Tentang Lara Hati – Bab 1

“DUDA anak lima? Kalau boleh kita tak payah terimalah. Sah nak suruh Adah jaga anak dia tu, habis nanti siapa yang nak jaga mak? Along cakap terang-terang, along tak boleh jaga mak. Mak mana serasi dengan kak long korang.”

Dulu-dulu abang long bantah. Aku tahu kalau dia memang tak mahu aku tinggalkan rumah. Siapa nak jaga mak nanti. Bab nak jaga mak semua lepas tangan. Dalam keadaan mak sihat pun masing-masing mahu lepas tangan, tak tahulah kalau mak uzur nanti.

“Jadi kita tak nak terimalah pinangan Borhan ni?” Kak ngah menyoal. Sebenarnya dia juga antara yang lantang menolak pinangan Duda Borhan.

“Tak payah kut, ngah. Nanti menyusahkan saja.” Kak lang pula menyampuk. Aku hanya sekadar mendengar saja perbincangan kakak-kakakku dan abangku. Hati mula rasa lapang. Sungguh, tak rela aku bersuamikan duda anak lima.

“Aku pun tak setuju sebenarnya. Tapi Adah tu kita kena kahwinkan jugak. Aku tak mahu nanti keluarga kita malu kalau orang bercerita tentang dia. Bukan kita tak tahu, Adah ni memang gatal!” Kak ngah sambung bercakap.

Menipu kalau hatiku tidak terluka. Aku gatal? Aku gatal dengan siapa? Pernah ke aku keluar rumah tanpa sebab? Pernah ke nampak aku berbual dengan mana-mana lelaki dalam keadaan yang mencurigakan? Kenapa buruk sangat perangai aku di mata kak ngah? Seolah-olah perempuan yang tak tahu langsung menjaga maruah diri.

“Memang, kalau disimpan lama-lama buat busuk nama keluarga saja?” Kak lang tolak kepalaku sedikit kasar.

Sabar Adah.

“Borhan tu banyak duit. Boleh kita tumpang senang nanti.” Mak yang dari tadi senyap, tiba-tiba bersuara. Dalam hal ni, mak yang bertanggungjawab sehingga duda anak lima tu datang meminang. Mak yang bersungguh kempen pasal aku. Mak memang berhajat untuk bermenantukan Duda Borhan. Satu-satunya lelaki yang banyak duit di kampung kami. Ladang getahnya saja berekar-ekar. Sebab itu mak gelap mata.

“Memanglah banyak duit. Tapi duit dia. Esok-esok dia bawa Adah, siapa nak jaga mak?” Tinggi suara kak ngah. Terus mak terdiam.

“Jadi kita terima sajalah pinangan Khairil.” Abang long memberikan cadangan. Mendengar saja nama Khairil disebut terus semangatku bangkit semula.

Khairil? Teman sepermainan yang tua setahun dariku. Anak yatim piatu. Tinggal keseorangan di rumah pusaka tinggalan arwah ayah dan ibunya.

Orangnya?

Cukup di mataku dia sebagai seorang lelaki yang serba sempurna.

“Terpaksalah. Kalau tidak, apa alasan kita nak bagi pada duda tu.” Kak ngah nampaknya bersungguh mahu menerima Khairil.

Sudah hampir enam bulan dari tarikh Khairil hantar wakil merisik aku, sampai sekarang masing-masing tak mampu beri kata putus kerana abang dan kakak-kakakku rasa keberatan untuk menerima Khairil hanya disebabkan Khairil seorang penoreh getah. Mujur Khairil masih bersabar menunggu jawapan.

Rasanya ada hikmah juga semua ni terjadi. Kalau tidak sampai ke sudah tiada jawapan. Dan kalau benar jodoh aku dengan Khairil, pasti tak ke mana.

“Kau ni Adah apalah nak jadi. Dahlah bodoh, SPM pun tak lepas. Sekarang ni penoreh getah sajalah yang nak dengan kau!” Kak lang mula mengutuk aku.

Ya, Khairil penoreh getah. Tapi itu sajalah lelaki yang aku ada waktu susah dan senang. Lelaki yang aku sayang sejak di bangku sekolah lagi. Tinggal lagi tak terluah saja. Yalah, aku bukankah perempuan. Takkan aku nak beritahu Khairil yang aku sukakan dia. Tapi aku benar-benar tak sangka Khairil hantar wakil meminang aku. Masa tu aku rasa serupa bermimpi pun ada.

“Takkan tak ada orang lain. Mak tak setuju kalau Khairil kahwin dengan Adah.”

Aku sudah tahu tentang tu. Mak memang tak akan setuju untuk terima Khairil jadi menantu. Awal-awal lagi mak sudah mahu tolak pinangan Khairil, tapi abang long dan kak ngah menghalang. Sebab masing-masing ada agenda mereka sendiri.

“Habis nak kahwinkan Adah dengan siapa? Cuba mak cakap. Selain Khairil, siapa lagi yang layak dengan anak dara mak ni? Mak kena tengok sama keadaan anak dara mak ni. Jangan ingat Adah bagus sangat. Sudahlah bodoh. Satu apa pun tak tahu.”

Bukan sekali dua aku terima penghinaan dari kak ngah. Selalu sangat sehinggakan hatiku sudah kebal dengan semua itu.

“Betul, mak. Kahwinkan saja dengan Khairil. Habis cerita. Lepas kahwin, mak nak buat apa dengan si Khairil suka hati maklah. Dia dengan Adah sama bodohnya. Senang-senang mak boleh pijak Khairil tu.” Lantang saja mulut kak lang bercakap.

Sebagai adik dan paling bongsu, aku tak boleh menjawab. Pertama aku bodoh, kedua aku tak sekolah tinggi dan terakhir, aku hidup atas belas ihsan mereka. Kalau mereka tak kirim duit pada mak tiap bulan, aku tak dapat makan. Tanah kebun seluas 3 ekar tinggalan arwah ayah dah selamat dijual. Mereka adik-beradik lain dapat bahagian, sedang aku tak dapat satu sen pun. Pun aku diamkan saja. Tapi, jawablah di SANA nanti.

“Cepat pergi masak. Dah pukul berapa ni,” arah kak ngah.

Aku bergerak menuju dapur. Perasaan cukup lega sekarang ni. Kalau tidak aku rasa tak aman semenjak wakil Borhan datang ke rumah.

“Along balik dululah.” Abang long yang tinggal di pekan Kampar minta diri.

Kami lima beradik semuanya. Empat perempuan dan seorang lelaki. Abang long kerja majlis perbandaran. Kak ngah kerja bank di Kuala Lumpur. Kak lang pula kerja di pejabat swasta di Kuala Lumpur juga. Berpangkat besar juga. Kak cik pula jururawat dan bertugas di salah sebuah hospital di Ipoh. Masing-masing sudah berkeluarga. Tinggal aku sahaja yang masih bujang. Bukan saja bujang, bahkan tak pernah bekerja pun. Habis SPM aku terus tinggal bersama mak. Semua adik-beradikku tak benarkan aku bekerja dengan alasan temankan mak. Masa tu aku buat kerja toreh getah di tanah tinggalan arwah ayah. Tapi dua tahun lepas abang long sudah jual dengan alasan tak memberi sebarang keuntungan. Harga getah berapa sen sangat. Berapa sen pun, dengan duit itulah aku menampung keperluanku. Nak minta duit mereka serupa aku minta selori emas. Punyalah kedekut dengan adik sendiri.

“Ini apa hal potong ayam macam ni?” Kak ngah tampar belakangku. Tersentak aku jadinya.

“Gatal nak berlaki, potong ayam pun tak reti!” bebel kak ngah lagi.

“Dah tahu saya tak reti potong ayam, kenapa beli ayam sekor-sekor. Suruhlah orang pasar tu potong.” Aku menjawab. Mana pernah aku beli ayam seekor macam ni.

“Aku nak cepat tadi. Mana nak sempat suruh potong bagai!”

Sakit telinga dengar suara kak ngah bertempik. Serupa aku duduk sebatu dari dia.

“Kak ngah potonglah. Biar Adah pergi cari pucuk paku. Aku nak makan kerabu pucuk paku.” Kak lang pula menyampuk.

“Cantiknya muka kau. Kau nak makan pergilah cari sendiri,” bantah kak ngah.

“Malas nak masuk hutan. Banyak nyamuk. Adah, pergi cari pucuk paku.” Kak lang suruh aku. Aku tak kisah. Sekurang-kurangnya aku dapat lari dari mereka.

Aku basuh tangan dan tinggalkan ayam. Tapi aci lawan kerat jari pun aku berani bertaruh. Tak ada siapa yang akan sambung buat kerja potong ayam. Sudahnya nanti kalau tak aku, mesti mak yang akan buat.

“Cari banyak sikit. Nak buat kerabu dengan masak lemak,” arah kak lang lagi. Banyaknya menu. Tangan aku juga yang kena buat semua tu.

Aku bergerak ke bilik. Sarung tudung terlebih dahulu sebelum melangkah keluar rumah. Kemudian naik basikal untuk ke kawasan hutan hujung kampung.

Pertengahan jalan aku bertembung dengan Khairil yang sedang menunggang motosikal. Masih memakai baju menoreh.

“Nak ke mana?” Dia berhentikan motosikal. Jejaka hitam manis, tinggi lampai dan agak pendiam ini memang sudah lama menjadi intaianku. Entah kenapa, hati tertawan pula.

“Nak cari pucuk paku.”

“Kak ngah dengan kak lang balik ke?” soalnya lagi.

“Haah. Kak lang nak makan kerabu pucuk paku.”

“Tak apalah. Nanti saya carikan. Banyak pucuk paku belakang rumah tu.”

“Tak apalah, biar saya cari sendiri.”

“Degil sangat ni kenapa. Nyamuk banyak pagi-pagi ni.”

“Nak mengelak sebenarnya.” Aku sengih.

“Kisahnya. Tak apalah. Tunggu aje depan rumah saya. Nanti saya tolong carikan pucuk paku.” Khairil faham rupanya keadaanku.

“Tiga cekak boleh?”

“Sepuluh cekak pun boleh.” Khairil senyum senget. Aku nampak senyuman Khairil seperti terpaksa. Pasti saja dia tahu tentang pinangan daripada Borhan. Tapi tak pernah dia bertanya tentang hal tu.

“Melampau, kenapa tak seguni terus?” balasku sambil tersenyum sama. Cuba berseloroh.

“Nak seguni pun boleh.” 

“Saya guraulah.”

“Saya pergi dulu…” Khairil beredar. Hanya bunyi motosikalnya memecah suasana. Aku perhatikan saja khairil yang semakin menjauh. Untuk sementara waktu aku tak mahu beritahu dia tentang keputusan yang sudah diambil oleh kakak- kakak dan abangku. Biar aku rahsiakan dulu.

Aku sambung kayuh basikal menuju rumah pusaka tinggalan orang tua Khairil. Khairil anak yatim piatu. Tak ingat bila ibunya meninggal dunia. Tapi rasanya sudah lama juga. Ayah Khairil pula meninggal masa Khairil dalam kandungan lagi. Sejak dia lahir dia tinggal bersama ibunya yang menguruskan kebun getah hampir tiga ekar di belakang rumahnya. Disebabkan dia anak tunggal, Khairil tidak sanggup untuk tinggalkan ibunya sendirian untuk melanjutkan pelajaran. Jadi aku dan Khairil sama taraf. Sekolah tak tinggi. Itu saja bahan untuk adik-beradikku cakap kami bodoh.

Masa aku sampai di hadapan rumah Khairil, motosikalnya sudah terletak cantik di tepi pokok cempedak yang sedang berbuah lebat. Bermakna dia sudah sampai di kebun getahnya sekarang. Belakang rumah sahaja.

Aku tunggu Khairil di hadapan rumah. Bersih kawasan rumah Khairil walau dikelilingi dengan pokok buah-buahan. Kalau ada jodoh dengan Khairil, kami akan berkongsi rumah yang sama. Lari dari adik-beradik yang lain.

Tak mengapa kalau hidup susah bersama Khairil, janji dia boleh beri aku makan dengan cukup dan yang penting dia sayang aku. Kami akan berusaha untuk kelangsungan hidup kami kelak. Rezeki ALLAH tu luas tapi kena usaha untuk mencarinya.

Ah, gembiranya melakar impian yang indah-indah.

“Eh, apasal senyum sorang-sorang ni?” soal Khairil yang muncul dengan tiba-tiba. Pucuk paku sudah dia masukkan ke dalam beg plastik.

“Mana ada…” jawabku sambil kawal rasa malu. Punya lama berangan, tak sedar Khairil sampai.

“Yalah, orang dah nak kahwin, kan.” Dia sindir aku.

“Mana tahu saya dah nak kahwin? Memandai aje.” Aku pula menyoal.

“Tengok muka pun dah tahu. Tambah berseri.” Perlahan suara Khairil. Tahu hati dia retak seribu. Seperti harapannya yang berkecai. Sabarlah awak. Kalau ada jodoh kita, tak ke mana. Awak tatanglah saya ni baik-baik. Awak layanlah saya ini selayaknya seorang isteri yang perlu awak kasihi. Tiba masa nanti, saya akan tuntut hak saya sebagai seorang isteri. Sementara waktu, awak bersabar dulu.

Beg plastik berisi pucuk paku dia letak di dalam raga basikal.

“Terima kasih,” ucapku perlahan. 

“Sama-sama,” balasnya.

“Saya balik dulu.”

“Eh, kejap. Ada buah cempedak yang dah masak. Boleh buat goreng.”

“Tak payah. Kalau nak bagi, biar kakak-kakak saya dah balik. Nanti saya juga yang kena buat semua tu.” Bukan aku dengki dengan kakak- kakakku, tapi nanti aku juga yang akan buat semuanya. Sah-sah minta goreng cempedak nanti.

“Oh, baik.”

“Ada ke yang dah masak. Kalau ada naklah tumpang makan.”

“Sebab ada la saya pelawa.” Khairil berjalan ke belakang rumah. Sebenarnya aku sekadar mahu buang masa sahaja. Balik cepat karang, macam- macam kena buat. Balik lambat, lambat juga aku masak. Biar orang dalam rumah tu mengedik kelaparan.

Khairil muncul bersama dua biji buah cempedak yang sederhana besar. Aroma cempedak masak sudah sampai ke hidung. Tambah menarik minat bila Khairil mula belah salah sebiji cempedak. Isinya kekuningan.

“Ini cempedak madu. Baru berbuah tahun ni. Yang ni saya tak jual. Untuk kita makan saja.”

“Ya?”

“Berapa pokok cempedak yang awak ada?” 

“Kat rumah ni ada dua pokok. Kat kebun ada tiga pokok. Yang kat kebun tu saya dah mula jual pada peraih. Dapatlah dalam dua ribu.” 

“Banyak tu.”

“Cempedak laku jugak sekarang ni.”

Aku angguk sambil mula makan buah cempedak. Sebenarnya siapa cakap Khairil ni tak berduit. Tu belum lagi musim durian. Belum lagi dia jual buah jering dia.

“Berduit jugaklah awak ni kan?”

“Alhamdulillah. Setakat nak bagi makan anak dara orang cukup kut. Janji saya rajin.” Khairil tersenyum. Sekilas dia jeling aku, cepat aku pandang tempat lain. Jantung aku pasti rasa lain setiap kali melihat jelingan Khairil. Tak tahu kenapa.

“Hurm…”  Manis  juga  kata-kata  Khairil. Semanis buah cempedak yang aku jamah ni. “Ada air kelapa muda sedap juga ni.”

Dah beri betis nak paha. Dengan siapa lagi aku nak mengada-ada kalau tidak dengan bakal suami. Bakal suami? Sabar sikit, Adah.

“Kenapa tak cakap?”

“Tak, tak. Gurau je. Mana elok makan buah cempedak dengan air kelapa.”

“Ya jugak. Bisa kan?” 

“Orang tua-tualah cakap.”

Hampir habis sebiji aku makan buah cempedak. Memang betul-betul kenyang.

“Awak,  dah  kenyang  ni.  Balik  dululah. Terima kasih.”

“Hurm…”

“Assalamualaikum.”

“Wa’alaikumussalam.” Aku mula kayuh basikal. Kemudian aku toleh belakang pandang dia. Dia lambai lemah. Ada tanda-tanda kecewa. Tak apa awak, esok lusa awak tahulah nanti.

Ah! Seronoknya dera bakal suami.

MASA aku dalam perjalanan pulang, aku bertembung pula dengan Maiza, rakan sebayaku. Maiza ni, nak cakap kawan baik pun bukan, nak cakap musuh pun tidak. Senang cakap, Maiza jenis kawan talam dua muka dan jenis suka tikam kawan dari belakang. Satu lagi yang aku tak berapa suka dengan Maiza, dia serupa sukakan Khairil sejak dari zaman sekolah lagi. Sikit-sikit Khairil. Apa-apa Khairil. Tapi sejak Khairil masuk meminang aku, Maiza dah kurang sebut pasal Khairil. Kalau Khairil suka dia, mesti dah lama Khairil masuk meminang tapi Khairil pilih aku. Tandanya Khairil lebih sukakan aku.

“Dari mana ni?”

Takkan aku nak cakap aku dari rumah Khairil. Nanti lain pula cerita yang tersebar.

“Cari pucuk paku. Kakak-kakak aku ada balik.”

“Kau cari pucuk paku dekat kebun getah Khairil ke?”

Tak cerita pun, kepala Maiza mesti sudah fikir yang bukan-bukan.

“Ingat pucuk paku ada kat kebun dia aje ke?”

“Taklah, manalah tahu, kan. Korang kan ada skandal rahsia. Macamlah aku tak tahu.”

Lain macam saja cara Maiza bercakap. Cara dia senyum pun seperti senyuman menyindir.

“Skandal rahsia apa pulak?”

“Yalah, kau dengan Khairil memang dah lama ada hubungan, kan? Pandai betul kau simpan rahsia.”

Apa aku nak jawab ni? Karang salah jawab aku jugak yang kena.

“Kau salah faham tu. Sebenarnya aku dengan Khairil takde skandal apa-apa pun. Yang ada mungkin seperti orang selalu sebut…” Aku pandang muka Maiza. Gadis berkulit hitam manis dan tinggi lampai ini sebenarnya memang sangat bahaya. Macam-macam dia dah cuba buat untuk pikat Khairil.

“Apa dia?”

“Cinta!”

Berubah terus muka Maiza.

“Tapi kau ingat mak kau akan setuju? Kalau tidak takkan sampai sekarang tak beri kata putus pada Khairil.”

Aku tahu Maiza seperti sedang menunggu peluang, tapi kau jangan haraplah, Maiza.

“Seperti ajal maut menjadi rahsia ALLAH, maka jodoh juga rahsia ALLAH. Kalau ada jodoh, tak ke mana. Eh, aku nak balik ni. Bising pulak nanti kakak-kakak aku.” Aku sambung kayuh basikal. Malas nak melayan cakap Maiza. Tak menyakitkan hati aku memang tak sah.

Seperti yang aku jangkakan, memang ayam tak ada siapa bersihkan. Masih begitu di dalam singki. Kakak-kakakku sedang berbual di ruang tamu. Mak pun berbual sama.

“Dah tegak matahari baru balik?” marah kak ngah.

“Ingat senang nak cari pucuk paku? Dengan nyamuknya. Silap hari bulan, ular tedung pun ada sekali,” balasku sedikit kasar. Tahu-tahu nak marah. Masing-masing malas cari sendiri. Berlagak lebih. Tapi kalau ada yang tahu Khairil tolong carikan pucuk paku, memang habislah.

“Cepat sikit masaknya. Semua dah lapar.”

Dah tahu lapar masaklah. Masih nak tunggu aku jugak. Masing-masing nak jadi bos.

“Tolonglah sama masak. Kalau saya sorang memang lambatlah.” Aku menjawab.

“Lang, kau tolong Adah masak.” Kak ngah panggil kak lang.

“Apa hal pulak aku yang nak kena masak?” Kak lang membantah dan dia pergi semula ke ruang tamu.

“Kalau macam tu, tunggu sajalah saya masak. Pukul berapa nak siapnya nasiblah. Masing-masing nak goyang kaki.” Aku menjawab. Aku tak kisah sebab perut aku sudah kenyang dengan buah cempedak.

Senang saja nak ajar mereka ni. Buat kerja lambat-lambat. Jangan nak laju sangat. Nanti kalau suami dan anak masing-masing bising lapar, mereka turunlah ke dapur. Tengoklah nanti.

Mula-mula sekali aku potong pucuk paku. Kerja paling senang. Duduk saja. Sambil tu aku boleh berangan.

Baru habis satu cekak, kak lang masuk dapur.

“Dah siap masak?” soal kak lang sambal cekak pinggang. Gaya seperti mem besar marah bibik saja.

“Tengah potong pucuk paku, kan?” Aku jawab perlahan dan dengan selamba. Seperti rancanganku berjaya saja ni. Kalau dah cekak pinggang macam tu sah ada yang bising lapar.

“Nasi dah masak?” soal kak lang lagi.

“Baru potong pucuk paku.” Perlahan aku menjawab.

“Lain kali, masak nasi dulu baru buat kerja lain!” marah kak lang. Nak saja aku menjawab yang aku ni ada dua tangan saja. Tapi tak sampai mulut nak bercakap sebab aku tahu kak lang tengah panas hati dengan aku.

Dia ambil periuk nasi. Maknanya dia akan masak nasi. Kurang satu kerja aku. Sambil basuh beras kak lang membebel. Aku buat tak dengar.

“Dah siap masak?” Kak ngah muncul semula. Ini lagi seorang mem besar. Tahu jadi tukang arah saja.

“Masak apanya. Baru nak masak nasi!” balas kak lang.

Aku buat tak dengar. Sambung potong pucuk paku dengan lambat.

“Tengoklah cara dia potong pucuk paku. Serupa setahun tak makan. Lembap betul.” Kak ngah membebel.

“Dia kan memang serba lembap. Kalau bab makan laju pulak. Sakit pulak hati kita tengok dia ni.”

Aku tetap senyap. Malas nak menjawab.

Kalau nak menjawab pun bila aku rasa perlu. 

“Kelapa dah parut?” soal kak ngah lagi.

“Semua pun belum. Ayam pun belum potong.” Kak lang menjawab dengan nada marah. Dia tengah lap periuk nasi.

“Hesy!”

Aku nampak kak ngah ambil dua biji kelapa yang sudah siap buang kulit di belakang pintu. Dia ambil golok dan dia belah kelapa. Selamat lagi aku. Kak ngah dah siapkan kelapa. Selepas ni mesti dia mesin. Seronoknya.

Kak lang sambung potong ayam sambil merungut-rungut tapi rungutan kak lang tak berapa nak dengar sangat sebab bunyi mesin kelapa sudah tenggelamkan suara leteran kak lang. Berleterlah dia sorang-sorang.

Lepas mesin kelapa, kak ngah buat kerisik pula.

“Tak siap lagi ke?” soal Abang Rahim suami kak lang.

“Belum, nasi baru masak.”

“Tu la pasal. Dari tadi bersembangnya. Mengumpat orang dua puluh empat jam sampai lupa nak masak. Aku ni dah lapar tau tak. Kau dah tahu kampung kau ni tak ada kedai makan, tak boleh ke kau masak dulu sebelum mengumpat?” marah Abang Rahim. Kami semua sudah sedia maklum akan panas baran Abang Rahim. Dia mana boleh lapar sikit. Mulalah mengamuk semacam.

Kak lang tak balas. Aku tahu kak lang pun takut dengan Abang Rahim. Padan muka. Mengumpatlah lagi.

Suasana di dapur jadi senyap bila masing-masing sibuk dengan kerja masing-masing. Mak pun kalut tolong potong bawang. Kalau harap aku masak sorang, asar nanti pun belum tentu siap.


BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4  • BAB 5


BELI NOVEL TENTANG LARA HATI (PENULIS: NUEEN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *