Telah Ku Serahkan Hati Ini – Prolog

PANDANGAN kosong aku hala ke langit. Sekosong fikiran saat ini. Terik matahari yang membahang memercikkan titis peluh di dahi. Tapak tangan aku lap ke dahi. Kepala pusing ke belakang semula. Bangunan kaku yang baru ditinggalkan sebentar tadi aku pandang buat kali terakhir. Bangunan yang baru sahaja menghadiahkan status baru untuk aku sandang dan bawa selepas ini. Status panas bagi seorang perempuan. Juga buat perempuan-perempuan yang memandang. Aku hela nafas dalam-dalam. Aku takkan jejak lagi ke sini. Cukuplah sekali aku cemarkan kaki ke sini semata-mata menuntut sebuah keadilan buat diriku.

Langkah kakiku atur ke perhentian teksi. Aku kena balik semula ke pejabat. Aku cuma ambil cuti separuh hari sahaja hari ini sebab kata Cik Zara; peguam syarie yang aku jumpa bersama Zai beberapa minggu lalu untuk minta nasihat, jika dua-dua pihak bersetuju kes boleh selesai cepat. Pihak mahkamah takkan tangguh. Dan dia ada bersama-sama tadi sebagai peguam yang mewakiliku. Dia yang banyak beri tunjuk ajar. Menenangkan emosi dan perasaanku agar memberi kerjasama sebaiknya semasa proses penceraian dan lafaz talak oleh Zainal padaku dalam kes permohonan perceraian yang difailkan Zainal.

Ya. Aku memang tenang sahaja tadi waktu di dalam kamar mahkamah. Memang nak selesai cepat urusan ini. Sebab itu aku bersetuju untuk bercerai. Diri ini dah tak mampu nak tanggung lagi beban yang makin lama makin menekan seluruh jiwa raga. Aku bukan patung. Aku manusia. Aku ada perasaan. Cukup-cukuplah apa yang dah dia lakukan padaku. Jiwa ini cukup tersiksa.

Kalau dah tak suka dari mula…tak cinta dari dulu, lebih baik lepaskanku. Aku ada maruah. Aku bukan perempuan yang terhegeh-hegeh. Aku cuma mahu hakku. Hak untuk hidup bahagia macam perempuan lain. Paling aku sesal campur tangan kak long Zainal. Penghinaannya akan ku ingat sampai mati!

Aku labuhkan duduk di perhentian teksi. Muka kembali basah dengan peluh. Aku raup tapak tangan ke muka. Baju kurung hitam yang aku sarung pun dah rasa basah di bahagian belakang. Rasa melekit di tubuh. Tapak tangan aku kipas-kipaskan ke muka. Rasa berangin sikit. Kurang sikit bahang panas yang membakar. Tas tangan yang tersandang di bahu aku bawa ke riba.

Aku buka dan seluk tangan ke dalam. Mencari telefon. Nak telefon Zai. Nak beritahu dia, kalau-kalau aku terlambat sikit masuk, mintak dia tolong coverkan. Kalau boss cari ke, minta dia beritahu aku dalam perjalanan balik ke pejabat. Telefon asal negara Korea yang sudah lebih tujuh tahun aku pakai aku lekap ke telinga lepas tekan nombor telefon Zai.

Beb..”

“Dah selesai ke?” Zai ditalian sana terus bertanya. Memang dia tahu aktivitiku pagi ini. Dan dia memang tahu segala-galanya yang dah terjadi. Aku memang cerita kat dia sorang aje sebab percaya dia boleh simpan rahsia. Dia bukan spesies mulut ada kiri kanan depan belakang.

“Dah.” Aku tutur perlahan. Macam ada rasa sebak yang menepuk kuat lantai dada. Sedih ke aku dengan apa yang dah terjadi tadi?

Beb…Kau okey ke?” Zai memang kawan yang prihatin. Mungkin dia boleh teka dari bunyi suaraku yang perlahan dan bergaul dengan desir sayu. Dia yang tua lapan tahun dariku sudah berkahwin selama sepuluh tahun. Dia bernasib baik dapat suami yang baik. Yang penyayang. Yang percaya pada dia. Bukan macam aku.

Pertanyaan Zai aku sendiri tak tahu nak jawab macam mana. Fikiran memang kosong sekarang. Macam langit yang terbentang kat atas sana. Putih.Aku hela nafas dalam-dalam. Tahu Zai sedang menunggu dalam balutan rasa risau. Risau akan keadaanku di sini.

“Aku okey. Kau janganlah risau sangat pasal aku. Aku kena terima semua ni, Zai. Takdir aku dah tertulis macam ni. Kena reda. ALLAH maha tahu apa yang terbaik buat aku. Aku percaya ALLAH dah susun jalan hidup aku sebaiknya.”

Zai diam. Aku pun diam. Suasana sunyi tiba-tiba. Dan aku tidak mahu terus seret Zai dalam gulungan bimbang. Aku tak apa-apa. Tadi pun lepas status aku disahkan oleh pihak mahkamah, aku tak sedikit pun menitiskan air mata.

Cuma aku terkilan bila Zainal langsung tak mahu bersalaman denganku…bermaafan untuk kali terakhir kala diberi peluang berbuat demikian oleh Yang Arif Tuan Hakim Syarie. Katanya tak perlu. Dah nak bercerai tak payah nak bersalaman lagi. Tak payah nak bermaaf-maafan. Buang masa aje!

Sedih hatiku bila dengar dia cakap macam tu. Nampak hina sangat aku di matanya. Nak bersalaman buat kali terakhir pun dia tak sudi lagi. Macam aku terhegeh sangat nak sentuh tangan dia. Tak apalah kalau orang dah sudi. Walau sedih sekalipun, aku takkan menangis depan Zainal!

Beb…kau tolong cover kalau aku lambat sampai office. Mana tau kut nanti boss tanya apasal aku lambat. Aku tunggu teksi ni. Harap cepat dapat.”Aku pecahkan suasana sunyi antara kami.

Aku tak nak Zai terus-terusan risau pasal aku. Terus bimbangkan keadaan diriku. Dah banyak sangat dia tolong aku selama ini. Masa…duit. Flat tempat aku tinggal pun dia yang tolong sediakan. Naik segan aku dengan dia. Nasib baik suami Zai, Abang Jazli baik dan faham keadaan aku. Aku pandang ke jalan raya. Tak ada sebiji pun teksi yang muncul.

No hal la. Lagipun Jimmy kan tahu kau pergi mana.”

Iya tak iya jugak. Aku lupa pulak yang aku dah beritahu Jimmy semalam pasal urusanku di sini. Jimmy angguk dan tak tanya apa-apa. Dia senyum kecil aje. Aku tahu Jimmy tak nak aku sedih.

“Okey, beb. Nanti kita sambung cerita kat office. Aku nak off handphone ni. Bateri dah nazak. Aku lupa nak charge semalam. Assalamualaikum.”

Usai dengar Zai jawab salam, telefon terusku tutup. Aku seluk tangan ke dalam tas tangan nak masukkan telefon sambil mata pandang ke jalan raya. Tengok kalau ada teksi yang lalu. Tiba-tiba aku nampak cincin kahwin yang Zainal campakkan padaku tadi di luar kamar mahkamah jatuh ke bawah dan bergolek laju ke depan. Aku bangkit dan mengejar.

Cincin itu walau dah tak berharga dan tak punya erti lagi bagi dia, tapi tidak aku. Aku beli cincin itu dengan keringatku sendiri. Tanda rasa paling mahal dalam hati aku pada dia. Tanda ikhlas aku terima dia dalam hidup aku dahulu. Cincin yang aku sarung ke jarinya waktu kami diijabkabulkan. Dan cincin itu sedang bergolek laju ke jalan raya. Aku terus meluru mahu mendapatkannya. Aku tak boleh kehilangannya.

“Pin!!!!!!!!!!!!!!!!”

“ALLAH!”


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL TELAH KU SERAHKAN HATI INI (PENULIS: APRIL SNOW)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *