AKU berlari laju menaiki anak tangga ke tingkat atas. Air mata yang membasahi pipi aku sapu dengan tapak tangan. Sedayaku tahan esak dari berderai. Kaki yang panjang melangkah setiap dua anak tangga. Aku mahu segera ke bilik. Sebaik sampai di depan bilik, tangan putar tombol pintu dan melolos masuk.
Punat pintu aku tekan dari dalam. Tubuh disandarkan ke dinding pintu. Seketika hanya jeda yang berkuasa. Kepala mengulangi semula apa yang dilontarkan sebentar tadi pada Zainal. Terlayar setiap baris kata-kata itu di mata. Dan kata-kata akhir tadi bagaikan memancar-mancar di pandangan. Kata-kata itu bagaikan bersuara. Menjerit.
Lepaskan hati I, Zainal. Lepaskan.
Lepaskan!!!
Aku kemam bibir. Kenapa aku rasa sedih sangat saat ini? Bukankah ini keputusan yang dah kau ambil, Zira? Hati rasa teramat sedih bila kata-kata itu kembali menjerit di telinga. Dada rasa nak pecah. Ya ALLAH, sakitnya ujian-Mu ini. Tapak tanganku tekan kuat ke dada. Kenapa mesti jadi begini? Kenapa mesti aku yang lalui semua ini? Kenapa aku?!
Zira…sabar. Sabarlah.
Suara jiwa sedang memujuk. Jari-jemari tekup mulut. Air mata makin lebat. Biarlah. Menangislah, Zira. Menangislah sepuasnya. Lepaskan semua. Jangan simpan. Suara jiwa terus memujuk. Tubuh yang tegak kini menggelungsur ke lantai. Dua kaki ditarik rapat ke dada. Aku paut kuat dan sembamkan muka ke kepala lutut. Esak terus menghumban suara nyaring. Hati meraung hiba. Beratnya dugaan-Mu ini ya ALLAH. Berat sangat.
“Tok! Tok! Zira…buka pintu ni, please.”
Ketukan di pintu memanggil nama buat diri tersedar dari alunan perasaan sedih. Aku angkat kepala. Tahu itu Zainal. Aku matikan diri. Tak ingin mahu membalas seruannya. Jauh sekali membuka pintu. Tangan sapu wajah yang basah seraya menarik nafas. Fikiran kembali terawangan. Aku sangkut wajah ke lutut yang aku paut. Akal bawa diri berfikir tentang apa yang akan jadi dengan hidup lepas ini. Bercerai bermakna diri ini akan kembali ke garis permulaan hidup. Bermula dengan kosong. Benar-benar bersediakah aku untuk itu? Juga bersediakah untuk berhadapan dengan mak dan abah? Keluarga Zainal? Masyarakat sekeliling?
Bisu.
Disebalik dinding pintu cuping boleh dengar Zainal hempas nafas. Pasti dia tahu perasaan aku sekarang. Dia ketuk pintu lagi. Merayu aku buka pintu. Tapi aku tak pedulikan rayuannya. Walau apapun rayuannya, aku tetap nak bercerai. Aku dah nekad.
Dan dia seperti katanya malam kelmarin tidak akan sesekali menceraikanku. Itu muktamad. Bukan aku tak tahu tujuan dia enggan mengikut permintaanku. Melepaskanku bermakna akan mengundang malapetaka dalam hidupnya. Dia tentu berfikir yang dia belum gila mahu terjun ke dalam gaung malapetaka. Zainal tidak mahu terjerumus dalam lubang bala yang diciptanya sendiri. Bala yang akan meranapkan hubungan dengan ibunya.
“Zira, please let me in.. Open the door. We need to talk.”
Aku pusing dan pandang pintu yang kaku. Macam boleh nampak Zainal yang sedang berdiri. Aku pandang muka dia. Aku pandang mata dia. Cakap apa lagi, Zainal? Dah tak ada apa-apa lagi yang perlu kita cakapkan. Aku geleng kepala. Dah tak ada, Zainal.
“Zira, please. Dengar apa yang I nak cakap dulu. Jangan macam ni.”
Aku biarkan Zainal dengan segala kata-kata rayuan palsunya. Biarkan. Biarkan dia lelah sendiri. Nanti penat dia akan berhenti dan tinggalkan aku. Tahu sangat perangai Zainal. Dia bukan jenis pemujuk.
Mata pandang sekeliling bilik. Buat pertama kali, aku rasa diri macam orang asing di rumah sendiri. Rumah yang sudahku diami selama lima tahun. Rumah yang dianggap syurga dunia sejak bergelar isteri pada lelaki yang aku serahkan seluruh jiwa dan raga. Cinta dan kasih sayang hanya buat dia. Lelaki yang aku mahu hidup bersama sampai nafas terakhir. Itu impian hidup yang aku sematkan dalam hati sejak jadi isteri Zainal. Harapan hanya mahu hidup dengan Zainal sampai mati. Mahu jadi isterinya sampai mati. Tapi segala impian dan harapan itu semua dah tak ada. Syurga itu sudah ranap. Musnah kerana kecurangan Zainal.
“Zira…please. I boleh buka pintu bilik ni kalau I mahu.”
Aku humban semula mata ke pintu. Macam boleh nampak dia berdiri dan menujah anak kunci ke lubang pintu. Bukalah. Ini kan rumah you, Zainal. Perlahan-lahan aku bangkit dari duduk. Aku terus biarkan Zainal menunggu di luar bilik.
Kaki menapak ke meja hias. Tas tangan yang tersangkut di bahu kini mendarat di lantai meja. Tapak tangan raup wajah yang masih berbekas air mata. Aku pandang muka sendiri di cermin dalam bilik tetamu. Muka yang berbalut jaring sedih. Muka yang bersalut benang pilu. Tanpa mampu ditahan, air mata mengalir lagi. Dan bilik tetamu ini jadi saksi bisu segala kepiluan jiwa saat ini.
Ye. Bilik tetamu.
Sejak semalam aku tak tidur dalam bilik kami. Sejak Zainal buat pengakuan berani mati yang menghancurkan seluruh jiwa dan raga ini. Meranapkan seluruh kepercayaan yang selama ini diserahkan padanya.
Aku yang selama ini berharap segala yang terjadi…segala yang terdengar hanya khilaf yang tak disengajakan. Rupanya aku sahaja yang berharap. Sedangkan Zainal bersungguh dengan hasratnya. Aku rasa jijik dengan Zainal. Rasa diri lebih hina dari pelacur jalanan. Sekurang-kurangnya pelacur itu dibayar untuk tidur bersama dengan lelaki yang mahukan khidmat layanan seksualnya.
Tapi aku?
Percuma.
Zainal tak perlu bayar apa-apa untuk dapatkan layananku. Bila-bila sahaja dia mahukan aku…mahukan layanan intim, aku tunaikan hasrat dia tanpa apa-apa bayaran. Aku yang bodoh ini begitu bahagia sekali melakukannya. Tanpaku tahu dia tak pernah sukakan aku. Tak pernah cintakanku selama ini. Mungkin dia membayangkan kekasih lamanya itu waktu bersama denganku selama ini. Membayangkan setiap inci tubuhku ini yang dia jamah dan ulit adalah tubuh perempuan itu. Tubuh kekasih hatinya. Aku pejam mata. Bibir aku gigit kuat. Kejinya you, Zainal. Keji!
Telinga cekap menghantar isyarat pintu bilik sedang dibuka. Sorongan bunyi kunci ke lubang pintu jelas di telinga. Pasti Zainal sudah bersedia mencari kunci bilik ini yang tersimpan di bilik utama selepas masuk ke rumah tadi. Mungkin dia tidak mahu kejadian malam tadi berulang bila aku enggan membuka pintu bilik biarpun dipinta berulangkali.
Aku sapu air mata yang mengalir. Jangan nak menangis lagi, Zira. Berhenti! Aku pusing tubuh. Kaki melangkah perlahan ke katil. Satu-persatu derap ditelan bersama sebak di jiwa. Tubuh aku hempaskan ke katil. Mata pandang ke arah pintu bilik yang sudah ternganga. Zainal yang tegak di muka pintu singgah di mata.
Seketika aku dan Zainal hanya saling melempar renung. Kaki Zainal mula melangkah. Setapak. Demi setapak mendekati katil. Mendekatiku. Dan aku terus memandang bisu. Zainal labuh duduk di sebelah. Aku batukan diri. Mematung diri. Dalam hati aku bisikkan kata semangat agar tidak tunduk pada apa juga kata-kata Zainal. Aku tetap dengan keputusan mahu dia lepaskan aku!
“Zira.”
Suara perlahan lelaki ini terdesir di telinga. Jika dahulu, aku akan kalah setiap kali mendengar lembut suaranya ini kala teralun di telinga. Tapi tidak hari ini. Aku takkan tertipu lagi dengan lakonan kotornya. Zainal capai tangan aku. Cuba digenggam. Perlahan-lahan aku tolak pautan jari-jemari kasar lelaki ini. Kenapa nak pegang-pegang tangan aku lagi? Kan kata tak pernah suka aku. Tak pernah cintakan aku selama ini.
Aku dengar Zainal hela nafas. Marah mungkin dengan penolakan aku. Ahh. Persetan dengan marah dia. Sakit hati aku ni nak campak mana? Dalam kolong hitam? Atau dalam lubang tandas. Macam tu? Tangannya yang tadi gagal memegang tangan aku kini mencuba nasib di bahu. Cuba dipaut. Aku tolak tangan Zainal dan pantas menjarakkan diri. Aku paling muka ke arahnya. Menentang berani. Hormat aku pada lelaki bernama Zainal Rauf ini sudah tiada.
“Stop it, Zainal. You ingat I apa? I ada perasaan. I bukan batu. Bukan patung.” Suara aku tekan keras. Sakit hati dengan lelaki ini yang langsung tidak ada sekelumit rasa sesal atas apa yang dah dia lakukan pada aku. Hanya pentingkan kepuasan diri sendiri.
Zainal bangkit dan beralih duduk melutut di hadapanku. Aku buat tak tahu. “Zira…tolong jangan buat I macam ni. I minta maaf.” Aku humban renung tepat ke muka lelaki yang sudahku padamkan namanya dari hati. Aku lempar senyum sinis.
“I dah buat apa pada you, Zainal?”
“I tahu you marah I. I tahu you marah dengar pengakuan I malam tadi. I am so sorry, Zira. Please forgive me.”
Aku ketawa. Senangnya kau bercakap!
“Perempuan gila sahaja yang takkan marah dengan perbuatan jijik you ni Zainal. I ni siapa pada you Zainal? Perempuan simpanan?” Dia terkelip-kelip. Terkejut dengan sinis kata-kataku.
“Tergamak you buat I macam ni. You buat I rasa terhina sangat. Lebih hina dari perempuan tepi jalan. Lebih jijik dari pelacur.” Aku lepaskan apa yang terbuku. Nafas turun naik. Menahan sebak bercampur marah yang menampar dinding jiwa.
Zainal paut riba aku.
“Zira…maafkan I. I tahu I berdosa. I bersalah pada you.”
Aku kemam bibir. Rasa berdosa dan bersalah you dah tak berguna lagi, Zainal. Kepala aku kalih memandang balkoni dari pintu gelangsar yang terbuka. Melarikan diri dari memandang Zainal. Aku tak mahu menangis di depan lelaki ini. Aku tak mahu nampak lemah di matanya. Zainal bangkit semula dan duduk di depan aku. Aku sedar Zainal sedang merenung. Aku biarkan. Aku tak ingin mahu membalas renungan palsunya. Cukup lima tahun aku tertipu.
“Cakap dengan I Zira apa yang I harus buat untuk you maafkan I. Please Zira. Kita tak boleh terus macam ni. I tahu I salah sebab lukakan hati you. Tapi tolonglah maafkan I.” Maaf sahaja yang lelaki ini mahu.
Maaf. Maaf. Maaf.
Maaf yang dia fikir terlalu murah harganya. Senang diucap. Senang diterima. Senang dilupakan. Tapi maaf, Zainal. Kemaafanku bukan semudah itu. Aku cari mata Zainal. Aku pandang lama. Pilu mencarik-carik jiwa. Mata ini, renung dan tatapnya seringku dambakan siang dan malam. Buat aku bahagia kala direnung. Tapi itu dulu. Dulu. Aku bangkit perlahan-lahan dan berdiri membelakangkan Zainal. Aku hela nafas dalam-dalam. Aku seru gunung semangat. Dua tangan aku genggam. Kuat, Zira. Kuat!
“Ya. Kita memang tak boleh terus macam ni. Demi hidup kita berdua….sekali lagi I minta pada you Zainal.”
“Zira, please.” Aku tahu Zainal sedang berdiri di belakang aku. Aku geleng kepala. Kuat, Zira. Kuat.
“Ceraikan I, Zainal.” Senafas aku tuturkan. Aku pejam mata. Mata yang terasa hangat. Sungguh aku menangis sekarang. Menangis dalam bisu. Tapak tangan laju menerpa ke pinggir mata. Aku tarik nafas laju. Mengelak esak dari berderai.
Maafkan aku, TUHAN. Maafkan aku kerana buat Arasy-Mu bergegar. Ampunkan aku, TUHAN. Ampunkan aku kerana meminta perkara yang paling KAU murka. Aku tak boleh terima lelaki ini lagi. Aku tak mampu, TUHAN. Dia telah mengkhianati lafaz sumpah dan janjinya padaku bersaksikan-Mu. Aku tak mampu lagi meneruskan ikatan suci ini.
“Zira…please. I’m begging you.” Dan tubuh aku didakap kemas dan kuat dari belakang.
Dua tangan sasanya memaut tubuhku erat. Cupingku dengar esakan halusnya. Aku terus pejam mata. Aku rasa mahu meraung.
Sedih…tolong pergi. Tolong jangan buat aku menangis.
Hati…tolong hulur kekuatan buat aku. Aku tak kuat kalau kau tak hulur tali waja pada aku.
Jiwa…tiupkan semangat ke tubuhku yang lemah ini. Jangan kau biarku tersungkur dengan ujian yang maha berat ini.
“Lepaskan I, Zainal. Lepaskan I dari ikatan ini. I dah tak boleh teruskan lagi. Jangan paksa I hidup pura-pura. Antara kita, cukup sampai di sini. I memang tak pernah ada dalam hati you selama ini. Tak pernah walau sedetik pun kan.” Aku kemam bibir. Begitu terluka dengan kata-kata yang aku tuturkan sendiri.
“Walau you tak pernah letak I dalam hati you, terima kasih sebab benarkan I simpan hati you dalam hati I selama lima tahun ini. Tapi mulai hari ini nama you dah terpadam dari hati I. Sudah tiada lagi Zainal Rauf dalam hati Fazira Huda…sampai bila-bila. Pergilah pada hati yang you pilih selama ini. Hati yang you letakkan di tempat teratas dalam hati you. Pergilah, Zainal. Dia pilihan hati you. Bukan I.”
Tubuh aku terus erat dalam pelukan Zainal. Dan lelaki ini masih terus dengan esakkan halusnya. Aku biarkan sahaja. Aku takkan berganjak dari keputusan ini. Aku takkan terjerumus dalam pujukan dan rayuan Zainal. Juga tangisan palsunya.
“Pergilah. Pergi pada kebahagiaan yang you tunggu selama ini, Zainal. Pergi dan lepaskan I.”
“Zira…please.” Pautannya makin kuat. Aku terus batukan diri. Kepalaku menggeleng perlahan.
“You dan serahkan hati you pada dia. Pergilah. Hati dia sedang menanti you. Lepaskan hati I.”
Tangisan Zainal makin lebat. Dan aku terus mematung.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL TELAH KU SERAHKAN HATI INI (PENULIS: APRIL SNOW)