kita mulakan hidup baru. I akan anggap you tak cakap apa-apa pasal dia.”

“Zira…”

“You pilih dia…ceraikan I.”

“Dia cakap apa?”

Aku tundukkan semula kepala pada kaki yang aku paut. Dada makin berat dengar pertanyaan Zai. Suara Zainal malam tadi sedang bergema di telinga. Aku akan ingat sampai mati wajah kejam Zainal. Kau memang setan, Zainal!

“Dia tetap pilih nak nikah dengan perempuan tu. Tapi dia tak mahu dan takkan ceraikan aku. Dia tamak, Zai. Dia tamak. Aku benci dia. Aku benci dia!!!” Tangisanku pecah. Zai peluk aku erat. Aku balas pelukan Zai.

“Aku sedih sangat, Zai. Sampai hati Zainal. Dosa apa aku pada dia sampai dia hukum aku macam ni? Kenapa dia nak siksa perasaan aku? Dia kejam, Zai. Dia kejam.” Esakku makin bertali.

“Sabar, Zira. Sabar ye. ” Zai gosok belakang badanku.

“Apa aku nak buat, Zai? Aku tak mahu hidup dengan dia lagi. Aku tak mahu.”

“Kita fikirkan sama-sama ye. Sabar banyak-banyak, Zira. Ingat TUHAN. Istighfar.” Zai terus gosok belakang badan aku. Makin erat aku peluk Zai bersama hujan tangisan yang masih mengalir ke pipi.

 

AKU keluar dari perut lif bersama staf-staf Enigma Services yang lain. Mata tengok jam pada pergelangan kiri. Dah pukul 6.30 petang. Aku kena balik naik pengangkutan awam sama macam masa datang tadi.

Walaupun Zai nak tumpangkan aku balik dan dia dah beritahu Abang Jazli tapi aku tolak dengan baik. Biar aku berdikari. Tak boleh manja lagi sekarang. Semua kena urus sendiri. Itu yang aku beritahu pada Zai. Silapku yang bergantung pada Zainal selama ini untuk urusan hidup harus diperbetulkan.

Aku rasa sedikit lega lepas luahkan semuanya pada Zai pagi tadi. Dan lepas kami keluar dari surau, aku cuba lupakan semua yang berlaku semalam. Aku kena tumpukan pada kerja. Ini tempatku cari rezeki. Tak mahu sebab Zainal, diri hilang tumpuan pada kerja. Aku buat macam biasa walaupun sedih yang dirasa masih menggunung.

Masa makan tengah hari dengan Zai, banyak yang kami bualkan dan Zai banyak berikan pendapat tentang apa yang perlu dibuat kalau aku nekad mahu bercerai dengan Zainal. Zai juga cakap akan bawa aku jumpa seorang peguam syarie yang boleh tolong uruskan perceraian dengan Zainal. Kata Zai, peguam itu yang uruskan perceraian kawan lama dia dulu. Aku tak anggap Zai mahu menghasut aku bercerai. Zai mahukan yang terbaik dan aku juga mahu yang terbaik. Buat hidup dan masa depan aku.

Lepas dari pemeriksaan mesin pengimbas keselamatan, aku berjalan laju ke arah lobi. Perlu cepat ke perhentian bas. Nanti kalau terlepas bas, kena tunggu bas yang lain. Dah buang masa. Nanti lewat sampai ke rumah, Keluar aje dari payung lobi, mata nampak BMW hitam Zainal sudah terparkir di hadapan. Dia sudah siap berdiri di pintu penumpang hadapan dengan dua tangan bersilang di dada. Kaki berhenti seketika di tangga lobi. Aku pandang dia. Dia pandang aku.

Sejenak otak ligat berputar. Berfikir apa yang aku nak buat sekarang. Aku hela nafas. Takkan nak pecut lari pulak. Memang rupa macam perempuan bodohlah kalau buat macam tu. Buat apa nak lari. Bukan aku ada buat salah kat dia.

Dia yang bersalah padaku. Aku menapak tenang ke arah Zainal. Dia masih pandangku. Dia lempar senyum. Aku tak balas. Boleh pergi jahanam dengan senyum penipu dia tu. Aku buat muka tak ada perasaan. Memang dah tak ada perasaan lagi pada Zainal. Perasaan tu dah mati. Zainal yang bunuh perasaanku padanya.

“Jom.” Dia tarik pintu kereta. Aku pandang dia. Dia masih senyum.

Kau takkan boleh beli lagi jiwaku dengan gula senyum kau tu, Zainal. Aku masuk ke dalam perut kereta. Zainal tutupkan pintu. Tak pernah dibuat-buat dia tutupkan pintu untukku. Dai fikir dia boleh pujukku dengan lakonan sikap prihatin bidan terjun dia. Jangan harap! Aku buat macam biasa. Tarik tali pinggang keledar dan pasangkan. Zainal masuk dan tutup pintu kereta.

“Kita pergi dinner dulu, okey. Kita pergi tempat favourite you. Dah lama kita tak pergi makan kat situ.” Zainal pusing pandang aku. Aku diam. Langsung tak balas. Sakit hati pada dia masih berapi. Apasal tetiba nak bawaku pergi makan tempat kesukaan aku pulak. Selama berbulan-bulan ni tak pernah pun fikirkan nak bawaku ke sana ke mari. Sebab nak beli hatiku semula? Boleh jalan! Jangan dia fikir dia boleh gula-gulakan aku macam budak-budak. Aku bukan perempuan dungu.

“Zira…”

“I tak lapar.” Aku jawab senafas. Suara yang tiada rencah perisa. Kornea terus pandang cermin depan. Langsung tak kalih tengok Zainal. Tak hingin nak pandang muka dia.

I am sorry.”

Aku terus batukan diri. Maaf dia dah tak ada makna lagi. Hati dan perasaan ini dah hancur lumat. Aku dengar keluhan nafas Zainal. Enjin kereta dihidupkan. Dari ekor mata aku nampak Zainal tarik tali pinggang keledar. Aku masih terus bisu. Kereta yang dipandu Zainal terus keluar dari kawasan lobi Menara Enigma menuju ke pusat bandar. Seketika hanya nafas pendingin hawa yang menguasai perut kereta. Aku terus matikan diri. Memang tak ingin nak cakap apa-apa dengan Zainal.

“I tahu perbuatan I pada you selama ini memang salah. I minta maaf. You berhak untuk marah, Zira. Tapi tolonglah jangan berdiam diri macam ni.” Nak cakap apa lagi, Zainal. Dah tak ada apa lagi. Lagipun aku tak ingin nak bergaduh waktu dia sedang memandu. Lain bala pulak nanti yang datang. Cukuplah bala yang dia dah timpakan pada aku malam tadi. Bala yang tak pernah disangka.

“I macam orang gila hari ni. You hilang dari rumah macam tu aje pagi ni. Call dan message I satu pun you tak jawab. I risaukan you, Zira. I sampai kena call Jimmy tanya you ada kat office ke tidak.”

Patutlah Jimmy pandang semacam aje dan tanya aku okey ke tadi masa masuk bilik dia hantar inbois yang dia suruh buat. Aku tahu Jimmy kawan baik Zainal masa kat universiti. Zainal yang beritahu dulu. Zainal call dia tanya pasal aku rupanya. Nak risaukan aku buat apa lagi. Aku bukan siapa-siapa pun dalam hati dia selama ini. Aku aje yang terhegeh-hegeh. Syok sendiri. Aku ni kan perempuan perasan. Perasan orang suka kat dia. Perasan orang sayang dan cintakan dia. Bodohnya kau selama ni, Zira. Bodoh!!!

“Zira…” Zainal capai tanganku. Laju aku tarik. Aku masih diam dan pandang ke arah jalan raya. Kereta di lebuhraya makin sesak dengan barisan kereta yang bersimpang siur datang dari pelbagai arah. Perasaan ikut sesak dengan kata-kata Zainal.

Please say something.”

“Nak cakap apa-apa, kita sampai rumah dulu.”

“Okey.” Dan kami terus senyap. Zainal terus memandu hingga sampai ke rumah. Aku tanggalkan tali pinggang keledar sebaik sahaja kereta memasuki garaj dan enjin kereta dimatikan Zainal.

“I minta maaf, Zira. I tahu you marah. Marahlah. I sedia terima apa juga marah you kalau itu dapat legakan perasaan you.” Aku geleng kepala. Mudahnya lelaki bercakap. Ingat perasaan marah dan sakit hati ni macam buih sabun. Lepas kena cuci akan terus hilang sekelip mata. Aku tarik nafas. Aku dah nekad dengan apa yang aku cakap pada Zai tengah hari tadi.

“I nak you lepaskan I.” Aku lepas suara senafas. ALLAH. Sakitnya.

“Zira.” Zainal pusing pandang aku. Tangan aku dicapai. Aku tolak dan lontar pandang kosong pada dinding garaj. Hati sedang meraung. Menangis hiba. ALLAH. Sabarlah hati. Sabarlah jiwa.

“You nikahlah dengan bekas kekasih you tu. I takkan halang dan I tak berhak halang tapi I minta satu aje dari you. Ceraikan I.” Aku genggam tangan kuat-kuat. ALLAH, tolong kuatkan hati aku. Tolong ya ALLAH.

“Zira, I tak boleh ceraikan you. Please, Zira. I tahu salah I besar pada you. Tolong maafkan I.” Aku geleng kepala. Sakit hati bercampur sedih dengan jawapan Zainal. Dasar pentingkan diri sendiri! You memang tak guna, Zainal! Tak mungkin ada maaf untuk you, Zainal. Tak mungkin! Aku pusing pandang Zainal.

“Lima tahun, Zainal. Lima tahun you permainkan perasaan I. Kasih sayang I. Cinta I. Cukuplah. Cukuplah you tipu I selama ini. Letakkan diri you pada keadaan I sekarang. Cuba you rasa apa yang I rasa sekarang ni. Sakit sangat. Sakit. Tolonglah, Zainal. Tolong jangan jadi lelaki yang pentingkan diri sendiri. You dah dapat apa yang you nak…yang you idam selama ini. Apa lagi yang you nak dari I?” Aku telan liur pilu. Kuatkan aku ya ALLAH.

“Bila you kata you tak pernah cintakan I selama ini, segala perasaan I pada you selama ni ikut mati. Dah tak ada apa lagi yang tinggal. Takkan ada lagi Zainal Rauf dalam hati Fazira Huda. You tak pernah fikir perasaan I bila you cakap tak pernah cintakan I selama ni. I bukan pilihan hati you, Zainal. Hati I ni bagai dicincang lumat.” Aku telan liur yang tersangkut di rengkung. Dia masih bisu. Terus merenung dengan wajah rusuh.

“Semalaman I berfikir, Zainal. Berfikir tentang perkahwinan kita ini. I tak mampu nak teruskan. I tak mahu hidup pura-pura bahagia tapi seluruh jiwa dan raga tersiksa. I ni manusia, Zainal. I bukan malaikat. You pun bukan malaikat.” Dia cuba capai tanganku. Aku tolak.

“Ini yang terbaik. Buat you. Buat I. Jadi…tolong lepaskan I. Tolong jangan siksa lagi perasaan I, Zainal. Pergilah pada hati yang you cinta selama ini. Lepaskan hati I.”

Usai cakap segala yang aku nak luahkan padanya, aku tolak pintu kereta. Tas tangan aku capai. Zainal masih bisu di dalam kereta. Tubuh melolos keluar dari perut kereta. Dada terasa ngilu dengan kata-kata sendiri. Kolam mata panas. Aku biarkan titis-titis hangat itu gugur ke pipi. Menangislah, Zira. Menangislah. Kaki terus melangkah ke pintu utama. Aku tekan tapak tangan ke dada yang sesak.

Lepaskan hati I, Zainal. Lepaskan.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL TELAH KU SERAHKAN HATI INI (PENULIS: APRIL SNOW)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *