Telah Ku Serahkan Hati Ini – Bab 5

“HABIS…Zainal cakap apa bila kau tetap jugak suruh dia ceraikan kau?”

Aku diam sejenak. Tak jawab terus pertanyaan Zai. Gelas air panas mati aku capai. Aku hirup tenang. Zai aku lihat hanya memandang sambil sambung suap nasi kukus ayam dara yang kami beli di medan selera tadi. Kepala laju memutarkan kata-kata Zainal padaku malam tadi. Pujukan yang terus menerus dia lakukan tanpa lelah.

“I tak nak kita bercerai, Zira. Please. Jangan suruh I ceraikan you. I takkan lakukannya.” Aku tahu dia akan kata begini. Dan aku juga tahu sebabnya. Bibirku terus bisu. Aku biarkan dia terus bercakap.

“I minta maaf kalau pengakuan jujur I buat you kecewa. I minta maaf kalau hubungan I dan Janice yang berlaku di belakang you selama ini buat hati you terluka. I tak nak you terus terluka dan kecewa kalau you tahu perkara ini nanti dari mulut orang lain. Sebab itu I berterus-terang pada you. Walaupun I tak pernah cintakan you selama ini, I akan tetap bertanggungjawab pada you lepas I kahwin dengan Janice. I akan berlaku adil sebagai suami pada you. Trust me, Zira. I akan tetap jadi suami yang baik pada you.”

Terluka?

Kau dah buat aku lebih dari terluka dengan perbuatan senyap dan sulit kau selama ini, Zainal. Kau cincang lumat seluruh percaya yang aku berikan pada kau selama ini. Dan pengakuan kau tentang perasaan padaku selama ini terlalu menghiris. Letakkan diri kau di tempatku Zainal. Tak terlukakah kau kalau aku lafazkan kata-kata yang sama?

Suami yang baik?

Aku geleng kepala. Baikkah kau sebagai suami hingga tega menipu isteri kau sampai begini? Buat hubungan di belakang isteri kau sendiri? Baikkah kau sebagai suami? Tanya diri kau sendiri, Zainal. Tanya!

Adil?

Kau takkan boleh berlaku adil, Zainal. Sekarang pun kau dah tak jujur. Apatah lagi bila perempuan itu nanti sudah sah kedudukannya dalam hidup kau. Aku ini pasti kau abaikan. Kau ketepikan hakku.

Maaf, Zainal.

Aku takkan benarkan kau musnahkan hidup aku, Zainal. Aku takkan benarkan kau rosakkan seluruh perasaan dan jiwa aku. Cukuplah apa yang dah kau buat selama ini di belakang aku. Kau yang hanya enggan melepaskanku kerana pentingkan diri sendiri. Kau yang takut dengan apa yang bakal terjadi nanti kalau perkara ini sampai pada pengetahuan ibumu. Jangan ingat aku tak tahu Zainal.

“Dia cakap macam tu?” Zai buntangkan mata. Siap dengan dengusan kasar. Aku sambung suap nasi dalam bekas polistirena yang masih separuh berbaki.

“Hurmmm.” Hanya anggukkan kepala yang beri isyarat jawapan pada pertanyaan Zai.

“Kurang ajar betul! Setan punya jantan! Celaka! Pentingkan nafsu dia aje. Tak guna!” Aku angkat sedikit mata pandang muka sakit hati Zai. Macam Zai, aku juga sakit hati dengan jawapan tak ada perasaan Zainal. Ingat aku apa?! Perempuan tolol? Perempuan bodoh bendul?!

“Habis…kau jawab apa pada jantan tak guna tu?” Aku boleh dengar Zai ketap gigi. Penzahiran rasa marah.

“Eei…geramnya aku pada Zainal ni. Kalau ada depan mata aku sekarang, mahu aku luku kepala dia macam ni.” Zai ketuk-ketuk sudu pada bekas polistrin. Bertalu-talu. Aku berhenti suap nasi. Perlahan-lahanku sandarkan tubuh pada dada kerusi. Seketika aku hanya pandang muka geram Zai. Hela nafasku lepaskan.

“Aku tak peduli. Keputusan aku muktamad, Zai. Aku tetap kata nak dia ceraikan aku. Buat apa hidup lagi dengan suami yang memang tak pernah cintakan aku.”

“Bagus.” Zai hala isyarat ibu jari tangan yang diangkat tegak.

“Jantan macam tu memang kena diajar. Baru dia tahu kau bukan perempuan yang dia boleh pijak sesuka hati.” Aku tak balas kata-kata Zai. Kepala melayang pada peristiwa malam tadi.

“Kalau you tetap tak nak ceraikan I dengan cara baik, I akan dapatkan peguam untuk kemukakan permohonan cerai. Kita jumpa nanti di mahkamah.”

“Zira…please.” Aku lepaskan pautan tangan Zainal di tubuh. Kaki aku bawa ke katil. Aku duduk perlahan-lahan. Zainal yang masih tegak dan berpusing memandang, aku tatap tanpa rasa. Tiada lagi pandangan sayang dan cinta yang dahulu bermukim di hati. Semuanya sudah hilang. Semuanya sudah berkubur tanpa nesan.

“You dah ada dia. You dah pilih dia. Perempuan yang paling you cinta dan sayang selama ini. Kenapa masih nak simpan I? Sebab you tamak? Sebab you takut pada mak kan?”

Aku nampak reaksi terkejut di wajahnya. Mungkin dia tak sangka aku akan cakap macam tu. Jangan ingat aku bodoh, Zainal.

“Cukuplah, Zainal. Cukuplah mainkan perasaan I. Lima tahun you tipu I. Lima tahun you bodohkan I. Buat I gila bayang sendiri. Buat I rasa bahagia yang rupanya palsu. I dah penat, Zainal. Penat. I cuma minta satu. Tak banyak pun permintaan I. Ceraikan I. You boleh nikah dengan perempuan yang paling you cinta tu lepas you ceraikan I. Itu yang terbaik buat kita.”

“Bagus kau cakap macam tu, Zira. Lawan dia. Desak dia. Jangan bagi muka lagi. Aku bukanlah nak hasut kau Zira, tapi aku geram la dengan dia. Kau kena kuat dan tegas dengan keputusan kau.” Zai hala genggaman tangan pada aku. Aku balas senyum kecil sambil angguk kepala.

“Aku tahu, Zai. Kau sahabat baik aku. Terima kasih sebab selalu ada untuk aku.” Dia anggukkan kepala. Aku tahu Zai bersimpati pada aku. Dia yang banyak tadah telinga dengar luahan perasaan aku selama ini. Dia jugalah yang banyak membantu memberikan aku semangat dan kata-kata nasihat. Aku tak tahulah keadaanku kalau tiada sahabat macam Zai disisi.

“Aku takkan tunduk, Zai. Dia silap kalau fikir aku akan akur dengan kemahuannya. Cukup-cukuplah perasaan aku terdera dengan pengakuan dia. Aku dah tak larat lagi nak tanggung.” Zai tepuk lembut tanganku yang digenggam.

“Bagus. Jangan dia ingat kau perempuan lembik. Huh. Kalau aku ada semalam, mahu aje aku hadiahkan tapak kaki aku ni kat jantan tu. Biar dia sedar diri. Jangan fikir dia boleh tindas kau sesuka hati. Dasar jantan tak ada perasaan. Harapkan muka aje handsome. Hati macam bangkai.”

Aku lepas nafas. Sempat aku toleh keliling. Hanya kami berdua sahaja di kafe. Kebanyakkan staff keluar makan tengah hari di luar. Maklumlah hari ini hari gaji. Semua seronok nak menghabiskan duit yang masih panas di dalam dompet masing-masing. Cuma aku dan Zai sahaja yang tapau makan.

Aku kena berjimat dari sekarang. Kena bersedia kalau nanti lepas aku bercerai, Zainal minta aku keluar dari rumah, mana aku nak cari duit untuk menyewa rumah lain. Aku dah kena siapkan bajet untuk itu. Tubuh kembali aku rapatkan ke meja. Nasi yang sedikit berbaki aku habiskan. Aku tahu Zai sedang merenung. Aku angkat mata. Aku lempar senyum.

“Aku okey. Kau janganlah bimbang.” Aku suap lagi nasi yang berbaki nyawa-nyawa ikan. Aku habiskan hingga licin bekas polistrin. Kena habiskan tiap butir. Mana tahu pada butir-butir nasi yang terakhir itu letakkan barakah pada makanan yang aku beli dengan rezeki halal yang aku dapat.

“Zira…”

“Hurm.” Aku masukkan bekas polistrin yang kosong ke dalam plastik merah. Aku simpul kemas dan bangun ke arah sinki. Plastik aku masukkan dalam tong sampah di tepi sinki. Kepala paip aku putar sambil hulur tangan kat air yang mengalir dari muncung paip.

“Kau nak jumpa peguam yang aku ceritakan hari tu tak? Aku boleh uruskan kalau kau nak.” Aku pusing pandang Zai. Nafasku telan perlahan-lahan. Kertas tisu di tepi paip aku tarik dan lapkan pada tangan yang basah. Tubuhku sandarkan pada kabinet di tepi sinki. Kata-kata Zai menerjah kepala. Aku sedang mencongak. Berfikir tentang kewanganku.

“Aku kena sediakan duit dulu, Zai. Aku kena keluarkan duit simpanan aku dulu. Nak jumpa peguam ni bukan sikit pakai duit.” Aku masukkan tisu yang lembab ke dalam tong sampah. Zai yang duduk kini bangkit dan merapatiku. Bahuku dielus lembut.

“Yang penting kau jumpa dia dulu dan minta pendapat…minta nasihat pasal masalah kau ni. Jumpa peguam tu kat luar. Bukan kat pejabat dia. Nak minta pendapat ni bukan terus bayar ribu-riban, Zira. Dia memang sediakan sesi konsultan pada siapa yang nak jumpa dia. Sesi ni tak silap aku dia charge seratus ringgit aje. Tu yang kawan aku bayar dulu. Kalau naik pun maybe dalam lingkungan tu juga la. Tak banyak beza. Kawan aku dulu buat macam ni la. Jumpa. Cerita. Dia nanti akan bagi nasihat apa yang kau kena buat. Kemudian kalau kau nak gunakan khidmat guaman dia baru kau beritahu. Dia akan uruskan kes kau. Settle.

Aku pandang Zai. Sedikit terkejut dengan kata-katanya.

“Boleh buat macam tu dulu ke?” Zai angguk.

“Boleh. Kau cerita aje dulu dari A ke Z masalah kau dengan Zainal. Tengok apa kata dia dan apa yang dia suggest kau kena buat. Lepas tu nanti, baru boleh fikir soal yuran guaman kalau kau nak guna khidmat dia untuk kemukakan permohonan cerai. Nanti dia akan beritahu kau kos guaman. Kalau kau tak nak guna khidmat dia, tak apa. Dia boleh nasihat apa yang kau kena buat bila ke mahkamah nanti.”

“Sungguh ke boleh buat macam tu, Zai? Tak perlu bayar ribu-ribu dulu?” Aku masih ragu-ragu. Selama ini dalam kepala aku fikir kalau nak jumpa peguam memang kena pakai banyak duit. Zai angguk. Bahuku makin erat dipaut.

“Nanti aku telefon dia. Aku teman kau jumpa dia. Okey?” Aku angguk laju. Senyumku mekar.

“Terima kasih banyak-banyak, Zai. Kau banyak tolong aku. Tak tahu apa jadi kat aku ni kalau tak ada kau.”

“Apa pulak cakap macam tu. Aku ni kan kawan kau. Apa guna jadi kawan kalau tak boleh tolong masa dia perlukan aku kan.” Aku capai tangan Zai. Aku genggam erat. Zai memang kawan yang paling baik yang aku pernah ada. Terima kasih, Zai.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL TELAH KU SERAHKAN HATI INI (PENULIS: APRIL SNOW)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *